BUKTI BN TABUR DUIT DI SARAWAK...HA...HA....HA

Nizar Sahkan Bertanding Saat-Saat Akhir



KUALA LUMPUR 26 MEI : Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menamatkan teka-teki dengan menjadi orang terakhir mengesahkan bertanding merebut jawatan naib presiden dalam pemilihan PAS kali ini.

Pihaknya telah menghantar surat pengesahan ke Pejabat Agung PAS sebentar tadi, lapor Harakahdaily.

Dianggap sebagai 'selebriti' PAS, Mohamad Nizar dijangka mampu memberikan tentangan hebat kepada dua calon pilihan iaitu Salahudin dan Husam.

Beliau akan menghadapi pertembungan enam penjuru dengan dua penyandang sekarang, Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar; dua exco Kelantan Datuk Husam Musa dan Mohd Amar Nik Abdullah; dan Idris Ahmad.

Manakala Bendahari Agung PAS Dr Hatta Ramli yang sebelum ini mahu bertanding membuat 'pusingan u' beberapa jam sebelum tutup waktu akhir pengesahan pada jam 5 petang ini.

Bintang baru PAS itu mula menyinar selepas dilantik memimpin kerajaan Pakatan Rakyat di Perak susulan kemenangan gabungan itu dalam pilihan raya umum 2008.

Antara 3 calon pilihan

Sebelum ini ramai yang tidak mengenalinya, tetapi selepas bergelut mempertahankan 'maruah' kerajaan Pakatan Rakyat daripada dirampas, menyebabkan karismanya semakin menyerlah.

Walaupun kerajaan Pakatan yang dipimpinya runtuh selepas 11 bulan, beliau masih berjaya mengekalkan momentum pembangkang apabila menang dalam pilihan raya kecil parlimen Bukit Gantang pada April 2009.

azlanTidak terhenti di situ, beliau kemudiannya menang dengan undi terbanyak dalam pemilihan parti dua bulan kemudiannya selepas bergelar ahli parlimen.

Sehubungan itu, pemerhati politik melihat beliau merupakan salah seorang calon pilihan untuk mengisi kekosongan satu daripada tiga kerusi naib presiden.

Sementara itu, dua lagi calon tumpuan dalam persaingan itu adalah exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa dan naib presiden sekarang Salahudin Ayub.

Husam sebelum ini pernah menyandang jawatan itu. Beliau merupakan bekas setiausaha politik Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat dan dianggap anak emas mursyidul am PAS itu.

Lebih mudah pilih

Manakala Salahudin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian antara pemimpin kanan PAS yang diberikan kepercayaan menggalas tanggungjawab besar mengetuai pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang dan DUN Tenang sebelum ini.

azlanPemerhati politik juga menyifatkan tentangan ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz juga tidak kurang hebatnya khusus perjuangannya membantah saman ekor melalui kempen Anti Saman Ekor (KASE).

Bagaimanapun ketika mengumumkan pendiriannya bertanding naib presiden, beliau mengakui 'agak sulit untuk mendapat tempat' kerana kemampuan dan kebolehan calon lain.

Mohd Amar dan Idris pula dilihat sebagai calon yang boleh mengisi 'kuota ulama' bagi menggantikan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengesahkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

Disebabnya hanya enam -- daripada 14 yang layak -- menyahut pencalonan kawasan, ia lebih memudahkan sejumlah 1,100 perwakilan membuat pilihan.-Malaysiakini

HA..HA..HA TAK BERANI NAK POTONG,NAIK, NAK TIPU RAKYAT

BN ‘korban’ tak potong subsidi takut kalah teruk PRU-13, dakwa DAP


KUALA LUMPUR, 26 Mei – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng percaya langkah Putrajaya tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) buat masa sekarang kerana bimbang akan kehilangan sokongan rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

Tegas Lim (gambar), langkah Pakatan Rakyat yang secara berterusan mendesak Putrajaya menyebabkan pentadbiran Najib terpaksa membatalkan hasrat memotong subsidi dan pada masa sama mengumumkan tiada kenaikan harga bahan api.

“Pakatan Rakyat telah menyebabkan timbulnya rasa takut kepada kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah mendorong BN untuk membatalkan cadangan pemotongan subsidi, malah turut mengumumkan tiada kenaikan harga minyak RON95, diesel dan gas petroleum cecair untuk ketika ini.

“Namun subsidi diesel untuk kapal penangkap ikan laut dalam dan sembilan kelas kenderaan komersial akan dihapuskan bermula 1 Jun, mengurangkan bebanan subsidi yang ditanggung kerajaaan persekutuan sehingga mencecah RM886.1 juta setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu tegas beliau, ada tiga alasan yang menyebabkan Putrajaya terpaksa berubah fikiran untuk tidak meneruskan cadangan menaikkan harga barang dan bahan api.

“Pertama, Pakatan Rakyat berkemampuan untuk memobilisasi hampir keseluruhan dalam usaha membantah kenaikan harga barangan dengan mendedahkan ketidakadilan yang wujud dalam syarikat besar seperti IPP (penjana tenaga bebas) yang dilindungi daripada pemotongan subsidi sebanyak RM19 bilion setahun sementara 27 juta rakyat Malaysia biasa yang tidak berkemampuan terpaksa membayar sejumlah wang dengan harga yang tinggi.

“Kedua, BN berhasrat untuk mengadakan pilihan raya umum dan kenaikan harga yang berat sebelah ini tidak bersependapat dengan para pengundi dan ketiga, BN bimbang dengan kekuatan luar biasa Pakatan Rakyat sehingga BN takut untuk meneruskan pemotongan subsidi yang hanya akan menyebabkan mereka kehilangan sokongan rakyat,” katanya.

Bagaimanapun kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu, beliau menjangkakan kenaikan harga barang dan bahan api akan berlaku sekiranya BN kekal memperoleh kemenangan pada pilihan raya umum ke-13.

“Bagaimanapun sebelum rakyat berpesta dengan pengekalan harga beberapa barangan kawalan, kerajaan BN masih belum menyerah kalah untuk menaikkan harga dengan pengurangan subsidi. Ini adalah berikutan dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan bahawa kajian semula dasar subsidi adalah perlu kerana kerajaan berdepan dengan bebanan subsidi dua kali ganda iaitu dari RM10.32 bilion kepada RM20.58 bilion untuk tahun ini.

“Selain itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak untuk menyatakan berapa lama kerajaan akan mengekalkan harga semasa.

“Dalam erti kata lain, sebaik BN memenangi pilihan raya umum yang akan datang, tiada siapa yang akan dapat menghalang BN untuk menghapuskan subsidi dan menaikkan harga barang,” katanya.

Semalam Ismail Sabri mengumumkan Putrajaya tidak akan menaikan harga petrol RON95, diesel dan LPG.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tetap akan meneruskan kajian rasionalisasi subsidi berikutan peningkatan harga bahan bakar itu di pasaran global.

Sebelum ini firma penyelidikan pelaburan AmResearch berkata, harga petrol RON95 dijangka mengalami kenaikan 20 sen bulan depan, mencecah RM2.10 seliter, selepas kos subsidi meningkat tiga kali ganda kesan pergolakan politik di rantau Timur Tengah dan utara Afrika.

Firma itu menganggarkan Putrajaya kini memperuntukkan subsidi sehingga 90 sen seliter bagi petrol RON95 berbanding 30 sen seliter yang disasarkan selepas harga minyak mentah dunia naik sehingga AS$99 setong daripada AS$79 setong tahun lalu — hampir sama dengan paras AS$100 setong pada 2008.

AmResearch juga berkata, subsidi petrol akan menyebabkan defisit fiskal kerajaan meningkat sehingga enam peratus berbanding 5.4 peratus jika RON95 kekal dengan harga semasa RM1.90 seliter sepanjang tahun ini.

Hospital Shah Alam : JKR Dokong Syarikat Tidak Layak, Kata Khalid





SHAH ALAM 26 MEI : Ceritera Hospital Shah Alam yang masih menjadi igauan penduduk ibu negeri Selangor kini dibelit dengan isu pembayaran komisyen berjuta-juta ringgit oleh syarikat yang dituduh bersekongkol dengan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan kontrak baru projek itu.

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini mendedahkan tiga dokumen menunjukkan bekas subkontraktor projek itu Frontier Structure menawarkan komisyen RM30 juta kepada bekas kontraktor utama Sunshine Fleet Sdn Bhd.

Sepucuk surat lagi menunjukkan bagaimana Kementerian Kewangan mengarahkan Jabatan Kerja Raya memasukkan Frontier sebagai syarikat yang membida projek berkenaan walaupun syarikat itu bukan kontraktor Kelas A dan tidak pun membida untuk mendapatkan projek itu.

Khalid berkata Frontier menawarkan RM30 juta kepada Sunshine supaya syarikat itu mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya kontrak baru pembinaan hospital itu diberikan kepada Frontier.

Sebagai balasan, FSSB akan membayar sejumlah RM30 juta dalam bentuk pemberian sub-kontrak kepada SFSB, menurut syarat yang didedahkan oleh Khalid.

"Dia (FSSB) (janji) akan membayar balik RM 30 juta kepada Sunshine. Syarikat Sunshine sebelum ini sudah pun mengaut keuntungan berpuluh juta ringgit sebelum ini apabila diberikan projek tersebut. Dari RM 480 juta dia dapat RM 60 juta," kata Khalid.

Khalid turut menunjukkan senarai pembida baru projek hospital itu berasaskan tender yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya pada Disember tahun lalu. Senarai itu menunjukkan FSSB tidak membida untuk projek berkenaan.

Pada 23 Mac lalu, Kementerian Kewangan menerusi sepucuk surat menggarahkan Kementerian Kerja Raya menyenarikan FSSB sebagai pembida projek berkenaan.

"Sunshine mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan. Akhirnya Pengarah Kerja Raya yang menerima surat arahan ini daripada Kementerian Kewangan bertindak memasukan FSSB dalam senarai," kata beliau.

Khalid menegaskan tindakan mencurigakan Kementerian Kewangan, FSSB dan Sunshine adalah 'permainan' syarikat kroni-BN yang menyebabkan projek Hospital Shah Alam terus terbiar.

"Frontier Structure Sdn Bhd bukan kontraktor kelas A, jadi bagaimana surat (Kementerian Kewangan) ini boleh keluar? Inilah mainan di antara semua kroni yang berebut projek, yang jadi mangsa ialah rakyat Shah Alam. Projek ini sudah setahun terbengkalai. Dah jadi kawasan terbiar. Tak ada orang jaga," kata Khalid.

Projek pembinaan Hospital Shah Alam dengan kos kontrak RM482.6 juta ini telah dimulakan pada 15 Nov 2007 dan sepatutnya siap pada 25 Jun 2011 namun sehingga kini, bekas kontraktor utama, Sunshine Fleet hanya menyiapkan tidak sampai 30 peratus dari keseluruhan projek.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor sebelum ini menyatakan JKR dalam proses membuka tender baru bagi melantik kontraktor untuk menyambung kerja-kerja pembinaan Hospital Shah Alam yang terbengkalai.

Khalid mengakui beliau tidak mengetahui kesahihan surat tersebut namun ia nampak seperti surat rasmi

Justeru, beliau membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi menyiasat pendedahan-pendedahan dalam tiga surat berkenaan dan mengambil tindakan yang diperlukan.

"Saya hendak buat laporan kepada SPRM suruh siasat sama ada betul atau tidak. Tapi inilah surat yang saya terima. Ada Kementerian Kewangan boleh tulis kepada Pengarah JKR untuk masukkan syarikat yang bukan kelas A. Alasannya nak tunggu FSSB dapat lesen kelas A," kata Khalid.

PAS Bantah 1,120 Ahlinya Dipindah Kawasan Undi























SHAH ALAM 26 MEI : Ahli parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud mendakwa seramai 1,120 orang pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak dipindahkan ke kawasan DUN Sungai Panjang tanpa pengetahuan pengundi tersebut.

Menurut Dr Siti Mariah, tindakan tersebut bukan sahaja menyukarkan pengundi malah ia mempunyai agenda tersembunyi memandangkan pertukaran kawasan mengundi itu turut melibatkan kawasan Parlimen dan DUN.

"Mereka telah dipindahkan SPR atas alasan pembetulan sempadan,"katanya.

"Tindakan tersebut menyusahkan rakyat kerana ada yang terpaksa mengundi lagi jauh, contohnya seperti di DUN Sungai Panjang sekali gus akan mengakibatkan mereka gagal untuk keluar mengundi. Malah ada juga yang pergi ke Pusat pengundian yang biasa tetapi nama mereka tiada, dan mereka pun balik," katanya dalam satu sidang media di pejabat ahli parlimen Shah Alam pagi ini.

Jelas Siti Mariah, beliau turut bimbang tindakan itu akan menjejaskan peluang calon PAS untuk memenangi kerusi itu, memandangkan calon parti berkenaan sebelum ini hanya tewas dengan perbezaan 117 undi.

DUN Sungai Panjang merupakan kubu kuat UMNO dan penyandangnya ialah bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo yang memenangi kerusi dengan majoriti lebih 5,000 pada 2008.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad menegaskan pihaknya mahu SPR bersikap profesional dalam menangani perkara tersebut.

"Kita mintak SPR bertindak secara profesional, maklumkan dengan telus dan lebih awal (kepada pengundi)," ujarnya.

Semalam, PAS mengemukakan satu memorandum bantahan kepada Surunhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dengan 1210 ahli PAS yang dipindah kawasan mengundi tanpa disedari atau dimaklumkan oleh mereka di ibu pejabatnya.

Rombangan PAS yang diketuai oleh AJK PAS Pusat Dr. Siti Mariah Mahmud bersama dengan enam jawatankuasa PAS Sabak Bernam tiba pada jam 10 pagi di Pejabat SPR, Putrajaya dan terus ke pejabat Setiausaha SPR untuk berjumpa dengan Datuk Kamaruddin Mohamed Baria mengenai bantahan tersebut.

Pihak SPR yang diwakili oleh Pengarah Pilihan Raya negeri Selangor Tuan Haji Dzulkifli Ab. Rahman dan juga Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria menjelaskan pekara ini tidak akan mungkin berlaku sekiranya mereka tidak membuat pemindahan sendiri.

Bagaimana pun, pihak SPR mengambil sampel lima nama dalam senarai tersebut untuk disemak oleh unit sistem SPR

Menurut Kamaruddin yang juga merupakan bekas Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, menyatakan kebanyakan bantahan yang diterima adalah tidak berasas dan tidak diselidik terlebih dahulu oleh pihak yang membuat bantahan dan pihaknya akan mendakwa balik sekiranya bantahan yang dibuat adalah tidak berasas.

Mengulas lanjut tindakan SPR mengenakan caj RM10.00 pada setiap bantahan yang dibuat serta perlu mengemukakan bukti dan berisiko dikenakan kompaun semula oleh badan itu jika tidak memberikan kerjasama khalid berkata ia merupakan amalan berat sebelah.

"Seperti kes di Shah Alam, setiap bantahan dikenakan bayaran sebanyak RM 10. Malah, kita buat kerja SPR dengan memastikan pilihan raya telus dan bersih tetapi bila kita buat bantahan kita juga dikenakan bayaran RM 10 dan kita kena buktikan orang itu tak layak mengundi di situ," tegasnya.




Hina Islam : Abim Gesa Tindakan Tegas Kepada 'Makcik Hajjah'




KUALA LUMPUR 26 MEI : Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mahu tindakan tegas diambil ke atas blog dan laman Facebook yang menggunakan nama 'Makcik Hajjah Sitt Al Wuzara' kerana jelas menghina imej serta kesucian agama Islam.

Setiausaha agungnya Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, bahan-bahan yang dimuatkan itu menggambarkan niat jahat dan berbentuk provokasi.

“Tindakan ini amat dikesali dan jelas-jelas telah menimbulkan kemarahan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Abim beserta Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah membuat laporan polis di balai Dang Wangi.

Selain tulisan yang mencaci agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, turut disiarkan dalam blog berkenaan adalah beberapa gambar palsu yang menghina Kaabah yang ditampal dengan gambar binatang, jerung dan juga penyanyi barat yang berpakaian seksi.

Sehubungan itu, Abim juga kata Mohamad Raimi, Abim mahu Suruhanjaya Komunikasi Multimedia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri serta pihak berwajib segera menyiasat secara terperinci insiden berkenaan.

“Abim menuntut agar dakwaan dan tindakan tegas dikenakan terhadap penulis itu dan mana-mana pihak yang bersubahat.

“Abim juga dengan ini mendesak agar pemohonan maaf dikeluarkan secara rasmi dan terbuka oleh beliau terhadap seluruh umat Islam,” katanya.

BERSIH Pelawa BN Sertai Himpunan Rakyat





KUALA LUMPUR 26 MEI : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) hari ini mempelawa semua parti komponen BN menyertai perhimpunan besar-besaran 9 Julai ini bagi menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.

“Saya jamin menteri dan parti politik bahawa ini adalah insiatif masyarkat madani dan bukannya inisiatif mana-mana parti politik,” kata pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan pada sidang akhbar di Kuala Lumpur.

Beliau merujuk amaran Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin, sebelum ini yang mahu BERSIH 2.0 sebagai penhanjur membatalkan perhimpunan jalanan itu.

"Saya ingin menjemput semua parti politik termasuk BN dan NGO lain supaya bersama kami pada perhimpunan ini untuk bersama dengan rakyat.”

Pengumuman pertama perhimpunan itu dibuat oleh ahli jawatankuasa pusat PAS Mohamad Sabu pada Sabtu lalu. Tetapi jelas Ambiga, PAS dimaklumakan berhubung inisiatif berkenaan melalui mesyuarat BERSIH 2.0 baru-baru ini, di mana wakil beberapa kumpulan turut dijemput.

"Kami bermesyuarat dengan beberapa NGO dan kumpulan lain termasuk PAS kerana mereka mempunyai pengalaman menganjurkan perhimpunan seumpama ini,” katanya.

Mengulas reaksi dingin daripada Hishammuddin, yang menganggap perhimpunan itu sebagai cubaan menimbulkan huru-hara dan memburukkan imej antarabangsa Malaysia, Ambiga berkata pemimpin politik yang berkuasa mesti menukar tanggapan mereka berhubung perhimpunan aman yang menjadi hak perlembagaan setiap rakyat.

"Kami tidak akan berundur. Ia pada 9 Julai dan ia akan diadakan,” katanya lagi.-Malaysiakini

Kekalkan Harga Barang, Strategi BN menjelang PRU




SHAH ALAM 26 MEI : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa kenaikkan harga minyak RON95 serta barang keperluan lain akan bertambah serius sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kuasa pemerintahannya pada pilihan raya Umum ke-13 akan datang yang dijangka diadakan dalam masa terdekat ini.

Ketua Penerangannya, Lee Khai Loon berkata tindakan kerajaan pusat tidak menaikkan harga minyak dan barang keperluan lain hanya strategi politik mereka bagi menghadapi pilihan raya.

Malah katanya, pengumuman tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan LPG dibuat kerana Umno-BN sedar tindakkannya itu hanya akan menyebabkan rakyat menolak parti itu sekali gus kehilangan kuasa pemerintahan di Malaysia.

“Dengan kata lain, jika UMNO-BN terus diberi kuasa atau merampas balik 2/3 majoriti kerusi di Parlimen, maka kecenderungan harga barang naik selepas PRU13 akan bertambah serius.

“Lebih membimbangkan adalah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang telah ditolak oleh rakyat jelata selama ini akan dilaksanakan semula oleh UMNO-BN sekiranya mereka menang besar dalam PRU13,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Lee Khai Loon, meskipun Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan tindakan kabinet itu tiada kaitan dengan pilihanraya umum akan datang, namun kerajaan sudah beberapa kali menaikkan harga barang kawalan seperti RON97, tepung, gula dan sebagainya.

Dalam pada itu, AMK turut kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggambarkan subsidi bahan api ibarat ‘candu’ kepada rakyat.

Justeru katanya, polisi kerajaan itu jelas bercanggah dengan konsep rakyat didahulukan seperti yang selalu diuar-uarkan oleh kerajaan 1 Malaysia.

“Kerajaan telah memotong subsidi yang penting untuk rakyat tetapi langsung tidak menyentuh subsidi berbilion-bilion yang diberi kepada syarikat pengeluar tenaga Bebas (IPP)," ujarnya.

Tambahnya lagi, tindakan kerajaan yang mengabaikan kepentingan rakyat ini telah menyebabkan beban kehidupan harian rakyat yang semakin berat, manakala rungutan dan kemarahan rakyat juga kian bertambah.

“Oleh itu, AMK berpendapat bahawa kenaikan harga barang yang tidak terkawal menunjukkan kerajaan UMNO-BN gagal dalam mengendalikan ekonomi negara dengan cekap.

“Rakyat jangan terpedaya dengan taktik menunda dimana akhirnya akan seperti katak yang dimasak dengan air hangat,’ katanya.

Skim Kenaikan Pangkat Perbesar Jurang Pendapatan Guru




PETALING JAYA 26 MEI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpendapat Skim Kenaikan Pangkat yang diumumkan Perdana Menteri Najib Razak 16 Mei lalu hanya akan memperbesarkan jurang pendapatan antara guru peringkat pentadbiran dan biasa.

Ini kerana insentif yang diperkenalkan kementerian itu tidak meliputi majoriti guru-guru di negara ini sebaliknya hanya memberi kesan kepada kurang daripada dua peratus golongan tenaga pengajar senior menurut Pengerusi Biro Pendidikan PKR, Abbas Awang.

Selain menyifatkan rata-rata program kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) sebagai anti-klimaks, Abbas berkata kerajaan menyisihkan guru-guru biasa dalam program mereka.

"Guru kanan kuotanya terhad (setiap sekolah). Walaupun cemerlang mereka tidak akan naik. Sebuah sekolah ada satu pengetua dan dua penolong kanan.

"Kalau (gaji guru besar) naik dan beri imbuhan, masalah besar yang bergelumang dengan pendapatan ini adalah golongan bawah," kata beliau.

Abbas turut mendedahkan skim kenaikan pangkat yang diumumkan hanya melibatkan seramai 1,288 orang Pengetua dan tujuh ribu Penolong Kanan Sekolah Menengah dan Rendah yang terpilih.

Tambahnya, ganjaran bersifat terpilih itu hanya memberi manfaat kepada kurang dua peratus warga pendidik daripada jumlah keseluruhan golongan terbabit, berbeza dengan jaminan menaiktarafkan kebajikan keseluruhan pendidik dalam Buku Jingga dengan memberi insentif RM500 setiap seorang.

Jelas Abbas lagi, kenaikan gaji Pengetua dan guru-guru Penolong Kanan adalah tidak sekata iaitu RM190 hingga RM900 sebulan selain akan menelan kos RM80 juta setahun.

Minggu lalu, Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar golongan guru yang dikecualikan daripada skim kenaikan pangkat pada 1 Januari tahun depan supaya bersabar sementara kerajaan mencari penyelesaian untuk turut memberi imbuhan kepada mereka.

Ini susulan bantahan yang diterima daripada guru-guru bertaraf diploma yang merasa terpinggir.

Muhyiddin dalam kenyataannya memberi alasan kerajaan kini dalam proses untuk mengurangkan defisit negara selain mengambil kira kos tambahan akibat kenaikan gaji dan elaun.

Dalam sesi temubual itu, Abbas yang juga bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Bahagian Sekolah turut menyuarakan kebimbangan terhadap bilangan tenaga pengajar di sekolah-sekolah sekitar Kuala Lumpur yang semakin berkurangan akibat kos sara hidup tinggi.

Katanya, purata sehingga enam guru yang mengajar di sekolah sekitar bandaraya itu berstatus sementara.

"Sebab kos sara hidup tinggi. Bayangkan gaji guru satu ribu lebih, rumah sewa dan kereta sudah berapa. Akhirnya mereka kata pergi ke Kuala Lumpur mereka jatuh miskin," kata beliau.

Tambah Abbas sekiranya Pakatan Rakyat diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum akan datang, fokus akan tertumpu kepada maktab-maktab perguruan dalam usaha
membentuk budaya pendidik cemerlang selain insentif RM500 yang dijanjikan.

Menurut statistik Kementerian Pelajaran Malaysia, jumlah bilangan guru setakat 31 Januari 2011 berjumlah 408,764 orang di 9,980 buah sekolah seluruh negara.

Manakala kementerian itu mencatatkan bilangan murid seramai 5,332,777 orang menjadikan purata tiga belas orang murid kepada seorang guru.


PROGRAM PAKATAN DI TEMERLOH

PROGRAM DSAI DI PAHANG

PROGRAM 28 MEI...2011

PARLIMEN KERDAU , DUN JENDERAK DAN PARLIMEN TEMERLOH

PROGRAM I

JAM 5-7 PETANG-MINUM PETANG DI RESTORAN EKONOMI MEE LOON JLN KPG BARU CINA TEMERLOH.(Bersebelahan banggunan lama HSBC Temerloh)
PENCERAMAH : DSAI, YB TIEN CHUA, YB SYED HAMID MOHAMAD, YB LEONG NGAH NGAH DAN DATO FAUZI.


PROGRAM 2

CERAMAH DI FELDA JENDERAK UTARA DUN JENDERAK DI MARKAS PAS JAM 830 MALAM

DSAI,YB TIAN CHUA , DATO FAUZI ABDUL RAHMAN.


PROGRAM 3

CERAMAH PERDANA HIMPUNAN PENEROKA FELDA DI MARKAS BESAR PAS PAHANG DI KERDAU JAM 10.MALAM
(DSAI di jangka akan merasmikan montaj UNIVERSITI FELDA seperti janji PAKATAN DLM BUKU JINGGA )

PENCERAMAH...DSAI,TUAN GURU HJ HADI,DATO TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Nik Aziz Belum Sedia Idea Pakatan Tidak Bubar DUN Jika PRU 2011




KOTA BHARU 26 MEI : Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau belum bersedia menerima cadangan DAP supaya semua negeri pimpinan Pakatan Rakyat tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sekiranya pilihan raya umum ke 13 akan diadakan pada tahun ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata belum ada keputusan diambil oleh pucuk pimpinan dalam pakatan pembangkang berhubung perkara itu.

Nik Aziz menganggap kenyataan DAP agar tidak membubarkan DUN itu sebagai satu kenyataan bersifat peribadi pemimpin itu, yang tidak mewakili pandangan parti.

“Sesiapa sahaja boleh mengeluarkan pendapat mengikut keperluan semasa dan kepentingan masing-masing.

“Itu adalah pendapat peribadi, saya tidak tahu sama ada ia diputuskan di peringkat pucuk pimpinan parti atau tidak, sebab itu saya sifatkan ia pendapat peribadi,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Selasa lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu bersetuju supaya empat negeri yang dikuasai pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat-PAS iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan DUN masing-masing jika pilihan raya umum diadakan tahun ini.