PRU 13: Bukan pertarungan pemerintah vs pembangkang, tapi rakyat vs kerajaan korup


Chan Wei See

Gerakan masyarakat sivil ini telah memberi tekanan yang terbesar untuk Najib sejak mengambil alih tampuk kerajaan pada April 2009. Selepas perhimpunan BERSIH 2.0 ditekan secara keras, Najib mengulangi bahasanya untuk membawa "perubahan". Beliau mengumumkan pemansuhan ISA, menamatkan ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dahulu, menghapuskan prinsip pembaharuan tahunan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 yang menyekat hak rakyat untuk berhimpun.

Namun, fenomena "PM baru" telah menyurut. Ramai warga internet yang berwaspada dan bersikap selindung dengan janji yang ditaburkan Najib. Masa sudah tiba untuk rakyat meneliti sama ada Najib menunaikan janjinya selepas media arus perdana menyarat dadanya dengan lambakan pujian betapa terbukanya Najib.

Sebagai kesudahannya, kerajaan meminda Akta Polis yang menyekat perhimpunan rakyat, digantikan dengan Akta Perhimpunan Aman yang "menyekat hak berhimpun atas nama perhimpunan aman". RUU Perhimpunan Aman yang mengharamkan protes jalanan tidak dirunding secara terbuka dengan rakyat, diluluskan tiga bacaannya dengan pantas dalam tempoh seminggu. Langkah ini mencungkil pertikaian sama ada kerajaan berniat untuk menyekat perhimpunan BERSIH 3.0 dan mengelakkan ketibaan "Arab Spring" ke Malaysia.

Seandainya dikatakan pengumuman Najib pada malam sebelum Hari Malaysia itu menjelmakan semula imaginasi dari rakyat, maka akta yang akhirnya digubal telah menghancurkan segala sisa-baki imaginasi rakyat yang tertinggal.

Rakyat dijanjikan dengan "kebebasan berhimpun" semasa pindaan Akta Polis, namun ia berakhir dengan Akta Perhimpunan Aman yang mengharamkan protes jalanan. Maka, apa pula kesudahan pemansuhan ISA pada Mac 2012, sebagaimana yang dijanjikan? Menteri Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz telah berkata, dua akta yang bakal menggantikan ISA, yang fokusnya untuk anti-pengganas dan memelihara keselamatan negara - akan mengekalkan "penahanan tanpa perbicaraan". Jelas, ini sesuatu yang baru hanya pada nama, bukan pada isinya - gagal memberi apa-apa imaginasi.

Dari PRN Sarawak, perhimpunan BERSIH 2.0 hinggalah pindaan dan pemansuhan akta draconian, Najib tampil dengan imej flip-flop, jumud dan mencengkam sejak April 2011 - menjurus kepada kehancuran imej keterbukaan, pembaharuan, mesra rakyat yang cuba dibinanya dalam masa dua tahun - sebagaimana mayat Altantuya Shaariibuu dimusnahkan.

Melaungkan semula "Perpaduan Melayu"


Suasana krisis yang wujud dalam Perhimpunan UMNO dua tahun lalu kembali menjelma di PWTC pada akhir tahun 2011. Cuma, berbeza dengan jalan penyelesaian yang disarankan dua tahun lalu, iaitu "perubahan" dan "transformasi", UMNO mengambil pendekatan yang tradisional dan jalan singkat, dengan melaungkan "perpaduan Melayu".

Dalam perhimpunan UMNO lalu, bahasa "pembaharuan" seperti 1Malaysia telah diketepikan. Hujah yang berbaur perkauman dan kronisme kembali semula, misalnya "Melayu tolong Melayu", "Kalau projek sekecil itu pun diberi kepada syarikat GLC, apa lagi kita nak makan?", "Melayu terpaksa berkorban dan berkompromi" dan lain-lain lagi. Meskipun Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dengan nada yang tinggi memuji kejayaan program transformasi Najib, sejauh mana UMNO telah berubah dan sebagainya - namun kenyataan seperti ini hanya ditafsir sebagai kata-kata untuk mengampu.

Ketika berucap dalam sesi penggulungan perhimpunan UMNO, Najib menyeru agar semua orang UMNO bersatu-padu ke medan perang, untuk mengelakkan UMNO hilang kuasa, yang menjurus kepada terkuburnya masa depan orang Melayu - bagai raungan terakhir. Namun, mereka sama ada di dalam mahupun di luar dewan menyedari, bahawa sentimen perkauman yang meletus di pentas itu sekadar hiasan, dan "masa depan Melayu" itu sekadar kata ganti untuk "mata wang kroni UMNO". Hilangnya kuasa UMNO membawa makna jaringan kepentingan UMNO sepanjang puluhan tahun ini akan dirobekkan, dan kroni UMNO bakal jatuh ke tanah. Inilah makna tersirat di sebalik laungan "perpaduan Melayu" oleh pimpinan UMNO.

Tiada masa lagi untuk Najib membuat pengubahsuaian dalam dasarnya setelah gagal dalam "pembaharuan"-nya. Maka UMNO undur untuk mempertahankan kubunya, memperingatkan orang UMNO agar memikirkan kepentingan bersama - jangan wujud cah keting atau sabotaj dalam PRU akan datang, supaya UMNO kekal berkuasa.

Keresahan terselit di mana-mana dalam ucapan Najib. Dan beliau sememangnya mempunyai alasan untuk berasa gelisah. Siku-menyiku bermula apabila Najib mengumumkan bahawa pemilihan calon akan dibuat berdasarkan ciri-ciri winnable. Skandal yang melibatkan Menteri UMNO didedahkan satu demi satu. Dari Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil dalam skandal Projek Fidlot Kebangsaan, Timbalan Menteri Kewangan II Awang Adek hinggalah Setiausaha Sulit Kanan untuk kedua-dua orang Najib dan Muhyiddin Yassin yang dituduh menerima "sumbangan" peniaga - dianggap terdedah kerana sabotaj daripada orang dalaman parti.

Di dalam dewan, orang UMNO berikrar taat kepada parti dan bersatu-padu berdepan PRU 13. Di luar dewan, orang UMNO mula bersilat. Bung Mokhtar mendesak Shahrizat Jalil meletak jawatan, Naib Presiden UMNO Zahid Hamidi pula menegur Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Saifuddin Abdullah agar tidak menyebelahi siswa-siswi hanya untuk menjadi "hero". Ribut besar diramalkan melanda.

709 adalah pemisah politik

Untuk menyimpulkan tahun 2011, malah pentadbiran Najib selama tiga tahun, perhimpunan BERSIH 2.0 adalah pemisah yang penting. Perubahan yang besar dalam suasana politik Malaysia berlaku selepas 9 Julai 2011. Sebelum 709, BN masih mampu menarik sokongan mereka yang berada di atas pagar dan berpendidikan tinggi dengan imej Najib, namun ia mungkin tidak lagi mujarab seperti dahulu selepas 709.

Kini, BN hanya boleh menyokong pembaharuanya yang bertiang kosong dengan media arus media kawalannya. Pada masa yang sama, gula dan wang ditaburkan, menyasarkan golongan miskin, peneroka FELDA dan warga emas yang tidak terdedah kepada maklumat internet.

Empat tahun yang lalu, perhimpunan BERSIH pertama memberi tamparan yang sengit kepada kerajaan Abdullah Ahmad Badawi, sehingga pembangkang berjaya menghakis hampir separuh kuasanya. Selepas empat tahun, perhimpunan BERSIH 2.0 sekali lagi menunjukkan kuasa rakyat, memberi impak besar kepada kerajaan Najib yang asalnya semakin berkobar-kobar semangatnya.

PRU akan datang bukan lagi pertarungan antara pemerintah dengan pembangkang, tetapi pertempuran antara rakyat dengan kerajaan yang korup. (Bahagian kedua, tamat)

Menjelang 901: Anwar beri tumpuan kepada keluarga


| Print

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Datuk Seri Anwar Ibrahim kini memberikan tumpuan sepenuhnya kepada keluarga beliau menjelang 9 Januari ini apabila mahkamah akan membuat keputusan kes perbicaraan beliau pada tarikh tersebut.

(Anwar memberikan lebih tumpuan kepada keluarganya sehari dua ini)

Namun, apapun keputusan 9 Januari ini, Anwar berkata, keluarganya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang keputusan mahkamah.

"Ya..kita kena hadapi dengan sepenuhnya, saya tumpu kepada keluarga dalam dua tiga hari ini, dan mereka cukup bersedia," kata Anwar dalam wawancara khas dengan Harakah 3 Januari lepas.

Pengarang Berita Harakah, Mohd Rashidi Hassan, wartawan kanan Harakah, Wan Nordin Wan Yaakub serta jurugambar Harakah, Wan Zahari Salleh membuat wawancara khas di pejabat PKR itu.

Bagi Anwar, jika berdasarkan fakta dan hukum, kes ini tidak perlu kepada sebarang pendakwaan pun terhadap beliau.

"Jika berdasarkan fakta, tak perlu ada pendakwaan pun (dalam kes liwat kedua membabitkan bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan), dan saya harus dibebaskan, tetapi apa yang kita lihat (setakat ini) keputusan mereka (Umno-BN) selalunya ikut nafsu serakah mereka.

"Tetapi insya-Allah bagi saya, saya sedia apakah penjara atau bebas, sebarang rayuan, jika bebas program kita boleh berjalan, jika terpenjara kita akan terus lawan.

"Apa jua keputusannya, ia bakal menjadi titik noktah kepada masa depan Umno pada Pilihan Raya Umum akan datang," kata Anwar dalam wawancara itu.

901: PR Sedia Bincang Dengan Polis

SHAH ALAM, 5 JAN: PKR dan Pakatan Rakyat sedia berbincang dengan pihak polis berhubung Himpunan Aman 901 pada 9 Januari ini.


Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali didalam blognya berkata kesediaan untuk berbincang dengan pihak polis demi memastikan perhimpunan aman ini berjaya diteruskan dengan aman dan teratur.

"Saya menyambut baik kenyataan YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara yang memperlihatkan kesediaan pihak polis untuk berbincang dengan KEADILAN dan Pakatan Rakyat bagi menjamin kelancaran perhimpunan aman 901 untuk membantah rekayasa politik ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Hak untuk berhimpun secara aman merupakan hak rakyat yang sejajar dengan semangat keperlembagaan. Ianya merupakan antara teras kepada amalan sesebuah negara demokratik. Justeru sebarang usaha atau tindakan yang menggasir hak untuk berhimpun secara aman dan hak menyatakan pendirian politik (political expression) rakyat Malaysia adalah bertentangan dengan asas pembentukan negara Malaysia yang demokratik, bebas dan merdeka. Pencabulan ke atas hak ini dianggap sebagai mengkhianati asas penubuhan negara Malaysia yang merdeka." tulis beliau.

Beliau berharap semua anggota parti dan penyokong PR serta rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan untuk turut serta menyatakan sokongan.

Beliau turut menggesa pihak polis untuk memelihara keselamatan awam termasuk para demonstran dan rakyat keseluruhannya yang berhimpun di Kuala Lumpur.

"Kita berharap insiden keganasan seumpama tragedi UPSI
dan BERSIH tidak akan berulang. Ini adalah peluang terbaik Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara untuk memulihkan imej polis yang sekian lama tercalar dan mengembalikan keyakinan awam terhadap institusi polis selaras dengan janji Perdana Menteri untuk
melaksanakan transformasi politik di dalam pentadbirannya." ujar beliau lagi

Pakatan Rakyat Selangor Akan Turun Beramai-ramai pada Jan 9

SHAH ALAM, 4 JAN : Pakatan Rakyat Selangor hari ini berikrar akan menggerakkan sebanyak mungkin anggota parti bagi perhimpunan Bebaskan Anwar 901 yang diadakan di hadapan kompleks mahkamah Jalan Duta minggu hadapan.

Perkara ini dinyatakan oleh ketiga-tiga ketua penerangan parti komponen Pakatan Rakyat, iaitu Shuhaimi Shafie (PKR), Jenice Lee (DAP) dan Saari Sungib (Pas) di dalam satu sidang media di sini hari ini.

"iIni adalah menjadi tanggungjawab PR dan pencinta keadilan untuk bersama-sama hadir bagi mendengar keputusan yang pastinya akan mengubah lanskap politik negara ini," ujar Shuhaimi.

Saari Sungib turut memberitahu bahawa PAS akan menggerakkan semaksimum mungkin ahli-ahli PAS untuk sama-sama berhimpun pada 9 Januari ini menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bagi kami perkara ini merupakan hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman yang dibenarkan oleh perlembagaan negara dan ini merupakan perkara biasa bagi mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi.

"Perkara ini juga merupakan kesinambungan kepada usaha-usaha yang telah dilakukan oleh rakyat negara ini yang telah dilakukan pada tahun 1998 lagi pada peringkat pertama reformasi," ulas Saari.

Mahkamah akan menentukan samada Anwar bersalah atau dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 9 Januari.

Jenice pula berpendapat keadaan akan menjadi terkawal seandainya polis menjalankan tanggungjawab sebagai anggota keselamatan.

Mengikut pengalaman sebelum ini seperti Bersih 2.0 pada 9 Julai, jelas kekecohan tidak dicetuskan oleh orang awam sebaliknya dilakukan oleh pihak tertentu, Jenice berkata.

(function() { var d = document, w = window; w

TERKINI!!! JUMLAH SOKONGAN SD TERDEDAH?