Tarik subsidi: Awas harga minyak akan naik


KUALA LUMPUR, 6 Okt: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang semakin pasti menjanjikan beban ekonomi rakyat akan bertambah parah, kata kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Ketika membidas kenyataan ulangan dari pihak kerajaan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan selepas pilihan raya ini, beliau berkata, bukan cukai itu sahaja yang akan dipaksakan malah lebih banyak subsidi ditarik dan harga minyak akan naik jika BN menang pilihan raya.

"Bukan GST sahaja yang akan dipaksakan. Jangan lupa, awal-awal lagi (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Idris Jala sudah memberi amaran bahawa Malaysia akan bankrap atau muflis pada 2019 jika subsidi berterusan.

"Amaran itu adalah isyarat yang sangat jelas bahawa BN akan menarik lebih banyak subsidi dari rakyat termasuk subsidi minyak yang dengan sendirinya bermakna harga minyak akan naik," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Kenaikan harga minyak pula, katanya, akan mengakibatkan kesan berantai kepada kenaikan harga barangan lain.

"Itulah bencana yang akan ditempuh oleh rakyat jika BN menang lagi dalam pilihan raya akan datang," Salahuddin mengingatkan.

Hari ini, ketika ditanya mengenai rang undang-undang yang akan membuka laluan kepada GST, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz tidak menolak cukai itu akan dipaksakan selepas pilihan raya.

"Mungkin selepas pilihan raya, apa-apa sahaja mungkin," katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata: "Persoalannya ialah masa. Saya berpendapat apabila tiba masanya, dalam masa terdekat... kemungkinan selepas pilihan raya akan datang, kami akan memperkenalkan GST".

Sambil memberitahu bahawa GST tidak dimasukkan dalam belanjawan Pakatan Rakyat, Salahuddin mengingatkan, keinginan kuat kerajaan BN untuk memaksakan GST dan menarik balik lebih banyak subsidi sudah berulangkali dinyatakan oleh mereka.

"Perdana Menteri sendiri pernah kata, antara langkah kerajaannya untuk memperkukuh aliran pendapatan ialah memperkenalkan GST.

"Sebab itulah, rakyat mesti membuat pilihan sama ada hendak tersiksa di bawah GST dan kenaikan harga barang atau menolak BN ," katanya sambil berkata bayangan ngeri itu belum lagi mengambil kira berleluasanya rasuah sehingga Umno disebut parti perasuah oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Rakyat, kata Salahuddin, hendaklah sedar bahawa kerajaan BN semakin ketara tidak mempunyai kemampuan untuk menjana pendapatan negara selain membebankan rakyat dengan pelbagai cukai seperti GST, menarik balik subsidi malah memperbanyakkan pelbagai saman ke atas rakyat.

Dalam ulasan terhadap pendapatan kerajaan baru-baru ini, professor ekonomi antarabangsa di Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCIEF), Prof Datuk Dr Mohamed Ariff berkata, pendapatan kerajaan tidak selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan keadaan itu membimbangkan jika berlaku lagi krisis ekonomi.

Pengerusi PAC Dibidas Keluar Kenyataan Sebelum Mesyuarat Bermula

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Pakatan Rakyat membidas sikap pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) penambahbaikan pilihan raya Datuk Dr Maximus Ongkili yang mengeluarkan kenyataan sebelum mesyuarat pertama JPK diadakan yang dijadual pada 12 Oktober ini.

Dr Ongkili dalam sidang akhbarnya semalam menyatakan bahawa Bersih 2.0 tidak boleh memberikan pandangannya kepada JPK dan menyatakan terdapat enam pendengaran awam yang akan diadakan.

Sepatutnya Dr Ongkili perlu menunggu hasil keputusan mesyuarat pertama sebelum mengumumkan apa-apa keputusan yang diputuskan oleh jawatankuasa itu, kata ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menyertai jawatankuasa itu, Dr Hatta Ramli.

Menurut Dr Hatta, Dr Ongkili lupa sifatnya sebagai Pengerusi PAC yang sama tarafnya dengn anggota lain. Sebaliknya beliau menjalankan tugas sebagai seorang menteri.

“Perkara ini yang membimbangkan kami apabila dinyatakan pengerusinya seorang menteri dan apa yang membimbangkan kami telah belaku. Dia bertindak sendirian sebagai seorang menteri,” kata Dr Hatta.

Menurut Anthony Loke, seorang lagi Ahli Parlimen Pakatan di dalam (JPK), tindakan yang dilakukan Dr Maximus itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat pertama itu Rabu depan.

Menteri Dan Ketua Polis Harus Dihakimi Dalam Insiden Hospital Tung Shin



KUALA LUMPUR 05 OKT : Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara adalah individu yang tepat untuk dihakimi dalam tindakan penyuraian perhimpunan BERSIH 2.0 di sekitar Hospital Tung Shin (HTS) dan Hospital Bersalin Cina (CMH) di Jalan Pudu pada 9 Julai lalu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berkata langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota polis yang bertindak di luar garis panduan operasi polis (SOP) pada operasi tersebut adalah suatu yang tidak wajar.

"Walaupun tindakan polis itu satu benda yang salah, tetapi mereka hanya melakukan arahan atas provokasi dan arahan pihak atasan iaitu Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan juga Ketua Polis Negara."

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media ringkas di lobi Parlimen bagi mengulas tindakan KDN ke atas anggota polis yang menyalahi SOP ketika menjalankan tugas.

Berita Harian dalam keluarannya hari ini melaporkan bahawa KDN akan mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota polis yang menjalankan tugas di luar garis panduan operasi polis (SOP) dalam operasi penyuraian perhimpunan BERSIH lalu.

Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam dilaporkan berkata wujud tindakan tidak beretika dan di luar garis SOP oleh anggotanya dalam menangani orang ramai yang menyertai perhimpunan yang secara salah menggunakan premis hospital berkenaan.

“Susulan daripada laporan hasil siasatan ini, KDN akan merujuk senarai kakitangan berkenaan kepada Jawatankuasa Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya,” jelas Mahmood Adam.

Mengulas lanjut isu ini, Mahfuz dengan tegas berpendapat bahawa kerajaan berlaku tidak adil dengan meletakan seluruh kesalahan ke atas anggota bawahan sedangkan pemimpin dan golongan tertinggi terlepas dan cuci tangan.

"Pemimpin cuci tangan, ini suatu penganiayaan kepada anggota polis yang pada akhirnya anggota polis takut untuk menjalankan tugas mereka kerana khuatir akan melakukan kesilapan" jelas Mahfuz.

Pakatan Akan Gubal Undang-Undang Hapus Monopoli Dan Konsesi Tidak Adil

SHAH ALAM: Bajet Alternatif Pakatan Rakyat 2012 akan menghapuskan sistem monopoli di dalam sektor-sektor penting negara sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup serta meningkatkan pelaburan.

Ini akan dilakukan dengan mengamalkan dasar tender terbuka untuk perolehan kerajaan dan mengubal sebuah akta untuk menghapuskan konsesi yang tidak adil, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Thong.

Katanya, penghapusan sistem monopoli ini akan membuka ruang persaingan sihat kepada ramai usahawan yang selama ini kekurangan peluang daripada kesan sistem monopoli.

"Kita tidak boleh memberikan angka tetap melalui hasil penghapusan monopoli. Namun kita percaya persaingan tanpa monopoli akan mengurangkan kos kehidupan rakyat," katanya.

Melalui sistem monopoli ini merupakan satu langkah 'membunuh' pesaing lain yang mungkin turut terlibat dalam industri sama.

Antara contoh monopoli ialah monopoli Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) untuk mengimport beras, Telekom Malaysia (TM) untuk perkhidmatan jalur lebar dan Astro untuk perkhidmatan televisyen setelit siar terus berbayar, kata Liew.

Satu Akta Kontrak Awam Tidak Adil akan digubal untuk mengkaji semula konsesi dan perjanjian yang dikenalpasti sebagai tidak adil dan bertentangan dengan kepentingan umum. Ia juga akan mengembalikan semula profesionalisme dengan memberikan ruang penyertaan kepada semua pihak.

Selain itu, Akta Persaingan 2010 akan diperluaskan kepada semua sektor ekonomi termasuklah syarikat telekomunikasi dan sektor tenaga yang paling banyak menyaksikan herotan harga akibat monopoli.

Perkara ini dinyatakan Liew dalam Forum Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 yang berlangsung di Quality Hotel, di sini.

Untuk mengembalikan semula kecemerlangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Pakatan akan memastikan mereka bebas dari gangguan politik dan dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan keutamaan perniagaan.

Dalam majlis sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan pendapatan rakyat haruslah ditingkatkan dulu sebelum memperkenalkan Good and Services Tax (GST).

Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk kerajaan melaksanakan Goods Service Tax atau ringkasnya GST, kata Dzulkefly.

Katanya, Pakatan tidak menolak mentah-mentah perlaksanaan GST namun ianya perlu dilihat dari sudut yang rasional terutama dari segi aspek kemampuan rakyat untuk membayarnya.

“Kenapa rakyat tidak mampu membayar cukai? Kerana pendapatan mereka berada di bawah paras untuk melayakkan mereka untuk membayar cukai," katanya.

Guan Eng: Rais Yatim harus hentikan permainan yang bahaya

Guan Eng: Rais Yatim harus hentikan permainan yang bahaya

Lim Guan Eng | Oct 06, 2011 12:52:23 pm

Siri pembohongan yang berniat jahat dan menyerang peribadi saya diteruskan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim yang mendakwa bahawa sebuah majlis rasmi yang dihadiri Rais di Pulau Pinang telah meminggirkan Bahasa Malaysia. Rais jelas tidak dapat membezakan antara salah dan betul. Pertamanya, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang hak dalam majlis yang dianjurkan oleh agensi swasta, dan di samping itu, beliau enggan mengakui bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang turut bertutur dalam Bahasa Malaysia.

Rais (gambar kiri) pada mulanya berbohong bahawa hanya beliau seorang sahaja bercakap Bahasa Malaysia pada majlis makan malam di Kolej Han Chiang pada 29 September 2011 ketika beliau hadir mewakili Perdana Menteri Najib Tun Razak. Dakwaannya adalah tidak benar kerana saya juga turut bertutur dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin. Rais juga turut berucap beberapa patah dalam Bahasa Mandarin. Mengapa Rais cuba menggambarkan dirinya seorang sahaja pejuang Bahasa Malaysia dengan menafikan bahawa saya turut bertutur dalam Bahasa Malaysia?

Rais telah salah menilai majlis anjuran Han Chiang sebagai majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang apabila majlis tersebut merupakan anjuran kolej swasta. Jelas sekali orang yang ingin menutup pembohongan akan terpaksa berbohong lagi. Daripada mengakui kesilapan yang mengatakan bahawa majlis anjuran Han Chiang bukan merupakan majlis kerajaan negeri, Rais terus menyerang Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan menyuruh supaya saya menasihati konco-konco (pengikut) di Kolej Han Chiang supaya menghormati bahasa kebangsaan.

Penggunaan perkataan "konco-konco" (pengikut) adalah tidak munasabah kerana pihak pengurusan HanChiang hanya terlibat dalam bidang pendidikan dan bukan politik. Rais bukan sahaja biadap dan tidak menghormati penganjur malah telah melanggar protokol dengan meminta kerajaan negeri untuk mencampur tangan dalam sebuah majlis yang dianjurkan untuk pemimpin tertinggi Kerajaan Persekutuan. Saya ingin menegaskan di sini bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai apa jua peranan dalampenganjuran majlis di Kolej Han Chiang pada 29 September yanglalu.

Tambahan pula, bagaimana kerajaan negeri sekarang boleh terlibat dengan penubuhan Kolej Han Chiang sebagaimana didakwa oleh Rais sedangkan kolej tersebut sudah lama wujud sebelum Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mengambil alih pada 2008? Sekiranya Rais tidak gembira dengan Han Chiang, beliau sepatutnya berani membantah pada malam tersebut. Sebaliknya beliau hanya "berani" mengkritik Han Chiang daripada jarak yang jauh dan selamat, iaitu ketika beliau berada di Negeri Sembilan.

Jelas sekali, sebanyak mana pembohongan Rais pun tidak cukup untuk menyembunyikan kebenaran bahawa beliau dengan tidak adilnya telah menghina Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas majlis anjuran Kolej Han Chiang. Seharusnya Rais berhenti daripada berkelakuan seperti Utusan Malaysia yang enggan mengakui pembohongan dan akan terus menipu untuk memainkan sentimen perkauman.

Adakah Rais Yatim akan menafikan bahawa saya juga turut bertutur dalam Bahasa Malaysia pada malam tersebut? Itulah sebabnya mengapa Rais Yatim harus menghentikan permainan bahaya kononnya beliau merupakan seorang pejuang Bahasa Malaysia, dan juga berhenti menyalahkan Kerajaan Negeri untuk sebuah majlis anjuran kolej swasta.

Baca: Reaksi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim pada 5 Oktober 2011 (Laporan Malaysiakini)

*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kanan) selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Berambuslah MCA!" Warga internet Cina tampil bela PAS


Lim Hong Siang | Oct 06

Memang sesuatu yang dijangka apabila MCA menggunakan "Hukum Hudud" untuk menyerang Pakatan Rakyat, ketika isu ini kembali semula ke persada politik menjelang PRU ke-13. Namun, ia mungkin sesuatu di luar jangkaan apabila serangan MCA kali ini mengundang reaksi sebaliknya di ruang internet, menyaksikan bagaimana parti Cina ini dibidas sehabis-habisnya oleh warga internet.

Artikel berjudul "Orang Cina Malaysia wajib baca! MCA, Saya nak undi PAS!" ditulis oleh seorang penulis dengan nama samaran "yue" (maksud: bulan), disiarkan oleh seorang rakannya melalui laman sosial Facebook pada jam 2 petang, 4 Oktober 2011. Tulisan ini telah dikongsi oleh kira-kira 1,500 rakan Facebook, dalam masa 48 jam.

Meskipun diselit dengan kata-kata kesat yang mencaci MCA, namun tulisan ini sempat mengulas alasannya memperlekehkan MCA dan mengapa PAS dibela. MCA dibidas kerana tunduk dan bersekongkol dengan UMNO; sementera PAS disanjung kerana beberapa langkah yang memperlihatkan "keterbukaannya" terhadap golongan bukan muslim.

Bagaimanapun, penulis tidak menunjukkan pendirian untuk menyokong pelaksanaan Hukum Hudud, hanya menyebut ia sebagai matlamat tertinggi PAS, dan realiti politik hanya membenarkan pelaksanaan dasar bersama dalam "Buku Jingga", seandainya Pakatan Rakyat memerintah. Malah, menurut penulis, seandainya masyarakat Cina tidak suka jika Hukum Hudud dilaksanakan, maka tukarlah semula kepada Barisan Nasional dalam PRU ke-14 kelak.

Yang berikut adalah terjemahan dan suntingan tulisan berjudul "Orang Cina Malaysia wajib baca! MCA, Saya nak undi PAS!"

Saya, sebagai warga Malaysia kaum Cina, tiada Roket mahupun Keadilan bertanding di kawasan pengundian saya, hanya pertembungan terus antara UMNO dengan PAS. Sekarang, secara rasminya saya mengumumkan di sini, bahawa pada PRU yang akan datang, saya akan mengundi PAS!

Melihat kepada pemimpin MCA yang haprak berucap menyerang Hukum Hudud Islam dalam perhimpunan agung tahunannya, kononnya mempertahankan kepelbagaian budaya Malaysia, saya teringin nak berkata, MCA, pergi mampuslah!

XXX, saya sebagai orang Cina di Malaysia, sekarang saya ingin berkata kepada MCA, pada pilihan raya umum yang akan datang, saya pasti akan mengundi PAS! Malas saya nak layan kau!

Jangan kata kepada saya penubuhan Negara Islam, akan dipotong tangan dan dipotong kaki, XXX, Malaysia di bawah perintah kau dan UMNO - Teoh Beng Hock pun boleh jatuh dari bangunan! Polis boleh tembak sewenang-wenangnya! Tak kurang tahanan yang mati dalam lokap! Belum sempat kami dipotong tangan dan kaki oleh PAS, mungkin dah mati kena aniaya unit penguatkuasa!

XXX, MCA, parti yang haprak, saban hari memfitnah PAS dalam akhbar. Tahukah kau, PAS memperuntukkan tanah untuk 'menyara' sekolah menengah Cina di Kelantan; di Perak, benda yang sama berlaku ketika pemimpin PAS menjadi Menteri Besar. XXX... Dah berapa tahun kau MCA menjadi kerajaan, tapi gagal menginstitusikan peruntukan kepada sekolah Cina, dan sekarang kau suruh kami jangan mengundi PAS, gila!

XXX, satu parti yang besar, dalam perhimpunan agungnya, boleh menggunakan sepenuh masa untuk mengecam idealisme Islam, pada masa yang sama akur secara senyap kepada perkauman sempit UMNO, parti apa yang haprak sebegini? Memang parti haprak yang tidak boleh diselamatkan!

Apabila UMNO menyerang, bahawa Cina adalah "pendatang", suruh kami balik ke Tiongsan, PAS yang tampil mempertahankan kita!

Apabila UMNO melarang bukan-muslim menggunakan kalimah Allah, PAS yang tampil mempertahankan hak bukan muslim!

Apabila UMNO melarang bukan-muslim ke dalam masjid/surau, PAS yang tampil membantah UMNO!

Apabila PERKASA yang pro-UMNO menyerang bahawa Pakatan Rakyat mengkhianati Melayu, PAS yang tampil menyanggah mereka!

XXX, apa yang kau MCA lakukan? Hanya mampu berkata UMNO tak harus begini, tak patut begitu, kalau betul kau hebat, takkan Cina masih menjadi rakyat kelas kedua? Kalau betul ada tulang belakang, keluarlah kau dari Barisan Nasional-lah, bodoh!"

Semakin meluap-luap kemarahan saya... Sekian lama kau MCA makan duit, satu projek PKFZ kau telan RM12.5 bilion, satu Facebook RM1.8 juta, dan wang kopi yang sikit-sikit tu? Kau yang telan wang rakyat! PAS? Pernahkah kau denganr PAS terima rasuah? PAS terkenal dengan bersih dan amanah, 20 tahun memerintah di Kelantan, tiada satu kes rasuah, Menteri Besar duduk dalam rumah kampung, makan nasi lemak! Kau orang senang saja kata kalau menang makan udang galah, masih nak kami undi kau?"

MCA, berambuslah kau! Apabila Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan ISA kerana terdesak dengan tekanan rakyat, kau bagaikan anjing, segera bersetuju! XXX, untuk sekian lama kau menyokong akta yang mencabul hak asasi manusia, kini sikap kau berubah dalam sekelip mata? Kau ingat rakyat ni bodoh? Untuk sekian lama, PAS memimpin rakyat untuk berjuang, sama ada perhimpunan anti ISA, BERSIH 1.0 mahupun BERSIH 2.0, PAS berada di baris paling depan untuk menentang kezaliman - menahan gas pemedih mata, menghalang meriam air berkimia!

Ketika 9 Julai, UMNO mengecam kami kerana berarak di jalan raya. Pada saat yang paling genting, Unit Amal PAS membuka jalan, kemudian berkata, 'Bagi Cina semua keluar dulu, kita lindung mereka!' XXX, mana kau MCA? Di mana kau sorok ketika itu? Sekarang kau panggil kami jangan undi PAS, mampuslah kau!

XXX, dah sekian tahun menjadi kerajaan, Presiden video lucah itu masih berada di atas pentas untuk menggesa agar kerajaan begini, supaya kerajaan begitu... Pernahkah kau anggap diri kau sebagai kerajaan? Kalau kau sendiri tak mampu, tak larat, tukarlah orang! Bodoh!

Apa yang paling hebat, Liow Tiong Lai, mencabar DAP untuk keluar dari Pakatan Rakyat. Ketika hukum Islam diluluskan di DUN Kelantan dan Terengganu, ADUN UMNO menyokong dengan mengangkat kedua-dua tangan mereka. Satu undi pun tidak pernah diluluskan DAP. Mengapa tidak kau memimpin MCA untuk keluar dari Barisan Nasional?

PAS ingin melaksanakan Hukum Hudud, ini matlamat tertinggi parti mereka. Ia bagaikan Parti Demokratik Progresif di Taiwan yang menuntut kemerdekaan, sudah pasti ia tak jadi, kerana tidak dibenarkan realiti politik. Apatah lagi PAS bersekutu dengan dua parti komponen Pakatan Rakyat, semestinya memerintah berdasarkan Buku Jingga apabila berkuasa - bukan matlamat tertinggi PAS mahupun DAP. Mungkin ada yang akan tanya, bagaimana pula di Kelantan?

Saya teringin nak tanya mereka, jikapun terlaksana di Kelantan, apa susahnya? Kau bukannya muslim, apa kena-mengena dengan kau? Lebih-lebih lagi, kau tunggulah sehingga Pakatan Rakyat memperolehi majoriti dua pertiga untuk meminda perlembagaan. Buat masa sekarang, kerajaan pun belum tukar. Kini bertimbun-timbun pengundi hantu, Pakatan Rakyat nak pertahan satu pertiga kerusi pun payah!

Ramai lagi Cina bertanya, matilah kalau Pakatan Rakyat memperolehi majoriti dua pertiga. Saya kata XXX, kepala otak kau, kalau Pakatan Rakyat memperolehi dua pertiga, sudah pasti DAP ada 50 kerusi dalamnya. Kalau DAP tidak mengundi untuk sokong, maka tak jadilah pindaan tu.

Kemudian lebih ramai Cina tanya, kalau DAP menjadi pengecut, menyokong pelaksanaan Hukum Hudud? Kalau kau tak suka, tukar balik Barisan Nasional-lah! Takkan tiada lagi pilihan raya selepas pertukaran kerajaan pada PRU akan datang? Kan pilihan raya memberi peluang kepada kita untuk tukar kerajaan apabila kita tidak setuju dengan dasar kerajaan yang sedia ada?

Sesetengah Cina bodoh betul, saya terus terang di sini. Seandainya pada PRU akan datang, kami menyokong satu kerajaan yang sudah lama korup dan mencabul hak asasi manusia, hanya kerana takut kepada Hukum Hudud yang langsung tak pernah wujud, maka saya perlu kata, benar orang Cina ni hina. Nasib orang Cina dan rakyat akan tergadai pada tangan sendiri!

Sedarlah orang Cina, jangan lagi ditipu MCA! Hanya apabila kami mengundi Roket, Keadilan dan Bulan, bersatu menukar kerajaan yang haprak ini untuk memperbaiki nasib orang Cina di tanahair ini. Seandainya kamu mencintai bangsa kau, seandainya kamu mencintai rakyat kau, seandainya kau mencintai negara kau, berkongsilah tulisan ini dengan setiap orang kawanmu. PRU yang akan datang, kami bernyanyi bersama "Bulan lambang hatiku" (lagu Cina terkenal)!

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

(function() { var d = document, w = window; w

PRU-15: Anwar hormati suara akar umbi tapi parti komponen gesa guna logo PH

  Oleh FAZLI RADZI   /  September 16, 2021 Penggunaan logo Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diselesaikan se...