Sokong Palestin bukan bermakna salur kebencian, keganasan - PM


 Oleh: Mohd Helmi Foad


Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihak yang menyokong perjuangan Palestin tidak boleh dianggap sebagai penyalur kepada kebencian atau sokongan kepada keganasan.


Sebaliknya, Perdana Menteri berkata Malaysia menganggap apa yang berlaku di Palestin pada masa ini adalah krisis kemanusiaan yang dicetuskan oleh peperangan yang kejam dan sewenang-wenangnya.


"Akhirnya, ini bukan tentang yang mana Tuhan kita berdoa. Lagipun, lebih 11,000 mangsa di Gaza terdiri daripada orang Islam dan Kristian serta rakyat pelbagai negara.


"Ini adalah mengenai mencegah lebih banyak kematian, lebih banyak lagi penderitaan dan lebih banyak kebencian," katanya ketika berucap dalam syarahan khas bertajuk: “Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific” di University of California, San Francisco, Amerika Syarikat pada Rabu.


Perdana Menteri berkata krisis kemanusiaan di Palestin akan memberi kesan bukan sahaja kepada rakyat Palestin atau rantau Timur Tengah secara meluas, tetapi juga kepada hubungan global untuk satu tempoh yang panjang


“Apa yang berlaku di Palestin hari ini akan memberi kesan kepada kita. Implikasi kepada pertelingkahan ini amat signifikan dan akan berlarutan untuk tempoh yang panjang," katanya.


Menegaskan pendirian Malaysia, Anwar berkata negara ini menggesa diadakan gencatan senjata dan menghentikan pengeboman tanpa henti ke atas Gaza.


“Seperti yang saya nyatakan di Parlimen, tidak ada kata dua dalam perkara ini. Kita mengutuk keganasan, dalam semua bentuk, dan kita mengutuk secara mutlak tindakan membunuh, membunuh oleh yang tidak berdosa dan menjadikan wanita serta kanak-kanak sebagai tebusan.


"Begitu juga, kita mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman orang awam, rumah dan hospital dan kekejaman yang berbangkit terhadap nyawa yang tidak bersalah, kanak-kanak, wanita, dan lelaki dilakukan siang dan malam di Gaza tanpa hukuman. Ini adalah pelanggaran yang terang-terangan terhadap antarabangsa undang-undang." katanya.


Anwar dalam rangka mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) San Francisco, California dari 14 hingga 17 November ini.


Laporan sebelum ini menyebut pesawat kargo khas yang membawa penghantaran kedua bantuan kemanusiaan sumbangan Malaysia untuk rakyat Palestin menerusi Ops Ihsan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish, Mesir pada 11 November lepas.


Pesawat kargo khas berlepas kira-kira 11 malam dari Terminal Kargo, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) membawa barangan keperluan utama seberat 20 tan antaranya makanan, barangan bayi serta perubatan.


Penghantaran kedua itu menjadikan jumlah barangan bantuan dihantar Malaysia mencecah kepada 40 tan setelah melakukan penghantaran pertama melibatkan barangan seberat 20 tan pada 3 Nov lepas.


Penghantaran itu merupakan sebahagian daripada 50 tan barangan berjumlah lebih RM7 juta yang dikumpulkan untuk Ops Ihsan.


Baki barangan bantuan seberat 10 tan dijangka dihantar dalam penerbangan ketiga dalam masa terdekat.


Sebaik bantuan berkenaan tiba di Mesir, barangan berkenaan akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir sebagai rakan kerjasama bagi membawa masuk bantuan ke Palestin melalui pintu sempadan Rafah-Gaza.

Selangor komited bela sekolah agama, semak garis panduan pemutihan



 Oleh: Helmi Mohd Foad



Kerajaan Negeri Selangor terus memberikan komitmen untuk membela kedudukan sekolah-sekolah agama persendirian dengan memberikan lanjutan tempoh proses pemutihan hingga hujung tahun depan.



Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohamad Fahmi Ngah, pelanjutan tempoh masa itu juga diberikan dengan kelonggaran dari segi syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi memastikan institusi pendidikan Islam swasta itu berjaya memenuhi ulasan bagi kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).



"Halangan utama tindakan pemutihan adalah kos lantikan konsultan yang agak tinggi sebagai syarat kelulusan merancang daripada PBT.



"Pelanggaran terhadap keperluan PBT (berlaku) sekolah yang beroperasi tidak berupaya mendapat ulasan daripada PBT ikut tempoh masa ditetapkan," katanya ketika menjawab soalan Noor Najhan Mohamad Salleh (PN-Sementa) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.



Dr Fahmi dalam pada itu mencadangkan semakan segera garis panduan pemutihan sekolah agama persendirian negeri sedia ada untuk penambahbaikan bagi memudahkan sekolah menepati syarat PBT.



"Ini dilakukan dan libat urus saya sendiri telah hadir bersama persatuan sekolah agama seperti PITAS (Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor dan GASIS (Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor)," katanya.



Beliau menjelaskan pendaftar sekolah Islam melalui Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah memberikan persetujuan bagi melanjutkan tempoh pendaftaran yang sepatutnya tamat pada Disember ini kepada hujung tahun depan.



"Ini adalah bagi memberikan peluang kepada sekolah agama persendirian mendapatkan ulasan lanjut PBT dan lanjutan tempoh pendaftaran itu juga diberikan dengan syarat yang telah dilonggarkan dan kelonggaran masa untuk memenuhi dapat ulasan sewajarnya daripada PBT dan sokongan daripada Pejabat Kesihatan serta Bomba dan Penyelamat Zon.

"Ini untuk bantu pihak sekolah lebih bersedia untuk diangkat bagi kelulusan PBT seperti sepatutnya berlaku," katanya.



Tambah beliau Bahagian Pendidikan JAIS juga akan membentangkan garis panduan pemutihan sekolah agama persendirian 2.0 yang sedang dibuat oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa dan ia akan dibentangkan kepada PBT apabila siap kelak.



Selain itu, jelas Dr Fahmi, bantuan pemulihan sekolah tahfiz juga dibiayai oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan peruntukan RM3.35 juta bagi mendapatkan kelulusan daripada konsultan.



Katanya sebanyak RM1.17 juta telah diagihkan kepada sebanyak 117 buah sekolah tahfiz di Selangor.



Terdahulu kepada soalan asal Noor Najhan, beliau memberitahu, sebanyak 225 daripada 497 sekolah agama persendirian di Selangor melalui proses pemutihan sejak 2020 hingga September lalu.



Tambahnya usaha pemutihan membabitkan 106 buah maahad tahfiz, sekolah rendah Islam integrasi (98) dan sekolah menengah Islam (21).



Mohamad Fahmi berkata Kerajaan Negeri prihatin dengan soal keselamatan dan keselesaan murid-murid serta guru-guru di sekolah agama persendirian ekoran beberapa insiden sejak awal 2017 melibatkan kes kebakaran yang meragut nyawa serta kerosakan bangunan.



Kerajaan Negeri memulakan proses pemutihan sekolah agama persendirian berdasarkan garis pemutihan sekolah agama persendirian 1.0 yang digunakan pakai sejak 1 Januari 2021 hingga kini.

 


SPRM lapor polis dakwaan melulu pemimpin Bersatu



 Oleh: Helmi Mohd Foad


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat laporan polis terhadap tuduhan palsu yang didakwa dikeluarkan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris.


Suruhanjaya itu dalam kenyataan berkata laporan tersebut dibuat susulan satu hantaran dalam aplikasi TikTok di atas nama pemilik akaun @wancin11 yang menyiarkan kenyataan Razali itu.


"Di dalam hantaran berkenaan, Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 10 November 2023.


"Beliau telah menyatakan bahawa jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan serta mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan," kata kenyataan itu.


Kenyataan tersebut menyatakan, SPRM memandang berat fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara ini.


"SPRM adalah sebuah badan penguatkuasa yang diperkasakan oleh undang-undang untuk melaksanakan fungsi dan peranan membanteras rasuah dengan bebas serta profesional tanpa dikawal oleh mana-mana pihak.


"Oleh yang demikian, SPRM berharap tindakan sewajarnya dapat diambil dengan kadar segera terhadap mereka yang mengeluar dan menyebarkan fitnah dan tohmahan terbabit," katanya.