TANPA UMNO SEMUA TAK ADA ??

111111 Selangor Dapat Tanah, Wang Daripada Hutang Talam Corporation


























Prestasi Kewangan Selangor Lebih Baik Dari Negeri BN




SHAH ALAM, 11 NOV : Laporan Ketua Audit Negara 2010 merumuskan bahawa pengurusan kewangan dan perbelanjaan Negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat adalah lebih memuaskan berbanding negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional.

Malahan Ketua Audit Negara menegur pentadbiran di negeri-negeri seperti Terengganu dan Pahang supaya memperbaiki pengurusan kewangan mereka, kata Adun Bukit Antarabangsa Azmin Ali.

Di dalam perbahasan beliau di sidang DUN, Azmin berkata keupayaan Pakatan menguruskan sumber kewangan dan berbelanjaan dengan baik serta perbezaan gagasan itu dengan pendekatan BN perlu dilihat oleh rakyat.

"Saya pada hari ini membawa laporan audit ketua negara bagi negeri Terengganu sebuah negeri yang mempunyai hasil mahsul yang melimpah ruah ditadbir oleh Umno Barisan Nasional. Rumusan untuk audit bagi negeri itu ialah pada tahun 2010 ialah kerajaan negeri Terengganu perlu merancang perbelanjaan dan kewangan dengan cekap dan berhemah tanpa perlu menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

"Saya juga ingin merujuk kepada laporan audit negara bagi negeri Pahang, sekali lagi sebuah negeri yang mempunyai hasil mahsul yang lebih besar ditadbir oleh Umno , rumusan ketua audit negara ialah agar disyorkan kerajaan negeri Pahang agar mengamalkan perbelanjaan yang berhemah serta mengutip hutang agensi kerajaan negeri berjumlah RM228.8 juta dan menjelaskan bayaran balik hutang kerajaan Persekutuan," katanya.

Azmin berkata lagi, teguran terhadap pengurusan kewangan yang diberikan oleh Ketua Audit Negara terhadap negeri pimpinan Umno-BN itu tidak terdapat dalam laporan Ketua Audit Negara 2010 bagi negeri Selangor.

Justeru, ini jelas membuktikan bahawa mekanisme pengurusan kewangan negeri Selangor adalah pada tahap terbaik katanya.

Hishamuddin Rais: Simpatilah Melayu yang dibonsaikan mindanya

Hishamuddin Rais: Simpatilah Melayu yang dibonsaikan mindanya

Lim Hong Siang

Satu Malaysia menanggung kerugian, apabila pemerintah mengambil langkah memusnahkan institusi pengajian, mengawal media dan memperbodohkan rakyat - lantas memberi laluan kepada penyalahgunaan kuasa dan rasuah untuk berlaku sepanjang puluhan tahun ini.

Pandangan berbeza dicantas, demonstrasi jalan raya dipatahkan setelah dewan dalam universiti untuk pertembungan pandangan ditutup, dan peranan universiti sebagai institusi pendidikan dimusnahkan. Lantaran daripada itu, universiti awam tempatan menghasilkan badut, kaki bodek, malah ahli akademik yang memplagiat kajian orang lain pada hari ini...

Hishamuddin Rais (gambar kanan, kedua dari kiri), yang juga "produk" Universiti Malaya pada tahun 1970-an, gagal menahan kemarahan melihat situasi institut pengajian tinggi tempatan yang diperlakukan sebegini oleh pemerintah, sehingga mengeluarkan kata-kata kasar, "Masa sudah tiba. Masa sudah tiba untuk semua kita kata, F*** you, United Malays National Organisation!"

Luahan Hishamuddin Rais ini disambut dengan tepukan dan sorakan gemuruh daripada lebih 150 orang hadirin, dalam satu forum berjudul "Malays Are Muted Too! - The Importance Of Freedom Of Expression", bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (SCAH), semalam.

Forum ini mempertemukan mereka yang "dibisukan"- Zunar yang diharamkan karya kartunnya; Amir Muhammad yang dirampas buku terbitannya, Jamaluddin Ibrahim yang diarah untuk mengambil cuti setelah rancangannya "Say Hi To Malaysia" dalam stesen radio 98.8 disiasat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC), dan Hishamuddin Rais, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sepanjang ini mencabar sistem yang sedia ada dengan pandangannya yang penuh kontroversi.

Lebih menarik, biarpun keempat-empat ahli panel ini berketurunan Melayu, namun mereka berasal dari dunia yang berlainan bahasa. Jamaluddin Ibrahim, misalnya lebih fasih untuk bertutur dalam bahasa Cina, dan mempunyai peminat dari komuniti Cina. Forum yang dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Hak Sivil SCAH, 1 Muted Malaysia dan MerdekaReview.com ini dijalankan dengan terjemahan oleh moderator, Chai Chee Fatt.

Guan Eng naik Haji tahun depan?

Hishamuddin Rais bermula dengan analisis bagaimana orang Melayu ditakut-takutkan, dan diperbodohkan agar pemerintah mengambil kesempatan untuk mengaut kepentingan diri. Pawang dan bomoh dalam kampung akan menyebarkan khabar hantu, dan kemudian akan diberikan telur dan beras oleh orang kampung yang telah ditakut-takutkan. Dalam politik moden, Hishamuddin Rais mendakwa model ini terus digunapakai, dan orang Cina dalam konteks hari ini telah dijadikan "hantu" untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

Beliau sempat melontarkan jenaka ketika menyindir politik perkauman yang dimainkan dewasa ini, "Sekarang kamu boleh nampak, setiap hari, UMNO kata DAP pergi surau-lah, Lim Guan Eng sembelih lembu-lah...Lepas tu, tahun depan, Lim Guan Eng naik Haji...kemudian, Lim Kit Siang bersunat!"

Malah, Hishamuddin Rais (gambar kiri) mempersendakan kenyataan bahawa orang Cina bakal mengambil-alih kerajaan di Malaysia, "Mengapa orang Cina mahu mengambil alih negara ini? Ini sesuatu yang pelik. Negara ini negara yang paling teruk disalah-urustadbir (mismanaged) di dunia...polisnya rasuah, sistem kehakimannya rasuah. Kalau Lim Kit Siang jadi Perdana Menteri, dalam tiga hari beliau akan ditendang keluar!"

Budaya perbincangan intelektual di Universiti

Ketika menjawab soalan daripada hadirin, Hishamuddin Rais mengimbas nostalgianya bagaimana suburnya budaya perbincangan intelektual dalam universiti, pada zaman tahun 1960-an dan 1970-an. Menurut Hishamuddin Rais, yang juga pemimpin gerakan siswa ketika itu, persatuan dan pertubuhan dalam kampus akan menempah dewan pada setiap malam Rabu, untuk menganjurkan forum.

Untuk beliau, budaya ini adalah tradisi pengetahuan, menyaksikan bagaimana idea baru dicabar, sementara idea lama disingkirkan. "Ini adalah kegunaan universiti...ini adalah apa yang dikatakan pendidikan!" Pandangan Hishamuddin menerima tepukan dari bawah pentas.

"Kemudian, datang seorang yang bernama Mahathir Mohamad. Beliau musnahkan institusi. Beliau memusnahkan universiti sebagai institusi untuk pembelajaran. Mengapa? Kerana banyak pandangan yang berbeza dari kampus. Banyak demonstrasi, banyak "tidak setuju" (disagreement) datang daripada orang muda!"

Malah, Hishamuddin Rais memperlihatkan kekecewaannya apabila perbincangan intelektual kini terpaksa mengambil tempat di SCAH, atau hotel yang disewa, yang untuknya bukan tempat yang sesuai. "Ia seharusnya berlaku dalam dewan universiti. Apa yang terjadi sekarang adalah semuanya tertutup!"

Beliau yang gagal menahan kemarahan akhirnya mencemuh UMNO, yang dipersalahkan kerana memusnahkan segala-gala ini.

Feudalisme sebati dengan jiwa Melayu

Amir Muhammad, yang pada mulanya "terasa malas untuk hadir" kerana melihat tajuk forum (Melayu juga dibisukan), cuba mengulas isu ini di luar kerangka perkauman, mengambil contoh bagaimana "senarai tahanan ISA dari dulu hingga sekarang" memperlihatkan corak "1Malaysia".

Bagaimanapun, pembikin filem bebas ini berkongsi pengamatannya bahawa "feudalisme adalah satu perkara yang amat sebati dengan jiwa Melayu, yang berkurun-kurun lamanya." Amir Muhammad mengimbas sejarah bagaimana kaum Melayu menyembah kepada raja Hindu sebelum kedatangan Islam, dan bagaimana penyembahan ini dialihkan kepada Raja dan Sultan Islam, seterusnya kepada pemerintah sekarang.

Malah, feudalisme ini tidak terhapus hanya dengan pertukaran sistem politik, misalnya kepada republik. Ketika menjawab soalan dari hadirin, Amir Muhammad mengambil contoh bagaimana ketiga-tiga negara republik termasuk Singapura, Filipina dan Indonesia, yang terjatuh ke dalam neo-feudalisme, apabila rakyatnya masih cenderung untuk mengundi calon yang "dilahirkan daripada sperma seorang tokoh dahulu".

Mengulas isu negara republik, Hishamuddin Rais yang juga pembikin filem seketika dahulu enggan memberi jawapan yang "dramatik", misalnya menganjurkan Revolusi Bolsheviks dan sebagainya, tetapi tetap mengusik hati ramai.

Hishamuddin tidak tertarik untuk hapuskan raja, tapi...

Beliau berkata, "Menukar kepada (sistem) Republik, untuk saya tidak begitu penting. Saya tidak tertarik hati untuk menghapuskan raja-raja. Untuk saya, kamu boleh mempunyai seramai raja yang boleh. Tapi kamu kerja. Kamu boleh mempunyai seorang raja yang memandu teksi, kamu boleh mempunyai Sultan Negeri Sembilan memandu teksi...saya ok. Kamu boleh jadi Raja, Tan Sri, tapi kamu kerja sebagai nelayan...kamu boleh jadi Raja, kamu boleh jadi Sultan, apa masalahnya?"

"Masalahnya, mereka tidak bekerja (they are not working)...Mereka menyalahgunakan wang (they are abusing the money). Itu masalahnya!"

Hishamuddin Rais menegaskan,"...tapi, jangan suruh saya menghormati anda, kerana penghormatan bukan dipaksakan kepada rakyat. Kita memberikan penghormatan, kerana kita wajib berikan penghormatan kepada orang yang seharusnya kita hormati."

Malah, beliau memberi contoh bagaimana negeri India yang juga mengekalkan kerabat dirajanya, telah memperlihatkan perubahan. "Di India, ada raja-raja yang jalankan perniagaan hotel. Mereka masih mempunyai kerabat diraja, kamu nak jual kacang putih, kamu boleh jual kacang putih... Apa masalahnya?"

Amir: Mengapa raja tidak bersatu?

Amir Muhammad yang mengkaji filem tanah air turut berkongsi pengamatan dirinya. Beliau mendapati filem pada tahun 1940-an hanya menjadikan raja sebagai wira, tetapi "revolusi mental" berlaku apabila filem seperti Hang Jebat pada tahun 1950-an, menampilkan raja dengan perwatakan yang jahat, dengan menganjurkan kemungkinan bahawa Sultan boleh berkelakuan jahat, seperti bunuh, rogol dan sebagainya dalam filem.

"Sebenarnya benda yang ditanggap tak boleh disoal, pernah disoal sebelum ini. Padahal benda yang baik berlaku. Kalau orang dahulu sudah menyoal, orang sekarang ada tanggungjawab untuk menyoal dengan lebih..," kata Amir Muhammad (gambar kiri), sambil mengingatkan bahawa kebodohan Utusan Melayu hanya bermula pada tahun 1960, apabila UMNO mengambil-alih akhbar tersebut.

Amir terus mempersoalkan, "Baru-baru ini, Sultan Perak dan Sultan Selangor, dua-dua kata orang Islam kena bersatu. Saya pun bertanya sebagai soalan, hak saya untuk mengutarakan soalan, kalau sultan-sultan ini nak bersatu, kenapa kita ada sembilan ...(Raja/Sultan)? Kenapa kita satu-satunya negara di dunia yang ada sistem rotating (bergilir)? Macam roda rolet..."

"Ini adalah apa yang berlaku semasa kemerdekaan. Dan mungkin ramai tidak diberitahu atau disedarkan bahawa semasa kemerdekaan, institusi raja adalah institusi yang tak nak kemerdekaan. Sebab dia tahu dia akan hilang kuasa!" katanya.

Ketawa pun perlu ambil lesen?

Sebelum mengakhiri ucapannya, Hishamuddin Rais menyeru agar orang Cina memberi lebih simpati kepada orang Melayu, kerana orang Melayu kini telah diperbodohkan, dibonsaikan mindanya sehingga malas untuk berfikir. Beliau sempat mengusik pemimpin UMNO apabila mengeluarkan kata-kata, "Lebih dahsyat, Muhyiddin Yassin (TPM) dan Lokman Adam (yang lompat parti) memikir untuk mereka!"

Zunar (gambar kanan), atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, meneruskan jenaka Hishamuddin Rais, yang berbunyi "nak ketawa pun perlu ambil lesen" apabila memperkenalkan kartunis yang diharamkan koleksi karyanya ini. Zunar menggelakkan hadirin ketika menceritakan pengalaman bagaimana kartunnya diharamkan, dan proses beliau disoalsiasat oleh pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dalam soal-siasat tersebut, majalah jenaka kartun kelolaan Zunar dituduh bersifat "politikal", namun dinafikan satu persatu, dari muka depan hinggalah ke muka akhir. Zunar mempertahankan isu gadis Mongolia dibom, isu kematian Teoh Beng Hock yang dibangkitkan dalam majalah tersebut sebagai "isu jenayah", dan orang Malaysia seharusnya mempunyai hak untuk membincangkan isu yang berlaku di Malaysia.

Malah, Zunar menyatakan ketidakpuasannya kerana kelangsungan majalahnya ditentukan hanya seorang Menteri yang berkuasa. Beliau rela berdepan dengan audien di pasaran, dan sanggup menerima nasib seandai karyanya tidak mendapat sambutan di pasaran.

Zunar yang buku dan majalah terbitannya "diganggu" dari setiap lapisan, dari pencetak, vendor sehinggalah pemilik kedai, menuding jari kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Beliau bertegas bahawa pencetak yang tugasnya hanya mencetak, iaitu yang akan menanyakan soalan pertama "buku ini hitam putih atau berwarna, kertas 70 gram atau 80 gram" itu tidak harus dipertanggungjawabkan dalam penerbitan.

Beliau memberi gambaran bagaimana pencetak dan vendor diugut untuk tidak mencetak karya kartunnya, yang dianggap "mengancam keselamatan dalam negeri".

Jamaluddin: Untuk kepentingan diri pemerintah

Jamaluddin Ibrahim melanjutkan kupasan Hishamuddin Rais sebermulanya, bahawa segala "hantu" yang diwujudkan tidak berkaitan dengan nasionalisme, perlembagaan persekutuan dan sebagainya, sebaliknya hanya percaturan politik kelas pemerintah untuk mengekalkan kuasa, lantas menjaga kepentingan diri.

Jamaluddin (gambar kanan) yang disekat beritanya oleh media cetak yang dimiliki Tiong Hiew King dalam tempoh tiga minggu yang lalu, merungut bagaimana Sin Chew Daily memainkan peranan yang menyerupai Utusan Malaysia, iaitu mempermainkan isu yang tidak menyenangkan kalangan komuniti Cina.

Beliau yang bekerja di stesen radio bahasa Cina ini menyahut apa yang dibentangkan ahli panel sebelumnya, iaitu pemerintah sebenarnya tidak mahu rakyatnya dicelikkan, sama ada dalam konteks UMNO dengan masyarakat Melayu, mahupun MCA dengan komuniti Cina.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

111111 dan "Negara Peragut"

111111 dan "Negara Peragut"

Ooi Heng | Nov 11, 2011 04:48:37 pm

Andaikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) merupakan PRU terakhir yang penuh bermakna kepada golongan warga emas daripada kalangan elit politik seperti bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, maka isu pokok yang wajar ditelusuri bersama oleh rakyat Malaysia ialah, apakah ciri-ciri negara yang telah dicorakkan oleh elit politik selama ini yang telah membawa kepada kemudaratan dari segi kekayaan negara?

Perdana Menteri Najib Razak (gambar kanan) yang berdepan dengan desakan dalaman UMNO supaya mengundurkan diri sebelum PRU Ke-13, nampaknya mengakui bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelemahan diri yang menyebabkannya kehilangan sokongan sebahagian besar rakyat, justeru wujudnya keperluan untuk program transformasi ekonomi dan seumpamanya.

Namun, apa yang enggan diakui Najib adalah, ciri-ciri negara yang dicorakkan oleh elit politik BN atau lebih tepat UMNO sebenarnya telah memudaratkan negara. Tidak kira sehebat mana program transformasi dilaksanakan, Malaysia tidak akan memasuki era negara berpendapatan tinggi. Hal ini kerana, pendekatan kepada program transformasi tidak lain tidak bukan masih terkongkong dalam dasar lama yang membawa manfaat kepada elit politik tetapi memudaratkan negara dalam jangka panjang.

Kalau dulu nama yang digunakan ialah pembangunan, kini namanya transformasi. Cukup indah dan bagus kalau apa yang diamalkan ialah pembangunan yang mampan dan kekayaan negara diagihkan untuk menjaga kebajikan rakyat terbanyak, bukan diperuntukkan kepada elit lingkungan pemimpin UMNO dengan tertanamnya budaya rent seeking.

Tetapi realitinya cukup menyedihkan. Apabila diteliti projek-projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan Negara dan penemuan-penemuan Laporan Ketua Audit Negara, cukup banyak program atau projek yang melibatkan skandal penyelewengan wang rakyat. Pendedahan terbaru ialah bayaran untuk pembelian kondominium mewah berharga RM9.8 juta yang direkodkan sebagai "hutang" National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC) kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang melibatkan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Wacana dominan pemerintah selama ini yang bertapak di atas kewajaran pembangunan agak meyakinkan. Namun, apabila apa yang berlaku ialah peragutan kekayaan bertopengkan nama pembangunan, dan apabila kekerapan skandal sedemikian telah membawa kepada apa yang disifatkan sebagai "sindrom katak dalam air mendidih" (boiling frog syndrome), bukan sahaja kekayaan diragut oleh golongan yang mencorakkan ciri-ciri negara mengikut acuan, nafsu dan kepentingan mereka, negara bakal berdepan dengan krisis jika sekiranya rakyat menjadi katak yang kehilangan kekuatan untuk melompat keluar.

Kalau sebelum PRU ke-12 pada 3 Mac 2008, "sindrom katak dalam air mendidih" merupakan sesuatu yang lumrah dalam kebanyakan negara yang mengangkat wacana "negara pembangunan" (developmental state). Elit politik dalam negara seumpama yang lahir daripada perjuangan nasionalisme dan anti-kolonialisme selepas perang dunia kedua melihat pembangunan ekonomi dan pemodenan masyarakat sebagai agenda terpenting mereka.

Negara dan agensi negara dilihat sebagai pemacu utama dengan kerjasama sektor swasta. Bagi menjayakan agenda tersebut, negara harus bersifat pembangunan. Rakyat pula harus berterima kasih kepada pemimpin negara dan jangan banyak mempertikaikan sesetengah kelemahan yang dianggap remeh-temeh. Dengan kata lain, elit yang mewakili kerajaan dan memperkudakan negara tahu segala-galanya. Rakyat namanya silent majority. Cukup indah hubungan dari atas ke bawah yang dilakarkan oleh para elit dan media yang mendokong "kewartawanan pembangunan" (developmental journalism).

Tetapi realiti hari ini ialah, peranan meluas pemerintah dalam ekonomi tanpa mekanisme semak dan seimbang yang berkesan dan menyeluruh bukan sahaja menyekat perkembangan modal swasta, malahan menyebabkan amalan rasuah dan budaya rent seeking dalam pelbagai aktiviti termasuklah pengeluaran lesen, kawalan harga, kuota import dan sebagainya sementara hutang Kerajaan Persekutuan melambung tinggi seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah:

Sumber: Laporan Bank Negara Malaysia, dan Laporan Ekonomi, Kementerian Kewangan

Di Malaysia, Mahathirisme melihat pemerintahan kuku besi sebagai "elemen buruk yang diperlukan" sesuai dengan hegemoni elit pemerintah supaya negara dapat memecut dari segi pembangunan. Sehinggalah kepada pentadbiran Najib, jaringan kumpulan elit dibentuk dan rent seeking diangkat sebagai bentuk sokongan ekonomi-politik utama untuk program transformasinya. Pelbagai agensi dibentuk untuk penyaluran peruntukan bukan secara langsung kepada rakyat terbanyak atau kumpulan sasaran seperti petani tetapi kepada agensi bersifat monopoli atau oligopoli seperti Bernas. Perangkaan sebuah Belanjawan Negara lebih merupakan penyenaraian dan pengagihan projek kepada jaringan kumpulan elit seumpama asalkan alasan bagus dapat difikirkan. Maka aktiviti seumpama yang bercanggah dengan produktiviti diteruskan meskipun program transformasi kononnya mahukan peningkatan produktiviti.

Wacana baharu yang perlu diangkat dewasa ini untuk memberi kekuatan kepada rakyat terbanyak, justeru menyemak amalan dan tingkah laku elit yang cenderung memperkudakan peranan dan kekayaan negara demi kepentingan diri ialah konsep "negara peragut" (predatory state) yang dibicarakan oleh sarjana seperti James K. Galbraith dan Peter Evans.

Dalam konteks Malaysia, isu-isu seperti tadbir urus dan ketelusan, ketidakcekapan, rasuah dan kronisme merupakan persoalan pokok yang perlu dijawab oleh elit seperti Najib yang menguar-uarkan segala program transformasi.

Negara perlu disusun semula supaya benar-benar merakyatkan ekonomi dalam menjaga kepentingan semua pihak dan tidak hanya menjaga kepentingan sebahagian kecil yang mempunyai kaitan politik dengan pemimpin negara. Isu pokok yang cukup mustahak untuk negara yang terperangkap dalam middle-income trap seperti Malaysia ialah, transformasi yang membawa pembangunan tetapi pada sama yang sama mengizinkan peragutan kekayaan negara oleh sekumpulan kecil elit bukan sahaja jauh menyimpang jauh daripada makna transformasi, malahan akan memudaratkan negara sehingga rakyat terbanyak terpaksa menanggung beban berat apabila krisis serious melanda negara pada masa hadapan.

Sesungguhnya, apa yang dilakarkan oleh konsep "negara peragut" bahawa "pembangunan tanpa pertumbuhan bermakna" bakal mengorbankan kekayaan negara dan menjahanamkan negara juga merupakan lakaran yang tepat dengan program transformasi yang diuar-uarkan oleh Kerajaan UMNO-BN yang dipimpin oleh Najib.

Walau bagaimanapun, rakyat di kebanyakan negara di dunia ini kini bangkit daripada "sindrom katak dalam air mendidih". Kekuatan rakyat di negara-negara Timur Tengah contohnya telah berjaya menumpaskan pemerintah yang meragut kekayaan negara atas nama pembangunan dan transformasi. Begitu juga di Malaysia, kebangkitan rakyat terserlah semasa perhimpunan BERSIH 2.0.

Meskipun serangan bertalu-talu dilancarkan terhadap peguam Ambiga yang memimpin gerakan BERSIH demi melenyapkan impak besar gerakan tersebut terhadap politik tanah air, senario global menunjukkan bahawa, rakyat terbanyak pasti bangkit dan tolak parti politik yang membawa negara ke arah "negara peragut" bertopengkan nama pembangunan dan transformasi.

Demi menyelamatkan kekayaan negara dan harapan baharu kepada generasi akan datang, mari kita lompat keluar daripada kuari air yang semakin panas suhunya sebelum terlambat.

Sama ada Parlimen dibubarkan atau tidak, hari ini tetap merupakan hari lahir saya. Semoga kekayaan negara sempat diselamatkan daripada para elit yang berselindung di sebalik "negara peragut" yang menjuruskan negara ke arah pembangunan tanpa pertumbuhan bermakna.

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.