Apakah keputusan Pas mengenai isu MB Selangor?
Oleh: MSO
MELONTAR RASA
Khabarnya esok Pas Pusat akan mengadakan pertemuan dengan Pas
Selangor untuk membincang mengenai isu MB Selangor Abdul Khalid Ibrahim
yang kini ditekan agar melepaskan jawatan itu. Pas akan mendengar maklum
balas daripada Pas Selangor mengenai apa yang berlaku sekarang ini.
Mungkin juga Pas Pusat akan membincangkan ketetapan atau cadangan Pas
Selangor berhubung isu MB.
 |
Khalid timbul masalah. |
Perkembangan yang berlaku di Selangor mutakhir ini tidak berapa baik dan
mencemaskan. Ia lebih mencemaskan daripada ketiadaan air akibat banyang
empangan takungan kekeringan disebabkan fenomena alam.
Semuanya berasas kepada soal Abdul Khalid yang tidak mahu berundur
daripada kerusi MB walaupun beliau diminta berbuat begitu. Mesej-mesej
politik yang dihantar kepadanya terutamanya dari partinya sendiri
dipandang sepi oleh MB itu.
Paling malang ada tanda-tanda Khalid akan tetap berdegil dan
mempertahankan kedudukannya. Menjadi lebih parah lagi apabila
kedudukannya kini dipertahankan oleh sebahagian ahli berkenaan yang
menanti habuan di sebalik kuasa Khalid sebagai MB. Dan Khalid menjadi
lebih "agah" lagi apabila ada sesetengah ahli Pas mempersucikannya.
Apakah motif ahli Pas pertahankan Khalid sukar difahami walaupun sikap
sebegitu sepatutnya tidak berlaku jika dilihat dari sudut persahabatan
yang memerlukan semangat setiakawan.
Atas konsensus jawatan MB adalah hak PKR, Pas sepatutnya tidak membuat
kenyataan yang macam-macam. Kerana adanya tindakan itu maka Pas dituduh
tidak hormat kepada konsensus. Sebenarnya sikap Pas ini bukan sembarang,
sokongan oleh Pas kepada Khalid bukan datang dari Yang diPertua Pas
kawasan atau ketua cawangan tertentu, tetapi ia juga ditunjuki sendiri
oleh Presiden Abdul Hadi Awang.
Ketika projek
Kajang Move hendak dilakukan Abdul Hadi dikatakan
berjumpa dengan Khalid dan memberi jaminan kepada Khalid agar terus
menjadi MB. Paling menyedihkan lagi Hadi dikatakan menawarkan kepada
Khalid agar menyertai Pas. Mungkin tawaran Abdul Hadi itu dalam nada
bergurau, tetapi ia adalah gurau biawak bukan gurau penyu.
Apa dilakukan Abdul Hadi itulah memburukkan lagi keadaan menjadikan niat
PKR untuk memperkemaskan partinya gagal. Abdul Hadi dilihat bukan
sahaja tidak jujur tetapi tidak bijak.
Memang begitulah ulah dan sifat politik Machiavelli dan Mahathirisme
yang juga dipraktikan oleh parti Islam? Kesempatan yang diambil oleh
Abdul Hadi bukan satu kesalahan. Tetapi ia tetap akan dilihat sebagai
pengkhiatan. Dalam konteks ini atas prinsip politik itu buruk dan jahat,
tidak salah bagi Abdul Hadi atau Pas Selangor kalau inginkan jawatan
MB. Politik itu merupakan sebuah game.
Tetapi apa yang semua pihak patut fikirkan apakah dengan tindakan bakal
diambil atau sedang dalam proses diambil itu ia tidak akan mendatangkan
masalah. Bahawa selepas ini Pakatan Rakyat akan hancur? Memikirkan
prospek PR itu lebih penting daripada memikirkan soal untung rugi diri
secara peribadi.
Jadi perjumpaan Pas Pusat dengan Pas Selangor esok hendaklah memikirkan
risiko dan kesan dibimbang ini sebaik mungkin. Tegasnya, kalau Pas masih
percaya kepada kerjasama dengan PKR, nah.. jangan sesekali merombak
konsesus awal. Soal menentukan MB serahkan seratus peratus kepada PKR.
Pas perlu memberi sokongan kepada siapa sahaja calon pengganti Khalid
yang ditentukan oleh PKR. Kalau ianya jatuh kepada Dr Wan Azizah Ismail
terimalah, begitu juga kalau ia jatuhkan kepada Azmin Ali terima lah.
Atas semangat persefahaman Pas tidak boleh berpihak kepada mana-mana
puak dan kumpulan di sebalik perbalahan PKR itu. Jangan pula kerana PKR
"berkekah" sesama sendiri, Pas mahu mengambil kesempatan mahu mencuri
kerusi MB, orang akan mengatakan Pas jahat walaupun ia tidak berdosa
dalam konteks politik matlamat menghalalkan cara. Perangai itu adalah
seperti menangguk di air keruh.
Pas atau DAP perlu membantu PKR dalam hal ini. Pendapat mengatakan soal
menentukan MB Selangor adalah ditangan rakyat tidak bijak. Kerana yang
menentu MB adalah parti, setelah parti diberikan kuasa oleh rakyat.
Begitu juga berkeras mengatakan Pas berhak kerana ia mendapat kerusi
lebih tidak tepat dan menepati konsensus. Pas perlu waras dan bersikap
profesional dalam hal ini. Pas perlu dilihat rakan yang setia dan boleh
dipercayai bukan "keret ekor".
Diharap pertemuan dan perbincangan esok menatijahkan sesuatu yang
matang, berpandangan jauh dan akan menamatkan isu yang bergeliwat di
Selangor kini. Pakatan Rakyat tidak ada masa untuk bergaduh kerana
tempoh kuasa yang ada sekarang ini terus berjalan. Masa yang ada baik
digunakan perkuatkan PR.
Lainlan kalau Pas sudah mendapat "waridat" Tuhan mengarahkan Pas agar
mengubah "tahluf syaisi" daripada PKR dan DAP kepada Umno, apa boleh
buat... teruskanlah. Yang penting Pas terus mencari untung dalam
kerugian orang lain. Apa sikap dan pendirian Pas berhubung MB Selangor
itu akan diterjemahkan oleh pemerhatian politik dengan penuh minat. Pas
akan dinilai soal integritinya.
Perjumpaan esok dikira penting kerana ia memberi signifiken kepada isu
MB Selangor yang bergelodak sekarang ini. Dan adalah malang kalau
perjumpaan itu merumuskan soal MB Selangor perlu dicampur tangan
sepenuhnya oleh Pas. Didoakan jangan keputusan perjumpaan esok
meletakkan keadaan Pakatan Rakyat persis semut dalam gula.
[wm.kl.11:27 am 05/06/14]