Nik Aziz : Pemfitnah Harus Minta Maaf




RAWANG 28 MEI : Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarankan pihak yang menabur fitnah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tampil memohon maaf.

Katanya, ini kerana maruah dan harga diri seseorang individu adalah tunjang sifat kemanusiaan secara jelas tidak boleh diaibkan sewenang-wenangnya demi kepentingan politik semata.

Justeru, Nik Aziz tidak menolak kredibiliti Anwar sebagai pemimpin berlandaskan syiar Islam merupakan faktor kemaraan politiknya disekat oleh kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) yang khuatir akan kehilangan kuasanya.

"Mereka tahu Anwar pandai. Mereka bimbang Anwar jadi Perdana Menteri, sebab itu mereka fitnah. Anwar bukan batang kayu tapi orang. Orang ini ada malu," ujar beliau.

Sehingga kini polis telah menerima lebih daripada 10 laporan berhubung pengedaran cakera padat (CD) rakaman video seks lucah yang cuba dikaitkan dengan ahli Parlimen Permatang Pauh itu di seluruh negara juga kepada ketua-ketua kampung di sekitar Selangor.

Aktiviti pengedaran cakera padat itu juga didakwa didalangi oleh ahli Umno-BN.

Namun sehingga hari ini, polis masih belum mengambil sebarang tindakan terhadap trio 'Datuk T' yang merupakan dalang utama dalam pendedahan video berkenaan Februari lalu.

Dalam siri ceramah perdana 'Pas Ganti Umno' semalam, Nik Aziz berkata ideologi parti Umno-BN secara langsung memerangkap mentaliti masyarakat Melayu sehingga keliru untuk membezakan kepentingan mewujudkan senario politik sihat.

Malah beliau turut berpendapat pendekatan Umno-BN itu juga telah menghakis prinsip demokrasi yang diamalkan negara ini.

"Mereka rampas Perak. Ini bukan demokrasi. Kalau mahu pindahkan nama pengundi tidak ada masalah tapi di akhirat nanti akan dapat balasan. Mana ada demokrasi halang orang bercakap. Ini hak semua orang," katanya.

Dalam ucapannya di hadapan dua ribu pengunjung yang hadir di padang Kampung Setia itu, Nik Aziz menyifatkan perbalahan isu agama dan kaum hanya membuka ruang kebencian terhadap masyarakat yang pelbagai.

Walhal katanya, fokus pemerintah seharusnya menjurus kearah penyatuan rakyat seperti mana yang di uar-uarkan dalam slogan 1 Malaysia.

Sehubungan itu Nik Aziz mengingatkan, kaedah politik terbaik bagi struktur masyarakat kompleks seperti di Malaysia merupakan politik yang selari dengan Islam.

Dimana, beliau mengambil contoh pendekatan yang dilaksanakan oleh Pas di negeri Kelantan dari sudut sosio-ekonomi, budaya dan sosial tanpa bersikap dwi standard atau prejudis terhadap kaum lain.

"Umno cuba pecahkan (perpaduan) tidak betul. Semua berasal dari seorang bapa iaitu (Nabi) Adam dan Hawa. Cuba kamu cari siapa nenek moyang. Kalau masih tidak jumpa maka semua manusia berasal dari keturunan yang sama," katanya lagi.

Baru-baru ini Presiden Persatuan Peribumi Perkasa (Perkasa), Ibrahim Ali mengisytiharkan kesediaan beliau untuk berperang 'Jihad' sekiranya masyarakat beragama Kristian mempersoal kedudukan agama Islam di negara ini.

Kenyataan tersebut walau bagaimanapun tidak disokong oleh Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein sebaliknya menyatakan bahawa pendapat Ibrahim hanya mewakili segelintir masyarakat Melayu beragama Islam.

Jelas Nik Aziz lagi, beliau turut mengulangi pendiriannya bahawa Pas tidak akan bergabung dengan Umno-BN walaupun perkara tersebut pernah berlaku dahulu.

"Saya antara orang yang menyokong Pas masuk BN selepas 13 Mei. Sehinggakan Pas di Kelantan berpecah kepada empat. Bila (Pas) masuk, dan (BN) senang dia tendang kita. Sekarang bila sudah susah, mereka datang balik kepada kita.

"Jangan masuk lubang kali kedua. Kalau pertama sudah kena sengat, maknanya bodoh kalau kita masuk kali ke dua," tambah beliau lagi.

Beliau sebelum itu menerima penyerahan borang 114 bekas ahli Umno cawangan Kampung Melayu Seri Kundang yang diserahkan sendiri oleh bekas Ketua Bahagiannya, Mat Senin Mat Lana.

Antara lain yang turut menjejaki langkah Mat Senin adalah bekas Ketua Wanita, Kamariah Meor Baldin dan bekas Pemuda, Mohd Khairuddin Abu Bakar.

Hadi : PAS Bela Peneroka Dari Jadi Hamba Felda


TEMERLOH 28 MEI : PAS komited untuk terus memperjuangkan nasib peneroka dan keluarga mereka selari dengan keperluan asasi mereka yang tidak boleh diperniagakan.

Justeru, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata apa yang dijanjikan di dalam Buku Jingga bukanlah semata-mata janji politik pilihan raya tetapi merupakan tuntutan agama yang wajib dipenuhi oleh kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat.

"Namun semua ini hanya akan berlaku apabila rakyat memberi kuasa kepada kita bagi memerintah negara," katanya dipetik Harakahdaily sempena Himpunan Kebangkitan Warga Felda Pahang.

Menurut beliau, peneroka Felda hari ini berhadapan dengan penindasan sama ada secara disedari atau tidak akibat daripada dasar kerajaan BN yang meniagakan keperluan asas rakyat.

Abdul Hadi berkata penubuhan Felda pada asalnya bertujuan memberi tanah kepada rakyat yang miskin dan memerlukan kini bertukar kepada Felda yang berniaga dalam semua urusan.

"Kita menjanjikan pembelaan kepada peneroka Felda dengan mengembalikan hak-hak mereka, ketelusan dan pengurusan ladang, bukan hamba kepada pengurusan Felda selama-lamanya," katanya.

Menurut Abdul Hadi, PAS dan Pakatan Rakyat menjanjikan di dalam Buku Jingga untuk menghapuskan Felda Plantation dan dibahagi-bahagikan tanah kepada anak-anak peneroka dan mereka yang memerlukan bagi mengurangkan kemiskinan di kalangan rakyat.

Pakatan juga katanya, berikrak akan mengembalikan hasrat penubuhan asal Felda.

Beliau yang juga ahli parlimen Marang turut melancarkan borang permohonan tanah Felda Plantation sempena himpunan itu yang diadakan di tapak Kompleks PAS Pahang, Kerdau, malam semalam.

Turut menyampaikan ceramah ialah naib presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, AJK PAS Pusat yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah, Mazlan Aliman dan Pengerusi Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Pusat, Normala Sudirman.

Bercakap pada sidang media selepas majlis ceramah, beliau berkata PAS melalui Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah akan memberi perhatian khusus berhubung dengan tanah yang melibatkan peneroka Felda.

"PAS memberi kesedaran dan kefahaman kepada mereka untuk menyelamatkan mereka dari segi politik dan pengurusan. Dari segi politik, mereka hendaklah memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Sementara itu, Mazlan pula memberitahu sebanyak 6,000 borang permohonan tanah yang diedarkan pada malam tadi hampir habis diambil dan diisi oleh warga Felda yang hadir pada majlis itu.

"Borang 6,000 hampir habis pada malam ini, ini mencapai sasaran kita," ujarnya.

Jelasnya, PAS menerusi lajnah yang dipengerusikan beliau akan melancarkan borang itu di peringkat negeri-negeri dengan menawarkan kepada lebih 100,000 mereka yang layak memohonnya.

Sementara itu, mengulas pemilihan pucuk pimpinan utama parti itu yang akan diadakan pada muktamar tahunan PAS ke-57 minggu depan, Abdul Hadi berkata tindakan berkenaan membuktikan keberanian parti Islam tersebut.

Ini, katanya kerana PAS tidak gusar akan berlaku perpecahan di kalangan parti meskipun pemilihan diadakan dalam tempoh pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada bila-bila masa.

Menurut Abdul Hadi, ini berbeza dengan tindakan beberapa parti yang menangguhkan pemilihan apabila berhadapan dengan pilihan raya.

"Kita berani buat pemilihan walaupun dalam tempoh pilihan raya diadakan sedangkan parti lain menangguhkan pemilihan," katanya.

Abdul Hadi yang diisytiharkan menang tanpa bertanding jawatan presiden PAS bagi sesi 2011-2013 menyatakan demikian ketika diminta mengulas jumlah calon yang ramai bertanding.

Kata beliau perkembangan itu menunjukkan wujudnya demokrasi di dalam PAS.

Jelasnya, PAS memberi hak kepada calon untuk bertanding dan perwakilan untuk membuat pilihan.

Baginya, pemilihan pucuk pimpinan di dalam PAS tidak mendatangkan masalah kerana ia mempunyai kawalan moral.

Mengenai kemungkinan pilihan raya umum ke-13 diadakan secara mengejut, beliau berkata ia adalah urusan BN.

Namun, katanya amalan pilihan raya di negara ini adalah luar biasa berbanding dengan negara maju.

Menurutnya, rakyat di negara-negara maju yang melaksanakan proses demokrasi mengetahui tarikh pilihan raya akan diadakan tiga atau empat tahun sebelum itu.