MAHATHIR PERLI NAJIB


June 14, 2010

KUALA TERENGGANU, 14 Jun — Tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang meningkat kepada 72 peratus mungkin boleh menjadi petunjuk bagi kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 dalam masa terdekat.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar, kanan) bagaimanapun berkata terpulang kepada kerajaan sama ada ingin mengadakan pilihan raya Umum dalam masa terdekat dengan mengambil kira kaji selidik yang dibuat Merdeka Centre.

“Alhamdullilah kalau dia (Najib) terima 72 peratus. Tapi ranking agensi itu kita nak kena tahu juga siapa mereka.

“Yang saya tahu semasa saya menang sehingga dua pertiga kerusi, kedudukan ranking saya 60 peratus saja. Tetapi kalau 72 peratus, kita harap boleh menang lebih daripada dua pertiga lah. Boleh buat sekaranglah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas hasil kaji selidik agensi itu yang mendapati tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri meningkat 72 peratus bulan lepas berbanding 69 peratus pada April lalu.

Bancian yang dijalankan dari 6 hingga 16 Mei itu menyaksikan tahap kepuasan hati paling tinggi dicatatkan oleh kaum India iaitu 80 peratus berbanding Melayu (77 peratus) dan 58 peratus oleh kaum Cina.

Peningkatan tahap kepuasan hati itu adalah yang tertinggi sejak Merdeka Centre menjalankan kaji selidik untuk meninjau populariti Najib sejak Mac tahun lalu, iaitu hanya 44 peratus ketika beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada masa itu.

Menurut Merdeka Centre, sejumlah 1,028 rakyat Malaysia dibanci melalui telefon dan hampir separuh atau 47 peratus daripada responden terdiri daripada golongan tidak bekerja.

ZAHRAIN CABAR LAGI