Tahniah kepada semua yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam rombakan Jemaah Menteri minggu ini, terutamanya kepada Ahli Parlimen Johor Baharu, Saudara Akmal Nasir dan Ahli Parlimen Ledang, Tuan Syed Ibrahim.
Yang minta saya ulas mengenai rombakan kali ini, jangan lupa tonton podcast YBM Jumaat ini, 19 Disember jam 9 malam.
Saya simpan komen saya untuk podcast.
Semua orang tahu Saudara Akmal dan Tuan Syed Ibrahim adalah kawan rapat saya, sebelum politik pun.
Akmal adalah junior saya di sekolah, walaupun kami tidak pernah jumpa.
Tahun 2009, semasa itu saya adalah CEO di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor dan Akmal baru habis belajar dari US dalam ijazah ekonomi dan sains aktuari.
Dia email saya untuk diambil bekerja kerana minatnya dalam bidang politik. Semasa di US, dia pernah menjadi sukarelawan dalam kempen Presiden Obama.
Dua kali dia tulis email hantar CV, dua kali saya tolak.
Bukan sebab CV dia tak bagus, saya tak mahu dia sia-siakan ijazahnya yang baik. Saya nasihatkan dia mula kerjaya sebagai aktuari, buat duit banyak-banyak, timba pengalaman korporat, kemudian sepuluh tahun cari saya balik.
Sebab saya tahu Akmal ingat Malaysia ni macam US.
Graduan yang bagus boleh habiskan beberapa tahun menjadi penyelidik atau pegawai di pejabat politik, kemudian bertukar ke kerjaya korporat.
Masa itu, di Malaysia, kalau dah ada rekod kerja dengan pembangkang, tak de GLC atau MNC nak ambil bekerja.
Tapi Akmal keras kepala, lebih kurang macam saya keras kepala.
Dia hantar CV buat kali ketiga.
I always reward persistence. Bila ada seseorang yang gigih mencuba berkali-kali, maknanya orang itu mungkin akan berjaya.
Maka Akmal jadi pegawai saya bermula tahun 2009. Sejak dari itu, Akmal jadi tanggungjawab saya.
Bila saya meletakkan jawatan sebagai CEO Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor untuk menubuhkan Pusat Pemberi Maklumat Nasional (NOW) dalam tahun 2012, Akmal ikut sekali.
Masa Akmal dengan saya di NOW, saya perasan dia ada bakat terpendam, iaitu kebolehan menyamar.
Bila kami selidik sesuatu aduan rasuah atau penyelewengan, kami kena siasat untuk sahkan terlebih dahulu.
Masa itu mudah sebab orang tak kenal saya atau Akmal. Dialah yang selalu jadi mangsa berlakon untuk menyamar dan mengesahkan bukti.
Akmal pernah menyamar sebagai rakan kongsi perniagaan lembu dengan saya semasa kami membongkar skandal NFC.
Dia juga pernah menyamar sebagai ejen hartanah nak sahkan keluarga menteri duduk di sebuah rumah milik seorang yang dituduh kes rasuah.
Ketika itu juga, Akmal selalu ikut saya berceramah. Dia pemandu tidak berbayar.
Tanpa pengetahuan saya, dia berulang-alik ke JB untuk menghidupkan PKR JB sejak awal 2014. Masa itu, orang JB tak pandang PKR dan JB tidak pernah dimenangi pembangkang.
Tahun 2014, Akmal jadi antara Ketua Cabang PKR termuda dan saya adalah Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR.
Dari situlah saya terpaksa terima hakikat yang Akmal nak buat kerja gila merebut Parlimen JB dari UMNO. Saya cakap itu kerja gila, tapi dia berkeras.
Kempen trak INVOKE bermula dalam bulan September 2016 di JB, sebelum menjelajah ke seluruh negara.
Masa berkempen di JB, Akmal masih pakai kereta Kelisa berbelas tahun yang dia beli tunai bila balik dari US. Saya cakap kat dia macam mana nak menang pergi kempen pakai Kelisa.
Jadi kereta pertama yang dia beli di Malaysia adalah atas nama saya. Lepas jadi timbalan menteri baru dia jual kereta itu.
Saya dapat tahu mengenai ura-ura pelantikan Akmal menjadi Menteri Ekonomi lebih awal, seminggu sebelum diumumkan.
Akmal tanya pandangan saya.
Saya ingatkan beberapa perkara sahaja.
1. Jawatan dan pangkat ini sementara
2. Kalau kita ambil sesuatu kerja, buatlah sehabis baik
3. Pujian dan makian orang tidak bantu kita di akhirat, hanya kerja yang ikhlas dan baik yang boleh jadi pahala.
Sebab jawatan Menteri dan Timbalan Menteri itu adalah satu jerat.
Kalau kita culas, tidak amanah, kita yang dijerat.
Kalau kita rajin, ikhlas, kerja kita ada kesan, maka ia menjadi jerat yang baik untuk mendapat pahala.
Kisah pasal Ahli Parlimen Ledang, Tuan Syed Ibrahim, nanti saya cerita dalam episod seterusnya.
RAFIZI RAMLI
Sumber - https://www.facebook.com/share/p/17ZgNu5C24/?mibextid=wwXIfr