Taib Undur Pertengahan Penggal : Sukar Untuk Najib Bubar Parlimen





KUALA LUMPUR 17 APRIL : Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mengangkat sumpah jawatan ketua menteri malam tadi mengulangi janjinya untuk berundur "sekitar pertengahan penggal ini".

Katanya, beliau akan menggunakan kesempatan tempoh pertengahan penggal sebelum beliau bersara untuk membentuk barisan kepimpinan baru yang mantap supaya pelabur tetap yakin dengan Sarawak.

"Saya disediakan untuk berundur 10 tahun lepas tetapi soal kesinambungan dasar-dasar, memastikan walau apa pun yang telah kami capai (supaya) momentum pembangunan sarawak, tidak akan terjejas kerana perubahan kepimpinan.

"Buat masa ini, saya telah memutuskan untuk mengumumkan saya akan berundur sekitar pertengahan separuh penggal," katanya.

Persaraan Taib menjadi topik hangat dalam pilihan raya negeri yang berakhir semalam dengan BN memenangi 55 daripada 71 kerusi, dengan sentimen anti-Taib pula membantu DAP memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ia ditandinginya.

Walaupun berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi BN kehilangan lapan kerusi. Dalam sesi lalu, BN mempunyai 63 kerusi, DAP (6) dan PKR (1).

PKR juga berjaya menambah dua lagi kerusi menjadi tiga. Kedua-dua parti itu juga menyapu bersih semua lima kerusi di Kuching. Kejayaan terbesar DAP ialah menumbangkan presiden SUPP, yang juga timbalan ketua menteri, Tan Sri George Chan di kerusi Piasau.

Namun kenyataan Taib bahawa beliau hanya sedia berundur "sekitar pertengahan penggal ini", iaitu dalam tempoh dua tahun membuatkan laluan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) dilihat sukar buat Najib.

Faktor Taib Mahmud, antara yang menjadi kegerunan Najib untuk membubarkan parlimen tahun ini.

Walaupun BN berjaya mengekalkan dua pertiga majoriti namun undi terhadap Taib nyata jauh merosot.

Malah BN terpaksa berhadapan kehilangan 16 kerusinya berbanding hanya lapan pada 2006.

No comments: