Projek Hospital Shah Alam: Kerajaan tanggung lebihan kos RM70 juta

Projek Hospital Shah Alam: Kerajaan tanggung lebihan kos RM70 juta

Neo Chee Hua

Akhirnya, Gadang Holdings Bhd yang "direstui" Kementerian Kerja Raya (KKR) memperolehi projek Hospital Shah Alam, mungkin dilihat sebagai tanda noktah kepada kemelut yang berlaku sekian lama. Namun demikian, di sebalik kemelut ini, timbul pertikaian ketidaktelusan dalam kementerian kerajaan, di mana KKR menyerah projek ini kepada Gadang tanpa melalui Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri, dan mengakibatkan kerajaan perlu menanggung lebihan kos setinggi RM70 juta.

Dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia pada 10 Oktober 2011, Gadang Holdings Bhd mengumumkan bahawa anak syarikatnya Gadang Engineering (M) Sdn Bhd telah memperolehi projek Hospital Shah Alam, dengan kontrak bernilai RM410.87 juta. Projek ini akan disiapkan dalam tempoh 24 bulan.

Pernah dalam satu laporan eksklusif, MerdekaReview (edisi bahasa Cina) melaporkan bahawa terdapat enam syarikat yang menyertai perbidaan semula projek ini, dan Gadang Holdings Bhd yang "direstui" KKR telah berjaya memperolehi projek tersebut. Sebagaimana yang diketahui, harga bidaan asal yang dikemukakan Gadang Holdings Bhd adalah RM431.66 juta, namun telah dikurangkan kepada RM410.87 juta kemudiannya, dan disiapkan dalam tempoh 24 bulan.

Masalah ketidaktelusan


Menurut laporan sebelum ini, setelah perbidaan tamat pada Disember 2010, KKR mengesyorkan Gadang Holdings Bhd kepada Kementerian Kewangan. Namun demikian, Kementerian Kewangan mengeluarkan surat perintah pada 22 Mac 2011 kepada KKR, menyatakan bahawa cadangan Gadang sebagai kontraktor projek Hospital Shah Alam tidak diluluskan, malah meminta agar KKR mengadakan perbidaan semula.

Walaupun KKR membuat rayuan kepada Kementerian Kewangan pada Jun 2011, agar Gadang Holdings Bhd yang berjaya dalam perbidaan dipertimbangkan semula oleh Kementerian Kewangan untuk mengambil-alih projek Hospital Shah Alam. Namun demikian, bukan sahaja Kementerian Kewangan menolak permintaan KKR dalam surat balasnya, malah cuba menyenaraikan Frontier Structure Sdn Bhd yang tidak berkelayakan ke dalam senarai perbidaan semula.

Bukan itu sahaja, lebihan kos untuk projek Hospital Shah Alam melebihi RM70 juta selepas perbidaan semula, mengakibatkan nilai kontrak baru melebihi nilai kontrak asal yang diluluskan, malah di luar bidang kuasa Kementerian Kesihatan untuk meluluskannya. Kementerian Kesihatan perlu mendapatkan persetujuan Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebelum mengeluarkan surat kelulusan. Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan menangguhkan kelulusan yang diminta oleh KKR.

Dengan kata lain, walaupun Kementerian Kewangan telah mengeluarkan surat untuk tidak meluluskan Gadang Holdings Bhd daripada mengambil-alih projek Hospital Shah Alam, namun KKR bukan sahaja tidak menurut perintah Kementerian Kewangan, malah terus mengumumkan bahawa projek ini diserah kepada Gadang Holdings Bhd tanpa melalui Kementerian Kewangan. Sebagaimana yang diketahui, bukan sahaja Kementerian Kewangan, malah Jabatan Perdana Menteri tidak mengetahui keputusan KKR ini.

Lebihan kos yang ditanggung


Lantaran daripada penyerahan projek ini kepada Gadang Holdings Bhd, ia bermakna kerajaan perlu menanggung lebihan kos lebih daripada RM70 juta. Menurut dokumen Kementerian Kesihatan, kos projek melonjak kepada RM556.51 juta selepas perbidaan semula, mencatat lebihan kos sebanyak RM74.91juta berbanding nilai kontrak asal.

Ia sebenarnya menunjukkan bahawa kerajaan BN masih mengekalkan budaya ketidaktelusan dalam perbidaan. Ia bercanggah dengan program transformasi kerajaan yang disarankan kerajaan Najib, dan menyebabkan dasar pembaharuan dalam bidang perkhidmatan awam ini menjadi hanya satu retorik semata-mata.

Lebih penting, masalah lebihan kos projek Syarikat Hospital Shah Alam mungkin tidak dapat diselesaikan dengan pengambil-alihan oleh Gadang Holdings Bhd. Isu pokoknya, walaupun Gadang Holdings Bhd berjaya memperolehi projek ini dengan sokongan KKR, namun projek Hospital Shah Alam ini juga berdepan dengan risiko kegagalan atau lebihan kos sekali lagi.

Ini kerana walaupun Gadang Holdings Bhd memiliki rekod membina hospital, namun pada hakikatnya ia tidak memiliki pengalaman yang sebenar dan profesional yang khusus. Menurut maklumat yang diperolehi MerdekaReview sebelum ini, Gadang Holdings Bhd walaupun pernah memperolehi satu projek Hospital Rehabilitasi Cheras pada tahun 2008, namun syarikat ini terpaksa mendapatkan bantuan luar, iaitu perkhidmatan rundingan yang berkenaan dengan peralatan perubatan - kerana tidak memiliki pengetahuan dan pakar dalam bidang yang berkenaan.

Latar belakang:

Projek Hospital Shah Alam: Nilai pembidaan semula melebihi baki peruntukan

Tuntutan wang berterusan: Sub-Kontraktor akhirnya adu kepada Sultan

Antara GM Healthcare, Sunshine Fleet dengan Bank Rakyat...

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 13 Oktober 2011.

Serangan ke Jantung UMNO

Serangan ke Jantung UMNO

Hasmi Hashim

Belanjawan 2012 yang dibentang Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada sebelah siang, tidak mengalih pandangan untuk perbincangan soal sejarah yang sekian lama dimanipulasi sebagai alat parti pemerintah. Lebih 120 orang memenuhi ruang dewan yang sepatutnya hanya mampu memuatkan 100 orang sahaja. Rata-rata adalah anak muda selain tokoh politik dan ahli akademik.

Memandang keadaan dan minat yang tak pernah terasa begini hebat, terutama sejak Reformasi 1998, subjek sejarah kini menjadi hantu yang bergantayangan di kepala pemerintah. "Mampukah sejarah menumbangkan UMNO-BN?" begitu soalan yang kemudiannya menyusul. Terlebih dahulu saya siapkan halaman karangan yang dibahagi-bahagikan kepada hadirin yang hadir.


Allahyarham Mat Indera tak ada peluang menjawab satu pun tuduhan dan kata nista yang dilempar kepadanya. Walaupun beliau punya tempoh setahun terdekam dalam penjara - ditangkap pada 1952 sebelum digantung mati pada 1953 - beliau tetap tak mahu tunduk sujud di bawah telapak duli Inggeris. Betapa pun batang tubuhnya diseksa.

Orang yang tak pernah dizalimi, mungkin tak mengerti apa artinya kezaliman; namun aneh andai anak bangsa yang pernah ditindas penjajahan, tak merasa peri-perihnya penjajahan. Sungguh tak dapat dimengertikan bagaimana segelintir orang akademik bergelar "profesor" terbelit dengan persoalan mainan istilah dan semantik sehingga ketepi kenyataan bahawa bangsanya pernah dijajah.

Hal ini jadi bahan tawaan orang apabila penyataan "Malaysia tak pernah dijajah" dihembur tanpa bukti kajian dan jilid ilmiah terperinci untuknya. Ia hanya dilontar dalam satu sidang media Majlis Profesor Negara (MPN) dan disusuli satu-dua forum awam.

Tujuannya pula lebih hanya untuk meyakinkan rakyat dalam jangka masa pendek; bukan menyatakan kebenaran dan perincian fakta sejarah yang sesungguh-sungguhnya. Dalam kata lain, MPN melalui dua-tiga orang profesor yang bersekongkol menyatakan "Malaysia tak pernah terjajah" lebih berperanan sebagai "orang politik". Bukan sebagai juru akademik dan ilmuan. Sidang media oleh MPN berhubung isu itu diadakan pada 9 September 2011.

12 hari kemudian, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pun dihadap ke mahkamah, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Bukan kelaziman polemik sejarah jadi perbicaraan mahkamah. Apakah yang sangat ditakuti dengan kenyataan daripada isi ceramah Mat Sabu (gambar kiri)? Atau mengapa ada yang begitu gementar dengan Mat Indera; seorang lelaki guru agama kelahiran Batu Pahat, Johor yang menganggotai sayap Angkatan Pemuda Insaf (API)? Di bawah direkodkan kembali sepotong kenyataan media oleh MPN yang barangkali boleh membuka kotak pandora untuk menjawab soalan-soalan di atas:

Golongan kiri atau radical dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ingin menentang dengan kekerasan kerana mereka adalah terpengaruh dan terikut dengan gerakan anti-penjajahan Indonesia terutama oleh Sukarno dan Hatta.

Sejak sekian lama, murid-murid sekolah diajarkan bahawa Malaysia mencapai kemerdekaan dengan "jalan rundingan". Tunku Abdul Rahman diangkat sebagai Bapa Kemerdekaan. Tunku adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Sejak 1957, UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah perikatan tunggal yang memerintah. Parti itu jua yang dikatakan memperolehi kemerdekaan dari Inggeris, dengan jalan rundingan: "merdeka cara aman".

Keperluan menyokong UMNO-BN pada hari ini bukan sahaja kerana UMNO-BN telah berjasa memerdekakan tanahair, tetapi kemerdekaan itu tanpa tumpah darah - di sinilah titik khianat di dalam sejarah yang dipertahan segelintir orang itu. Biar bagaimanapun bobrok kepimpinan elitnya, atau dasar-dasar yang sudah tidak sesuai dengan zaman, namun, tetap UMNO-lah yang harus didukung kerananya Malaysia merdeka.

Gambaran ini berderai apabila muncul nama Mat Indera.

Di belakang nama Mat Indera, tak dapat ditutup lagi hakikat ada pertubuhan dan parti lain, selain UMNO, yang dibentuk lebih awal daripada UMNO, yang, berjuang untuk memerdekakan Tanah Melayu. Parti-parti seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Hizbul Muslimin diharamkan Inggeris - bagaimanakah Inggeris boleh mengharamkan parti-parti ini kalau bukan Inggeris yang berkuasa? Ini juga satu bukti bahawa tak punya beza pengertian antara "tanah lindungan" dengan "tanah jajahan" macam yang didakwa.

Yang dibenarkan bergerak hanya UMNO: sebuah parti yang ditubuhkan selepas Perang Dunia ke-2, iaitu tempoh waktu untuk "menyambut" kedatangan Inggeris kembali ke Tanah Melayu. Orang Melayu sebagai kaum majoriti haruslah disatukan di bawah satu pertubuhan politik bagi tujuan itu.

Onn Jaafar, si pendiri UMNO, juga akhirnya terhindar keluar apabila beliau melihat bahawa gagasan parti satu kaum akan mendatangkan mudarat bagi masa hadapan Tanah Melayu. Terutamanya selepas merdeka. Buah fikiran parti pelbagai kaum, bukan idea Inggeris; tidak cocok dengan Inggeris, dan kerana itu Dato’ Onn harus dikesamping daripada barisan elit UMNO.

Malayan Union digemparkan untuk ditubuhkan. Berserta itu, orang-orang Melayu ditakut-takutkan. Terasa pula bahawa Inggeris seakan tidak serius. Inggeris-dengan segala kekuatan yang ada padanya- boleh sahaja meneruskan gagasan Malayan Union kalau mereka mahu; kala mana kuasa sultan-sultan Melayu berada dalam keadaan cukup lemah. Namun kenyataan sejagat pertengahan abad 20 ialah memiliki wilayah jajahan bukan lagi keutamaan mana-mana empayar Eropah. Ketika sama, Barat sudah cukup matang wacananya mengenai imperialisme, kebebasan, hak-hak asasi manusia dan kerakyatan.

Daripada perspektif dan latar ini, mencanangkan Malaya Union tak lebih hanya justifikasi agar UMNO (parti anak emas Inggeris) itu jadi releven. Sementara di mata "golongan kiri", tanpa atau dengan Malayan Union, Inggeris tetap penjajah yang harus dihalau. Pengalaman Indonesia tentulah munasabah untuk dijadikan contoh rujukan. Indonesia merdeka dan terbangun sebagai sebuah negara-bangsa pada 1945; 12 tahun lebih awal daripada kemerdekaan Tanah Melayu.

Entah apa yang dimaksudkan "radikal" sepertimana dalam kenyataan media MPN, kalau bukan sebermula kenyataan API iaitu "merdeka dengan darah", yang turut dipetik daripada perjuangan nasionalis sebelum Indonesia merdeka. Ia, sesungguhnya lebih awal dari itu…

Saudara Syed Shahir mengutarakan pandangan ketika sesi soal jawab.

Kemerdekaan India - satu lagi koloni Inggeris - adalah kemerdekaan yang datang daripada semangat penentangan sama, iaitu menolak kerjasama dengan penjajah. India merdeka pada 1947. Mahatma Ghandi, pejuang dan bapa pendiri India berslogan "lakukan atau mati", yang menjadikan sosok tubuhnya sebagai "senjata". Yang dimaksudkan sebagai "lakukan" ("do") adalah "merdeka".

Demikian sembang-sembang mengenai "siapa Mat Indera" membuka selera dan semangat baru kepada kita hari ini untuk selidiki lebih mendalam mengenai sejarah bangsa berhubung perjuangan kemerdekaan. Adalah sesuatu yang angkuh bila dikatakan kesedaran kemerdekaan di Tanah Melayu terputus dengan kesedaran di negeri-negeri lain yang sama terjajah, sama ada Indonesia (Belanda), Filipina (Sepanyol) mahupun India (Inggeris), misalnya.

Sendal-sendal dan alang-alang sejarah aliran pemerintah pun ada yang mulai patah. UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah negara ini sejak merdeka, dan sejak itu tak pernah sekalipun anak watan dapat melihat sejarah daripada versi yang bukan versi pemerintah UMNO-BN.

Catatan dan buku-buku sejarah yang bukan ditulis dan diterbitkan pemerintah, dianggap tidak berwibawa meskipun ditulis oleh individu pencipta sejarah itu sendiri. Misalan yang ada ialah buku Merintis Jalan Ke Puncak, iaitu memoir Ahmad Boestaman. Buku 188 muka surat ini pertama kali diterbitkan oleh Penerbitan Pustaka Kejora pada 1972. Sejak penerbitan sulung, tidak ada usaha untuk ulang terbitkannya kembali.

Di dalam buku itu, turut diceritakan bagaimana PKMM yang mulanya salah sebuah badan gabungan UMNO, keluar daripada UMNO kerana ingin menentukan lambang atau bendera UMNO. Persoalan yang timbul bukanlah tertumpu sangat kepada Sang Saka Merah Putih sepertimana yang dicadangkan oleh KMM, tetapi sistem undian yang memberi hak satu badan dengan dua undi; tanpa mengira kecil atau besar sesuatu pertubuhan berkenaan. Cadangan PKMM, kalah dengan hanya satu undi. Sidang pertama UMNO itu diadakan di Ipoh, Jun 1946.

Maka tidak hairan, bagaimana asas bendera UMNO sepertimana yang wujud hari ini adalah daripada Sang Saka Merah Putih, sama seperti bendera Indonesia. Sama juga seperti bendera PAS mahupun bendera Republik Singapura. Hanya bendera UMNO dibubuh lingkung bulat kuning yang di tengahnya diletakkan imej keris tanpa sarung.

UMNO adalah parti aliran kanan. Sebuah parti perkauman yang tidak menjadikan slogan "merdeka" sebagai slogan awal mereka. Slogan awal UMNO ialah "hidup Melayu". Slogan merdeka dibawa awal oleh parti-parti kiri, termasuklah PKMM.

Hanya selepas mendapati ada ruang di mana Inggeris mahu memberikan kemerdekaan ke atas Tanah Melayu, barulah UMNO mengguna-pakai slogan merdeka sebagai slogannya. Dengan yang demikian, tidakkah UMNO secara tak sedar menerima dan mengakui bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan itu adalah kesedaran awal oleh parti-parti dan tokoh-tokoh lain di luar UMNO?

Begitulah sejarah yang jelas nyata ini tak juga selesai, demi survival UMNO khususnya. Atas sebab itu jualah, nama pejuang seperti Mat Indera begitu ditakuti. Membuka kenyataan sejarah ini bakal menjadikan teras sejarah UMNO terbongkar dan tercabut. Kesannya psikologinya ialah, generasi muda takkan lagi terasa terhutang budi untuk terus menyokong sebuah parti yang memerintah Malaysia sekian lama. Mat Indera bukan hanya telah menyerang Bukit Kepong, sepertimana 61 tahun lalu. Dia juga kini sedang menyerang titik tengah kekuatan parti pemerintah. Kepada UMNO, barangkali keadaan inilah yang paling ditakutinya.

*Karangan ini asalnya adalah bahan bacaan sisipan bertajuk Siapa Takut dengan Mat Indera? yang disediakan untuk forum awam "Malaysia dan Sejarah yang Belum Selesai" anjuran Akademi Pak Sako di Hotel Quality, Shah Alam pada 7 Oktober 2011 (Jumaat), jam 8 malam.

**Hasmi bin Hashim, 35 - seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat. Tulisan ini dipetik dari Jalan Telawi

Kerajaan Negeri Ambil Alih Hutang Unisel

SHAH ALAM 15 OKT : Kerajaan Selangor telah mengambil alih bond Universiti Selangor (Unisel) berjumlah RM235 juta agar ia dapat memberi tumpuan dan dana kepada meningkatkan tarafnya sebagai insitusi pengajian tinggi di negara ini.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali berkata bond atau hutang yang ditanggung Unisel selama 12 tahun operasinya sudah hampir dua kali ganda hutang asal.

Hutang asal RM150 juta, yang diambil dari bank untuk tujuan pembinaan Unisel, kini berjumlah RM235 juta, selepas dicampur faedah, kata Halimah.

Beban hutang ini telah menyekat usaha Unisel untuk mengembangkan operasi pendidikan dan pembangunnya, Halimah berkata.

“Kerajaan mengambil ketetapan untuk tidak membebankan Unisel. Unisel kerjanya melantik dan mendidik pelajar supaya mereka boleh maju dan untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan dengan lebih cergas.”

Beliau berkata demikian di sidang media selepas majlis konvokesyen ke-6 Unisel.

Halimah berkata dalam usaha meningkatkan taraf program pendidikannya, Unisel telah menandatangi beberapa perjanjian dengan universiti-universiti tersohor dunia.

“Unisel mendatangai MOU dengan universiti berprestij di dunia seperti Manchaster Universiti, Imperial College dan Cambridge University.”

Majlis Konvokesyen ini dirasmikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Seramai kira-kira 4,000 graduan menamatkan pengajian dengan daripada jumlah berkenaan,10 graduan (dua dari Sumatera, Indonesia) akan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (Phd), 81 orang menerima Ijazah Sarjana, 1,759 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda, manakala 2,021 menerima diploma dan 152 lagi penerima Sijil Program Asas.

Istiadat konvokesyen kali ini juga menganugerahkan tiga anugerah istimewa kepada tiga orang pelajar cemerlang iaitu Nor Izzati Muhammad,22, Muhammad Asraf Mat Nor,25, dan Veera Shamaraj Balacandran,24, yang paling cemerlang sepanjang pengajian mereka di Unisel.

PAS Terengganu Lancar Manifesto Berkebajikan

KUALA LUMPUR 16 OKT: Pengecualian cukai kediaman dan skim khas rakyat miskin antara dasar awal yang akan dilaksanakan Pas jika diberi mandat sekali lagi untuk memerintah Terengganu.

Menurut manifesto terbaru Pas Terengganu, parti itu juga akan menyediakan 17,000 peluang perkerjaan dan meyelesaikan isu tanah negeri yand didakwa dirampas Barisan Nasional.

Laporan laman Pas Harakahdaily menyatakan manifesto yang bertemakan "Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan" dilancarkan presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.

Di dalam manifestonya, Pas juga berjanji akan memberikan cuti bergaji kakitangan kerjaan selama 30 hari semasa kematian suami.

Dalam ucapannya Abdul Hadi berkata, sebuah kerajaan yang diberi amanah memerintah perlu menunaikan tiga tanggungjawab utama iaitu menjadi kerajaan yang memperhambakan diri pada tuhan, memberi makan kepada rakyat sehingga rakyat tidak lapar dan menjaga keselamatan dalam negara.

Dalam pilihanraya 1999 Pas berjaya menawan majoriti kerusi di Terengganu dan membentuk kerajaan negeri. Pentadbiran Pas berakhir selepas BN merampas majoriti kerusi DUN pada pilihanraya 2004.

Sementara itu, Pemuda Pas Perak mengerakkan jentera mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 dengan mengadakan himpunan besar-besaran bertema "Gelombang Kuning".

Himpunan Pemuda PAS Perak (HEMPAP) 2011 akan diadakan pada 27 November bagi mengumpulkan kesemua anggota seluruh negeri sebagai persiapan menghadapi pilihanraya.

Pemuda Pas Perak mensasarkan 10,000 ahli akan menghadiri himpunan tersebut. Sayap parti Pas itu juga telah melancarkan Tabung Khas Dana HEMPAP 2011 bagi mengumpul sumbangan untuk jentera piliha

PDRM Sudah Bersiap Sedia Hadapi PRU-13

GEORGE TOWN, 15 Oktober : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Ismail berkata beliau telah mengarahkan semua kontingen negeri memberikan latihan kepada pegawai polis di kontinjen masing-masing untuk menghadapi pilihanraya lapor Bernama.

“Kami menunggu sahaja, kalau pihak kerajaan mengumumkan pilihan raya padabila-bila masa, InsyaAlah kami sudah bersedia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Setia 2010 Polis Bantuan Peladang (Upstream) Malaysia anjuran Sime Darby Plantation Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata latihan-latihan yang diberikan kepada pegawai-pegawai polis khususnya anggota polis baru adalah untuk meningkatkan keupayaan mereka terutama dalam menjaga tempat pengundian semasa pilihan raya.

“Tugas-tugas ketika pilihan raya ini lebih spesifik dan setiap pegawai polis harus memainkan peranan mereka bagi memastikan keselamatan dan keamanan negara terjamin,” katanya.