Pakatan Cipta Satu Lagi Sejarah, Kata Wan Azizah



KUCHING 17 APRIL : Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan kejayaan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Negeri Sarawak sebagai pemantapan kepada sistem dua parti di negara ini.

Menurut beliau, sejarah sekali lagi dicipta oleh Pakatan Rakyat apabila mesej 'ubahlah' berjaya meresap ke dalam jiwa masyarakat di Sarawak.

" Keputusan yang bersejarah. Tak pernah lihat satu keputusan yang menjurus kepada pemantapan sistem dua parti dan kejayaan golongan pengundi bermaklumat," katanya pada sidang media malam tadi.

Menurut Wan Azizah, Parti Keadilan Rakyat juga berjaya melebarkan sayapnya di Sarawak berkat iltizam rakyat yang dahagakan perubahan.

PKR pada 2006 hanya menang satu kerusi, namun kali ini berjaya meraih tiga kerusi.

Tuntutan kepada perubahan juga dapat dilihat secara jelas di kawasan bandar terutamanya di sekitar Kuching, Sibu dan Miri yang kini menjadi "kawasan hitam" bagi BN.

" Kita bangga dengan kejayaan yang dicapai walaupun dalam keadaan padang pertandingan yang tidak rata dan adil..Kita lihat PKR semakin diterima rakyat sebagai sebuah parti pelbagai kaum,"tambahnya lagi.

Namun katanya, PKR dan Pakatan Rakyat secara keseluruhannya akan terus memantau janji-janji yang ditaburkan BN sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri.

Malah kajian juga akan dibuat berhubung segala bentuk kesalahan sepanjang kempen pilihan raya sebelum sebarang tindakan diambil.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak memberikan layanan adil kepada agen calon parti itu dengan tidak membekalkan salinan borang 14 kepada mereka.

" (Kita) gagal dapat maklum balas daripada SPR walaupun telah dihubungi. Kita akan dapatkan maklumat daripada PACA sebelum tindakan lanjut diambil," tegas Azmin.

Borang 14 adalah nama singkatan kepada 'Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi'.

No comments: