Bekalan air: Rakyat dapat angin, kerajaan Kelantan harus beri diskaun 20 meter padu


 Pengerusi NGO Save Kelantan, Datuk Husam Musa mencadangkan agar kerajaan Kelantan memberi diskaun harga air kepada rakyat di negeri itu kerana masalah bekalan air yang gagal disediakan secara sempurna.



Hal itu, kata Husam boleh memberi pampasan buat rakyat yang menghadapi masalah tekanan air rendah dan hanya menerima angin apabila membuka kepala paip.



Kata Husam, Kerajaan Negeri seharusnya memberi diskaun 20 meter padu air sebulan sehinggalah masalah tersebut diselesaikan.



"Bila air tak ada, dia ada angin. Angin tolak meter. Meter berpusing (caj) dikenakan kepada pengguna, air tak ada.



"Pengguna tanggung beban lain, pasang pam bila air tekanan rendah, pasang tangki. Kos yang lebih tinggi kepada rakyat



"Kalau Save Kelantan diberi peluang nasihat kerajaan akan datang dengan anggapan (kerajaan) bertukar tangan kepada yang Save Kelantan sokong, maka saya nak cadang apa yang dibuat di Selangor (air percuma 20 meter padu) dilakukan di Kelantan sehingga tempoh bekalan air diselesaikan.



"Kalau tak boleh 20 meter, 10 meter sebulan pun tidak mengapa. Selangor di bawah PH pernah beri 20 meter padu. Kerajaan Kelantan kenakan caj kepada penduduk, termasuk (biar pun) pusingan meter angin," katanya dalam temubual bersama Sumberkini, malam tadi.



Menjawab pertanyaan nasihat yang boleh diberi kepada pengundi luar Kelantan yang akan pulang mengundi, Husam mencadangkan agar mereka membuat sedikit kerja rumah sebelum memangkah semula Pas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.



"Pengundi Kelantan dari luar mereka bukan tak pandai. Mereka kebanyakannya teknokrat, profesional, peniaga berjaya. Mereka sebenarnya bukan 100% nak kepada Pas. Mereka ada penolakan kepada lawan Pas.



"Sebab kebencian mereka kepada Umno lebih tinggi, jadi mereka pilih Pas. Sebahagian sokong Pas kerana Pas waktu itu bersih, nak bawa agenda Islam.



"Hari ini nasihat saya, kajilah pentadbiran Pas. Adakah benar pentadbiran Pas bila bagi tanah dan lombong, yang dapat orang Melayu dulu, anak Kelantan atau pun dapat kepada orang asing?



"Pentadbiran Kelantan dalam semua segi adakah mereka tak rasuah? Kita tak boleh kata tak rasuah kerana tak ada yang dihadap ke mahkmah. Tetapi perlakuan rasuah itu mungkin berlaku. Dikatakan kerajaan bawa agenda Islam. Apa beza Selangor dan Kelantan dalam syiar Islam? Tak ada beza.



"Masjid di Selangor saya solat Jumaat, bulan Ramadan, lebih meriah lagi kuliahnya daripada Kelantan. Kelantan kuliahnya berunsur politik," kata Husam.



Anak didik bekas Musyidul Am Pas Nik Aziz Nik Mat itu berkata, Pas ketika ini sebenarnya telah kehabisan modal politik terutama perkara yang akan dijanjikan dalam PRU akan datang.



Katanya, selepas Pas memerintah Kerajaan Persekutuan kelemahan mereka terserlah dan hampir tiada janji berkaitan Negara Islam yang mampu mereka realisasikan dalam 2 tahun pemerintahan.



"Dulu nak buat hudud, RUU 355 sekarang tak berbunyi kerana itu hanya agenda politik bukan komitmen. Islam itu luas, termasuk jaga alam sekitar, beri kerja rakyat jelata, hapus masalah sosial. Ini semua islamik



"Kita ambil Dubai dan Abu Dhabi misalnya. Negara kecil sahaja tetapi ada dua syarikat penerbangan. Kita jangankan Kelantan, Malaysia saja syarikat MAS dah nak mati.



"Kelantan banyak ketinggalan dari pelbagai segi, misalnya mahkamah syariah, hakim hakim mahkamah syariah, banyak penangguhan kes dan sebagainya.



"Jadi saya harap rakyat Kelantan di perantauan boleh mengkaji prestasi dan pencapaian kerajaan secara menyeluruh. Jangan tangkap muat, kata Islam, pangkah," kata Husam lagi.

 

Masalah bekalan air Kelantan akibat kelemahan kerajaan Pas - Husam


 Pihak yang perlu dipersalahkan berhubung masalah berterusan bekalan air di Kelantan adalah kerajaan Pas kerana parti tersebut memerintah Kelantan sejak 3 dekad lalu.


Cuma sebelum ini, Pas menyalahkan peruntukan yang disekat oleh kerajaan BN sebagai alasan. Bagaimanapun apabila Pas berada dalam Kerajaan Persekutuan rakyat Kelantan tetap juga menghadapi masalah bekalan air.


Bagi mantan Exco Kelantan, Datuk Husam Musa, masalah air jelas berpunca daripada kelemahan Kerajaan Negeri Pas dan agensi yang diamanahkan menguruskan bekalan air, iaitu Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) gagal bertindak bijak dalam mencari punca masalah.


Katanya, masalah bekalan dengan mudah boleh diselesaikan sekiranya punca air dicari dan kemudahan mengeluarkan air dibina secara betul.


"Kegagalan AKSB urus air ini menjadi punca masalah bekalan air


"AKSB banyak bina telaga. Ada 37 loji. Kebanyakan telaga memakan belanja besar tetapi bila siap air tak boleh dikeluarkan. Sebagai contoh, saya telah menyenaraikan telaga baru siap yang kapasiti pengeluaran ikut reka bentuknya 117 juta liter air


"Tetapi kapasiti dari 5 telaga yang sepatutnya 117 juta liter itu hanya keluarkan 50 juta liter sehari. Tak sampai separuh kapasiti asal. 67 juta liter tak keluar. Pasal apa? Saya bukan pakar industri air tetapi dari perbincangan dengan pakar lain adalah kerana reka bentuk yang salah.


"Tidak diadakan satu kajian menyeluruh terhadap sumber air di tempat nak dibuat loji. Bila loji siap kapasiti air dalam bumi tidak memadai dengan apa yang hendak dikeluarkan. Bila dipam maka tak keluar penuh," kata Husam dalam temubual eksklusif bersama Sumberkini, malam tadi.


Selain itu, Pengerusi NGO Save Kelantan itu juga mendedahkan kelemahan telaga jejari yang dianggap oleh pihak AKSB berpotensi menyelesaikan masalah bekalan air.


Katanya, telaga itu bersifat cetek dan dipasang jari jari di kiri kanan telaga untuk memasukkan air bawah tanah ke perigi utama.


"Kebanyakan yang gagal dari jenis telaga jejari ini. Tetapi AKSB terus berulang kali bina telaga jejari.


"Telaga ini harganya lebih mahal dari telaga lain. Kapatisi pula tak sampai tujuan kerana itu kita ada masalah tak cukup air," ujarnya.


Menurut Husam, pada ketika ini berdasarkan akaun pengguna terdapat keperluan air 512 juta liter. Pihak AKSB hanya mampu keluarkan 458 juta liter. Tidak cukup 50 juta liter tetapi ianya boleh diatasi sekiranya telaga dibina dengan cara yang betul.


Bagaimanapun, katanya terdapat satu lagi masalah iaitu paip bocor. Masalah tersebut, tegas Husam menyebabkan separuh daripada bekalan air hilang ke dalam tanah.


Begitu juga masalah paip kecil. Misalnya di Parlimen Kubang Kerian yang mengalami tekanan rendah kerana saiz paip hanya 4 inci, sedangkan bekalan perlu diberikan kepada 50,000 akaun pengguna.


"Masalah paip pecah dan kecil ini sepatutnya telah diatasi. AKSB bukan tak baiki paip. Sebelum baiki (dengan peruntukan) RM125 juta kebocoran 40%, bila dah baiki naik 52%. Tak tahu apa sebabnya.


"Oleh kerana itu kalau kita tahu masalah utama paip bocor maka elok tukar paip dulu. Kalau lebih banyak tangki pun tetapi separuh terbuang dalam tanah tak selesai masalah


"Bila buat tangki atau loji, projek ini dibiayai oleh PAAB. Bila siap, loji akan diuruskan AKSB tetapi kena bayar kos itu balik. Namun kalau baiki paip, PAAB beri geran tak payah bayar kerana insfrastruktur paip bukan komersial dan dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.


"Kalau orang lain uruskan AKSB, dia akan buat pelan ganti paip dulu kerana air cukup. Kenapa nak buat loji dan tidak baiki paip? Nampak cara pengurusan AKSB ini ada unsur unsur ketidakcekapan," kata Husam lagi.


Namun dengan Kerajaan Negeri yang tidak mahu mengakui kelemahan maka Husam tidak nampak perkara itu akan diselesaikan dalam masa terdekat melainkan berlakunya perubahan politik.