BN "Kawal" Tuai Rumah, Penghulu, Punca PKR Kurang Undi Pedalaman




SHAH ALAM 17 APRIL: Kekalahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi DUN kawasan-kawasan pedalaman Sarawak dalam pilihan raya negeri yang tamat semalam secara keseluruhan berpunca dari politik wang yang dimainkan oleh BN.

Pengarah Operasi Pilihanraya PKR Sarawak, Nicholas Bawin berkata selain itu, jentera pilihan raya BN mempunyai kelebihan kerana mempunyai akses media dan dana yang besar serta mempunyai kawalan terhadap ketua-ketua masyarakat di kawasan pedalaman.

"Bagi saya, BN punya jentera ada kelebihannya, itu satu, jenteranya memang ada kelebihan. Kedua dia ada kawalan terhadap tuai rumah, ahli majlis, penghulu semua untuk berpihak kepada BN kerana pengaruh tuai rumah, ahli majlis, penghulu di rumah panjang amat kuat, bukan kuat tetapi ini sudah menjadi budaya BN," jelas beliau.

Tambah beliau yang juga calon PKR DUN Batang Ai, para tuai rumah, ahli majlis serta penghulu terpaksa akur dengan kehendak BN yang mengawal kerajaan pusat dan negeri kerana antara syarat perlantikan mereka adalah akur kepada arahan pihak atasan.

Selain itu, beliau menjelaskan para ketua masyarakat kawasan pedalaman pula menggunakan kuasa mereka untuk mempengaruhi penduduk di kawasan itu kerana
kebanyakan mereka terutamanya kontraktor kecil dan sederhana bergantung dengan mendapatkan kontrak-kontrak kecil dari kerajaan.

"Duit itu, wang memang menjadi pengaruh yang terbesar, bagi saya. Mereka (BN) mempunyai kawalan terhadap wang, projek, janji-janji mereka. Walaupun di Batang Ai dahulu janji-janji mereka masih belum ditunai tetapi rakyat masih juga memilih BN kerana mereka yang miskin seperti kebanyakan Iban seperti saya memerlukan projek-projek untuk pembangunan," kata beliau lagi.

Beliau seterusnya berkata, walaupun kesannya tidak begitu besar jika dibandingkan jumlah undi yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat tetapi bagi penduduk kawasan pedalaman Sarawak, inilah satu-satunya masa bagi mereka meraih sedikit keuntungan.

Nicholas berkata, walaupun kalah pilihan raya negeri Sarawak tetapi jika melihat kepada jumlah dan serakan undi PKR dan Pakatan umumnya, beliau yakin gagasan itu mampu menawan majoriti kerusi Parlimen Sarawak di PRU-13 akan datang.

"Bagi saya, perjuangan kita perlu diteruskan kerana kalau kita lihat kita sudah dapat 44 peratus sokongan daripada rakyat dan ini menunjukkan sokongan sudah meningkat. Walaupun di pedalaman, di rumah panjang tidak begitu baik tetapi secara keseluruhannya, sistem dua parti akan ditentukan oleh rakyat mulai daripada sekarang," jelas beliau.

"Sebenarnya kita tahu apakah kelemahan-kelemahan kita tadi tetapi ini bukan sesuatu yang menghampa atau melemahkan semangat, tidak. Sebenarnya rakyat lebih-lebih lagi orang muda, profesional, dia memang mahukan sistem dua parti, demokrasi sebenar untuk beroperasi di Sarawak," kata beliau lagi.

PKR menang di tiga kerusi iaitu DUN Krian, Batu Lintang dan DUN Ba'kelalan.

Ketiga-tiganya adalah di kawasan bandar iaitu Kuching, Miri dan Sibu.

No comments: