ADAKAH MALAYSIA MAHU BERBAIK-BAIK DENGAN ISRAEL?



Baru saja pada 22 Disember lalu, Najib Razak dan UMNO menganjurkan Himpunan Solidariti Palestine yang bukan saja untuk menunjukkan sokongan kepada perjuangan umat Islam di negara itu, tetapi juga bagi membantah cadangan Amerika Syarikat mahu menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Meskipun cadangan Amerika Syarikat itu masih tergantung dan belum menjadi kenyataan, tetapi penolakan kita kepada Israel seharusnya berkekalan sampai bila-bila.

Ini kerana, Israel yang memusuhi, menindas dan membunuh umat Islam di Palestine adalah musuh yang nyata bagi kita buat selama-lamanya.

Lebih daripada itu, negara kita juga tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel dan pergerakan rakyat kedua-dua negara tersekat dengan sendirinya.
Namun, apa yang berlaku kini tentu saja memeranjatkan kita semua.

Dilaporkan sekumpulan diplomat Israel telah berkunjung ke Malaysia baru-baru ini, di sebalik Kuala Lumpur dan Tel Aviv tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik.

Jurucakap Kementerian Luar Israel, Immanuel Nahshon mengesahkan kehadiran itu dengan mengatakan para diplomat itu hadir untuk menyertai persidangan berkaitan penempatan manusia yang berlangsung selama seminggu di Kuala Lumpur.

Para diplomat Israel yang diketuai oleh David Roet, bekas Timbalan Duta Israel ke PBB itu juga dilaporkan turut mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai dari Malaysia.

Menulis di laman Twitternya kemudian, Roet menyifatkan kunjungannya ke Malaysia sebagai pengalaman yang unik dan melahirkan harapan besar tentang hubungan kedua-dua negara di masa depan.

Apa sudah jadi dengan perkembangan terbaru ini?

Apakah Malaysia mahu berbaik-baik dan bakal mengiktiraf Israel pada masa depan?
Tidakkah kehadiran diplomat Israel ini telah mengguris hati rakyat Palestine dan memberi erti penentangan kita kepada Israel bagaikan tidak bermakna lagi?

Dalam pada itu, jika kita masih ingat, Malaysia pernah menghalang kemasukan dua ahli sukan Israel ke negara ini untuk menyertai Kejohanan Layar Belia Sedunia dengan tidak mengeluarkan visa kepada mereka.

Adakah ahli sukan lebih berbahaya berbanding diplomat? (ShahbudinHusin 13/02/2018)

Pulangkan autonomi Sarawak hanya janji kosong Najib


Kerajaan Persekutuan yang diketuai UMNO berdolak dalik untuk mengembalikan hak autonomi kerajaan negeri Sarawak apabila meluluskan sekurang-kurangnya enam rang undang-undang (RUU) yang mencabar kuasa negeri itu.
Menurut Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, RUU Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diluluskan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak pada 2014 telah menceroboh hak kerajaan negeri untuk mengutip Cukai Jualan.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari yang mendakwa Najib kononnya jujur untuk mengembalikan hak autonomi negeri kepada Sarawak.
“Jika Najib jujur mahu mengembalikan hak autonomi negeri kepada Sarawak seperti yang didakwa Abang Jo, dia sepatutnya mengembalikan 20 peratus royalti minyak dan gas kepada kerajaan negeri sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Tanpa akses kepada keuntungan cukai tambahan, segala cakap-cakap mengenai autonomi negeri hanyalah gembar-gembur saja,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dalam kenyataan, hari ini.
“Pada asasnya, segala pelaksanaan kuasa dan dasar memerlukan wang. Jika Kerajaan Pusat mengawal dana dan kerajaan negeri pula terpaksa merayu dana untuk melaksanakan dasar-dasar, maka kerajaan negeri sebenarnya tidak mempunyai autonomi,” tambahnya.
Tidak seperti bekas Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Abang Jo tambah Chieng Jen tunduk kepada desakan UMNO dan Najib.
“Walaupun telah banyak perkara salah yang dilakukan UMNO, Abang Jo tetapi mahu memujuk rakyat Sarawak untuk menerima dan menghormati Najib,” ujarnya sambil menegaskan skandal 1MDB telah menyebabkan kenaikan kos sara hidup dan penurunan nilai ringgit.
Selain GST, kerajaan UMNO pada tahun lepas turut meluluskan RUU Akta Cukai Pelancongan yang menceroboh hak kerajaan negeri Sarawak ke atas sektor pelancongannya.
RUU lain yang turut memberi kesan kepada hak kerajaan negeri Sarawak adalah RUU Wilayah Laut 2012, RUU Akta Majlis Keselamatan Negara 2015, RUU Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah (ABS) 2017 dan RUU Perkapalan Saudagar (Pindaan 2017).