Pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri rugikan kehidupan Orang Asli - JKOAK

 

Pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan didakwa akan merugikan secara menyeluruh kehidupan Orang Asli yang terlibat.


Menurut kenyataan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) yang mewakili suara lebih 3,000 Orang Asli daripada 17 wilayah, pembinaan empangan itu akan menjejaskan Orang Asli di Pos Tohoi, Pos Pulat, Kampung Wias dan Kampung Bering yang dianggap akan tenggelam sepenuhnya.


"Sebanyak 1,185 orang daripada 217 keluarga akan dipindahkan ke kawasan lain iaitu di Kampung Kuala Yai.


"Manakala 18 kampung atau pos akan terjejas secara tidak langsung di mana kawasan hutan rayau, tanah adat dan wilayahnya akan tenggelam.


"Projek ini juga bakal menenggelamkan kawasan yang mempunyai nilai sejarah penting untuk komuniti Orang Asli Temiar terutama sekali Gua Cha dan Gua Chawas yang menjadi bukti kewujudan awal Orang Asli Temiar selain mempunyai artifak yang membentuk kronologi sejarah awal Kelantan.


"Tapak prasejarah yang berdekatan Pos Pulat dan empangan utama yang mempunyai nilai sejarah dan arkeologi yang tinggi, termasuk Gua Keledung, Gua Cahaya, Gua Kecil, Gua Lubang Kelewar, Gua Perdang, Gua Rahmat, Gua Kemiri dan Gua Tok Batin juga bakal tenggelam. Projek ini akan menghapuskan sejarah kewujudan Orang Asli Temiar di Semenanjung Malaysia," kata kenyataan berkenaan.


Menurut kenyataan itu yang dikeluarkan usai penyerahan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pagi tadi, dalam sejarah pembangunan negara pembinaan empangan hidroelektrik tidak pernah memberian keuntungan kepada komuniti Orang Asli dan Orang Asal


Kebanyakan komuniti yang terjejas daripada pembinaan empangan tidak diberikan pampasan dan keadilan yang sewajarnya walaupun mereka diberikan pelbagai janji manis sebelum pembinaan empangan berjalan.


"Kes pembinaan empangan Bakun Sarawak, Temenggor Perak, empangan Ulu Jelai, cadangan empangan Telom, Pahang dan lain-lain lagi menunjukkan dengan jelas tiada pembelaan yang baik diberikan kepada komuniti setelah bertahun-tahun empangan siap," kata mereka.


Em[angan hanya akan memudaratkan kehidupan masyarakat Orang Asli

Selain itu, empangan hidroelektrik Nenggiri juga didakwa oleh JKOAK tidak relevan dari segi keberkesanan menjana elektrik dalam jangka masa Panjang.


Walaupun dianggarkan empangan itu mampu membekalkan kuasa elektrik sebesar 350 MW namun akibat banyakmua aktiviti pembalakan tebang habis untuk tujuan ladang monokultur dan lombong di kawasan tadahannya dikhuatiri akan berlaku mendapan lumpur sehingga kapasiti air dan elektrik empangan akan berkurangan sebagaimana yang berlaku pada empangan hidroelektrik Sultan Abu Bakar, Cameron Highlands.


Sehubungan itu, JKOAK menjuntut pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan juga Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membatalkan pembinaan empangan berkenaan kerana tidak relevan


Orang Asli mahu kaedah pencegahan banjir melalui pembinaan empangan yang lebih kecil

"Kami memohon pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak meluluskan aktiviti pembalakan dan perlombongan di kawasan cadangan, terutamanya kawasan hutan Gua Musang dan hulu Kelantan kerana ia penyumbang utama kepada krisis banjir dan kemarau di negeri Kelantan.


"Kami memohon pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk memilih alternatif lain yang kurang berisiko seperti mewujudkan empangan kecil di beberapa kawasan sekitar Machang dan Tanah Merah serta di Pasir Mas dalam mengatasi masalah banjir dan masalah air di musim kemarau sebagaimana cadangan alternatif yang dikemukakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," kata mereka.


Di samping itu, JKOAK juga memohon sokongan dan kerjasama daripada semua pihak iaitu masyarakat awam, pertubuhan NGO, ahli akademik, konsultan, penjawat awam dan lain-lain untuk bersama membantu menggerakkan kempen nasional bagi membatalkan cadangan pembinaan empangan Nenggiri


JKOK juga akan berusaha mengambil tindakan mahkamah bagi menghentikan sebarang projek atau aktiviti yang melibatan pembinaan empangan Nenggiri tersebut.

No comments: