Malaysia tidak harus ratifikasi ICERD sehingga diterima majoriti


Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi telah mempersoal akidah Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah kerana mahu kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Diskriminasi Kaum, International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD).
Beliau antara pemimpin politik Melayu yang memberi amaran bahawa orang Melayu akan mengamuk sekiranya kerajaan Malaysia meratifikasi ICERD.
Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pula berkata, adalah wajib bagi orang Islam menentang ICERD, manakala penganjur perhimpunan anti-ICERD Sabtu ini berkata bahawa perhimpunan tersebut tidak menyasarkan kaum-kaum lain, tetapi para pengkhianat negara.
Presiden PAS ini adalah mantan Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia. Tetapi saya tidak tahu kalau beliau pernah menggunakan platform itu untuk menggesa 55 negara Islam yang menjadi anggota OIC dan meratifikasi ICERD untuk menarik diri daripada konvensyen itu supaya 99% daripada 1.9 bilion umat Islam di dunia yang tinggal di 179 negara yang telah meratifikasi ICERD tidak menjadi pengkhianat agama.
Cadangan meratifikasi ICERD tidak berpunca daripada agenda rahsia untuk melemahkan Perlembagaan Persekutuan atau menyerang kedudukan orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu.
Saya ingin memetik tulisan blog rakan saya, Tamrin Tun Ghafar, bertajuk ‘ICERD atau ICURI’:
“19.  Perbezaan begitu ketara sekali apabila Kerajaan PH yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri tidak teragak – agak membenarkan rakyat berhimpun pada 08/12/18 dengan syarat mereka mesti menghormati Perlembagaan dan undang – undang.
“20. Tidakkah Zahid selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang pernah melakukan apa saja yang boleh bagi menggagalkan segala apa yang hendak dilakukan oleh pembangkang ketika itu sedar dan merasa malu dengan kelulusan yang diberi bagi memudahkan Perhimpunan pada 8hb Disember nanti?
“21.  Perhimpunan kali ini agak unik sedikit kerana buat pertama kalinya UMNO dan PAS akan bersama seperti pasangan pengantin tua yang hampir senja.
“22.  Bagi menjaga air muka masing-masing, Zahid dan Hadi terpaksa meneruskan Perhimpunan  pada 8hb Disember ini bagi membantah ICERD sedangkan Kerajaan sendiri telah mengumumkan secara rasmi bahawa kerajaan TIDAK AKAN menandatangi deklarasi tersebut.
“23. Oleh kerana berbagai publisiti telah dibuat begitu juga ribuan wang ringgit telah dibelanjakan maka Perhimpunan ini suka tak suka terpaksa diteruskan dengan alasan – alasan yang remeh.
“24.  Saya dan ramai lagi akan sama – sama turun padang jika sekiranya Perhimpunan itu diadakan bagi menuntut dari Najib dan keluarganya memulangkan semula duit rakyat yang disamun mereka melalui 1MDB.
“25.  Begitu juga beratus juta ringgit lesap daripada Tabung Haji yang mana 7 juta orang Islam terutama makcik dan pakcik di kampung menabung di Lembaga itu bagi memudahkan mereka ke Mekah.
“26.  Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan Perhimpunan itu akan diadakan bagi melakukan doa dan solat kesyukuran kerana Kerajaan tidak akan menandatangani ICERD.
“27.  Hadi pula dengan alasan hendak mengajar Menteri – Menteri yang tidak menghormati Perdana Menteri.
“28.  Zahid dan beberapa ahli UMNO pula mahu memprotes ICERD.
“29.  Dengan berbagai alasan diberikan mereka,  ini semua membuktikan mereka ini bodoh sombong yang tak boleh diajar.
“30.  Kan lebih bermakna jika mereka gunakan Perhimpunan ini menuntut Najib , Rosmah dan Jho Low memulangkan kembali  harta rakyat yang mereka rompak dari senyap seribu bahasa dan berpeluk tubuh tidak bersuara.
“31.  Yang akan berkumandang di udara ialah laungan ‘ Takbir’ dan ‘Hidup Najib’  bukannya ‘Najib , pulangkan duit kami’.”
Rakyat Malaysia telah menjadi mangsa demikian banyak mitos dan salah faham berkenaan ICERD.
Pertamanya, ICERD serasi bukan sahaja dengan Islam bahkan demikian banyak agama dan ajaran. Ramai yang percaya bahawa meratifikasi ICERD ertinya merendahkan martabat Islam.
Ini sebabnya kenapa kebanyakan negara majoriti umat Islam di dunia, termasuk negara anggota OIC seperti Jordan, Palestin dan bahkan Arab Saudi telah meratifikasi ICERD.
Kedua, ICERD turut serasi dengan Perlembagaan Persekutuan. Ramai yang salah faham bahawa sekiranya Malaysia meratifikasi ICERD, Perkara 153 akan dimansuhkan apabila objektifnya telah dicapai. Malah sebenarnya, Perkara 153 konsisten dengan dengan tujuan ICERD, memandangkan Perkara 1(4) dan 2(2) konvensyen itu bertujuan melaksanakan kesetaraan yang berkesan atau substantif, dan bukan sekadar kesetaraan yang bersifat rasmi dan luaran sahaja.
Ketiga, ICERD tidak menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan mengakibatkatkan terhapusnya sistem Raja-raja Melayu.
Terdapat 38 negara dengan sistem monarki dan 36 daripada telah meratifikasi ICERD termasuk United Kingdom pada 1969, Norway pada 1970, Sweden pada 1971, Denmark 1971, Belanda 1971, Jordan 1974, Belgium 1975, Jepun 1995 dan Arab Saudi pada tahun 1997.
Langsung tidak wujud indikasi bahawa meratifikasi ICERD oleh 36 negara ini telah menjejaskan sistem monarki sehingga ia dihapuskan.
Seperti ucapan saya di majlis makan malam Persatuan Jiansu Malaysia di Suchou, China sehari selepas Kabinet memutuskan untuk tidak meratifikasi ICERD, saya menyokong keputusan Kabinet, meski ia satu langkah ke belakang dalam usaha membina Malaysia Baharu.
Tiada rakyat Malaysia yang mahu meratifikasi ICERD jika harganya ialah adalah suatu lagi rusuhan kaum seperti 13 Mei, memandangkan wujud anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab mahu mencetuskan rasa tidak percaya sesama kaum dan agama, selain rasa saling membenci bagi menimbulkan keadaan yang boleh menyebabkan tercetusnya satu lagi rusuhan kaum ala 13 Mei di Malaysia, malah bercakap tentang mengamuknya orang Melayu dan kononnya ‘rindu dengan 13 Mei’.
Malaysia tidak harus meratifikasi ICERD sehingga majoriti kaum dan agama di negara ini menyokongnya dan memahami bahawa ia tidak mengancam kepelbagaian kaum, agama mahupun Perlembagaan Persekutuan tetapi merupakan langkah ke hadapan menyertai masyarakat dunia mempromosi hak asasi manusia.
Isu ICERD adalah amaran untuk seluruh rakyat Malaysia bahawa wawasan ‘Malaysia Baharu’ yang menjadi pencetus sejarah keputusan pilihanraya 9 Mei 2018 yang menyaksikan perubahan kuasa demokratik dan aman buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun dan  memberi harapan kepada dunia bahawa demokrasi sebagai suatu sistem kerajaan untuk mencapai kebebasan, keadilan dan urustadbir yang baik untuk masyarakat dunia, masih boleh dikalahkan sekiranya kita membiarkan oportunis politik dan para ‘desperado’ mengeksploitasi politik kebohongan, kebencian, kaum dan agama sehingga sanggup melancarkan konflik kaum dan agama. – Roketkini.com
*Teks ucapan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di Parlimen yang disediakan bagi membahas usul penting Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong keputusan Kabinet untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Diskriminasi Kaum (ICERD) pada hari Khamis, 6 Disember 2018; namun tidak dibacakan setelah usul Anwar tidak dibenarkan oleh Speaker. Teks disebarkan sebagai kenyataan media.

Jalan berliku menuju Malaysia Baru


Dua peristiwa menandakan era baru yang sedang dilalui kita selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang penuh bersejarah pada 9 Mei 2018 lalu, apabila kita sendiri terkejut dan mengejutkan dunia dengan peralihan kuasa yang berlaku penuh aman dan demokratik, selain memberi sinar harapan baru kepada rakyat Malaysia malahan dunia supaya tidak berputus asa terhadap sistem demokrasi Parlimen sebagai satu bentuk sistem pentadbiran yang mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat.
Pertama sekali, kemunculan semula saya berucap di Universiti Malaya untuk melancarkan buku bertajuk “509: The People Have Spoken” selepas empat dekad tidak menjejakkan kaki di institut pengajian awam ini; dan kedua, dakwaan bahawa 500,000 orang akan berhimpun pada perhimpunan anti-ICERD yang berlangsung esok di Kuala Lumpur – Kedua-dua peristiwa yang tidak mungkin mampu difikirkan atau berlaku sekiranya tidak terdapat peralihan tampuk pemerintahan di Putrajaya pada 9 Mei 2018.    
Saya telah dituduh oleh pemimpin MCA dan lain sebagai kononnya membelakangi prinsip semata-mata demi kuasa, berikutan keputusan Kabinet untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Seorang pemimpin MCA menyerang DAP kerana mendakwa DAP gagal menyakinkan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan – Bersatu, Amanah dan PKR – untuk meratifikasi ICERD dan “membuka pintu kepada hegemoni vis-à-vis penglibatan PAS-UMNO”.
Saya tidak pasti sama ada beliau sebenarnya sedang menjustifikasi hegemoni UMNO pada masa lalu ekoran sikap berdiam diri pemimpin MCA dalam kerajaan.
Pun begitu, saya fikir ia adalah salah satu kekesalan pejuang politik UMNO-PAS yang berpaksikan anti-ICERD, kerana meskipun telah mengerakkan banyak usaha, mereka sehingga kini masih tidak dapat menemui sebarang bukti bagi menunjukkan DAP, dalam apa jua cara sekali pun, terlibat dalam usaha untuk meratifikasi ICERD.
Ini sekali gus memusnahkan skrip yang dicipta pejuang politik UMNO-PAS yang berpaksikan anti-ICERD mengenai tuduhan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan kononnya anti-Melayu dan anti-Islam, kononnya kuasa sebenar di sebalik tabir adalah DAP yang dituduh anti-Melayu dan anti-Islam, bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya hanyalah sekadar boneka dan pak turut, kini skrip penipuan dan fitnah mereka bahawa saya akan dilantik menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14 telah membuktikan bahawa dakwaan mereka tidak berasas, hanya fitnah dan pembohongan semata-mata.
Percangahan politik maha dahsyat dapat dilihat semasa Perhimpuan Agung MCA baru-baru ini, apabila DAP diserang dan dikatakan anti-Cina.
DAP tidak pernah anti-Cina, anti-Melayu, anti-India, anti-Kadazan atau anti-Dayak. Kami pro-Malaysia.
Pemimpin DAP tidak pernah menafikan keturunan kami, tidak kira sama ada kami Cina, Melayu, India, Kadazan atau Iban, apa yang lebih penting adalah hakikat bahawa kami dan kita adalah rakyat Malaysia, dan hakikat ini melayakkan kita untuk memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama.
Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah satu-satunya pemimpin politik contoh yang dilihat mampu melangkaui garisan sempadan etnik, walaupun terpaksa mengadaikan masa depan politik dan kedudukannya sebagai wakil rakyat, malah dipenjarakan, dengan mempertahankan kehormatan dan maruah seorang perempuan Melayu bawah umur, ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kota Melaka pada era-90an.
Tidak ada pemimpin politik, sama ada di pihak UMNO, MCA atau siapa pun, pernah melakukan pengorbanan seperti itu untuk rakyat Malaysia yang sama kaum atau agama, apatah lagi rakyat Malaysia yang berlainan kaum atau agama.
Insiden ICERD adalah peringatan berguna kepada semua rakyat Malaysia bahawa kita perlu meniti ranjau yang panjang untuk sampai ke matlamat Malaysia baru, yang merupakan cabaran besar yang perlu dipikul semua rakyat Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bertaraf dunia yang dapat bersaing dengan negara-negara lain dan bukannya sebuah negara yang berpecah-belah dan retak oleh tindakannya sendiri.
Tiada rakyat Malaysia yang mahu meratifikasi ICERD jika harganya ialah adalah satu lagi rusuhan kaum seperti 13 Mei, memandangkan wujud anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab mahu mencetuskan rasa tidak percaya sesama kaum dan agama, selain rasa saling membenci bagi menimbulkan keadaan yang boleh menyebabkan tercetusnya satu lagi rusuhan kaum ala 13 Mei di Malaysia, walaupun ICERD pada hakikatnya sama sekali tidak bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia, anti-Melayu, anti-Islam, mahupun anti-Raja-raja Melayu?
Esok, Malaysia akan menjadi bahan ketawa negara majoriti Islam dunia, kerana 99% daripada 1.9 juta umat Islam di dunia yang tinggal di 179 negara yang telah meratifikasi ICERD, termasuk 55 daripada 57 negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Felo Penyelidikan UKM, Dr. Denison Jayasooria menulis satu artikel yang menarik yang disiarkan di Malaysiakini semalam dengan tajuk: “Examining Icerd ratification among OIC members”, di mana beliau mengkaji ratifikasi yang dilakukan oleh negara ahli OIC, termasuk Arab Saudi, Indonesia, Turki, Mesir, Iran, Palestin, dan beliau membuat kesimpulan: “Setahu saya, tiada satu pun daripada mereka yang menyatakan bantahan atau keraguan atas nama Islam.”
ICERD juga tidak menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan menyebabkan pemansuhan sistem Kesultanan Melayu.
Terdapat 38 negara yang mempunyai sistem monarki, 36 daripadanya telah meratifikasi ICERD termasuk United Kingdom pada 1969, Norway 1970, Sweden 1971, Denmark 1971, Netherlands 1971, Jordan 1974, Belgium 1975, Jepun pada 1995, dan Arab Saudi 1997.
Tidak ada langsung tanda-tanda bahawa ratifikasi ICERD oleh 36 negara ini menjejaskan sistem monarki apatah lagi membawa kepada pemansuhannya.
Namun, negara kita mempunyai keunikan masyarakat yang majmuk dan adalah penting untuk memastikan keharmonian dan perpaduan antara kaum, bahasa, budaya dan agama di Malaysia tetap terus terpelihara, dan oleh kerana itu, saya berpendapat bahawa Malaysia tidak harus meratifikasi ICERD sehingga majoriti kaum dan agama di Malaysia menyokongnya dan faham bahawa ia bukan ancaman kepada kerencaman kaum, agama atau Perlembagaan Persekutuan sebaliknya satu langkah ke hadapan untuk menyertai dunia dalam mempromosikan hak asasi manusia.
Esok merupakan bulan ketujuh setelah peristiwa bersejarah 9 Mei 2018.
Rakyat Malaysia menyelamatkan negara tercinta ini dan mencipta sejarah pada 9 Mei 2018, ia memberikan peluang kedua kepada rakyat Malaysia untuk membetulkan semula dasar pembinaan negara agar Malaysia tidak menjadi negara penyangak dan gagal, dan menambah lagi luka setelah digelar kakistrokasi dan kleptokrasi global.
Malaysia Baru tidak dapat dibentuk dalam 100 hari atau dalam enam bulan, tetapi memerlukan masa panjang sedekad dua. Semua rakyat Malaysia harus membina perspektif Gambar Besar dan Visi Jangka Masa Panjang.
Permulaan yang penting bagi pembinaan Malaysia Baru sudah pun kita lalui pada 9 Mei 2018 lalu, apabila kita membuktikan kepada dunia, ketika demokrasi sebagai sebuah sistem kerajaan menghadapi krisis keyakinan di seluruh dunia, kita mampu menyakinkan mereka bahawa demokrasi Parlimen adalah sistem terbaik berbanding sistem pemerintahan lain.
Kita harus terus memburu kejayaan untuk menjadi sebuah negara bertaraf antarabangsa dengan memanfaatkan nilai dan aset yang ada pada keunikan pelbagai kaum, agama, bahasa, budaya dan tamadun yang teradun dalam sebuah negara bernama Malaysia.
Mari kita buktikan kepada dunia bahawa kita mampu:
  • Mentransformasi Malaysia daripada sebuah kleptokrasi global kepada negara terkemuka yang berintegriti.
  • Mengembalikan demokrasi dan doktrin pengasingan kuasa antara Eksekutif, Parlimen dan Perundangan;
  • Menggubal reformasi undang-undang secara meluas, walaupun pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar telah dihalang dan disabotaj oleh  Barisan Nasional yang menguasai Dewan Negara.
  • Reformasi Parlimen secara menyeluruh bagi mengakhiri peristiwa di mana Parlimen Malaysia menjadi bahan ketawa dunia ekoran tindakan Parlimen sebelum ini menghalang perbahasan mengenai skandal 1MDB.
  • Membangunkan Malaysia sebagai “harimau ekonomi” selepas pelbagai masalah seperti hutang kerajaan yang bernilai satu trilion dan kleptokrasi global diselesaikan.
  • Mengembalikan semula peranan semua sekolah rendah dan menengah serta universiti sebagai institusi pendidikan terkemuka dunia bagi menjadikan Malaysia sebagai semua negara bertaraf antarabangsa dari segi pendidikan.
  • Memenuhi matlamat yang disuarakan Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman untuk Malaysia menjadi “suar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.
  • Membina sebuah Malaysia Baru yang mempunyai perpaduan, integriti, kedaulatan undang-undang, kecemerlangan, keadilan dan kemakmuran yang lebih teguh dan utuh. – Roketkini.com
*Ucapan Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang semasa pelancaran buku bertajuk “ “509: The People Have Spoken” di Universiti Malaya pada Jumaat, 7 Disember 2018 pada 10 pagi.

PH KEDAH KUKUH

HIMPUNAN MELAYU PAS/UMNO TIDAK MAMPU TUMBANGKAN PAKATAN HARAPAN



Berapa ramaikah yang hadir dalam himpunan anti ICERD semalam?

Pihak polis mengatakan 55 ribu, Malaysiakini menganggarkan 80 ribu, Malay Mail pula mengatakan jumlahnya melebihi 100 ribu manakala Zahid Hamidi dalam ucapannya menyebut 500 ribu.

Tetapi, Tun Mahathir Mohamad kemudiannya menyindir dengan mengucapkan tahniah kerana 1 juta telah hadir dalam himpunan tersebut.

Berapa ramai sebenarnya yang hadir?

Berdasarkah tinjauan dengan rakan-rakan yang hadir dan melalui gambar-gambar yang dipaparkan di media sosial, angka kehadiran paling munasabah dianggarkan hanyalah antara 80 ribu hingga 100 ribu saja. Kalau lebih pun mungkin sekitar 120 ribu.

Apa pun, jumlah tersebut masih dikira sedikit jika dinilai berdasarkan jumlah ahli UMNO ada seramai 3.5 juta dan ahli Pas ada hampir 1 juta. 

Tidak cukup dengan itu, Kelantan pula mengisytiharkan cuti peristiwa pada hari Ahad untuk memudahkan penyokong Pas dari negeri itu datang ke Kuala Lumpur.

Jamal Md. Yunus melalui Gerakan Baju Merah sehari sebelum perhimpunan menjanjikan kehadiran ahli-ahlinya saja adalah seramai 35 ribu.

Tapi, di mana semua itu dan mengapa hanya sekitar 100 ribu saja yang hadir?

Sementara UMNO dan Pas mungkin rasa teruja dengan perhimpunan ini, lebih-lebih lagi bagi UMNO yang telah turun taraf daripada Putrajaya ke jalanraya, manakala Pas terus  kekal di jalanraya, nawaitu sebenar himpunan itu juga terserlah akhirnya.

Beberapa pemimpin UMNO secara terbuka mengatakan perhimpunan   Itu adalah bertujuan menggugat kerajaan Pakatan Harapan, manakala pemimpin Pas dalam doanya jelas memohon kepada Tuhan agar usia kerajaan pimpinan Tun Mahathir ini dipendekkan umurnya.

Makna kata, sebagaimana yang disebut dalam beberapa artikel blog sebelum ini, himpunan Melayu UMNO dan Pas ini hanyalah bertujuan politik dan dan menumbangkan kerajaan, bukan sangat untuk membantah ICERD.

Segala-galanya sudah terserlah kini.

Namun demikian, jika untuk menggugat dan menumbangkan Pakatan Harapan yang diharapkan, himpunan ini sebetulnya masih jauh daripada sasaran dan matlamatnya.

Sekadar orang Melayu saja sekitar 100 ribu yang berhimpunan tidak akan menggugat apa-apa kerajaan yang ada. UMNO dan BN tidak mendapat kelebihan apa-apa untuk mengambil alih semula kerajaan jika hanya orang Melayu yang menyokong mereka.

Kerajaan hanya boleh diambil alih melalui sokongan rakyat pelbagai kaum, lebih-lebih banyak kawasan Parlimen di Pantai Barat, Utara dan Selatan adalah merupakan kerusi campuran pelbagai kaum. Kerusi Melayu hanya ada di kawasan Pantai Timur saja.

Dengan yang demikian, menghimpunkan orang Melayu melalui UMNO dan Pas, tetapi tidak disertai oleh kaum-kaum lain, tidak akan menggugat Pakatan Harapan. 

Dengan sokongan Melayu selebihnya yang ada dalam Bersatu, PKR dan Amanah tetapi bulat mendapat sokongan daripada pengundi kaum lain, Pakatan Harapan masih lagi mampu memenangi PRU15 akan datang.

Sebaliknya, yang untung dengan himpunan Melayu ini ialah Pas kerana ia akan membolehkan parti itu terus menguasai Kelantan dan Terengganu.

Sememangnya pun Pas hanya minat terhadap Kelantan dan Terengganu saja lantaran mereka juga sedar ketidakmampuan menampilkan pemimpin-pemimpin berkualiti untuk mentadbir kementerian serta negara.

Sebab itu Pas dengarnya mahu mengajak UMNO mengatur lagi beberapa perhimpunan lain selepas ini. 

Ternyata Pas sudah nampak untungnya untuk mereka melalui himpunan Melayu ini. Pas peduli apa kiranya UMNO kalah lagi dalam pilihanraya akan datang nanti. 

Malah Pas sebenarnya lebih suka Pakatan Harapan menguasai Putrajaya kerana royalti minyak nampaknya lebih mudah diperolehi berbanding jika BN yang berkuasa.

Baru tujuh bulan Pakatan Harapan menguasai Putrajaya, Pas senang-senang sudah memperolehi ratusan juta ringgit royalti minyak, sedangkan berpuluh tahun di bawah BN sebelum ini, hanya bau minyak yang mereka perolehi. (ShahbudinHusin 09/12/2018)