Freedom Film fest Asah Bakat Warga Selangor



SHAH ALAM 20 SEPT : Penganjuran Freedom Film Fest (FFF) bukan sekadar menghiburkan, tetapi juga menjadi suatu medium kreatif yang mampu menyebarkan mesej merangkumi isu- isu semasa seperti hak asasi manusia, demokrasi dan kemasyarakatan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kabajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail berkata penganjuran program sebegini selari dengan usaha kerajaan negeri untuk "Merakyatkan Budaya" dikalangan warga Selangor.

Lebih daripada itu, program sebegini juga akan menyuburkan prinsip kebebasan maklumat yang merupakan elemen penting dalam sistem demokrasi.

"Bagi saya ini adalah salah satu langkah kerajaan negeri untuk menggarap minda rakyat bagi mencernakan harapan dan isu-isu yang berkaitan dengan hak-hak asasi rakyat. Bukan sahaja melalui penulisan tetapi juga dalam pembuatan filem."

Rodziah berkata demikian ketika merasmikan penganjuran ‘Freedom Film Fest 2010' atau FFF yang dijadual berlangsung pada 1 dan 2 Oktober ini bertempat di Auditorium Wisma Bentley, Mutiara Damansara.

FFF 2011 akan menayangkan 20 filem tempatan dan antarabangsa yang bertemakan hak kanak-kanak, politik identiti, alam sekitar dan aktivisme, wanita dan agama, pilihanraya dan demokrasi, hak seksualiti, kebangkitan rakyat serta hubungan antara agama.

FFF juga akan diadakan di beberapa lokasi yang lain, seperti Pulau Pinang, Perak, Johor dan Sarawak sepanjang bulan Oktober.

Kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan menjalinkan kerjasama dengan Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS), dalam menjayakan program ini setiap tahun, sejak tujuh tahun lalu.

Tarikan utama FFF tahun ini adalah tayangan perdana tiga buah dokumentari yang memberi tumpuan kepada hak asasi manusia antaranya, “Huruf J” hasil karya Afiq Deen yang menceritakan cabaran yang dihadapi oleh janda di Malaysia.

Sementara, seorang wartawan media cetak tempatan, Liaw Pey Wen, akan menyajikan filem pertamanya yang bertajuk “Laut, Umah Am” yang mendalami kehidupan nelayan Orang Asli Seletar (Orang Laut) di sekitar Selat Johor serta dokumentari berjudul "Senyap.... Tersentak" yang diterbitkan pusat KOMAS mengenai lapan tuntutan Bersih 2.0.

Ketiga- tiga dokumentari itu berebut untuk merangkul Anugerah Filem Hak Asasi Manusia Terbaik FFF2011 semasa Upacara Anugerah di Petaling Jaya pada 1 Oktober ini.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman web rasmi FFF di freedomfilmfest.komas.org untuk maklumat lengkap mengenai jadual tayangan dan sinopsis.

Maklumat juga boleh didapati menerusi laman sosial seperti Facebook dan Twitter untuk mendapatkan maklumat terkini.




14 Warga Bangladesh Layak Mengundi






PUTRAJAYA 20 SEPT : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikan hak kerakyatan Malaysia kepada sekurang- kurangnya 37 rakyat Bangladesh sejak 1998 sehingga Ogos tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, 14 orang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 akan datang sekiranya mereka berdaftar sebagai pemilih.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Jariah Mohd Said menjelaskan daripada 37 orang itu, 18 diberikan kewarganegaraan pada 2010, lima pada 2009, satu pada 2006, dan dua orang bagi tahun-tahun 2008, 2003 dan 1998.

Tambahnya, sehingga bulan Ogos lalu, hanya empat orang yang diberikan kewarganegaraan.

Daripada pecahan peruntukan itu, lima individu diberikan sijil kewarganegaraan kerana adalah merupakan isteri kepada warganegara Malaysia, manakala empat lagi adalah permohonan kewarganegaraan bagi anak kepada warganegara Malaysia.

Sembilan diberikan kewarganegaraan selepas menjadi penduduk tetap lebih 12 tahun, seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 19, perlembagaan persekutuan.

19 lagi lagi diberikan kewarganegaraan mengikut Perkara 15A untuk permohonan dalam keadaan khas bagi kanak-kanak berusia bawah 21 tahun.

Isu hak kerakyatan warga Bangladesh kecoh selepas sebuah agensi kerajaan Bangladesh di laman web Biro Hal Ehwal NGO pejabat Perdana Menteri, Sheikh Hasina mendakwa bahawa rakyatnya memperoleh kerakyatan mudah Malaysia dengan syarat mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah, Umno BN.

Wikileaks: SPR pernah keluarkan 60,000 IC palsu

KUALA LUMPUR 20 SEPT : Kabel diplomatik Amerika Syarikat yang bocor mendedahkan bahawa bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengakui beliau pernah mengeluarkan lebih daripada 60,000 kad pengenalan palsu kepada pekerja-pekerja asing di Sabah pada sekitar tahun 1990-an - atas arahan Umno.

Kabel yang dimuat-naikkan di portal pembocor maklumat Wikileaks memetik bekas ketua Rakyat Malaysia untuk Pilihan Raya Bebas dan Adil (Mafrel) Malek Husin sebagai mendakwa bahawa Rashid mengakui perkara ini dalam pertemuan peribadi di rumah Rashid pada 25 Oktober, 2006, lapor Malaysiakini.

Dalam kabel yang ditandakan sulit itu, Malek dilaporkan memberitahu pegawai Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bahawa Rashid juga mengesahkan Umno telah melancarkan kempen 'kotor' pada tahun 1990-an untuk merampas Sabah - yang dikuasai sehingga 1994 oleh PBS yang berada di barisan pembangkang ketika itu.

"Sepanjang dekad berkenaan, Umno memberikan kewarganegaraan dan kad pengenalan Malaysia kepada lebih 600,000 pekerja pendatang asing (kebanyakan mereka pendatang beragama Islam dari Indonesia dan Mindanao di Filipina) di Sabah, sebagai pertukaran untuk undi mereka pada pilihan raya negeri.

"Menurut Husin, Rashid 'mengakui secara peribadi telah mengeluarkan lebih daripada 60,000 kad pengenalan palsu di Sabah' bagi membantu Umno menguasai politik di sana," kabel itu dipetik.

Kewarganegaraan 'segera' dan hak mengundi untuk pendatang tanpa izin telah lama menjadi isu di Sabah, dengan pemimpin-pemimpin tempatan sama ada di dalam mahupun di luar BN berulang-kali menuntut penyelesaian daripada kerajaan persekutuan.

Walau bagaimanapun, tidak apa yang dilakukan berhubung tuntutan berkenaan.

Adalah didakwa keadaan semakin parah pada tahun 1990-an, dengan kesalahan diletakkan di bahu perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad kerana didakwa melancarkan apa yang kini dikenali sebagai 'Projek IC'.

Ini adalah operasi haram yang didakwa membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan ejen-ejen mereka - dengan tujuan meningkatkan undi Umno dan BN.

Pada pilihan raya negeri 1994, PBS - yang menguasai Sabah sebagai negeri pembangkang sejak tahun 1985 - mendapati majoritinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) merosot dengan sebegitu mendadak.

(function() { var d = document, w = window; w

Undi Pas Tidak Jamin Islam Didaulatkan (ULANGSIAR)

Oleh: Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 14 dan jauh sebelumnya pun pada PRU13,12,11 dan 10, malahan sejak ...