MGID

At all costs' nak kekalkan jawatan, biarpun negara hancur kerananya

Aspan Alias

 

Tekanan terhadap Najib untuk berundur semakin kuat kedengaran. Jika kita buat tinjaun di peringkat akar umbi amat susah mencari orang yang tidak bersetuju untuk Najib berhenti. Dikalangan ‘warlords’ dalam UMNO kini teraba-raba seolah-olah tidak mempunyai jalan lain selain dari memaksa Najib untuk bersara sahaja. Seboleh-bolehnya Najib tidak mahu bersara kerana bersara untuk kepentingan negara sudah tidak menjadi budaya dalam kepimpinan UMNO lagi.

Berlainan dari kepimpinan pra Mahathir di mana pemimpin mengutamakan perpaduan ahli-ahli parti dan rakyat. Jika pucuk pimpinan merasakan yang rakyat dan negara akan berpecah kerananya, pemimpin utama itu dengan senang hati mengundurkan diri. Semasa itu keutamaan niat dan matlamat seorang pucuk pimpinan itu ialah untuk mengekalkan negara berada dalam kesejahteraan.

Hussein Onn telah mengumumkan tidak mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan 1981 selepas sahaja beliau ditentang oleh Sulaiman Palestin pada tahun 1978. Dalam pertandingan itu Hussein telah mendapat kemenangan besar dan Sulaiman Palestin hanya mendapat lebih sedikit dari seratus undi sahaja dari 1200 orang perwakilan.

Tetapi apakah yang menyebabkan Hussein bertindak mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri pada tahun 1981 dahulu? Sebabnya ialah beliau tidak mahu UMNO itu pecah belah dan beliau telah merasakan walaupun hanya segelintiran yang tidak bersetuju dengan beliau sokongan terhadap beliau tetap tidak bulat untuk membolehkan pengekalan perpaduan dalam parti semasa itu.

Hussein mendapat tekanan dari Pemuda UMNO untuk bersara kerana isu Dato Harun Idris yang dianggap oleh ramai ahli UMNO khususnya pemuda telah sebagai satu penganiayaan terhadap Harun semasa itu. Pemuda berkeras untuk membela Dato Harun dan telah memutuskan untuk menandingi Hussein dalam pemilihan pada tahun 1978, tahun mana Husein sedang mendapatkan ‘endorsement’ sebagai Presiden parti itu setelah memangku jawatan itu sejak Januari 1976 selepas kematian Tun A Razak.

Usaha Pemuda semasa itu mendapat sokongan Timbalan Presiden secara senyap-senyap semasa itu, iaitu Dr Mahathir Mohamed yang tatkala itu sudah mahukan jawatan Presiden parti itu untuk beliau sendiri. Oleh itu pertandingan Sulaiman Palestin dengan Hussein Onn itu membuatkan Dr Mahathir berjaya mendapatkan jawatan Presiden itu lebih mudah setelah Hussein mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden parti dalam pemilihan berikutnya iaitu pada tahun 1981 dahulu.

Persoalannya ialah kenapa begitu mudah Hussein mengalah dan memberikan laluan kepada Dr Mahathir begitu senang tanpa sebarang masalah yang membawa UMNO itu kepada perpecahan? Jawapannya mudah kerana pemimpin semasa itu hanya mahu melihat negara aman melalui perpaduan kepada parti yang memerintah, UMNO ketika itu. Hussein mahu pun Tun Razak sebelum itu tidak menganggap meletakan jawatan itu sebagai perkara yang payah untuk dilakukan kerana yang hanya ada dalam jiwa dan benak mereka hanyalah keamanan dan perpaduan rakyat dan tidak mahu melihat negara dibawa kepada arah tuju yang boleh membawa perpecahan negara.

Pemimpin semasa itu tidak memikirkan masalah keluarga dan menganggap bersara dari jawatan itu sendiri adalah pengorbanan terhadap rakyat dan negara. Mereka lebih menumpukan usaha untuk meninggalkan nama yang baik dan tidak mahu  sejarah membaca mereka sebagai seorang pembawa masalah kepada negara. Kenapa mereka mampu untuk menjiwai nilai ini? Sebabnya mudah kerana mereka tidak memikirkan laba dan keuntungan peribadi dan keluarga atau harta benda yang berbillion ringgit.

Apabila mereka berjaya menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini, mereka mengambilnya sebagai kejayaan peribadi yang sangat berharga untuk dibawa mati, tanpa sebarang persoalan dan persepsi buruk semasa meninggalkan dunia ini. Mereka mengambil mencapai ‘ultimate perpaduan nasional’ itu sebagai ibadah yang dituntut agama dan bangsanya. Lagi pula mereka mahukan kehidupan yang tenang semasa waktu-waktu sisa-sisa hidup didunia ini. Mereka takutkan kepada generasi yang akan datang yang akan membaca sejarah buruk untuk mereka.

Semuanya ini sudah hilang dan tidak lagi wujud elemen mulia ini dalam kepimpinan negara. Kepimpinan sekarang dari semua pihak sarat dengan kepimpinan yang berpandukan kepada kemahuan peribadi dan kepimpinan negara begitu sarata dengan mereka yang hanya menumpukan tenaga mereka untuk menjadi ‘social climbers’ semata-mata.  Mereka adalah dari gulungan yang terlalu banyak kekurangan dalam diri mereka. Mereka tidak lebih dari orang ramai dibawah ini, termasuk diri saya sendiri yang hanya layaknya hanya menjadi pendukung perjuangan dan bukannya untuk menjadi pemimpin.

Itu sebabnya diantara mereka atau ahli keluarga mereka apabila sampai kepuncak mereka mengambil kesempatan untuk menggunakan apa yang ada dihadapan mereka untuk diperguna dengan habis-habisan tanpa menimbangkan moral terhadap tindakan mereka. Yang berangan selama ini untuk menjadi ‘jet setters’ akan menggunakan kesempatan untuk terbang kemerata dan seantero dunia dengan jet-jet kerajaan dan semuanya ini dibayar oleh rakyat.

Pimpinan seperti ini juga tidak mahu mengambil segala ‘accountability’ di atas segala kesalahan dalam menggunakan wang kepunyaan rakyat terhadap kononnya pelaburan untuk negara. Kerugian yang melibatkan kerugian berpuluh-puluh billion ringgit di dalam setiap kes ‘misadventure’ sudah menjadi lazim dan tidak dianggap sebagai bersalah lagi.

Mereka masih selamba melekat kepada kerusi dan jawatan yang penting negara itu. Yang masih menjadi Perdana Menteri tidak mahu dialih dan dianjak, yang menjadi Menteri Dalam Negeri tetap memberikan alasan ‘cock and bull stories’ dalam mempertahankan kesalahan moral dan politik yang mereka lakukan. Tidak ada bentuk kesalahan yang boleh membuatkan mereka mengambil ‘accountability’ dan berhenti sahaja dari jawatan sandangan mereka.

Selalunya pemimpin yang tidak berkemampuan dan lemah tetapi masih ingin untuk berjawatan penting itu adalah mereka dari jenis yang tebal kulit mukanya. Itulah ‘attribute’ penting dalam kepimpinan hari ini baik dari pihak kerajaan mahupun dari pihak yang membangkang.

Tidak ada lagi pimpinan yang terasa yang mereka perlu meletakan jawatan kerana kekal dengan jawatan mereka itu akan memecah dan merosakan negara sehingga ia tidak dapat diperbetulkan lagi.

Mengikut dan mencontohi Hussein Onn tidak menyelerakan bagi pemimpin hari ini kerana tidak dapat kepentingan dan laba yang bertimbun. Kadangkala hendak salahkan orang lain pun susah juga, kerana anak kepada Hussein itu sendiri pun tidak mahu menghargai jiwa dan semangat bapanya itu.

Kita pinjam kata-kata Najib yang sangat popular, ‘at all costs’ kerusi di Putrajaya itu masti dikekalkan, walaupun ia menjahanamkan budaya politik yang bermoral.

Anwar sedia bantu SPRM siasat Daim

Anwar sedia bantu SPRM siasat Daim

(Oleh: Amirul Azhan)

KUALA LUMPUR 19 JANUARI: Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Ini berikutan hampir 15 laporan dilakukan terhadap Daim yang dikatakan mengaut berbilion ringgit melalui kepetingannya di Bank Africa dan Eropah Timur.

“SPRM harus jalankan tugasnya secara profesional dan saya akan berikan kerjasama sepenuhnya.
“Saya ada bahan-bahan, saya tiada masalah untuk disoal kerana itu sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu siasatan,” kata Anwar dalam program Meet Anwar yang dianjurkan Kelab Anwar Ibrahim (AIC) semalam.

Pada 15 Januari lalu,  Daim berkata beliau sedia bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan terhadap perniagaan perbankannya di luar negara.

Menurut Anwar, beliau memang mempunyai bukti dalam penyalahgunaan kuasa Daim tetapi sudah difailkannya.

Daim dipetik oleh laporan berita sebagai berkata beliau disiasat dua kali sejak 1999 berhubung perkara itu, dan tiada apa yang tidak kena dalam siasatan itu.

Dalam pada itu, (SPRM) hari ini dilapor telah mengambil keterangan mantan menteri kewangan itu berhubung dakwaan salah laku terhadapnya.

Suruhanjaya itu juga akan berjumpa dengan Anwar yang mendakwa mempunyai bukti kukuh berkenaan kes itu.

“SPRM juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai bukti supaya bekerjasama dengan SPRM,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull (kanan).
Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Shukri berkata, keterangan Daim, Anwar dan lain-lain saksi akan dikemukakan semula kepada timbalan pendakwa raya dan Panel Penilaian Operasi (PPO), badan bebas yang memantau operasi SPRM.


PKR ingatkan hutang negara sudah RM569 bilion



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diingatkan supaya tidak terus meminjam untuk menangani kurangan besar dalam Belanjawan 2015 kerana ia akan membebankan negara.

Anggota parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata kurangan yang dicetuskan oleh kejatuhan harga minyak dunia, masalah ringgit melemah dan perbelanjaan menangani banjir, boleh mencecah sehingga RM25 bilion (9.2 peratus) daripada keseluruhan belanjawan.

“Kami gesa perdana menteri untuk berterus terang berhubung jumlah kurangan belanjawan dalam taklimat khas esok.

“Bawah keadaan ekonomi menekan, kerajaan mempunyai dua kaedah untuk menyelesaikan masalah belanjawan: potong perbelanjaan atau mengambil pinjaman tambahan.

“PKR ingin memberi amaran kepada kerajaan untuk tidak mengambil pinjaman tambahan,” kata Sim yang juga pengarah strategi PKR.

Sim mengingatkan bahawa pentadbiran Najib sudah menyaksikan hutang tertinggi sebanyak RM568.9 bilion atau 52.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Jika mengambil kira liabiliti luar jangka, ia sudah mencecah 70 peratus daripada KDNK,” kata Sim.


Konflik Harakah: Lutfi jangan patah semangat!


oleh:  Jebon



Khabar angin dari sumber yang dipercayai menyebut Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman tidak mahu lagi memperpanjangkan pertikaian dalaman Harakah.

Beliau dengan rela hati ingin berundur dan mahu melihat generasi editor baharu memajukan lidah rasmi parti itu memenuhi sasaran Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar yang mahukan jualan Harakah berkembang ke angka 100,000 dalam tempoh enam bulan akan datang.

Namun penyokong Lutfi kecewa dengan rajuk beliau kali ini. Lutfi yang pernah dinobatkan seumpama dinasour T-Rex pada era Reformasi, berjaya menumbangkan MB Selangor Abu Hassan Omar menerusi penerbitan tidak berkala Memo, dilihat tidak mudah menyerah kalah pada awal krisis.

Oleh yang demikian, kumpulan Paksi yang didukung abangnya Dinsman membela Lutfi. Begitu juga pertubuhan wartawan Geram menegur pengurusan Harakah kerana tidak mengamalkan tatacara yang betul dalam bertindak ke atas kakitangan media.

Rajuk Lutfi tidak mungkin berlaku sedekad lalu sewaktu kesihatannya tidak seburuk sekarang. Bagaimanapun Lutfi yang masih memegang jawatan Ketua Pengarang sehingga nasibnya diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Harakah pada 17 Februari depan masih berkuasa mengendalikan penerbitan PAS itu.

Jualan merosot


Menurut sumber yang dipercayai, Lutfi merajuk kerana puak profesional PAS tidak membelanya menghadapi serangan puak ulama. Terutama Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang amat diharapkannya dan sering mengunjungi pejabat Harakah untuk menyumbang buah fikiran.

Ternyata puak profesional PAS termakan hujah golongan anti Lutfi. Hujah mereka kononnya di bawah kepimpinan Lutfi jualan merosot.
Namun wartawan Harakah bukanlah spesis Melayu Umno mudah lupa. Ketika jualan Harakah melonjak ke angka 300,000 setiap keluaran, pada zaman Ketua Pengarang Zulkifli Sulong dulu pun, terdapat juga puak yang tidak puas hati dengan kepimpinan Zul. Akhirnya Zul ditukar ke Harakahdaily, sebagai editor versi online Harakah.

Apabila politiking dalam Harakah dan PAS semakin buruk dengan pertelagahan golongan pro PR dan ulama Unity Government (UG) pro Umno maka Zul mengambil keputusan meninggalkan terus Harakah untuk menjawat editor The Malaysian Insider.

Jasa Lutfi

Dalam kes Lutfi, beliau tidak wajar dipersalahkan. Lutfi pernah berjasa membawa Harakah ke puncak kejayaan pada bulan-bulan sebelum PRU ke 13 dari Januari hingga Mei 2013. Ketika itu Harakah dicetak 120,000 setiap keluaran. Mengapakah Lutfi tidak diraikan kerana peningkatan jualan itu? Tiada pula upacara kenduri doa selamat atau hadiah plak kepada beliau kerana kenaikan jualan.

Penurunan jualan ketika ini bukan disebabkan kesihatan Lutfi. Penerbitan PKR, Suara Keadilan juga mengalami penurunan ke paras 70,000 nashkah sahaja. Mood rakyat selepas pilihan raya memberi kesan kepada akhbar politik.

Bukan semua rakyat minat politik. Malah terdapat ahli parlimen atau ADUN sekali pun tidak membaca akhbar politik. Jangan terpengaruh hujah puak pro ulama kononnya mereka tidak membaca Harakah kerana akhbar itu terlalu liberal. Ulama sebenarnya tidak punya masa membaca akhbar kecuali bahan-bahan rujukan agama untuk kuliah mingguan mereka.

Lebih buruk lagi apabila cybertrooper anti Lutfi membuat print screen beberapa berita di halaman harakahdaily membuktikan pada hari yang sama, berita rayuan Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan dimuat pada sroll paling atas tetapi berita Presiden PAS, Hadi Awang di bawah.

Pemimpin PAS pula mempersoalkan tindakan Lutfi meletak berita rayuan Anwar di muka depan. Adakah pemimpin ini masih berada di abad ke 18? Tiada penyokong PAS akan membeli Harakah jika ‘news maker’ adalah Anwar tetapi Harakah meletakkan gambar tok guru sebagai berita utama. Mereka lebih rela membeli Berita Harian atau Utusan untuk mengetahui perkembangan semasa.

Walaupun akhbar parti, Lutfi wajar dibenar menyempurnakan tugasnya sebagai wartawan. Dapat dimengerti ulama PAS amat anti Anwar dan sekiranya parti itu meninggalkan PR maka Anwar akan mudah terpadam daripada ruang pemikiran para penyokong sekiranya Harakah tidak menyiarkan berita ketua pembangkang itu. Tetapi bagaimanakah Harakah akan survive tanpa berita panas? Adakah PAS mahu Harakah diberi percuma kepada ahli seperti akhbar kerajaan Selangor?

Sedangkan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia sekali pun menyiarkan Anwar di muka depan ketika tokoh pembangkang itu menjadi tumpuan utama. Puak profesional dalam Lembaga Pengarang Harakah seperti Salahudin Ayub, Mahfuz Omar, Suhaizan Kaiyat dan lain-lain janganlah mengepung diri sendiri dengan hujah puak anti Lutfi.

Tiada masa depan
Sekiranya Harakah mahu ditingkatkan jualannya, cara paling sesuai ialah menggajikan editor Metro sebagai ketua pengarang dan meletakkan berita sensasi di muka depan. Tetapi tidak mungkin PAS setuju. Jadi, sekiranya Lutfi disingkirkan pun, dengan Harakah mengekalkan format politik maka jualan tidak akan meningkat.

Harakah pernah menjadi akhbar rujukan utama ketika PAS dipimpin oleh Presiden Fadzil Noor. Orang-orang Fadzil dalam Harakah ketika itu begitu dinamik. Pada era reformasi, ketika pemimpin ulung  Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Harun Taib menentang kerjasama PAS dan puak Reformasi, Harakah tetap memberi ruang antara dua hingga enam muka surat untuk memuatkan berita perbicaraan Anwar.

Malah ketika Reformasi memuncak, Harakah mengambil pendekatan akhbar arus perdana dengan memuatkan hampir keseluruhan isi kandungan dan muka depannya seputar momentum Reformasi. Wajah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Tan Seng Giaw, Dr Wan Azizah, Azmin Ali, Tian Chua, Dr Badrol Amin, Nurul Izah,  Ezam Mat Noor, Saari Sungip malah Hishamudin Rais dikenali penyokong pembangkang melalui muka surat Harakah.

Tidak dapat dibayangkan jika Anwar melancarkan gerakan Reformasi ketika PAS mula berbaik-baik dengan Umno dan Harakah dipersoalkan kerana ‘terlalu liberal’ seperti hari ini. Tentunya PAS akan kekal menjadi parti kecil dan Harakah akan kekal sebagai ‘akhbar nyamuk’.




Pertembungan Mahathir - Najib makin parah, Daim pula kena


Oleh: Amirulmukminin

Kritikan terkini terhadap dua bekas orang kuat Umno di media arus perdana melambangkan garis pertempuran antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pengkritiknya, kata seorang wartawan veteran, hari ini.

Bekas Ketua Pengarang kumpulan New Straits Times Datuk A Kadir Jasin berkata kritikan yang dilemparkan pada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin bermula selepas pertemuan antara Najib dan Dr Mahathir, bulan lepas.

"Mesyuarat itu diadakan di rumah bekas perdana menteri itu di Seri Kembangan di mana Najib makan malam bersama Dr Mahathir," Kadir menulis dalam blognya kadirjasin.blogspot.com.

"Perdana menteri dan bekas perdana menteri itu berbincang mengenai beberapa isu termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang mana Najib ialah penasihatnya.

"Sumber mendedahkan Najib terkejut dengan perbincangan mengenai syarikat itu," Kadir menulis.

"Serangan terhadap Dr Mahathir dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin oleh penulis blog pro Najib dan media arus perdana tidak lama selepas pertemuan itu," kata Kadir.

Beliau berkata serangan terhadap Dr Mahathir termasuk dakwaan yang beliau beri tekanan ke atas Najib untuk memulihkan projek jambatan bengkok adalah untuk 'memuaskan ego beliau'.

"Saya tidak pasti jika serangan terhadap Dr Mahathir dan Daim perbuatan seorang penasihat misteri Najib yang baru," Kadir menulis.

"Atau mungkin ia satu kerjasama oleh seluruh mesin propaganda pro Najib untuk menggilap imejnya dengan cara memburukkan pengkritiknya.

"Apa yang saya pasti ialah garis pertempuran antara PM dan pengkritiknya boleh dilakar," Kadir menulis.

Kadir berkata serangan yang menentang pengkritik Najib muncul untuk meraih momentum sebagai media arus perdana yang turut memetik pihak pembangkang.

"Selain daripada menyenaraikan orang Umno dalam usaha mereka untuk menutup mulut pengkritik, akhbar arus perdana, dan stesen TV yang berkaitan dengan Umno terus memetik kenyataan daripada parti pembangkang."

Penulis blog pro Umno melaporkan yang Daim diserang oleh 'cyber troopers' yang berkait dengan Najib kerana mengkritik Putrajaya dalam mengendalikan ekonomi negara.

Daim, serta Dr Mahathir, mengkritik hebat pentadbiran Najib dalam menangani ekonomi dan politik negara.

"Beberapa bulan lalu mereka mula menyerang Daim dan lebih kurang sebulan lepas serangan itu merebak ke Dr Mahathir," Kadir menulis.

"Mereka terlampau sistematik sebagai wartawan individu dan pengarang mengejar berita.

"Mereka kelihatan seperti bekerja dalam konsert dan diarah oleh orang di luar media," katanya.

Bagaimanapun, Daim tidak mengambil kritikan itu begitu saja dan sebaliknya beliau mengecam media Umno.

Dalam satu kenyataan media dialamatkan kepada Bernama, Kumpulan New Straits Times dan Utusan Malaysia, yang masih belum disiaarkan media arus perdana berkenaan, Daim berkata:"Saya merujuk kepada kenyataan baru-baru ini oleh beberapa ahli politik PKR yang mendesak SPRM mempercepatkan siasatannya terhadap perniagaan perbankan saya di luar negara.

"SPRM merupakan sebuah badan bebas yang membuat keputusannya tanpa campur tangan daripada sesiapa. Saya bersedia untuk menyokong dan bekerjasama dengan SPRM dalam siasatannya.

"Walaupun saya memahami motivasi ahli-ahli politik PKR ini kerana mereka tidak tahu banyak selain daripada politik dan membuat tuduhan yang tidak berasas, saya agak terkejut dengan perhatian yang diberikan kepada mereka oleh media kerajaan.

"TV3 yang tidak akan memberikan 2 minit masa penyiaran untuk Pakatan Rakyat, sudah menyiarkan sidang media PKR tidak kurang 3 kali. NST dan Utusan juga menyiarkan berita ini.

"Saya tahu siapa dalang di sebalik tumpuan terhadap saya yang secara tiba-tiba ini. Jika anda tidak suka pesanan itu, bunuh pembawa pesanan itu."


(function() { var d = document, w = window; w

THROWBACK# PENJELASAN RAFIZI ISU KES LIWAT ANWAR & SAIFUL / JAHAT & CELA...