Freedom Film fest Asah Bakat Warga Selangor



SHAH ALAM 20 SEPT : Penganjuran Freedom Film Fest (FFF) bukan sekadar menghiburkan, tetapi juga menjadi suatu medium kreatif yang mampu menyebarkan mesej merangkumi isu- isu semasa seperti hak asasi manusia, demokrasi dan kemasyarakatan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kabajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail berkata penganjuran program sebegini selari dengan usaha kerajaan negeri untuk "Merakyatkan Budaya" dikalangan warga Selangor.

Lebih daripada itu, program sebegini juga akan menyuburkan prinsip kebebasan maklumat yang merupakan elemen penting dalam sistem demokrasi.

"Bagi saya ini adalah salah satu langkah kerajaan negeri untuk menggarap minda rakyat bagi mencernakan harapan dan isu-isu yang berkaitan dengan hak-hak asasi rakyat. Bukan sahaja melalui penulisan tetapi juga dalam pembuatan filem."

Rodziah berkata demikian ketika merasmikan penganjuran ‘Freedom Film Fest 2010' atau FFF yang dijadual berlangsung pada 1 dan 2 Oktober ini bertempat di Auditorium Wisma Bentley, Mutiara Damansara.

FFF 2011 akan menayangkan 20 filem tempatan dan antarabangsa yang bertemakan hak kanak-kanak, politik identiti, alam sekitar dan aktivisme, wanita dan agama, pilihanraya dan demokrasi, hak seksualiti, kebangkitan rakyat serta hubungan antara agama.

FFF juga akan diadakan di beberapa lokasi yang lain, seperti Pulau Pinang, Perak, Johor dan Sarawak sepanjang bulan Oktober.

Kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan menjalinkan kerjasama dengan Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS), dalam menjayakan program ini setiap tahun, sejak tujuh tahun lalu.

Tarikan utama FFF tahun ini adalah tayangan perdana tiga buah dokumentari yang memberi tumpuan kepada hak asasi manusia antaranya, “Huruf J” hasil karya Afiq Deen yang menceritakan cabaran yang dihadapi oleh janda di Malaysia.

Sementara, seorang wartawan media cetak tempatan, Liaw Pey Wen, akan menyajikan filem pertamanya yang bertajuk “Laut, Umah Am” yang mendalami kehidupan nelayan Orang Asli Seletar (Orang Laut) di sekitar Selat Johor serta dokumentari berjudul "Senyap.... Tersentak" yang diterbitkan pusat KOMAS mengenai lapan tuntutan Bersih 2.0.

Ketiga- tiga dokumentari itu berebut untuk merangkul Anugerah Filem Hak Asasi Manusia Terbaik FFF2011 semasa Upacara Anugerah di Petaling Jaya pada 1 Oktober ini.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman web rasmi FFF di freedomfilmfest.komas.org untuk maklumat lengkap mengenai jadual tayangan dan sinopsis.

Maklumat juga boleh didapati menerusi laman sosial seperti Facebook dan Twitter untuk mendapatkan maklumat terkini.




No comments: