Pemegang MyKad Merah Berhimpun 27 Mei

SHAH ALAM, 14 MEI : Berlarutan sejak sekian lama tanpa pemegang MyKad merah dari seluruh Selangor dan negara akan mengadakan satu perjumpaan di Dewan Hamzah, Klang pada 27 Mei depan.
Perjumpaan yang dianjurkan kerajaan negeri bertujuan menyelesaikan isu membelenggu masyarakat India yang tinggal di ladang-ladang yang menghadapi masalah bagi mendapatkan MyKad biru dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, Selangor sendiri sebagai negeri maju dianggarkan terdapat beribu orang di kalangan masyarakat India yang menghadapi masalah berkenaan serta orang Cina, Melayu dan Orang Asal.
Kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan perhimpunan ini kerana Kerajaan Pusat menjelaskan akan mengambil tindakan segera bagi meenyelesaikannya sekiranya segala maklumat diberikan.
“Menteri Dalam Negeri atau kerajaan BN kata kalau kita boleh serahkan nama pemegang MyKad merah ini, mereka akan ambil tindakan secepat mungkin. Sebab itu kita ambil cabaran ini.
“Orang-orang ini dianggap sebagai warganegara Malaysia kerana lahir dan bekerja di negara ini tetapi akhirnya lebih dari 55 tahun, tiada sebarang bantuan diberi Kerajaan Pusat kerana mereka pemegang MyKad merah. Mereka ini juga tidak boleh mendapatkan bantuan dari kerajaan negeri melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Turut hadir, Adun Taman Medan, Haniza Talha dan Adun Kampung Tunku, Lau Weng San.
Bagi mencari jalan penyelesaian, Dr Xavier berkata, kerajaan negeri berusaha menghimpunkan golongan itu dalam majlis itu yang akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 2 petang.
Katanya, kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Adun, pertubuhan bukan kerajaan(NGO), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), Ketua Komuniti dan selainnya diperlukan bagi menghimpunkan kesemua mereka termasuk membantu kalangan yang uzur dan tua serta kanak-kanak yang dikesan turut tidak memiliki sijil kelahiran.
Menurutnya, mereka diminta membawa dokumen seperti MyKad merah, dokumen perkahwinan dan yang berkaitan bagi memudahkan segala bukti dikumpulkan.
“Semua data-data ini kita akan hantar kepada Menteri Dalam Negeri untuk diambil tindakan selanjutnya. Dalam majlis ini, saya harap dan jangkakan lebih 1,500 orang akan hadir. Kita juga akan menjemput pihak Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) untuk hadir,” katanya yang mempersoalkan isu pendatang asing yang didakwa memiliki MyKad biru tetapi golongan berhak dinafikan haknya.

Muzakarah Dengan Umno: PAS Nafi Bercanggah Pendapat



SHAH ALAM 14 MEI : Pimpinan PAS hari ini menafikan dakwaan bahawa berlakunya percanggahan pendapat antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berhubung isu bermuzakarah dengan Umno-BN.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata secara dasarnya, PAS sanggup bermuzakarah, berbincang, berdebat dan berdialog dengan mana-mana pihak termasuk Umno-BN.
Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman sebelum ini, Khalid yakin bahawa Umno-BN tidak akan bersetuju berhubung perkara tersebut malah tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara.
“Kita tahu Umno-BN memang tidak ikhlas walaupun mereka melakukan perkara yang salah tetapi tetap mahu mempertahankannya. Maka, Datuk Mahfuz itu bercakap berlandaskan pengalamannya dan PAS sendiri,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Perkara sama turut dipersetujui Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyangkal dakwaan wujudnya percanggahan kenyataan sesama pimpinan PAS berhubung isu berkenaan.
Menurutnya, muzakarah yang dimaksudkan Presiden PAS itu adalah bagi memberi penjelasan sebenar terhadap isu-isu negatif yang dibangkitkan media arus perdana dan kerajaan Umno-BN terhadap parti itu.
“Isunya bukan muzakarah PAS bergabung dengan Umno-BN, tetapi muzakarah kepada isu yang berbangkit antaranya PAS membuat kenyataan bercanggah dengan Majlis Fatwa, tuduhan kafir terhadap Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz dan beberapa isu negatif yang cuba menjatuhkan kredibiliti PAS,” ujarnya.
PAS dalam satu sidang media di Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur semalam mengumumkan sedia bermuzakarah dengan mana-mana pihak termasuk Umno-BN bagi menyelesaikan kekeliruan umat Islam di negara ini termasuk dakwaan mengatakan parti itu sudah terpesong dari landasan perjuangannya.
Namun, kenyataan yang dimaklumkan Abdul Hadi itu kemudiannya disanggah Mahfuz yang mencelah ‘kecuali Umno’.

Pak Samad : “Jangan Hiraukan Kenyataan Menteri Dalam Negeri”.


SHAH ALAM, 14 MEI: Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bahawa terdapat unsur semasa perhimpunan BERSIH 3.0 yang mahu menyebabkan kematian tidak perlu diambil perhatian.
Demikian menurut Pengerusi Bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0) Datuk A. Samad Said ketika dihubungi TVS petang ini.
Menurut beliau kenyataan tersebut boleh dianggap sebagai andaian kerajaan pusat untuk memberikan gambaran negatif terhadap BERSIH 3.0.
“Untuk saya, itu andaian mereka. Itukan sesuatu yang kita tidak tahu hasrat orang jadi kita cuma boleh buat andaian sahajalah dan kita boleh buat tohmahan untuk menyebelahi kita.
“Saya sendiri fikir, itu tidak payah diambil berat. Benda semacam itu akan bertingkat-tingkat dan berkembang-kembang.
“Memang tak perlu dilayan, sebab mantan IGP (Ketua Polis Negara) sudah kata, mantan Perdana Menteri sudah kata, ini pula Menteri Dalam Negeri pun sudah kata dan nanti akan banyak lagilah yang akan berkata,” kata Samad yang lebih dikenali Pak Samad.
Menurut Sasterawan Negara itu lagi, pihak berkuasa sepatutnya menubuhkan sebuah jawatankuasa yang mampu menjalankan siasatan lebih adil.
“Apa yang harus berlaku adalah seperti yang disarankan mengadakan suatu pemeriksaan yang lebih rasmi, yang lebih adil barangkali untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa yang khusus daripada membiarkan hal ini agak merayau dan berselerak,” ujar beliau.
Samad turut memberitahu jawatankuasa BERSIH 3.0 pada masa ini masih belum membincangkan samada akan mengadakan satu lagi perhimpunan BERSIH atau BERSIH 4.0.
“Itu masih dalam khayalan lagi, sebab masih jauh lagi, tetapi ada orang yang menginginkannya, itu biasalah.
“Kami akan adakan mesyuarat untuk bincangkannya nanti, saya tak dapat beritahu sekarang, nanti kalau ia berlaku saya akan maklumkan,” kata beliau.
Samad memberitahu lagi, BERSIH 3.0 bukanlah mengejar jumlah penyertaan yang besar semata-mata tetapi mahukan mesej perhimpunan dapat disampaikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.

PAS Tetap Dengan Pendirian Pakatan Rakyat, Buku Jingga


PETALING JAYA, 14 MEI: PAS akan terus mempertahankan resolusi yang telah disepakati DAP dan PKR meskipun terdapat percanggahan dalam beberapa perkara.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, fokus utama yang perlu diberikan perhatian adalah melaksanakan tuntutan Bersih 3.0 demi memastikan pilihanraya dapat dijalankan secara adil.
Katanya, Pas akan terus dengan pendirian untuk bersama dan menghormati dasar Pakatan manakala segala percanggahan pendapat akan diselesaikan secara dalaman dan bukannya melalui media.
“Kita akan bincang secara dalaman dan kita akan utamakan isu Bersih dahulu untuk kita memerintah. BN menyembunyikan isu Bersih,” katanya di dalam sidang media di ibupejabat PKR di sini.
Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Abdul Hadi dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang tegas untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan seperti yang dimaklumkan dalam Buku Jingga.
Katanya, serangan terhadap Pakatan melalui media pro Umno-BN tidak akan menggugat kesepakatan bersama yang telah dipersetujui selama ini.
Kit Siang dalam sidang media sama membacakan semula ikrar yang telah dipersetujui bersama yang dimuatkan dalam Buku Jingga.
“Semangat dan keutuhan Pakatan tidak sedikit pun terjejas dengan liputan yang dikira negatif dalam keadaan sekarang.
“Kenyataan ketiga-tiga parti untuk kekal dengan Pakatan Rakyat sekarang, semasa pilihan raya dan selepas membentuk kerajaan insyaAllah.
“Tuan Guru (Hadi Awang) berkata kita masih terikat dengan kesepakatan yang telah ditandatangani bersama.
“Yang menyatakan segala perubahan yang dibuat terikat dengan dasar kesepakatan bersama, Perlembagaan Persekutuan, Buku Jingga.  Itu cukup jelas,” Lim berkata.
Sementara itu, Anwar memaklumkan, pimpinan sedang menumpukan perhatian terhadap menyiapkan manifesto pilihanraya dan akan mengadakan beberapa siri rapat rakyat bagi menjelaskannya.

(function() { var d = document, w = window; w

Tangani defisit keyakinan terhadap SOP dan kawalan pergerakan – Syahredzan

  Pada  18 Mei 2021 oleh  PENTADBIR Oleh Ghafar NS Selepas lebih setahun Covid-19 melanda negara, dapat dilihat semakin ramai rakyat Malaysi...