Timbalan: Mat Sabu, Naib: Salahuddin, Husam, Mahfuz

Pemimpin veteran, Mohamad Sabu menang sebagai Timbalan Presiden PAS, setelah menewaskan penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa dan seorang lagi calon Tuan Ibrahim Tuan Man. Sementara penyandang jawatan Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar berjaya mempertahankan jawatan, dan Husam Musa kembali semula untuk mengisi satu lagi kerusi Naib Presiden.

Mohamad Sabu (gambar kiri), atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu meraih 420 undi, iaitu kira-kira 40% daripada 1,043 undi yang sah. Nasharuddin Mat Isa hanya memperolehi 224 undi, dan Tuan Ibrahim mendapat 399 undi, iaitu 21 undi ketinggalan berbanding Mat Sabu.

Dalam pemilihan pada tahun 2009, Nasharuddin Mat Isa mempertahankan jawatan Timbalan dengan 480 undi, lantaran daripada berpecahnya undi antara Husam (281 undi) dengan Mat Sabu (261 undi), yang membawa jumlah kepada 542 undi. Kali ini, nasib pula memihak kepada Mat Sabu, apabila undi "golongan ulama" berpecah antara Tuan Ibrahim dan Nasharuddin, yang akhirnya memberi kemenangan kepada Mat Sabu.

Nizar undi terendah dalam pertandingan Naib Presiden

Untuk jawatan Naib Presiden pula, dua orang penyandang, juga bekas Ketua Dewan Pemuda PAS, iaitu Salahuddin Ayub (753 undi) dan Mahfuz Omar (616 undi) berjaya mempertahankan jawatan mereka, sementara Husam Musa kembali selepas tewas dalam pertandingan Timbalan Presiden pada tahun 2009 - dengan 660 undi.

Tiga orang lagi calon Naib Presiden adalah Idris Ahmad (491undi), Nik Mohd Amar Nik Abdullah (321 undi) dan Nizar Jamaluddin (217 undi).

Dalam pemilihan pada tahun 2009, Salahuddin Ayub meraih 824 undi, sementara Mahfuz Omar mendapat 636 undi, dan Tuan Ibrahim yang memperolehi undi tertinggi, 871 undi dalam pertandingan Naib Presiden. Keputusan yang diumumkan hari ini memperlihatkan bahawa Mahfuz mengekalkan sokongannya, sementara Salahuddin Ayub kehilangan sedikit undi. AJK pusat yang meraih undi tertinggi pada tahun 2009, Nizar Jamaluddin, kecundang pula dengan undi terendah dalam Naib Presiden, kali ini.

Selain itu, daripada 18 orang AJK Pusat yang terpilih, hanya satu pertiga daripadanya yang berlatar-belakangkan ulama.

Ramai pemimpin yang dilabelkan sebagai "Erdogan" menang dalam perebutan 53 orang calon ini, antaranya Hatta Ramli, Kamaruddin Jaafar, Mohamed Hanipa Maidin, Dzulkifly Ahmad, Mujahid Yusof Rawa, Khalid Samad, Siti Mariah dan lain-lain lagi.

Yang berikut adalah senarai AJK Pusat dengan undi yang diperoleh:

Mazlan Aliman (804)
Mohd Hatta Md Ramli (765)
Kamarudin Jaafar (739)
Hanipa Maidin (735)
Azizan Abdul Razak (726)
Dzulkefly Ahmad (702)
Mujahid Yusof Rawa (651)
Khalid Abd Samad (643)
Abdul Ghani Shamsuddin (579)
Amiruddin Hamzah (576)
Abdul Wahid Endut (556)
Abu Bakar Chik (527)
Nik Mohd Amar Nik Abdullah (470)
Mahfodz Mohamed (449)
Siti Mariah Mahmud (445)
Hassan Ali (437)
Abdul Ghani Abdul Rahman (430)
Nuridah Salleh (416)