Anwar : Harga Makanan Dijangka Naik 30 Peratus Akhir 2011


SHAH ALAM 20 MEI: Harga makanan dan minuman dijangka melambung 30 peratus akhir tahun ini, jika trend kenaikan harga semasa berterusan akibat penarikan subsidi oleh kerajaan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenaikan harga makanan kepada 4.9 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan kos barangan akan berterusan dan dikhuatiri mencecah 8.8 peratus akhir tahun ini seperti yang berlaku tiga tahun lalu, kata beliau dalam satu kenyataan.

Anwar berkata data Bank Negara menunjukkan harga makanan di Malaysia naik dua kali ganda berbanding harga makanan dunia pada empat bulan pertama tahun ini.

Justeru beliau menegaskan sekiranya kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) gagal mengawal kenaikan harga barangan, Malaysia sekali lagi akan mengalami harga makanan tertinggi sejak tahun 2008.

"Kenaikan harga makanan adalah tertinggi pada tahun 2008 akibat kenaikan harga minyak dan petrol. Kita menjangka kesan yang sama untuk tahun 2011," ujar Anwar.

"Pada kadar kenaikan harga makanan sekarang dijangka pada akhir tahun 2011, rakyat terpaksa membayar 30 peratus lebih dari harga kos setiap jenis makanan berbanding pada tahun 2005," kata beliau.

Sepanjang enam tahun lalu, harga makanan naik sebanyak 30 peratus sedangkan kenaikan upah di negara ini hanya sekitar 2.6 peratus dari tahun 2001 sehinggga tahun 2010," jelas beliau.

Sehubungan itu, Anwar sekali lagi menyatakan dasar Buku Jingga yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat adalah penyelesaian berkesan efektif untuk membanteras kenaikan kos hidup yang melambung tinggi.

Ini termasuk menarik kembali subsidi korporat berjumlah RM19 bilion yang diberikan kepada golongan elit serta syarikat yang bersekongkol dengan Umno-BN termasuk syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

Anwar menegaskan penarikan subsisi untuk barangan keperluan juga berpunca dari kegagalan Umno-BN mengekang rasuah yang menjadi faktor utama kerajaan persekutuan mngalami kerugian sekitar RM28 bilion setahun sejak 2008.

Angka itu disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Anwar berkata ketirisan yang semakin serius dalam pengurusan kerajaan juga memaksa Perdana Menteri Najib Razak memotong subsidi rakyat dengan alasan mengurangkan beban difisit negara.

1000 Rakyat Hantar Memorandum Bantah Operasi Lynas





KUALA LUMPUR 20 MEI : Kira- kira seribu rakyat berkumpul di KLCC hari ini bagi menghantar memorandum membantah pembinaan Loji Nadir Bumi, ke Kedutaan Australia.

Memorandum berkenaan mendesak kerajaan Australia bertanggungjawab terhadap risiko radioaktif dan memberi tekanan kepada syarikat Lynas Corporation yang berpangkalan di negara itu, supaya membatalkan cadangan memproses tanah jarang di Gebeng, Pahang.

Diketuai oleh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Pengerusi Kempen Anti Lynas, Vincent Jiam Tee Hong, mereka berarak dari KLCC ke Kedutaan Australia, sejauh 400 meter.

Walaupun dalam keadaan hujan, mereka bersemangat melaungkan slogan 'Hidup Rakyat' dan 'Hentikan Lynas' selama kira-kira 2 jam dalam keadaan aman.

Bagaimanapun, Polis telahpun melakukan sekatan jalan di sekitar Jalan Yap Kwan Seng, berhampiran kedutaan Australia dan hanya membenarkan 6 orang wakil memasuki jalan tersebut.

Fuziah dan delegasinya berjaya menemui Pemangku Timbalan Duta Besar Australia, Arthur Spyrou yang berjanji menyampaikan memorandum tersebut kepada kerajaan Australia.

Fuziah menyatakan kebimbangan penduduk Gebeng dan Kuantan dengan tahap keselamatan yang tidak telus selain Lynas sendiri tiada pengalaman dalam operasi loji berkenaan.

Menurut Fuziah lagi, Lynas memilih Malaysia sebagai lokasi loji ini kerana Undang-undang Australia yang ketat dalam penjagaan alam sekitarnya.

"Lynas dapat lesen di Australia. Tapi mereka tidak pilih untuk buka kilang di situ. Di situ regulasi ketat dalam menjaga alam sekitar, badan penjaganya ialah Lembaga Pemuliharaan Alam Sekitar (EPA) yang ada 41 komitmen yang perlu dijaga dengan pelbagai aspek.

"Di Malaysia badan pengawalnya ialah Agensi Tenaga Atom Kebangsaan (AELB) yang hanya memikirkan impak radiasi dan tahap radioaktif," kata Fuziah dalam sidang media selepas bertemu Arthur.

Fuziah memberi contoh betapa AELB tidak dapat berfungsi seperti EPA kerana sekatan jurisdisi dan penguatkuasaan lemah dari Kerajaan Malaysia sendiri.

"Di Zon Penghadang (Buffer Zone) Australia, ada radius 30 km, tak boleh ada penduduk. Di Gebeng ada 70 ribu penduduk dalam radius 30 km itu. Kami bimbang Lynas mengambil kesempatan dengan undang-undang Malaysia," kata Fuziah lagi.

Pengerusi Kempen Anti Lynas, Vincent Jiam pula mahu Lynas keluar dari Malaysia pada akhir Ogos ini.

"Kita dapat lihat perkembangan di Australia sekarang yang menekan hal Lynas. Kita harap Lynas dapat keluar dari negara ini sebelum 31 Ogos. Ia hari kemerdekaan kita. Apa guna kemerdekaan jika kita tidak dapat bebas, dan sisa radioaktif akan kekal selama berjuta tahun," kata beliau.

Beberapa aktivis dan Wakil Rakyat Pakatan Rakyat turut hadir memberi sokongan.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua serta Exco Pelancongan, Elizabeth Wong dan Exco Sains dan Teknologi, Rodziah Ismail.

Rodziah ketika ditemui media menyatakan betapa Kerajaan Selangor menyokong bantahan tersebut kerana bertentangan dengan agenda pembangunan insan.

"Saya datang untuk nyatakan sokongan Kerajaan Selangor dan sama-sama meminta Lynas memberhentikan operasi Sekarang. Stop Lynas Now!

"Rakyat berhak tahu dari sudut keselamatannya. Yang saya tahu Australianya pon tak benarkan kenapa kita nak benarkan di sini ?," tegas beliau.

Semak Semula Subsidi IPP, Kerajaan UMNO BN Akhirnya Akur




SHAH ALAM 20 MEI : Akhirnya kerajaan pemerintah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak akur pada desakan Pakatan Rakyat dan sekali lagi menciplak tawaran Buku Jingga, iaitu mahu menyemak semula subsidi yang diberikan kepada pengeluar tenaga bebas (IPP).

Pakatan Rakyat sebelum ini berkali- kali mendesak kerajaan pemerintah agar menarik balik subsidi IPP dan dimanfaatkan kepada rakyat marhaen yang dicengkam kesulitan hidup.

Rakyat sebelum ini dihambat dengan penarikan balik subsidi gula dan bakal berdepan dengan harga bahan bakar yang berkemungkinan untuk naik lagi, termasuk RON95.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad ketika dihubungi Tv Selangor berkata beliau menyambut baik kesanggupan kerajaan untuk menyemak semula dan mengurangkan subsidi bahan bakar kepada IPP.

Beliau menegaskan langkah menyemak semua subsidi yang diberikan kepada IPP sepatutnya dilakukan kerajaan pemerintah sejak dahulu lagi.

“Kita menyambut baik segala langkah kerajaan yang memberi kebaikan kepada rakyat. Kami telah menyatakan perlunya segala penstrukturan subsidi dibuat. Subsidi kepada IPP melibatkan jumlah yang besar dan dan signikifan,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Perdana, Datuk Seri Idris Jala memaklumkan buat masa ini IPP menikmati sebahagian besar subsidi bagi barangan berasaskan petroleum yang dibekalkan oleh kerajaan pusat dan kontrak mereka hampir luput dan subsidi berkenaan akan disemak semula.

IPP adalah entiti swasta yang memiliki kemudahan bagi membekalkan tenaga elektrik untuk dijual.

Sehingga kini terdapat 26 IPP di seluruh negara dan semua mereka menikmati pembelian harga gas dan barangan berasakan petroleum pada harga diskaun.

Pada tahun 2008, subsidi gas kepada IPP bernilai RM8.1 bilion, manakala Tenaga Nasional Bhd pula menerima RM5.7 bilion.

“Kita dah lama menyatakan perkara tersebut dan kerajaan akhirnya mendengar pandangan kami dan pandangan rakyat, itu satu kebaikkan. Tapi ia belum lagi (penarikan subsidi IPP) boleh membetulkan seluruh struktur sistem subsidi ini.

"Yang penting akhirnya, keputusan kerajaan menarik balik subsidi ataupun mengenakan cukai sama ada GST dan sebagainya ia adalah keputusan kerajaan. Jadi rakyat akan melihat, negara akan menilai segala dasar kerajaan,” katanya.

Dr Dzulkefly menambah cadangan kajian semula ini dilihat mirip kepada apa yang ditawarkan dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat sekiranya diberi mandat memerintah Putrajaya kelak.

“Kalau dilihat cadangan Buku Jingga yang ingin mengembalikan pelbagai khazanah negara kepada rakyat. Bila rakyat minta kemudahan ada saha alasan. Bila memberikan kepada kroni, ada pula wang. Semua ini adalah jelas seperti cakap tak serupa bikin” ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan persekutuan meciplak idea Buku Jingga dengan memberikan isentif kepada warga pendidik selain tindakan memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol arah Cheras dan Plaza Tol arah Petaling Jaya, Lebuhraya Hubungan Timur- Barat (Metramac).

Pemansuhan tol ini dilakukan tujuh tahun lebih awal daripada tarikh sebenar dalam perjanjian konsesi yang dijadualkan 31 Mei 2018.

Pakatan yakin tawan semula Perak



PARIT BUNTAR, 20 Mei: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat (PR) Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar) berkata, Perak bakal diterajui PR semula pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 kerana sokongan rakyat semakin meningkat dan akan menafikan BN yang merampas kuasa sebelum ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas peluang Pakatan Rakyat untuk kembali berkuasa di negeri ini.

Katanya, Umno BN Perak seharusnya cermin diri dahulu sebelum berkata PR wujud masalah dalaman.

Hakikatnya, kata beliau kemelut dalaman BN telah menjadikan parti itu lesu dan gagal mengurus tadbir negeri dengan baik dan mereka bercakaran sesama sendiri menyebabkan rakyat semakin terabai.

Tambahnya, pendedahan Ketua Pembangkang Dun Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin bahawa terdapat Adun BN yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri yang disoal siasat SPRM selama lima jam baru-baru ini berikutan kes rasuah, sehingga kini gagal dijawab oleh Menteri Besar, Datuk Dr Zambry termasuk ketika ditanya dalam sidang Dun lepas.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS negeri berkata, PR Perak amat komited dengan misi kebajikan kepada rakyat, walaupun cuma sempat memerintah selama 11 bulan, banyak isu dan perkara berjaya diselesaikan dengan baik.

Beliau juga mendedahkan kerajaan BN Perak telah menciplak dasar-dasar kebajikan Pakatan Rakyat dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang.

"Antaranya dasar pemberian tanah kepada Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah SUWA, pemberian sagu hati kepada anak-anak Perak yang berjaya ke IPTA, dasar tanah, meneruskan penubuhan jawatan kuasa hal ehwal bukan Islam dan banyak lagi," ujarnya.

Khalil yang juga Adun Titi Serong mendakwa kekayaan negeri diagihkan kepada kaum keluarga terdekat dengan sewenang-wenangnya.

“Oleh kerana terlalu sibuk mengagihkan kekayaan negeri kepada keluarga sehingga telah menyebabkan nasib rakyat terabai, kini janji membela rakyat cuma tinggal janji sahaja,” katanya lagi.

Menurutnya, legasi Pakatan Rakyat telah menghasilkan kesan positif di hati rakyat dan yang pastinya rakyat negeri Perak merindukan perkara tersebut dan akan meneruskan sokongan seperti mana pada Mac 2008 lalu.

Tambahnya, BN tetap akan ditolak walaupun mereka menaburkan janji politik yang merupakan pemanis mulut untuk kekal berkuasa sedangkan merekalah pengkhianat sebenar kepada rakyat Perak dan Malaysia selepas lebih 50 tahun memerintah.

“PR Perak komited menjalankan sesi penerangan ke seluruh negeri, pemimpin Pakatan Rakyat Perak di semua peringkat telah bekerja keras untuk memastikan maklumat tentang kerja jahat Umno BN sampai ke pengetahuan rakyat.

"Kita juga menyampaikan maklumat mengenai prestasi baik yang dicapai oleh negeri di bawah Pakatan Rakyat yang telah dinafikan pemberitaannya oleh media massa yang dikawal ketat oleh BN," katanya.

Tambahan pula, katanya dengan ledakan maklumat melalui internet, blog, facebook, twitter dan sebagainya akan memudahkan maklumat diterima rakyat dan cetusan gelombang maklumat ini akan mempercepatkan kejatuhan BN di Perak.

“Rakyat semua bangsa dan agama perlu berganding tenaga bagi menjatuhkan BN pada PRU 13 nanti, jangan biarkan BN terus menipu dan perompak hak rakyat negeri Perak," katanya.


Guan Eng : ETP Gagal Tingkatkan Ekonomi M'sia






KUALA LUMPUR 19 MEI : Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang begitu disanjungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai 'gagal' selepas Malaysia jatuh enam anak tangga dalam skala persaingan global tahun ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, Malaysia kini berada di tangga ke 16 daripada 20 negara dalam senarai kedudukan 'Daya Saing Ekonomi' 2011 oleh Institut Pembangunan Pengurusan daripada tangga 10 tahun lalu.

"Dengan jelas ETP bukan sahaja gagal dalam memerangi rasuah tetapi turut gagal dalam memperbaiki kebertanggungjawaban dan ketelusan, " kata Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menambah kedudukan Malaysia bertambah teruk dalam Indeks Persepsi Korupsi (CPI) oleh badan Transparency International setelah jatuh ke tangga 56, setaraf negara seperti Namibia dan Turki.

Menurut Guan Eng lagi, ETP semakin sukar dalam memacu pertumbuhan ekonomi ke sasaran 6 peratus setahun.

Malah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan kesederhanaan 4.6 peratus untuk suku pertama tahun 2011 berbanding 10.1 peratus suku pertama tahun lalu dan 4.8 peratus pada suku keempat tahun lalu.

Guan Eng menegaskan pentadbiran Najib perlu menyelesaikan 3 masalah untuk membolehkan ETP memberi kesan iaitu korupsi, Migrasi Cerdik Pandai ke negara lain (Brain Drain) dan liputan jalur lebar yang lemah.

"Malaysia mempunyai perkhidmatan jalur lebar yang teruk dan kadar penetrasi rendah iaitu di bawah 50 peratus. Ditambah pula dengan lebih dua juta golongan cerdik pandai dan berbakat berhijrah ke negara lain sejak Merdeka, kejatuhan daya saing Malaysia memang dijangka," kata Guan Eng.

Anwar: Tak perlu 'ISA' Ibrahim Ali




SHAH ALAM 20 MEI : Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Datuk Ibrahim Ali tidak perlu ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mahupun didakwa di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataan gempar yang dibuat oleh presiden PERKASA itu berhubung 'perang salib' ke atas penganut Kristian, lapor Malaysiakini.

Sebaliknya, isu sebenar berhubung kenyataan berkenaan adalah sikap yang ditunjukkan Umno serta perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menurut Anwar, hanya membiarkan tindakan sedemikian berterusan.

Ucapan Ibrahim dalam satu program ceramah pada 14 Mei itu mencetus kontroversi dan meraih kritikan pelbagai pihak termasuk para pemimpin gereja, kumpulan ulama dan NGO.

Namun, menteri undang-undang, Datuk Seri Nazri Aziz pula sekadar menyatakan bahawa amaran seperti yang disuarakan oleh Ibrahim itu kini sudah menjadi satu norma di Malaysia – maka tidak adil sekiranya Ibrahim sahaja yang dikenakan tindakan.

Ibrahim pula ketika mempertahankan ucapannya itu berkata, slogan jihad yang dilaungkannya ke atas golongan Krisitian itu "tidak bermaksud berbunuh-bunuhan dengan orang Kristian atau orang bukan Islam" tetapi sekadar untuk "menggemparkan" bagi tujuan menyedarkan orang ramai.

Bagi Anwar, Umnolah yang bertanggungjawab membiarkan kenyataan melampau dan juga penghinaan ke atas gereja Kristian seperti itu berterusan.

"Memang ada undang-undang untuk menyiasat (kenyataan Ibrahim) tetapi bagaimana untuk menyiasat sekiranya ia dipromosikan (dan) disokong oleh pemerintah? Penyelesaiannya? Berilah rakyat faham dan jangan undi mereka.

"Tidak kiralah apa yang Nazri kata, dia tidak ada kredibiliti. Saya tidak fikir dia mewakili suara-suara rasional ataupun yang berdasarkan undang-undang, jadi saya tidak fikir dia mewakili apa-apa yang positif.

"(Kenyataannya) kurang adab kesopanan, hanya untuk menyebarkan maklumat ini kepada rakyat. Patutkah satu negara bertamadun membiarkan sentimen seperti ini selepas separuh dekad mengecap kemerdekaan?," katanya lagi dalam satu wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

Anwar juga memegang prinsip yang sama ke atas akhbar Utusan Malaysia yang bertanggungjawab menyiarkan dakwaan kononnya terdapat usaha daripada pemimpin Kristian untuk menukar agama rasmi persekutuan dan juga melantik perdana menteri daripada kalangan penganut agama itu.

"Ada banyak undang-undang dan suruhanjaya yang boleh menanganinya... Tapi tentulah naif sekiranya kita menganggap bahawa Umno akan mengambil apa-apa tindakan ke atas lidah parti mereka sendiri, yang mana fungsinya ditetapkan oleh presiden parti yang menjadi perdana menteri negara ini.

"Saya bukanlah... kata orang, fatalistik atau acuh tidak acuh. Saya kata, ini perlu dijelaskan. Najib tidak boleh terus berkata 'Oh, Utusan, susah', tapi saya tahu Utusan dan bagaimana ia dikendalikan," katanya lagi.


Penduduk Setinggan Bawa Ular Sawa Jumpa MB Perak





IPOH 19 MEI : Dukacita dengan kerajaan negeri Perak yang meremehkan masalah mereka, wakil penduduk Kampung DBI membawa seekor ular sawa ke pejabat Menteri Besar Zambry Kadir.

Tindakan itu untuk menyerlahkan masalah ular yang berkeliaran di perkampongan setinggan itu.

Seorang penduduk dilaporkan mati akibat dipatuk ular.

Mereka juga membantah kegagalan kerajaan Umno-BN gagal menunaikan janji untuk menawarkan lot perumahan baru yang dijanjikan 14 tahun lalu.

Penduduk terbabit merangkumi golongan berpendapatan rendah dan ramai antara mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berkeluarga besar.

Dihimpit dengan sara hidup tinggi, mereka juga berdepan dengan soal keselamatan kerana masalah ular yang berkeliaran bebas sekian lama.

Buntu dengan nasib diri, penduduk terbabit mengambil keputusan menangkap seekor ular sawa untuk diserahkan bersama surat aduan kepada pejabat Zambry pagi tadi.

Bagaimanapun mereka hanya berjaya menyerahkan surat aduan itu kepada Pegawai Khas Zambry, Zulkefli Abdullah manakala ular itu di ambil oleh sepasukan anggota bomba.

Penduduk mendakwa ular sering memasuki kawasan rumah mereka dan ramai daripada mereka menjadi mangsa patukan ular.
Penduduk kampung harap kerajaan negeri mengambil tindakan segera sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.

”Kita bawa ular sawa supaya Menteri Besar sendiri boleh tengkok masalah macam mana yang kita hadapi,” kata wakil penduduk S. Subramaniam.



Peranan RoS Bimbing, Bukan Haramkan Pertubuhan



SHAH ALAM 20 MEI : Pendaftar Pertubuhan (RoS) digesa memainkan peranan untuk membantu menyelesaikan masalah sesuatu pertubuhan bukannya bingkas mengugut untuk mengharamkan mana- mana pertubuhan yang berdaftar dibawahnya.

RoS juga didesak melatih semula pegawai mereka supaya meneliti terlebih dahulu sebarang aduan yang diterima sebelum mengambil tindakan seraya menggambarkan ia tidak ubah seperti alat kepada kerajaan pemerintah, mahu menguburkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

ADUN Sungai Pinang, Teng Chang Kim berkata demikian mengulas tindakan gelojoh RoS menghantar notis mahu membatalkan pendaftaran parti itu, kononnya melanggar peruntukan 32.2.1 perlembagaan PKR kerana memecat seorang ahli tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

"Mereka tidak professional, tidak membuat semakan yang teliti dan seharusnya mereka perlu menghalusi peruntukkan parti berkenaan, sekiranya ada kes ambil penjelasan dulu daripada kedua-dua pihak selepas itu baru cari jalan pendamaian, sekalipun telah melanggari peraturan kita ada banyak jalan penyelesaian," katanya.

Menurut Teng, tindakan disiplin dalam parti adalah perkara biasa dan bukan PKR sahaja yang mempunyai masalah dalaman tetapi semua parti termasuk UMNO BN.

"Kalau ada aduan itu biasa, tapi kalau jabatan pendaftaran mahu ambil tindakan drastik untuk membatalkan pendaftaran sesebuah parti politik kerana ada aduan, saya rasa mereka akan sibuklah sebab semua parti ada masalah, UMNO pun ada masalah parti dalaman," katanya.

Sebagai reaksi kepada tindakan RoS yang mensabitkan dakwaan rapuh terhadap PKR, parti itu bertindak membuat sidang media di ibupejabat PKR di Tropicana menjelaskan kekeliruan yang timbul.

Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution menjelaskan peruntukan yang dirujuk itu tidak ada dalam pelembagaan parti.

Yang ada cuma fasal 32 “yang tidak langsung berkaitan dengan isu displin dan Lembaga Displin”.

Fasal 32 memerincikan bahawa Majlis Pimpinan Pusat mempunyai kuasa muktamad menyelesaikan sebarang pertikaian mengenai tafsiran perlembagaan atau peraturan tetap mengenai kongres parti.

Malah Ahli yang dinamakan sebagai Rajagopal dalam notis ROS itu juga tidak wujud.

Ahli yang dipecat oleh PKR adalah Jayagopal dan bukan Rajagopal a/l Andaikkalam seperti yang didakwa RoS.

Mengulas lanjut isu ini, Teng tidak menolak bahawa tindakan drastik RoS disulami unsur sabotaj berikutan tuduhan seperti ini tidak pernah dilakukan terhadap parti-parti lain.

Tambahnya lagi, DAP dan PAS tidak ada masalah untuk meminjamkan logo parti mereka kepada PKR jika RoS tetap mahu membatalkan pendaftaran parti itu, namun beliau percaya PKR akan buat pendaftaran parti yang baru kerana PKR mempunyai falsafah dan identiti tersendiri.

"Saya kira rakan parti dalam Pakatan (PAS&DAP) sudah pasti sudi untuk meminjam lambang kita untuk rakan kita dari PKR untuk bertanding," ujar Teng.

'Kadar Tarif Elektrik Dijangka Dinaikkan'






SHAH ALAM 19 MEI : Kenaikkan kadar tarif elektrik di negara ini dijangka akan diumumkan pada 25 Mei ini menurut akhbar harian Cina Nanyang Siang Pau.

Akhbar itu yang memetik sumber berkata kerajaan memilih menaikkan harga elektrik dan bukannya harga petrol RON95 kerana bimbang tindakan itu akan mencetuskan kemarahan besar-besaran rakyat. Justeru, petrol RON95 dijangka kekal buat masa ini.

Impak atau kesan kenaikkan tarif elektrik dikatakan lebih kecil berbanding kenaikkan harga petrol RON95 ke atas kerajaan, dakwa sumber dari jemaah menteri itu.

Menurut laporan itu juga kerajaan telah meluluskan kenaikkan tarif berkenaan.

Ia sepatutnya diumumkan pada Khamis lalu tetapi ditangguhkan kerana pengumuman kenaikkan harga gula juga dibuat pada minggu lalu. Tindakan tersebut dikhuatiri membangkitkan kemarahan rakyat.

(function() { var d = document, w = window; w

WING'S HUKUM KARMA { OFFICIAL VIDEO } KHAS BUAT ATOK 96..