Noh Omar : Subsidi Nelayan Laut Dalam Ditarik Balik



 KUALA TERENGGANU 3 JUN : Nelayan laut dalam tidak lagi mendapat bekalan minyak pada harga super subsidi iaitu RM1.25 seliter, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata sehubungan itu, pengusaha bot nelayan laut dalam kategori Zon C2 perlu membeli minyak mengikut harga di stesen minyak iaitu RM1.80 seliter.

"Bukan sahaja nelayan Zon C2 yang kena beli minyak dengan harga RM1.80, lori, trak dan kontena yang berbentuk industri kena beli pada harga berkenaan," katanya selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan di Kuala Terengganu Selatan semalam.

Noh berkata langkah itu diambil bot nelayan Zon C2 dikategorikan sebagai pengangkutan berbentuk industri kerana mempunyai ramai pekerja.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar RM1.80 masih merupakan harga subsidi kerana jika mengikut harga industri, minyak dijual RM2.50 seliter.

"Kita sudah bagi kemudahan ini, dan ini adalah adil kerana mereka syarikat, (ada) pekerja yang ramai berbanding nelayan pantai yang hanya bersampan dengan tangkapan antara 10 kilogram dan 20 kilogram.

"Bagi nelayan laut dalam, dia boleh tangkap sehingga beribu kilogram," katanya.

Noh berkata nelayan laut dalam juga diberi insentif tambahan iaitu 10 sen hingga 20 sen bagi setiap kilogram tangkapan ikan yang didaratkan.

"Ini bermakna kalau mereka boleh tangkap ikan sehingga 40,000 tan metrik, mereka sudah boleh menampung pembelian minyak tadi.

"Kalau mereka nak dapat insentif lebih daripada kerajaan, mereka kena tangkap ikan yang banyak dan dapat insentif yang lebih. Kita buat ini bagi menggalakkan mereka mendaratkan ikan di negara kita sendiri," katanya.-BERNAMA

Mat Sabu: Perwakilan berani, saya akan penuhi harapan rakyat ke atas PAS

June 04, 2011

KUALA LUMPUR, 4 Jun — Mohamad Sabu yang memenangi jawatan timbalan presiden PAS berkata, beliau akan membantu parti itu memenuhi keperluan orang ramai dan bukan Melayu, yang menurut beliau meletakkan harapan tinggi ke atas komponen Pakatan Rakyat (PR).

Dalam reaksi pertama selepas diumumkan sebagai orang nombor dua parti Islam itu, Mohamad berkata, survival mana-mana parti politik akan ditentukan oleh sokongan undi orang ramai dalam pilihan raya.

Oleh itu anak kelahiran Pulau Pinang ini berkata, PAS perlu memainkan peranan menyeluruh untuk memenuhi keperluan ahli-ahli parti dan juga masyarakat umum bukan ahli PAS.

“Jadi, saya akan menggunakan kedudukan (sebagai timbalan presiden) untuk memenuhi harapan orang ramai dan bukan Melayu ke atas PAS,” kata beliau ketika ditemui di sisi Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di sini pagi ini.

Mohamad, 56, yang mesra dikenali “Mat Sabu” menewaskan penyandang Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan ibrahim Tuan Man.

Ini kali kedua Mohamad bertanding jawatan timbalan presiden.

Mohamad Sabu (kiri) menerima ucapan tahniah daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas diumumkan sebagai timbalan presiden baru PAS. — Foto oleh Choo Choy May
Dua tahun lalu, beliau tewas di tangan Nasharuddin yang turut mengatasi Datuk Paduka Husam Musa.

Kali ini Husam dipilih semula sebagai naib presiden.

Pun begitu, tegas Mohamad, kemenangan beliau tidak akan membawa perubahan ke atas dasar PAS yang sudah pun ditetapkan kecuali pendekatan-pendekatan yang perlu dan akan diambil untuk menterjemahkan prinsip perjuangan parti itu.

“Cuma gerak kerja sahaja akan diubah (untuk menghadapi situasi semasa),” kata beliau lagi.

Ketika ditanya sama ada beliau menang kerana sokongan besar perwakilan daripada kalangan profesional, Mohamad berkata, “saya tidak tahu, sebab saya belum buat analisis lagi.”

Beliau sekali lagi menekankan bahawa tidak timbul isu wujudnya kumpulan profesional dan ulama dalam PAS memandangkan sudah ada peranan yang jelas antara sayap eksekutif dan ulama dalam PAS.

Dalam temu bual khas disiarkan The Malaysian Insider semalam, Mohamad berkata, konsep kepimpinan ulama sepatutnya ditekankan dalam Majlis Syura, bukannya diterjemahkan ke atas jawatan-jawatan eksekutif parti Islam itu.

Mohamad berpendapat bahawa konsep kepimpinan ulama telah menjadi kekeliruan di kalangan ahli menyebabkan golongan profesional sukar mendapat tempat dalam jawatan tertinggi parti itu.

“Bagi saya presiden dan ke bawah boleh sesiapa sahaja yang layak untuk memimpin tiada masalah baik ulama atau profesional.

“Majlis Ulama ini yang perlu ditekankan bukan jawatan eksekutif, ia perlu dipertingkatkan dalam organisasi ini.

“Sebab itu, kalau kita lihat banyak ahli yang salah erti konsep kepimpinan ulama ini dan ia menimbulkan sedikit kekeliruan,” katanya.

“Namun saya pasti perubahan sudah mula berlaku dalam PAS,” kata beliau.

Dalam reaksi hari ini, beliau juga yakin bahawa keputusan pemilihan, yang berlangsung semalam dan diumumkan pagi ini, tidak akan menjejaskan perpaduan yang sedia terjalin dalam PAS.

“Saya yakin perpaduan akan kukuh untuk membawa PAS ke depan,” katanya sambil menambah, perwakilan telah membuat keputusan yang berani.

Mengenai kekalahan Nasharudin, Mohamad berkata, “saya tidak komen.”

Bagaimanapun Mohamad secara berseloroh berkata, beliau “bernasib baik” kerana menang di sebalik liputan media yang positif dan negatif.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada perwakilan dan kepada wartawan yang memberikan liputan media yang positif dan negatif,” katanya lagi.

Timbalan: Mat Sabu, Naib: Salahuddin, Husam, Mahfuz

Pemimpin veteran, Mohamad Sabu menang sebagai Timbalan Presiden PAS, setelah menewaskan penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa dan seorang lagi calon Tuan Ibrahim Tuan Man. Sementara penyandang jawatan Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar berjaya mempertahankan jawatan, dan Husam Musa kembali semula untuk mengisi satu lagi kerusi Naib Presiden.

Mohamad Sabu (gambar kiri), atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu meraih 420 undi, iaitu kira-kira 40% daripada 1,043 undi yang sah. Nasharuddin Mat Isa hanya memperolehi 224 undi, dan Tuan Ibrahim mendapat 399 undi, iaitu 21 undi ketinggalan berbanding Mat Sabu.

Dalam pemilihan pada tahun 2009, Nasharuddin Mat Isa mempertahankan jawatan Timbalan dengan 480 undi, lantaran daripada berpecahnya undi antara Husam (281 undi) dengan Mat Sabu (261 undi), yang membawa jumlah kepada 542 undi. Kali ini, nasib pula memihak kepada Mat Sabu, apabila undi "golongan ulama" berpecah antara Tuan Ibrahim dan Nasharuddin, yang akhirnya memberi kemenangan kepada Mat Sabu.

Nizar undi terendah dalam pertandingan Naib Presiden

Untuk jawatan Naib Presiden pula, dua orang penyandang, juga bekas Ketua Dewan Pemuda PAS, iaitu Salahuddin Ayub (753 undi) dan Mahfuz Omar (616 undi) berjaya mempertahankan jawatan mereka, sementara Husam Musa kembali selepas tewas dalam pertandingan Timbalan Presiden pada tahun 2009 - dengan 660 undi.

Tiga orang lagi calon Naib Presiden adalah Idris Ahmad (491undi), Nik Mohd Amar Nik Abdullah (321 undi) dan Nizar Jamaluddin (217 undi).

Dalam pemilihan pada tahun 2009, Salahuddin Ayub meraih 824 undi, sementara Mahfuz Omar mendapat 636 undi, dan Tuan Ibrahim yang memperolehi undi tertinggi, 871 undi dalam pertandingan Naib Presiden. Keputusan yang diumumkan hari ini memperlihatkan bahawa Mahfuz mengekalkan sokongannya, sementara Salahuddin Ayub kehilangan sedikit undi. AJK pusat yang meraih undi tertinggi pada tahun 2009, Nizar Jamaluddin, kecundang pula dengan undi terendah dalam Naib Presiden, kali ini.

Selain itu, daripada 18 orang AJK Pusat yang terpilih, hanya satu pertiga daripadanya yang berlatar-belakangkan ulama.

Ramai pemimpin yang dilabelkan sebagai "Erdogan" menang dalam perebutan 53 orang calon ini, antaranya Hatta Ramli, Kamaruddin Jaafar, Mohamed Hanipa Maidin, Dzulkifly Ahmad, Mujahid Yusof Rawa, Khalid Samad, Siti Mariah dan lain-lain lagi.

Yang berikut adalah senarai AJK Pusat dengan undi yang diperoleh:

Mazlan Aliman (804)
Mohd Hatta Md Ramli (765)
Kamarudin Jaafar (739)
Hanipa Maidin (735)
Azizan Abdul Razak (726)
Dzulkefly Ahmad (702)
Mujahid Yusof Rawa (651)
Khalid Abd Samad (643)
Abdul Ghani Shamsuddin (579)
Amiruddin Hamzah (576)
Abdul Wahid Endut (556)
Abu Bakar Chik (527)
Nik Mohd Amar Nik Abdullah (470)
Mahfodz Mohamed (449)
Siti Mariah Mahmud (445)
Hassan Ali (437)
Abdul Ghani Abdul Rahman (430)
Nuridah Salleh (416)

PRO PAKATAN KINI BERSAMA PAS

Keputusan pemilihan jawatankuasa pusat PAS yang diumumkan hari ini menggambarkan bahawa 'tsunami' kumpulan Erdogan atau pro-Pakatan Rakyat telah melanda parti Islam itu.

NONEDalam keputusan yang diumumkan sebentar tadi, pemidato terkenal Mohamad Sabu - yang dilihat tidak memihak kepada mana-mana - disokong kuat oleh kumpulan itu.

Kemenangan Mohamad yang bukan daripada golongan ulama juga pertama kali berlaku dalam tempoh 20 tahun selepas konsep kepimpinan ulama diperkenalkan oleh parti Islam itu sekitar tahun 1980-an.

Manakala bagi tiga naib presiden yang baru dipilih pula, dua daripadanya - exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa dan ahli parlimen Datuk Mahfuz Omar - daripada kumpulan itu.

NONEManakala anggota parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub pula walaupun diletakkan dalam 'chai' (senarai) kumpulan ulama, pendekatannya tidak jelas kelihatan memihak kepada mana-mana pihak.

Mahfuz dan Salahuddin merupakan penyandang jawatan itu manakala Husam pula pernah menjawatnya sebelum sebelum itu.

Asakan padu Erdogan turut menyingkirkan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai selebriti PAS dan calon pilihan kumpulan ulama, Ketua Penerangan Idris Ahmad.

NONEDi peringkat jawatankuasa pusat pula, sekurang-kurangnya 10 daripada 18 yang dipilih juga daripada kelompok Erdogan atau cenderung kepada kepimpinan Mohamad.

Tsunami besar ini selari dengan trend pemilihan dalam pemilihan muktamar di mana hampir semuanya dimenangi golongan wakil rakyat dan profesional.Walaupun kemenangan Mohamad boleh dikatakan bukan mutlak kerana beliau hanya mendapat kira-kira satu pertiga sokongan perwakilan, keputusan ini masih boleh dilihat sebagai isyarat penting bahawa akar umbi PAS mahukan perubahan.

Ia juga sejajar dengan penegasan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam supaya anggota parti itu bersedia "sepenuh kudrat" bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

NONEMuktamar PAS ke-57 yang sedang berlangsung dipercayai yang terakhir sebelum parlimen dibubarkan pada bila-bila masa sahaja daripada sekarang.

Mohamad juga akan menghadapi tugas pertamanya sebagai orang nombor dua dalam parti dengan menjayakan perhimpunan bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil bulan depan.

[Laporan penuh menyusul]

Pemimpin Rasuah Akan Disingkir, Kata Hadi




GOMBAK 3 JUN : Bukan polisi PAS mahupun Pakatan Rakyat untuk terus 'menyimpan' ahli yang mengamalkan konsep rasuah dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang pemimpin, demikian menurut Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abd Hadi Awang.

Malah tegas beliau, pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan menghalang jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menjalankan siasatan mereka kepada pemimpin yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan ini.

"Kita tidak ada kuasa, tak ada kuasa perundangan, yang ada kuasa SPRM. Kita terbuka kepada SPRM, Menteri Besar kita di semua negeri mengikut amalan pentadbiran SPRM.

"Kalau SPRM hendak bertindak mesti mendapat kebenaran daripada MB dan PM sebab itu MB dan Pakatan Rakyat terbuka untuk SPRM menyiasat semua yang dituduh dan yang difitnah kalau terlibat dengan rasuah kerana kita betul-betul nak bersih walaupun exco dan MB sekalipun kalau tak betul kita pecat,"kata Hadi.

Beliau ditanya pemberita pada sidang media bagi mengulas dakwaan blogger Syed Azidi Abd Aziz atau yang lebih mesra dikenali sebagai “Kickdefella” yang mendakwa Datuk Paduka Husam Musa membayar sebanyak RM 350,000 kepada beliau untuk mendapatkan bantuan berkempen pada pemilihan PAS pusat yang sedang berlangsung sekarang.

Ujarnya yang juga ali parlimen Marang, bukan sahaja siasatan terhadap Datuk Husam sahaja, malah bagi semua pemimpin yang tidak telus dan jujur juga akan disiasat bagi membendung gejala rasuah yang menjadi agenda Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga.

Dua hari lalu sebelum bermulanya Muktamar PAS Kali Ke-57, Utusan melaporkan keengganan penulis blog Kickdefella mengulas dakwaan di blog bahawa beliau menerima bayaran RM300,000 untuk berkempen bagi pihak Husam.

Bagaimanapun, akhbar sama semalam melaporkan Syed Aziz mengakui menerima wang RM350,000 dari Husam, tetapi bukan bagi tujuan itu.

Beliau juga dilaporkan berkata tidak bertemu lagi dengan Husam sejak tahun 2009 dan hanya berbual di telefon dan bertukar SMS sahaja.

Pada pemilihan PAS kali ini, Husam bertanding merebut jawatan naib presiden bersama-sama lima calon lain iaitu Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Datuk Mohd Amar Abdullah, Idris Ahmad dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Amanat Presiden : Pertahan Negeri PR Sehabis Kudrat




GOMBAK 3 JUN : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini secara rasminya mengarahkan seluruh jentera PAS bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 sebaik sahaja muktamar berakhir.

Beliau juga menggesa seluruh pimpinan berikrar untuk mempertahankan negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat dengan sepenuh daya dan kudrat.

" Walau bila pun tarikhnya, saya dengan ini mengarahkan seluruh jentera PAS untuk bersiap sedia sebaik sahaja muktamar kita selesai untuk menghadapi pilihan raya umum, dengan membuka bilik gerakan dan aktivitinya dengan penuh taktikal, seterusnya menyiapkan gerak kerja secara berstrategi yang akan diperincikan oleh Jabatan Pilihan raya PAS Pusat nanti. Manakala ILPAS juga perlulah melalui fasa keduanya dalam menjadi nadi utama latihan kepada semua petugas parti di pelbagai peringkat,"katanya.

"Pada hari ini juga, marilah sama-sama kita berikrar untuk mempertahankan negeri Kelantan dan Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang telah kita tadbir secara bersama ini dengan sepenuh kudrat yang kita ada, biarlah keringat kita membasahi bumi tempat berpijak, biarlah tenaga kita bergelora dengan semangat yang tinggi, kita akan mempertahankan kemenangan yang telah kita kecapi selama ini dengan izin Allah SWT,"tambah beliau.

Mengumumkan perkara itu, Hadi turut mengarahkan seluruh jentera memberi tumpuan 70 peratus ke arah mendekati pengundi atas pagar.

" Manakala jentera di peringkat Unit Peti Undi (UPU) pula wajar mengalami perubahan drastik di atas peranan mereka yang semakin penting, terutamannya kerana merekalah yang setiap hari berada paling hampir dengan pengundi di unit yang paling kecil
dalam sistem pilihan raya kita ini. Mereka wajar mengenali kesemua pengundi di lingkungan mereka seumpama mereka mengenali saudara-mara mereka sendiri,"kata Hadi lagi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya seluruh jentera parti sentiasa hikmah dalam menjalankan tanggungjawab.

" Santunilah pengundi yang ada di depan kita secara peribadi supaya akhirnya mesej kita kepada mereka dapat disampaikan dan diterima oleh semua, kerana pendekatan ceramah terbuka kadangkala hanya berlegar di kalangan ahli kita sahaja.

Hadi : Umno Bebalkan Rakyat Islam, Kotorkan Politik Negara




GOMBAK 3 JUN : Dalam ucapan yang dianggap paling keras terhadap Umno, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan parti pemerintah itu sebagai pengotor politik negara menerusi amalan rasuah, fitnah, pembohongan dan perkauman sempit.

Penegasan beliau sekaligus menzahirkan bahawa parti Islam itu tidak “termakan” dengan pelawaan-pelawaan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini mendedahkan Umno menawarkan tiga jawatan Menteri jika PAS setuju meninggalkan Pakatan Rakyat dan bersama Umno.

Namun, ucapan Abdul Hadi ketika merasmikan Muktamar PAS di Kuala Lumpur pagi tadi menyerlahkan pemikiran PAS mengenai pemimpin-pemimpin Umno yang membuat cadangan itu.

“Pemimpin Melayu Islam yang membebalkan majoriti rakyat beragama Islam, tidak boleh menjadi model Islam yang sebenar kepada rakyat bukan Islam, kerana (mereka) dijangkiti keruntuhan moral, rasuah dan menyalah guna kuasa sehingga tidak menunaikan amanah besar yang diwajibkan oleh Islam kepada penganutnya,” kata Hadi.

“Politik seperti ini perlu dimurnikan dan sudah tentu Umno-Barisan Nasional akan gagal untuk membersihkan politik yang dikotorkan oleh tangan mereka sendiri,” tambah beliau.

Hadi berkata kemurnian politik negara dicemari dengan tindakan jijik menerusi pelbagai angkara dan perkara kotor sehingga memalukan anak-anak yang menjadi penonton kepada perlakuan sedemikian.

Ahli parlimen Marang itu kesal kerana amanah besar yang diberikan kepada Umno untuk mengisi kemerdekaan negara sebaliknya digunakan sebagai peluang kebendaan untuk menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat.

“Akhirnya harta negara menjadi milik peribadi pemimpin mereka (Umno), meninggalkan rakyat berhempas pulas untuk melangsungkan kehidupan di dunia ini,” tambah beliau.

Hadi berkata cita-cita untuk membina sebuah Malaysia yang sejahtera dan aman digagalkan oleh sebuah pemerintahan yang mengaut khazanah negara dan membelakangkan falsafah dan tuntutan Islam.

“Hakikatnya Umno telah menjadikan penyokong Melayu Islam buta dan pekak dengan politik wang, media dan hiburan yang melalai dan meperbodohkan mereka,” kata beliau.

Justeru Hadi berkata adalah tanggungjawab PAS untuk terus memperkenalkan ajaran Islam secara ilmu dengan mengembalikan umat Islam yang jahil kepada Islam.

Langkah sedemikian akan membebaskan ummah “daripada khurafat politik Umno bahawa mereka sahaja boleh memerintah,” jelas beliau.