SAMM Tuntut Najib Perjelas Beri Kontrak Ubahsuai Masjid Kepada Adik

SAMM Tuntut Najib Perjelas Beri Kontrak Ubahsuai Masjid Kepada Adik
17/04/2011
Share |



SHAH ALAM 17 APRIL: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menuntut agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tampil dan menjelaskan isu pemberian kontrak pengubahsuaian Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur kepada firma arkitek adiknya yang juga Timbalan Pengerusi masjid berkenaan, Datuk Nazim Razak.

Pengerusi SAMM, Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard dalam satu surat terbuka kepada Najib yang dikeluarkan pada 10 April lalu menjelaskan SAMM mendapat maklumat bahawa kerja pengubahsuaian telah diberikan kepada firma arkitek Nazim, NRY Architect Sdn Bhd.

"Jikabenar, memandangkan adik Najib juga adalah Timbalan Pengerusi Masjid, maka wajar diperjelas sama ada terdapat percanggahan kepentingan sebagai pemilik firma NRY Architect Sdn Bhd.

"Najib sendiri harus memperjelaskan perlantikan Nazim sama ada atas kapasitinya sebagai Timbalan Pengerusi Masjid ataupun sebagai adik Perdana Menteri sendiri yang jelas kedua–duanya ada pertembungan kepentingan," kata beliau.

Sebelum ini, Najib telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membiayai pengubahsuaian Masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur yang akan disalurkan melalui syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad pada 5 Februari lalu.

Badrul berkata, isu ini hanya akan menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat negara ini sekiranya Najib memilih untuk berdiam diri.

Ini kerana, jelas beliau, sebelum ini Najib turut memilih untuk berdiam diri semasa Najib serta Nazim dikaitkan dengan pembunuhan kejam seorang wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu oleh seorang penyiasat persendirian, P Balasubramanian melalui akuan bersumpahnya pada 3 Julai 2008.

Tambah beliau, tindakan Bala yang kemudiannya menarik balik dan menghilangkan diri ke luar negara menyebabkan timbulnya satu tanggapan negatif bahawa Najib mungkin terlibat dalam isu tersebut kerana sikap berdiam dirinya.

Katanya lagi, perkara terbaik dalam mengelak persepsi buruk adalah dengan Najib sendiri menjelaskan pertanyaan yang timbul di kalangan rakyat.

Badrul seterusnya berkata, adalah diharapkan agar Najib dapat memberikan penjelasannya melalui media massa sekiranya Najib menganggap SAMM hanya satu kumpulan kecil yang tiada kepentingan untuk dijawab dengan surat rasmi kerajaan.

Video Lucah : Siasatan Selesai, Tuan Punya Omega Tidak Penting, Kata Polis



KUALA LUMPUR 17 APRIL : Polis Bukit Aman sudah menyiapkan siasatan berhubung video lucah Datuk T mengikut Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan bersabit kesalahan mengedar bahan lucah, kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan, Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, identiti pemilik jam Omega bersabit kes itu tidak menjadi faktor penting dalam siasatan polis kerana perkara utama adalah “siapa penayang video itu,”.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Chik, yang juga Pengerusi Risda, ahli perniagaan Datuk Sharzyl Eskay dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim mengaku mereka sebagai gandingan Datuk T yang menayangkan video itu kepada media tertentu di Hotel Carcosa 21 Mac lalu.

Mereka mendakwa rakaman itu menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur Cina di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Februari lalu. Eskay juga menyerahkan sebuah jam Omega milik Anwar yang didakwa beliau dicuri oleh pelacur berkenaan.

Anwar menafikan dakwaan itu sebagai fitnah dan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau berada di rumah pada malam rakaman itu dibuat dan beriinteraksi menerusi Twitter dengan jaringannya. Anwar juga mengesahkan bahawa beliau masih mempunyai sebuah jam Omega dalam simpanannya.

Acryl berkata, laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya.

"Bagi pihak kami (polis), siasatan telah lengkap dari setiap sudut menjurus kepada Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mengedar bahan lucah).

"Terpulang kepada Peguam Negara untuk mengambil sebarang tindakan susulan terhadap kes ini dan sekiranya ada mana-mana perkara yang perlu disiasat semula (atas arahan Peguam Negara), kita akan siasatlah," katanya.

Ditanya mengenai maklum balas syarikat pengedar jam Omega mengenai identiti pemilik jam tangan itu, Acryl berkata polis tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pengedar jam berkenaan memberi maklumat berhubung identiti pemilik jam terbabit.

"Kita tunggu sahajalah...kami tidak boleh paksa mereka untuk beri maklumat siapa pemilik jam tangan itu," katanya.

"Identiti pemilik jam itu bukan merupakan satu isu (dalam melengkapkan siasatan), apa yang penting dalam siasatan kita (Seksyen 292) adalah siapa penayang video itu," kata Acryl.

BN "Kawal" Tuai Rumah, Penghulu, Punca PKR Kurang Undi Pedalaman




SHAH ALAM 17 APRIL: Kekalahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi DUN kawasan-kawasan pedalaman Sarawak dalam pilihan raya negeri yang tamat semalam secara keseluruhan berpunca dari politik wang yang dimainkan oleh BN.

Pengarah Operasi Pilihanraya PKR Sarawak, Nicholas Bawin berkata selain itu, jentera pilihan raya BN mempunyai kelebihan kerana mempunyai akses media dan dana yang besar serta mempunyai kawalan terhadap ketua-ketua masyarakat di kawasan pedalaman.

"Bagi saya, BN punya jentera ada kelebihannya, itu satu, jenteranya memang ada kelebihan. Kedua dia ada kawalan terhadap tuai rumah, ahli majlis, penghulu semua untuk berpihak kepada BN kerana pengaruh tuai rumah, ahli majlis, penghulu di rumah panjang amat kuat, bukan kuat tetapi ini sudah menjadi budaya BN," jelas beliau.

Tambah beliau yang juga calon PKR DUN Batang Ai, para tuai rumah, ahli majlis serta penghulu terpaksa akur dengan kehendak BN yang mengawal kerajaan pusat dan negeri kerana antara syarat perlantikan mereka adalah akur kepada arahan pihak atasan.

Selain itu, beliau menjelaskan para ketua masyarakat kawasan pedalaman pula menggunakan kuasa mereka untuk mempengaruhi penduduk di kawasan itu kerana
kebanyakan mereka terutamanya kontraktor kecil dan sederhana bergantung dengan mendapatkan kontrak-kontrak kecil dari kerajaan.

"Duit itu, wang memang menjadi pengaruh yang terbesar, bagi saya. Mereka (BN) mempunyai kawalan terhadap wang, projek, janji-janji mereka. Walaupun di Batang Ai dahulu janji-janji mereka masih belum ditunai tetapi rakyat masih juga memilih BN kerana mereka yang miskin seperti kebanyakan Iban seperti saya memerlukan projek-projek untuk pembangunan," kata beliau lagi.

Beliau seterusnya berkata, walaupun kesannya tidak begitu besar jika dibandingkan jumlah undi yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat tetapi bagi penduduk kawasan pedalaman Sarawak, inilah satu-satunya masa bagi mereka meraih sedikit keuntungan.

Nicholas berkata, walaupun kalah pilihan raya negeri Sarawak tetapi jika melihat kepada jumlah dan serakan undi PKR dan Pakatan umumnya, beliau yakin gagasan itu mampu menawan majoriti kerusi Parlimen Sarawak di PRU-13 akan datang.

"Bagi saya, perjuangan kita perlu diteruskan kerana kalau kita lihat kita sudah dapat 44 peratus sokongan daripada rakyat dan ini menunjukkan sokongan sudah meningkat. Walaupun di pedalaman, di rumah panjang tidak begitu baik tetapi secara keseluruhannya, sistem dua parti akan ditentukan oleh rakyat mulai daripada sekarang," jelas beliau.

"Sebenarnya kita tahu apakah kelemahan-kelemahan kita tadi tetapi ini bukan sesuatu yang menghampa atau melemahkan semangat, tidak. Sebenarnya rakyat lebih-lebih lagi orang muda, profesional, dia memang mahukan sistem dua parti, demokrasi sebenar untuk beroperasi di Sarawak," kata beliau lagi.

PKR menang di tiga kerusi iaitu DUN Krian, Batu Lintang dan DUN Ba'kelalan.

Ketiga-tiganya adalah di kawasan bandar iaitu Kuching, Miri dan Sibu.

Nik Aziz Akur Pakatan Pembangkang Tewas, Gembira Undi Meningkat




KOTA BAHARU 17 APRIL : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akur pembangkang gagal menawan Sarawak pada pilihan raya negeri ke-10 semalam.

Katanya, walaupun gagal menumbangkan Barisan Nasional namun beliau gembira dengan peningkatan peratusan undi yang dicatatkan pakatan pembangkang.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu berkata, peningkatan jumlah peratusan undi itu juag membuktikan bahawa rakyat Sarawak semakin menerima kehadiran pembangkang di negeri itu terutama undi yang diterima DAP.

"Penduduk bandar jelas menolak Barisan Nasional (BN) dan memihak kepada DAP tetapi bagi PAS kita gembira sokongan semakin meningkat walaupun tewas kesemua kerusi," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di

sini, hari ini.

Pada pilihan raya negeri Sarawak semalam, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan dengan DAP memenangi 12 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga manakala satu lagi kerusi dimenangi calon Bebas.

Budaya Sistem Dua Parti Mula Menular Di Sarawak




SHAH ALAM 17 APRIL : Pilihanraya negeri Sarawak yang berakhir semalam memberi petanda paling jelas bahawa sistem politik dua parti di Semenanjung sudah sampai ke Sarawak secara dinamis, sekali gus mengubah lanskap negeri itu, mungkin buat selama-lamanya.

Walaupun mengekalkan majoriti dua pertiga, Barisan Nasional (BN) pimpinan Taib Mahmud bukan sahaja hilang 16 kerusi, tetapi juga sokongan pengundi Cina di kawasan bandar manakala semakin ramai pengundi Iban dan Dayak condong kepada Parti Keadilan Rakyat.

Dalam erti kata lain, kemenangan paling nyata untuk PR dalam PRN Sarawak adalah gagasan itu kini bertapak kukuh di Bumi Kenyalang ketika negeri itu melalui proses peralihan kepimpinan.

Persoalan yang tinggal adalah bukan sama ada tetapi bila Abdul Taib Mahmud akan berundur setelah 30 tahun menerajui negeri ini dan siapa yang akan menggantinya.

Kekalahan 40 daripada 41 calon bebas dan fakta semua 26 calon SNAP tewas teruk manakala gandingan DAP, PKR dan PAS membuahkan 15 kerusi menunjukkan rakyat Sarawak bersedia menerima parti politik kebangsaan untuk membela mereka.

Modal lama kononnya parti Semenanjung hanya datang untuk menjajah orang Sarawak ditolak, bukan sahaja di bandar, tetapi juga di kawasan-kawasan terpencil seperti Krian dan Ba'kelalan.

Justeru itu kali ini, DAP dan PKR Berjaya menambah dua kali ganda jumlah kerusi yang diperolehi.

Enam kerusi DAP pada tahun 2006 bertambah kepada 12 manakala PKR dari satu menokok kepada tiga.

Sebenarnya jika diperinci, PKR telah memulakan PRN Sarawak kali ini tanpa sebarang kerusi, kerana telah menyerahkan kerusi Padungan yang dimenangi pada tahun 2006 kepada DAP.

Justeru itu, kesemua tiga kerusi di Batu Lintang, Krian dan Bakelalan adalah kerusi baru yang dimenangi oleh PKR.

Taktik SNAP untuk memaksa pertandingan tiga penjuru, seperti yang dijangka memberi kelebihan kepada BN di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh PKR di kawasan pedalaman.

Begitu juga kehadiran calon-calon persendirian yang menjadi kebiasaan dalam PRN Sarawak, bertujuan untuk memastikan BN tidak berdepan dengan PKR dalam satu lawan satu.

Keputusan PRN menunjukkkan bahawa di banyak kerusi, jika pertandingan satu lawan satu di antara PKR dan BN menjadi kenyataan, pemerintah, meskipun dengan kelebihan wang dan kemudahan pengangkutan, belum tentu menang selesa di kawalan pedalaman.

Hakikat bahawa calon-calon Snap dan bebas hanya memperolehi ratusan undi menunjukkan sebilangan besar daripada mereka dibiayai oleh dalang-dalang tertentu.

Tujuannya bukan untuk menumbangkan BN tetapi untuk memastikan kemenangan pemerintah dalam apa cara sekali pun.

Hanya seorang calon bebas, George Ak Lagong menang kerusi Pelagus, manakala 36 calon bebas dan 23 calon Snap hilang deposit mereka menunjukkan rakyat Sarawak semakin menerima PKR dan gandingan Pakatan Rakyat dalam mencorakkan masa depan mereka.

Secara keseluruhan trend pengundi menunjukkan mereka tidak lagi percaya kepada Snap dan semakin menerima perjuangan Pakatan Rakyat.

Sudah tentu, DAP, PKR dan PAS akan menggunakan kemenangan Pakatan Rakyat semalam untuk membina asas yang lebih kukuh bagi meningkatkan kepercayaan rakyat Sarawak.

Undi popular BN keseluruhannya dalam PRN kali ini adalah 372,379 undi atau 55.36 peratus, menyusut daripada 62.91 peratus lima tahun lalu dan 71.16 peratus pada tahun 2001.

Pakatan Rakyat mendapat undi popular 300,288 undi atau 44.64 peratus, isyarat jelas bahawa simpanan tetap BN sudah tidak lagi pertaruhan mutlak untuk terus memerintah Bumi Kenyalang dan menyumbangkan bilangan kerusi yang lumayan di Dewan Rakyat.

Baru Bian : Keputusan PRN Bukti Rakyat Sarawak Yakini Sistem Dua Parti





KUCHING 17 APRIL : Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Sarawak, Baru Bian berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri kali ke-10 ini pastinya memberi implikasi kepada Sabah dan tentunya Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya Umum kelak.

Ini katanya terbukti melalui trend pengundian rakyat Sarawak yang mula membuka ruang kepada pembangkang seterusnya mula mendokong sistem dua parti yang selama ini cuba dinafikan oleh Umno-BN.

Malah ujarnya kejayaan Pakatan Rakyat merampas lapan kerusi daripada BN adalah satu petanda baik, perubahan sedang menular di Bumi Kenyalang.

Justeru mesej yang disampaikan Pakatan Rakyat dalam siri kempennya berjaya membuka minda rakyat Sarawak.

" Kemunculan sistem dua parti, petanda baik, bukti rakyat terima konsep sistem dua parti dan ini digambarkan dalam keputusan PRN Sarawak," kata Baru kepada pemberita malam tadi.

" Keputusan juga akan punyai implikasi penting kepada Sabah dan juga beri keyakinan kepada pengundi Semenanjung terhadap Pakatan Rakyat,"tambahnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi mengumumkan BN memperoleh 55 kerusi, hilang lapan kerusi berbanding 2006 dengan 63 kerusi.

DAP pula berjaya memenangi 12 kerusi daripada 15 kawasan yang ditandinginya.

DAP memperoleh 134,847 undi, manakala Parti Keadilan Rakyat pula berjaya merampas tiga kerusi dengan undi 117,100 undi.

Sementara Bebas memenangi satu kerusi, manakala lainnya, SNAP, PAS, PCM tidak memenangi mana-mana kerusi.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan 71 calon hilang wang deposit apabila gagal memperoleh 8 peratus pengundi di kawasan yang ditandingi.

Kajian segera yang dibuat penganalisis mendapati reputasi BN semakin menjunam dan cengkaman mereka ke atas Sarawak semakin longgar.

Sementara Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam Twitternya malam tadi menulis, undi popular BN Sarawak telah merosot teruk dari 62.93 peratus kepada 55.24 peratus.

Menurut Baru, BN perlu sedar hakikat, bahawa Sarawak bukan lagi simpanan tetap buat mereka.

" Nampaknya simpanan tetap BN telah mula dikeluarkan melihat kepada keputusan PRN ini.

" Fokus kita sekarang ialah terhadap isu tanah, (saya) akan bawa isu dalam sidang DUN dari segi aspek perundangan dan dasar sedia ada. Ini akan jadi keutamaaan kita,"katanya yang akan mengangkat sumpah bila-bila masa sahaja sebagai ADUN Ba'kelalan.

Baru semalam memperoleh 2,505 undi berbanding calon BN dari SPDP yang memperoleh 2,032 undi.

Meskipun menang tipis dengan hanya 475 undi, laluan Baru untuk calon PKR itu berhadapan rintangan besar apabila dikatakan berlakunya proses pembelian undi yang begitu hebat di kawasan berkenaan.

DUN Ba'kelalan mempunyai 6,958 pemilih berdaftar.

Pengundi di DUN ini terdiri daripada Melayu/Melanau 2.72 peratus, Cina 3.29 peratus, Iban 4.05 peratus, Bidayuh 0.26 peratus, Orang Ulu 89.67 peratus dan lain-lain 0.01 peratus.

Pakatan Cipta Satu Lagi Sejarah, Kata Wan Azizah



KUCHING 17 APRIL : Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan kejayaan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Negeri Sarawak sebagai pemantapan kepada sistem dua parti di negara ini.

Menurut beliau, sejarah sekali lagi dicipta oleh Pakatan Rakyat apabila mesej 'ubahlah' berjaya meresap ke dalam jiwa masyarakat di Sarawak.

" Keputusan yang bersejarah. Tak pernah lihat satu keputusan yang menjurus kepada pemantapan sistem dua parti dan kejayaan golongan pengundi bermaklumat," katanya pada sidang media malam tadi.

Menurut Wan Azizah, Parti Keadilan Rakyat juga berjaya melebarkan sayapnya di Sarawak berkat iltizam rakyat yang dahagakan perubahan.

PKR pada 2006 hanya menang satu kerusi, namun kali ini berjaya meraih tiga kerusi.

Tuntutan kepada perubahan juga dapat dilihat secara jelas di kawasan bandar terutamanya di sekitar Kuching, Sibu dan Miri yang kini menjadi "kawasan hitam" bagi BN.

" Kita bangga dengan kejayaan yang dicapai walaupun dalam keadaan padang pertandingan yang tidak rata dan adil..Kita lihat PKR semakin diterima rakyat sebagai sebuah parti pelbagai kaum,"tambahnya lagi.

Namun katanya, PKR dan Pakatan Rakyat secara keseluruhannya akan terus memantau janji-janji yang ditaburkan BN sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri.

Malah kajian juga akan dibuat berhubung segala bentuk kesalahan sepanjang kempen pilihan raya sebelum sebarang tindakan diambil.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak memberikan layanan adil kepada agen calon parti itu dengan tidak membekalkan salinan borang 14 kepada mereka.

" (Kita) gagal dapat maklum balas daripada SPR walaupun telah dihubungi. Kita akan dapatkan maklumat daripada PACA sebelum tindakan lanjut diambil," tegas Azmin.

Borang 14 adalah nama singkatan kepada 'Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi'.

Taib Undur Pertengahan Penggal : Sukar Untuk Najib Bubar Parlimen





KUALA LUMPUR 17 APRIL : Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mengangkat sumpah jawatan ketua menteri malam tadi mengulangi janjinya untuk berundur "sekitar pertengahan penggal ini".

Katanya, beliau akan menggunakan kesempatan tempoh pertengahan penggal sebelum beliau bersara untuk membentuk barisan kepimpinan baru yang mantap supaya pelabur tetap yakin dengan Sarawak.

"Saya disediakan untuk berundur 10 tahun lepas tetapi soal kesinambungan dasar-dasar, memastikan walau apa pun yang telah kami capai (supaya) momentum pembangunan sarawak, tidak akan terjejas kerana perubahan kepimpinan.

"Buat masa ini, saya telah memutuskan untuk mengumumkan saya akan berundur sekitar pertengahan separuh penggal," katanya.

Persaraan Taib menjadi topik hangat dalam pilihan raya negeri yang berakhir semalam dengan BN memenangi 55 daripada 71 kerusi, dengan sentimen anti-Taib pula membantu DAP memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ia ditandinginya.

Walaupun berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi BN kehilangan lapan kerusi. Dalam sesi lalu, BN mempunyai 63 kerusi, DAP (6) dan PKR (1).

PKR juga berjaya menambah dua lagi kerusi menjadi tiga. Kedua-dua parti itu juga menyapu bersih semua lima kerusi di Kuching. Kejayaan terbesar DAP ialah menumbangkan presiden SUPP, yang juga timbalan ketua menteri, Tan Sri George Chan di kerusi Piasau.

Namun kenyataan Taib bahawa beliau hanya sedia berundur "sekitar pertengahan penggal ini", iaitu dalam tempoh dua tahun membuatkan laluan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) dilihat sukar buat Najib.

Faktor Taib Mahmud, antara yang menjadi kegerunan Najib untuk membubarkan parlimen tahun ini.

Walaupun BN berjaya mengekalkan dua pertiga majoriti namun undi terhadap Taib nyata jauh merosot.

Malah BN terpaksa berhadapan kehilangan 16 kerusinya berbanding hanya lapan pada 2006.

Slogan "Tangkap Taib Mahmud" kedengaran

Tahun 1998 Sarawak tidak terusik oleh ombak reformasi, malah Pilihanraya Umum 2008 pun Sarawak juga tidak terusik. Warga Sarawak kini telah melihat dan sedar bahawa kalau Semenajung boleh berubah, maka mereka juga boleh berubah. Semangat dan roh reformasi kini telah sampai ke Sarawak. Warga Sarawak kini melihat gaya dan cara politik Semenanjung. Ini didikan politik untuk Sarawak.

Semangat dan nasionalisme Dayak telah muncul. Ini akan menumpaskan hegemoni Melanau.

Untuk pertama kalinya rakyat Sarawak mendengar slogan: TANGKAP TAIB MAHMUD!

--Hishamuddin Rais, penulis bebas

Pemenang: Taib Mahmud dan DAP

Pemenang yang terbesar semestinya Taib Mahmud. Beliau telah mencapai prestasi yang disasarkan BN, iaitu mempertahankan majoriti dua pertiga. Pencapaian ini meredakan tekanan dari kerajaan persekutuan yang mendesak agar beliau berundur.

Pemenang kedua besar ialah DAP yang menyapu kesemua kerusi Cina. Jelas, mereka mewakili suara masyarakat Cina Sarawak sekarang.

Pihak yang kalah adalah SUPP, bukan sahaja Presidennya kecundang, malah calon yang dikatakan sebagai "generasi baru" juga kalah kesemuanya. Ini bukan sahaja mencerminkan kemarahan Cina Sarawak, juga memperlihatkan kebuntuan SUPP. Mereka gagal lagi mendakwa diri mereka mewakili kaum Cina. SUPP tidak berbeza dengan parti Gerakan sekarang.

Persoalan pokok, mengapa BN menang di kawasan desa? Jawapan yang mudah, tradisional dan politik wang. Penduduk kampung bergantung kepada pemerintah untuk kemudahan asas, maka secara tradisional mereka menyokong parti pemerintah. Mereka bimbang mereka dihukum kerajaan kerana menyokong pembangkang - lebih perit kehidupun mereka dari sekarang. Maka mereka enggan mengambil risiko dengan memberi peluang kepada pembangkang.

Politik wang - apa lagi yang boleh dikatakan? Saya dimaklumkan bahawa undi dibeli pada wang ribuan ringgit, di tempat yang "hangat". Maka pemerintah menyelesaikan masalah mereka dengan wang - tidak kira betapa kuatnya pengaruh pembangkang di situ. Untuk mereka yang kemiskinan, wang ini sudah cukup untuk perbelanjaan beberapa bulan.

Saya tidak menyalahkan pengundi yang menerima wang, saya cuma menyalahkan pemerintah yang terus memiskinkan penduduk, agar politik wang terus mendapat pasarannya.

Bagaimana dengan masa depan Sarawak? Sarawak mempunyai masa depan yang cerah. Pembelian undi hanya "mujarab" dalam satu dua pilihanraya ini, tetapi bukan selama-lamanya. Pengundi muda tidak akan menerima wang secara membuta-tuli - mereka menerima wang, tetapi wang itu gagal mempengaruhi undi mereka.

Kini, semakin ramai pemuda pemudi yang bekerja di luar negeri, kerana peluang perniagaan di Sarawak dikuasai Taib Mahmud dan kroninya. Bagaimanapun, Taib Mahmud sudah berusia 75 tahun. Paling banyak beliau bertahan untuk satu penggal lagi. Ketua Menteri seterusnya gagal lagi mencontohi Taib Mahmud untuk bermaharajalela. Beliau gagal menikmati kuasa mutlak. Dan ini satu-satunya harapan Sarawak.

--James Chin, Profesor Univerisiti Monash

BN pertahan majoriti 2/3 tanpa sokongan Cina dan bandar


Parti Bil. DUN dimenangi DUN
PBB (35) 35 N32 Bukit Saban, N56 Baleh, N51 Balingian, N24 Beting Maro, N37 Daro, N55 Katibas, N44 Machan, N21 Simunjan, N38 Jemoreng, N6 Tupong, N15 Muara Tuang, N18 Tebedu, N31 Layar, N20 Sadong Jaya, N35 Belawai, N71 Bukit Sari, N49 Nangka, N36 Semop, N33 Kalaka, N22 Sebuyau, N17 Tarat, N03 Tanjong Datu, N05 Demak Laut, N50 Dalat, N67 Telang Usan, N07 Samariang, N14 Asajaya, N19 Kedup, N08 Satok, N62 Lambir, N04 Pantai Damai, N30 Saribas, N23 Lingga, N68 Bukit Kota, N58 Jepak
SUPP (19) 6 N47 Bawang Assan, N27 Simanggang, N28 Engkilili, N1 Opar, N65 Senadin, N16 Bengoh
SPDP (8) 6 N69 Batu Danau, N42 Meluan, N41 Pakan, N66 Marudi, N02 Tasik Biru, N61 Bekenu
PRS (9) 8 N57 Belaga, N56 Baleh, N43 Ngemah, N25 Balai Ringin, N29 Batang Ai, N52 Tamin, N26 Bukit Begunan, N53 Kakus



PKR (49) 3 N34 Krian, N70 Ba'Kelalan, N11 Batu Lintang
DAP (15) 12 N63 Piasau, N40 Meradong, N45 Bkt Assek, N9 Padungan, N10 Pending, N12 Kota Sentosa, N13 Batu Kawah, N39 Repok, N46 Dudong, N48 Pelawan, N59 Kidurong, N63 Piasau, N64 Pujut
PAS (5) 0 -



SNAP (26) 0 -
PCM (6) 0 -
Individu (41) 1 N54 Pelagus

Dalam pertarungan yang paling sengit dalam sejarah, Barisan Nasional akhirnya berjaya mempertahankan majoriti 2/3 dalam DUN Sarawak, namun kehilangan sokongan pengundi Cina dan penduduk bandar. BN hilang kelima-lima kerusi di bawah kawasan parlimen ibu negerinya, Kuching. Pada masa yang sama, calon keturunan Cina SUPP hampir terkubur kesemuanya di tangan DAP, apabila hanya Wong Soon Koh (Bawang Assan) dan Lee Kim Shin (Senadin) bertahan pada tempatnya.

Seperti di Semenanjung, BN kecundang di kawasan bandar, terutamanya di Kuching. Lima kawasan DUN di bawahnya, Batu Lintang (majoriti 8,381 undi), Batu Kawah (majoriti 543 undi), Kota Sentosa (majoriti 4,824), Pending (7595) dan Padungan (7,880) membawa kepada jumlah majoriti Pakatan Rakyat dengan kira-kira 30,000 undi.

Pakatan Rakyat, bagaimanapun hanya memperolehi 15 kerusi. DAP yang bertanding di kawasan majoriti Cina meraih kemenangan di 12 kawasan, daripada 15 yang dipertandingkan. PAS gagal membuat kejutan apabila tewas di kesemua 5 kawasan yang dipertandingkan, termasuk Beting Maro. PKR hanya menang 3 kerusi, daripada 49 yang ditandinginya. Bagaimanapun, SNAP menerima tamparan sengit kerana dijangka kalah di kesemua 26 kerusi yang dipertandingkan.

PBB memenangi kesemua 35 kerusi yang dipertandingkan, mungkin alasan yang kukuh untuk Taib Mahmud kekal pada jawatan Ketua Menteri. Seperti MCA dan Gerakan di Semenanjung, SUPP mengalami kekalahan yang teruk dengan kehilangan 13 kerusi daripada 19 yang dipertandingkan. Pada tahun 2006, SUPP sudah menerima tamparannya apabila tewas di 8 kawasan daripada 19 kawasan yang dipertandingkan.

Walaupun "tsunami politik" tidak berlaku sebagaimana yang dijangkakan, namun Pakatan Rakyat memperolehi 8 kerusi tambahan, berbanding PRN Sarawak 2006. Pola pengundian PRN Sarawak kali ini juga membayangkan hasrat kebanyakan pengundi yang mahu melihat "sistem dua parti", melihat kepada nasib yang menimpa parti seperti SNAP dan calon bebas.

PR cipta kemenangan besar Sarawak kini dalam arus perdana politik


Pakatan Rakyat mencipta kemenangan besarnya dalam PRN Sarawak 2011 setelah berjaya menawan 16 kerusi DUN (termasuk satu daripada calon bebas) . Antara maknanya yang terbesar adalah menyaksikan bagaimana Sarawak masuk ke dalam arus perdana politik Malaysia, dan tidak lagi terpisah dari gelombang reformasi politik negara.

Dalam tempoh kempen selama 10 hari, ceramah anjuran DAP di bandar menarik kelompok manusia yang menakjubkan, sehingga rakyat mula yakin bahawa PR mampu menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional, malah mengambil alih kuasa kerajaan negeri. Namun demikian, ia hanya imaginasi yang tercetus kerana kedahagaan terhadap reformasi. Pada hakikatnya, ia terlalu optimis dan kurang pertimbangan realistik.

Dalam PRN Sarawak 2006, PR hanya mampu menawan 9 DUN di kawasan bandar. Kali ini, DAP dan PKR dari Semenanjung berjaya merampas 15 DUN, malah menumbangkan Presiden SUPP George Chan, dan mengakibatkan SUPP hanya mampu mempertahankan 6 daripada 19 kerusi yang dipertandingkan. Bahkan PR berjaya menawan 3 kerusi di kawasan bukan Cina. Gelombang telah mengombak di kawasan desa-bandar, berikutan kemenangan PR ini - dan semestinya ia memberi tekanan kepada parti politik tempatan.

Pengundi Sarawak dengan jelas menyatakan bahawa mereka tidak lagi menerima perbezaan antara "parti tempatan" dengan "parti Semenanjung", dan semua parti politik adalah parti di bawah bumbung Malaysia. Pengundi hanya mengambil berat tentang idealisme dan tuntutan - bukan lagi perbezaan geografi - lantas pandangan sempit geografi ini digugurkan.

Apabila fikrah sempit politik berdasarkan geografi ini dipecahkan, maka SUPP dan PBB yang rasuah dan tidak cekap gagal lagi untuk berselindung di sebalik "parti tempatan", untuk terus mengabaikan seruan perubahan pengundi.

PR telah mengharungi pertarungan kali ini, dan mendapat kepercayaan daripada pengundi Sarawak. Mereka bukan lagi "parti dari luar", tetapi telah mempunyai asas di Sarawak melalui undi rakyat. Sebaliknya, parti politik yang melabel dirinya "parti tempatan" - telah disingkirkan pengundi tempatan. Apakah mereka masih layak untuk menggelar dirinya "parti tempatan" apabila gagal mendapat restu daripada orang tempatan?

Sepakat dalam nilai politik

Pengundi Sarawak kini lebih mengambil berat tentang "idealisme" daripada "geografi". Perubahan ini membantu untuk membentuk kesepakatan seluruh rakyat dalam nilai politik. Sarawak tidak lagi tersisih dari pinggiran politik Malaysia, sebaliknya lebih rapat dengan arus perdana reformasi politik nasional. Sarawak bukan lagi deposit tetap BN. BN dan UMNO tidak boleh lagi merampas kekayaan dan sumber negeri Sarawak sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan suara rakyat.

Walaupun PR gagal menafikan majoriti dua pertiga BN, namun tidak boleh dinafikan bahawa keputusan PRN Sarawak 2011 adalah kemenangan besar yang bersejarah. DAP dan PKR mempunyai harapan untuk memasuki kawasan desa-bandar, untuk membina akar umbinya pada masa depan.

PRN ini adalah pilihan raya yang paling penting dalam sejarah politik Sarawak. Perhimpunan politik di jalan raya adalah perhimpunan politik terbesar sejak zaman anti-penjajahan pada tahun 1960-an.

DAP menguasai politik Cina

Pada dasarnya, SUPP telah kehilangan reputasi yang dibina sejak 40 tahun yang lalu. Politik Cina di Sarawak bakal dikuasai sepenuhnya oleh DAP. SUPP memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun pada masa depan untuk membina semula imejnya, dan melahirkan pemimpin generasi baru. Dengan kata lain, 10 tahun yang akan datang adalah dekad yang merudum untuk SUPP.

SUPP adalah parti politik tempatan, mempunyai organisasi yang luas. Mungkin tidak pecah berkecai, namun ia tetap akan menemui ajal seandainya tidak memikirkan perubahan. Bukan sahaja pimpinannya akan dipertanggungjawabkan lantaran kekalahan ini, malah hubungannya dengan Taib Mahmud juga bakal berubah.

Pada masa yang sama, PBB yang dipimpin Taib Mahmud juga berdepan dengan krisis pengganti. PR menyasarkan Taib Mahmud sepanjang kempen, dan ini akan dipergunakan Najib untuk mendesak agar Taib Mahmud berundur. UMNO berharap Taib berundur sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun, UMNO juga khuatir dengan Taib, yang kelihatan masih enggan bersara. Kali ini, sentimen rakyat boleh dijadikan alasan Najib untuk mendesak Taib.

"Angkatan tentera DAP" ini telah berjaya menghapuskan Gerakan pada tiga tahun yang lalu. Kini DAP pula meranapkan SUPP, tinggal MCA yang nyawa-nyawa ikan. Sehati senada SUPP berkhidmat untuk "Pek Moh" - Pek Moh makan daging, SUPP minum sup. MCA seharusnya mendapat iktibar daripada kemusnahan SUPP. Seandainya MCA sehati senada berkhidmat untuk UMNO, mereka akan mengalami nasib yang sama.

*Phoon Wing Keong ialah pengkaji politik, diterjemah dan disunting dari teks asal.

Lebih 1,000 Sambut 5 Wakil Rakyat Baru Pakatan di Kuching




KUCHING 16 APRIL : Lebih 1,000 penyokong Pakatan Rakyat - kebanyakannya pro DAP dan PKR sekarang mula membanjiri perkarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bagi menyambut 5 wakil rakyat baru yang berjaya menawan 5 buah kerusi DUN pada pilihan raya negeri Sarawak kali ke-10.

Mereka tidak putus- putus melaungkan slogan "ubah" dan "Sarawak, Jom Ubah" bagi menyambut pemimpin- pemimpin Pakatan Rakyat di jalan masuk ke dewan utama, di sini.

Presiden DAP Karpal Singh, penasihatnya Lim Kit Siang dan setiausahanya Lim Guan Eng dilihat mula memasuki dewan utama sekitar jam 8.30 malam tadi.

Kelihatan sepasukan Polis dan polis simpanan persekutuan (FRU) mengawal hadirin yang hadir.

Empat calon DAP dan seorang calon PKR menyapu bersih lima Dun dalam Parlimen Kuching.

Empat wakil rakyat bary DAP tersebut adalah Violet Yong (DUN Pending), Christina Chiew Wang See (DUN Batu Kawa), Wong King (DUN Padungan) dan Dan Chong Chieng (DUN Kota Sentosa).

See Chee How yang bertanding atas tiket DAP mewakili DUN Batu Lintang.

See Chee How yang ditemui di perkarangan MBSS kemudiannya memberitahu, keputusan tersebut menggambarkan rakyat kian sedar dengan kelemahan Barisan Nasional dalam mentadbir kerajaan negeri.

"Sebenarnya ekspektasi kita adalah menafikan dua pertiga Barisan Nasional di DUN Sarawak,

"Bagaimanapun dengan lima Dun dalam (Parlimen) Kuching yang sapu bersih menggambarkan slogan "ubah" disambut rakyat dengan penuh rasa sedar," kata Chee How.

"Barisan Nasional tidak boleh lagi menafikan hakikan perubahan yang sedang melanda Sarawak, khususnya di Kuching," ujarnya.

Laporan lanjut menyusul kemudian.

PRN Sarawak : PR Longgarkan Cengkaman BN




ANALISIS : Meskipun bertarung dengan seluruh jentera kerajaan dan sumber kewangan Barisan Nasional, Pakatan Rakyat memenangi dua kali ganda jumlah kerusi pada pilihanraya negeri kali ini, sekali gus menyampaikan mesej bahawa Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud perlu berundur segera.

DAP mencapai kejayaan paling besar, memenangi 12 kerusi berbanding 6 sebelumnya, manakala Parti Keadilan Rakyat menang tiga kerusi berbanding hanya satu pada tahun 2006.

Walaupun kejayaan itu jauh daripada mencukupi untuk menafikan BN majoriti dua pertiga, ia sudah cukup untuk menghantar mesej jelas kepada Putrajaya dan Perdana Menteri Najib Razak iaitu:

Sarawak tidak lagi boleh dianggap simpanan tetap BN pada pilihanraya umum DAN Taib harus berundur segera sebelum BN bertarung di peringkat Parlimen pada pilihanraya umum kelak.

Keputusan DUN Sarawak menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh atau lapan kerusi Parlimen sekitar Kuching, Sibu dan Miri adalah “kawasan hitam" bagi BN yang pasti memberi kesan kepada jangka hayat Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Keputusan setakat ini yang menyaksikan BN menang sekurang-kurangnya 56 kerusi dan Pakatan 16 memberi isyarat paling jelas kepada Najib bahawa beliau belum boleh selesa mengharapkan kemenangan mutlak pada pilihanraya umum akan datang.

Di atas kertas, kemenangan lebih dua pertiga BN itu adalah meyakinkan, tetapi tidak ada sesiapa akan menafikan bahawa BN terpaksa membelanjakan jumlah wang yang besar dan menurunkan seluruh jentera Kerajaan Persekutuan untuk memperolehi keputusan itu.

Hakikat adalah prestasi BN merudum kali ini berbanding dengan kemenangan 63 daripada 71 kerusi pada tahun 2006, bermakna trend sokongan rakyat untuk BN terus menyusut.

Sekali imbas, BN kali ini berhadapan dengan sebuah Pembangkang yang masih tidak mempunyai sumber kewangan atau kemudahan untuk menyaingi pemerintah.

Namun rekod Taib selama 30 tahun menerajui Sarawak yang dibelit dengan dakwaan rasuah, rampasan tanah dan penyelewengan kuasa mendorong pengundi bandar, khususnya kaum Cina untuk menolak BN.

BN kalah semua lima kerusi yang dipertandingkan di Kuching kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

SUPP parti kedua terbesar dalam BN Sarawak ditolak sepenuhnya di ibu negeri Sarawak itu.

Presiden parti itu Dr George Chan pula kalah kepada calon DAP di Piasau Miri, keputusan yang mencerminkan sentimen pengundi terhadap BN pimpinan Taib yang merupakan besan Chan.

Kerusi Batu Kawah pula dimenangi DAP dengan sokongan pengundi bumiputera, yang menunjukkan DAP tidak bergantung sepenuhnya kepada pengundi Cina untuk menang.

Bagi PKR, usaha membawa angin perubahan ke kawasan pedalaman, khususnya rumah panjang Dayak dan Iban tidak mencapai keputusan yang diharapkan sungguhpun parti itu menang tiga kerusi berbanding satu sebelumnya.

Sesiapa yang arif dengan politik Sarawak akur dengan misi PKR dalam cuba menghebahkan mesej”ubah perintah” dengan segala kekangan logistik dan kewangan berbanding BN yang menjelajah ke seluruh pelosok Sarawak menggunakan helikopter dan feri-feri tempah khas.

Ini ditambah dengan penguasaan seluruh media arus perdana yang dilarang memberi liputan kepada ceramah pembangkang.

Laman-laman media alternatif pula digodam termasuk TVSelangor, Malaysiakini dan HarakahDaily di dalam Negara dan Sarawak Report di United Kingdom.

Meskipun kalah di sebilangan banyak kerusi, jumlah undi yang dipungut PKR di sesetengah kawasan memberi harapan kepada PKR untuk memberi cabaran yang lebih sengit dalam empat tahun lagi.

Kemenangan Pengerusi PKR Baru Bian di Be’kalalan tentunya membanggakan Pakatan Rakyat dan menjanjikan perjuangan lebih jitu untuk mendapatkan semula hak penduduk asal yang kehilangan tanah adat mereka kepada pemimpin BN dan kroni mereka.

Keputusan Keseluruhan PRN Sarawak Ke-10


SHAH ALAM 16 APRIL : Berikut adalah keputusan keseluruhan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 :-

BN menang 55 kerusi - 372,379 undi

DAP menang 12 kerusi - 134,847 undi

PKR menang 3 kerusi - 117,100 undi

SNAP (0)- 15,663

PAS (0) - 9,719

PCM (0) - 2,897

Bebas menang 1 kerusi - 20,064

Jumlah keluar mengundi : 628,854

Peratus keluar mengundi : 70 peratus

Bilangan undi ditolak : 8,224

DUN majoriti tertinggi : N45 Bukit Assek - 8,827 undi

DUN majoriti terendah : N65 Senadin - 58 undi

Jumlah calon hilang deposit : 71 orang

Kemenangan PR Di Kubu Kuat BN : Pukulan Hebat Buat Najib, Kata Kit Siang



SHAH ALAM 16 APRIL: Kemenangan terbesar pembangkang di pilihanraya DUN Sarawak setakat ini merupakan satu pukulan hebat kepada BN terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat gagal memenangi hati rakyat Sarawak dan memberikan BN satu kemenangan besar.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika dihubungi TV Selangor berkata, walaupun PR tidak berjaya menafikan majoriti dua pertiga kepada BN tetapi kemenangan PR setakat ini telah memberikan kejutan besar kepada Tan Sri Taib Mahmud.

"Tak pernah ada begitu ramai ahli-ahli ADUN yang melawan BN dan, sungguhpun kita tidak dapat menafikan majoriti dua pertiga, patutnya menjadi satu iktibar kepada yang pertama kepada Ketua Menteri, masa untuk beliau turun sudah sampai, tak patut lagi melengah-lengahkan," kata beliau.

Tambah beliau, dalam pada rakyat Sarawak mula menolak BN dan menerima PR, Najib juga dilihat semakin lemah kerana walaupun mengetuai kempen bersama kesemua ahli Kabinet tetapi masih gagal memberikan kemenangan besar kepada BN di Sarawak.

"Dan kedua, sebagai satu pukulan hebat kepada PM oleh kerana Datuk Seri Najib sendiri ada mengetuai satu kempen dan menggerakkan semua anggota-anggota kabinet, jemaah menteri datang menjadikan pilihanraya negeri ini satu pilihanraya besar untuk seluruh negara," tegas beliau lagi.

Katanya lagi, Perdana Menteri juga perlu mengambil pengajaran serta menghalusi dan memahami sebab-sebab kekalahan BN terutamanya di kawasan-kawasan yang dianggap sebagai 'kubu kuat' BN di Sarawak.

Pilihan raya negeri Sarawak pada 2006 menyaksikan BN menang 62 kerusi, manakala 9 kerusi dimenangi masing-masing PKR-1,SNAP-1, Bebas-1 dan DAP 6.

Namun pada pilihan raya negeri kali ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan DAP berjaya merampas 12 kerusi, PKR 3 dan Bebas 1.