WANG TUNAI DIRAMPAS DI PAVILION RESIDENCES BERJUMLAH RM120 JUTA

TUN MAHATHIR TIDAK PINDAH KE KEDIAMAN RASMI

PASUKAN KHAS SIASATAN 1MDB JUMPA JUSTO

TEMBELANG 1MDB SEMAKIN TERDEDAH.....



Berikutan pendedahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam bahawa kerajaan telah menyelamatkan pembayaran hutang 1MDB dengan jumlah hampir RM7 bilion sejak April 2017, CEO syarikat itu, Arul Kanda Kandasamy telah dipanggil  untuk menjelaskan beberapa perkara kepada Kementerian Kewangan.

Arul Kanda yang ketika musim kempen PRU14 lalu pusing seluruh negara menceritakan kekukuhan 1MDB, tetapi di hadapan Guan Eng beliau menyatakan tidak tahu menahu tentang kedudukan kewangan syarikat tersebut.
Arul Kanda juga menyatakan tidak pasti berkaitan dana pelaburan berjumlah RM9.8 bilion milik 1MDB yang disimpan dalam Brazen Sky Ltd atau sama ada ia benar-benar wujud atau tidak.

Sehubungan itu, Guan Eng melabelkan Arul Kanda sebagai tidak jujur dan tidak boleh dipercayai.
Beliau juga kemudian mengarahkan penasihat undang-undang Kementerian Kewangan agar menyemak semula kedudukan Arul Kanda dalam 1MDB, selain mengambil alih pejabat syarikat itu.

Yang lebih mengejutkan, Guan Eng turut mendedahkan bahawa hanya Arul Kanda satu-satunya pekerja 1MDB sejak awal tahun ini.

Dalam pada itu, seorang ahli lembaga pengarah 1MDB, Kamal Mohd Ali  dalam pengakuannya kepada Guan Eng mengatakan pelaburan unit dana bernilai RM9.8 bilion yang disimpan oleh anak syarikatnya, Brazen Sky Ltd adalah suatu bentuk penipuan.
"Kamal menggelarkan pelaburan itu suatu penipuan kerana pengurusan 1MDB berulang kali gagal membekalkan kepada lembaga pengarah dengan sebarang bukti mengenai kewujudan pelaburan itu sejak lebih dua tahun lalu," tambah Guan Eng lagi.

Hakikat itu lebih terserlah apabila Arul Kanda sendiri yang sebelum berulang kali mengatakan pelaburan itu wujud, kini sudah berubah nada dengan berkata tidak pasti mengenainya.

Berkait perkembangan yang sama, Guan Eng juga memaklumkan mengenai pengesahan bertulis oleh bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir kepada Kementerian Kewangan pada Mac lalu bahawa syarikat itu tidak mampu membayar hutang faedahnya yang mesti dilunaskan sebelum akhir April dan Mei 2018.
Sehubungan itu, bagi hutang faedah 1MDB berjumlah RM143 juta yang mesti dibayar pada minggu depan, Guan Eng mengambil keputusan enggan menandatangani dokumen kebenaran agar Kementerian Kewangan melangsaikannya.

"Saya terkejut bila mendapati dokumen pertama yang harus saya tandatangani ialah untuk membayar hutang 1MDB.

"Saya enggan tandatanganinya kecuali saya lihat kesemua dokumen yang relevan terlebih dahulu," kata Guan Eng lagi.
Bagi maksud tersebut, Guan Eng  mengarahkan Arul Kanda  menjawab secara bertulis kepada Kementerian Kewangan terlebih dahulu sama ada 1MDB mampu membayar hutang RM143 juta itu atau sebaliknya.

Agak-agak apakah jawapan bertulis Arul Kanda nanti?

Bayangkan, baru dua hari Guan Eng memasuki pejabatnya sebagai Menteri Kewangan, beliau sudah mendedahkan banyak "kong kali kong" atau tembelang 1MDB yang selama ini tertutup rapi.

Segala-galanya tidak lain ialah kerana Najib Razak yang ada kepentingan dalam penubuhan 1MDB adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam waktu yang sama.

Selepas ini, pasti lebih banyak pembongkaran yang lebih mengejutkan lagi akan menjadi tatapan kita semua.
Sejujurnya, kita harus bersyukur kepada Tuhan atas keberanian rakyat Malaysia melakukan perubahan dengan menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya 9 Mei lalu.

Jika BN masih kekal berkuasa, semua tembelang itu akan terus tertutup rapi dan kita sebagai rakyat serta pembayar cukai akan ditipu sepanjang hayat dengan pelakon utamanya ialah Najib sendiri. (ShahbudinHusin 24/05/2018).