Kemenangan PR Di Kubu Kuat BN : Pukulan Hebat Buat Najib, Kata Kit Siang



SHAH ALAM 16 APRIL: Kemenangan terbesar pembangkang di pilihanraya DUN Sarawak setakat ini merupakan satu pukulan hebat kepada BN terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat gagal memenangi hati rakyat Sarawak dan memberikan BN satu kemenangan besar.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika dihubungi TV Selangor berkata, walaupun PR tidak berjaya menafikan majoriti dua pertiga kepada BN tetapi kemenangan PR setakat ini telah memberikan kejutan besar kepada Tan Sri Taib Mahmud.

"Tak pernah ada begitu ramai ahli-ahli ADUN yang melawan BN dan, sungguhpun kita tidak dapat menafikan majoriti dua pertiga, patutnya menjadi satu iktibar kepada yang pertama kepada Ketua Menteri, masa untuk beliau turun sudah sampai, tak patut lagi melengah-lengahkan," kata beliau.

Tambah beliau, dalam pada rakyat Sarawak mula menolak BN dan menerima PR, Najib juga dilihat semakin lemah kerana walaupun mengetuai kempen bersama kesemua ahli Kabinet tetapi masih gagal memberikan kemenangan besar kepada BN di Sarawak.

"Dan kedua, sebagai satu pukulan hebat kepada PM oleh kerana Datuk Seri Najib sendiri ada mengetuai satu kempen dan menggerakkan semua anggota-anggota kabinet, jemaah menteri datang menjadikan pilihanraya negeri ini satu pilihanraya besar untuk seluruh negara," tegas beliau lagi.

Katanya lagi, Perdana Menteri juga perlu mengambil pengajaran serta menghalusi dan memahami sebab-sebab kekalahan BN terutamanya di kawasan-kawasan yang dianggap sebagai 'kubu kuat' BN di Sarawak.

Pilihan raya negeri Sarawak pada 2006 menyaksikan BN menang 62 kerusi, manakala 9 kerusi dimenangi masing-masing PKR-1,SNAP-1, Bebas-1 dan DAP 6.

Namun pada pilihan raya negeri kali ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan DAP berjaya merampas 12 kerusi, PKR 3 dan Bebas 1.

No comments: