TERKINI: Saifuddin Nasution: Kuasa ketiga persaingan Timbalan Presiden SIRI 10

Saifuddin Nasution: Kuasa ketiga persaingan Timb. Presiden


April 2014 15:09

Jangka waktu yang semakin hampir dengan tarikh pemilihan kepimpinan tertinggi PKR pada hujung April ini menyaksikan calon-calon yang bertanding melakukan serangan terhadap lawan politik masing-masing.

Dalam kemelut perwatakan  Azmin yang dianggap elit serta tidak mesra rakyat dan Khalid Ibrahim yang kedekut dan lebih suka membuat keputusan sendiri berbanding berbincang bersama pemimpin parti, muncul kuasa ketiga yang dilihat lebih stabil. Watak itu ialah Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Pemerhati politik berkata Saifudin mendapat restu dari Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim untuk turut serta dalam cabaran pemilihan kali ini.

Bagaimanapun, tanpa restu Anwar sekali pun banyak pihak melihat sudah tiba masanya Saifuddin mencabar Azmin untuk jawatan timbalan. Pelbagai sebab boleh diberikan dan sesetengahnya amat kukuh demi kestabilan PKR selepas hukuman penjara ke atas Anwar hampir pasti berlaku.

Idea efisien

Saifuddin boleh menjadi timbalan yang melontar pelbagai idea efisien untuk memperkukuhkan PKR. Azmin sepanjang empat tahun menjadi timbalan presiden dilihat gagal membawa parti ke arah yang lebih baik dalam pilihan raya umum ke 13 lalu.

Tumpulnya cabaran PKR merampas Perak dan Pahang didakwa berpunca daripada percaturan politik Azmin meletakkan calon yang kurang dikenali dan berkelayakan di beberapa tempat yang boleh dimenangi PKR. Azmin juga didakwa lebih senang meletakkan calon yang rapat dengannya menghadapi cabaran BN. Tindakan ini dikecam oleh pemimpin PKR negeri apabila calon pilihan mereka tidak mendapat tempat.

PKR sepatutnya menyumbang kerusi yang cukup di Perak bagi mengambil kembali negeri itu dari cengkaman BN setelah DAP mengerahkan semua kekuatan yang ada. PAS juga telah mengerakkan keupayaan mereka ke tahap maksimum.

Di Pahang beberapa kerusi yang seharusnya PKR menang tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya PAS menambah kerusi dan DAP menang hampir kesemua kerusi yang ditandingi mereka.

Dalam hal ini wujud keperluan untuk menukar Timbalan Presiden kepada seseorang yang lebih mudah berunding dan mengutamakan kesepakatan bersama  dalam membuat keputusan. Saifudin adalah calon terbaik dalam berunding.

Beliau yang berasal dari era Reformasi 1998 mempunyai banyak pengalaman politik, khususnya mentadbir PKR. Pada zaman Saifuddin menjadi setiausaha agung, keahlian PKR mencecah ke angka 500,000 dan ia satu rekod cemerlang bagi parti yang baru berusia 15 tahun.

Beliau juga mampu mendamaikan pertelingkahan dalaman dan menyelesaikan isu akar umbi dengan lebih baik kerana disenangi banyak. Berbanding Azmin yang lebih senang dikelilingi orang-orangnya, Saifuddin hampir tiada sesiapa yang mengelilinginya.

Azmin didakwa hanya mesra dengan pemimpin yang tidak memberi ancaman politik kepadanya, sebaliknya Saifuddin boleh bergaul dengan mana-mana pemimpin termasuk yang berpotensi mencabarnya.

Khalid bukan pilihan

Tentu sekali dalam persaingan ini Khalid Ibrahim sama sekali tidak boleh menandingi kedua-dua calon, Azmin dan Saifuddin. Khalid yang sangat sukar dihubungi dan ditapis pula oleh dua setiausaha politiknya pasti menolak bertemu ahli bawahan sekiranya wujud masalah dalam parti.

Malah menjadi gurauan, punca Khalid lari dari DUN Ijok ke Pelabuhan Kelang adalah kerana sikapnya yang jarang turun padang. Majlis-majlis rasmi PKR di DUN itu pun dikatakan hanya diwakili oleh setiausaha politiknya Faekah Husin.

Sebab itu, dalam PRU lalu Dr Idris Ahmad menggantikan beliau dan Idris hanya menang dengan majoriti beberapa ratus undi kesan ketidakpopularan Khalid.

Khalid amat tidak boleh diharap jika menjadi Timbalan Presiden PKR. Apatah lagi telah menjadi rahsia umum Khalid pernah melanggar arahan Anwar dan Presiden Parti Dr Wan Azizah.

Paksi politik baru

Dalam keadaan yang tidak pasti antara Azmin dan Khalid yang mempunyai kelemahan tersendiri, Saifuddin adalah tawaran terbaik buat ahli PKR. Apatah lagi beliau bergabung bersama ikon anak muda Rafizi Ramli serta Nurul Izah yang disifatkan sebagai aset kepimpinan masa depan PKR.

Jelas PKR dibawa masuk ke dimensi baru perjuangan reformasi dengan kepimpinan Saifuddin dan paksinya dalam pemilihan kali ini.