Kerajaan Negeri Selangor terus memberikan komitmen untuk membela
kedudukan sekolah-sekolah agama persendirian dengan memberikan lanjutan tempoh
proses pemutihan hingga hujung tahun depan.
Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohamad Fahmi Ngah, pelanjutan
tempoh masa itu juga diberikan dengan kelonggaran dari segi syarat-syarat yang
perlu dipatuhi bagi memastikan institusi pendidikan Islam swasta itu berjaya
memenuhi ulasan bagi kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Halangan utama tindakan pemutihan adalah kos lantikan
konsultan yang agak tinggi sebagai syarat kelulusan merancang daripada PBT.
"Pelanggaran terhadap keperluan PBT (berlaku) sekolah yang
beroperasi tidak berupaya mendapat ulasan daripada PBT ikut tempoh masa
ditetapkan," katanya ketika menjawab soalan Noor Najhan Mohamad Salleh
(PN-Sementa) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Dr Fahmi dalam pada itu mencadangkan semakan segera garis panduan
pemutihan sekolah agama persendirian negeri sedia ada untuk penambahbaikan bagi
memudahkan sekolah menepati syarat PBT.
"Ini dilakukan dan libat urus saya sendiri telah hadir
bersama persatuan sekolah agama seperti PITAS (Persatuan Institusi Tahfiz
Al-Quran Negeri Selangor dan GASIS (Persatuan Gabungan Sekolah Islam
Selangor)," katanya.
Beliau menjelaskan pendaftar sekolah Islam melalui Bahagian
Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah memberikan persetujuan
bagi melanjutkan tempoh pendaftaran yang sepatutnya tamat pada Disember ini
kepada hujung tahun depan.
"Ini adalah bagi memberikan peluang kepada sekolah agama
persendirian mendapatkan ulasan lanjut PBT dan lanjutan tempoh pendaftaran itu
juga diberikan dengan syarat yang telah dilonggarkan dan kelonggaran masa untuk
memenuhi dapat ulasan sewajarnya daripada PBT dan sokongan daripada Pejabat
Kesihatan serta Bomba dan Penyelamat Zon.
"Ini untuk bantu pihak sekolah lebih bersedia untuk diangkat
bagi kelulusan PBT seperti sepatutnya berlaku," katanya.
Tambah beliau Bahagian Pendidikan JAIS juga akan membentangkan
garis panduan pemutihan sekolah agama persendirian 2.0 yang sedang dibuat oleh
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa dan ia akan dibentangkan kepada PBT apabila
siap kelak.
Selain itu, jelas Dr Fahmi, bantuan pemulihan sekolah tahfiz juga
dibiayai oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan peruntukan RM3.35 juta bagi
mendapatkan kelulusan daripada konsultan.
Katanya sebanyak RM1.17 juta telah diagihkan kepada sebanyak 117
buah sekolah tahfiz di Selangor.
Terdahulu kepada soalan asal Noor Najhan, beliau memberitahu,
sebanyak 225 daripada 497 sekolah agama persendirian di Selangor melalui proses
pemutihan sejak 2020 hingga September lalu.
Tambahnya usaha pemutihan membabitkan 106 buah maahad tahfiz,
sekolah rendah Islam integrasi (98) dan sekolah menengah Islam (21).
Mohamad Fahmi berkata Kerajaan Negeri prihatin dengan soal
keselamatan dan keselesaan murid-murid serta guru-guru di sekolah agama
persendirian ekoran beberapa insiden sejak awal 2017 melibatkan kes kebakaran
yang meragut nyawa serta kerosakan bangunan.
Kerajaan Negeri memulakan proses pemutihan sekolah agama
persendirian berdasarkan garis pemutihan sekolah agama persendirian 1.0 yang
digunakan pakai sejak 1 Januari 2021 hingga kini.