Norman Daud
Ramai yang tertunggu-tunggu PRN ni. Inilah medan semua parti nak uji kekuatan dan sokongan masing-masing sebelum PRU nanti.
Ramai juga pundit yang menjangkakan Barisan Nasional akan menang mudah kali ini. Hujah ini berdasarkan keadaan dalaman Pakatan Harapan, terutama Parti Keadilan Rakyat yang dilihat sedang bergolak akibat ada team yang keluar parti. Perikatan Nasional juga tengah bergolak teruk; PAS dijangkakan akan masuk PRN ini tanpa kelibat Bersatu, manakala Bersatu mungkin akan bertanding solo.
Jadi BN melihat ini adalah masa terbaik untuk diadakan PRN, di saat lawan masing-masing sedang berdepan masalah dalaman.
Faktor kekuatan MB Dato Onn Hafiz Ghazi yang dilihat mendapat populariti tinggi di kalangan rakyat juga menjadi sebab utama. UMNO juga merasakan rakyat "Bangsa Johor" telah mendapat isyarat perkenan daripada Kesultanan Johor apabila sambutan 80 tahun penubuhan UMNO berjaya diadakan di Istana Johor baru-baru ini.
Yup, di atas kertas, keadaan kelihatan memihak kepada BN kali ini.
Tapi keadaan hari ini tak sama dengan semasa PRN yang lalu.
Dulu, DS Anwar Ibrahim masih lagi belum menjadi Perdana Menteri. Kerajaan Madani masih belum terbentuk lagi pada ketika itu.
Hari ini, beliau bukan sahaja PM, tetapi sedang mengemudi negara dalam keadaan dunia yang tidak stabil termasuk mendepani krisis tenaga global akibat konflik kuasa besar yang menekan rantaian bekalan dan harga minyak dunia.
Namun dalam keadaan mencabar begitu pun, Malaysia masih mampu bertahan dengan baik. Ekonomi berkembang, bekalan asas terkawal, dan kehidupan majoriti rakyat berjalan seperti biasa tanpa tekanan melampau seperti yang dialami banyak negara lain.
Malah, penjawat awam pula menikmati kenaikan gaji, satu langkah yang bukan kecil dalam keadaan ekonomi dunia yang penuh ketidaktentuan.
Ini bukan cerita janji. Ini prestasi yang sedang berlaku.
Sebab itu, undi atas pagar (swing voters) kali ini dijangka akan melihat melampaui politik kepartian.
Mereka adalah golongan pragmatik yang menilai poket, kualiti hidup, dan kestabilan masa depan. Di sinilah impak kekuatan Kerajaan Persekutuan akan benar-benar menguji sokongan di Johor
Johor kini merupakan hab data center dan tenaga hijau utama di Asia Tenggara. Dasar liberalisasi yang agresif daripada MITI dan MIDA berjaya menarik gergasi teknologi dunia. Bagi anak muda dan profesional Johor, ini bukan sekadar angka bilion ringgit atas kertas, tetapi peluang kerja berkualiti tinggi dan bergaji premium di negeri sendiri tanpa perlu lagi "menyeberang" ke Singapura.
Walaupun langkah penyasaran subsidi minyak mendapat kritikan hebat daripada pembangkang, pengundi atas pagar yang rasional tahu ini adalah langkah berani untuk mengekang ketirisan pasaran gelap. Paling penting, penjimatan tersebut dipulangkan terus kepada rakyat melalui peningkatan ketara Sumbangan Tunai Rahmah (STR) agar duit negara betul-betul sampai ke tangan yang memerlukan.
Keupayaan negara mengekalkan kadar inflasi domestik yang rendah berbanding negara jiran menjadi hujah ekonomi yang sangat kukuh buat pengundi luar bandar dan separa bandar yang terkesan dengan kos sara hidup.
Bagi kelompok atas pagar berpendidikan tinggi (urban middle class), ketegasan Putrajaya dalam membanteras ketirisan dan memurnikan tatakelola membina keyakinan (confidence) bahawa dana awam kini diuruskan dengan bersih. Satu perbezaan yang cukup ketara dengan imej masa lalu.
Rakyat yang dah rimas dengan fasa "politik huru-hara" dan drama pertukaran kerajaan suatu ketika dahulu kini dapat merasai nilai sebuah kestabilan politik di peringkat Pusat.
Kestabilan inilah yang memberi isyarat jelas kepada pelabur luar. Malah, kelancaran projek mega infrastruktur Johor seperti RTS Link dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) amat bergantung kepada kebersamaan dan keharmonian formula Pusat-Negeri ini.
Sebab itu saya katakan, PRN kali ini bukan hanya ujian l kepada parti-parti politik sahaja
Tapi..Ini adalah ujian keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Persekutuan yang sedang memerintah.
Pastinya rakyat mahukan sebuah kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan, supaya kemajuan dan limpahan ekonomi yang telah dikecapi hari ini dapat diteruskan tanpa gangguan politik.
Apapun.. kita serahkan kepada kebijaksanaan Bangsa Johor untuk membuat penilaian di petak undi nanti.



















