Pengerusi PAC Dibidas Keluar Kenyataan Sebelum Mesyuarat Bermula

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Pakatan Rakyat membidas sikap pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) penambahbaikan pilihan raya Datuk Dr Maximus Ongkili yang mengeluarkan kenyataan sebelum mesyuarat pertama JPK diadakan yang dijadual pada 12 Oktober ini.

Dr Ongkili dalam sidang akhbarnya semalam menyatakan bahawa Bersih 2.0 tidak boleh memberikan pandangannya kepada JPK dan menyatakan terdapat enam pendengaran awam yang akan diadakan.

Sepatutnya Dr Ongkili perlu menunggu hasil keputusan mesyuarat pertama sebelum mengumumkan apa-apa keputusan yang diputuskan oleh jawatankuasa itu, kata ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menyertai jawatankuasa itu, Dr Hatta Ramli.

Menurut Dr Hatta, Dr Ongkili lupa sifatnya sebagai Pengerusi PAC yang sama tarafnya dengn anggota lain. Sebaliknya beliau menjalankan tugas sebagai seorang menteri.

“Perkara ini yang membimbangkan kami apabila dinyatakan pengerusinya seorang menteri dan apa yang membimbangkan kami telah belaku. Dia bertindak sendirian sebagai seorang menteri,” kata Dr Hatta.

Menurut Anthony Loke, seorang lagi Ahli Parlimen Pakatan di dalam (JPK), tindakan yang dilakukan Dr Maximus itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat pertama itu Rabu depan.

No comments: