MGID

SOI LEK...KERANA MULUT BADAN BINASA..ITU PEPATAH MELAYU......JANGAN GANGGU GUGAT AGAMA....KERANA TAK SESIAPA PUN SUKA AGAMANYA DIGANGGU


Hudud: ABIM serah Soi Lek memo, gesa minta maaf dalam 48 jam
December 09, 2011

KUALA LUMPUR, 9 Dis― Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyerahkan satu memorandum kepada Datuk Seri Chua Soi Lek hari ini, mengulangi gesaan agar presiden MCA itu memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di negara ini ekoran kenyataannya mengenai hudud minggu lalu.

Setiausaha Agung ABIM Mohamad Raimi Ab Rahim berkata pihaknya kesal di atas kenyataan prejudis beliau yang merendahkan martabat perundangan hudud sekiranya dilaksanakan di negara ini.

“Adalah jelas bahawa kenyataan beliau bersifat tohmahan, prejudis dan tidak langsung disandarkan kepada sebarang fakta atau perangkaan emprikal yang boleh menjustifikasi dakwaaan beliau.

“Namun sehingga hari ini, beliau masih belum membuat sebarang permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam berhubung dengan kenyataan tersebut,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Justeru kata beliau, ABIM terpanggil untuk sekali lagi menggesa beliau berbuat demikian dalam tempoh masa 48 jam menerusi saluran-saluran media di negara ini.

Zahid Ambil 21 Bulan Jemput Guan Eng Naik Scorpene

GEORGETOWN 9 DIS: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempertikaikan cabaran Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi yang mengambil masa selama 21 bulan untuk menjemput beliau menyelam bersama kapal Selam Scorpene ekoran kapal selam tersebut didakwa tidak boleh menyelam walaupun pembeliannya melibatkan RM3.68 bilion.

Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan bagaimanapun menerima cabaran tersebut dan dijangka akan menyertai Zahid untuk menaiki KD Tun Razak hari ini.

"Saya akan hadir ke LIMA di Langkawi untuk memenuhi cabaran yang dibuat oleh Zahid 21 bulan lalu.Saya telah menerima cabaran itu dengan serta merta tetapi tidak menyangka bahawa saya terpaksa menunggu 21 bulan untuk merealisasikannya. Adakah pembetulan kecacatan teknikal itu mengambil masa begitu lama?

"Ini menimbulkan semula soalan-soalan mengenai kos pembelian kapal selam yang begitu mahal serta keraguan tentang kontrak perkhidmatan yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang tidak ada sebarang rekod atau pengalaman dalam penyenggaraan kapal selam," ujar Lim.

Menurut Lim lagi, jemputan Zahid itu masih tidak dapat menjawab tentang persoalan sampingan berhubung pembelian kapal selam itu yang menelan kos pembelian sebanyak RM3.68 bilion dan kontrak perkhidmatan atau "komisyen" sebanyak RM534 juta.

Tegasnya lagi, kerajaan perlu mengambil kira isu penting lain seperti penggunaan wang awam sebanyak RM4.214 billion serta isu keselamatan para pelayar TLDM.

Kerajaan juga disarankan supaya semua aspek keselamatan dan penyelenggaraan dilakukan oleh sebuah syarikat yang berpengalaman dan mempunyai rekod prestasi yang baik.

"Rakyat Malaysia masih lagi menunggu jawapan kepada soalan-soalan tentang kos pembelian yang tinggi dan penganugerahan kontrak perkhidmatan yang kini juga terlibat dalam kes saman di negara asing," ujar Lim.

Isu kapal selam scorpene yang membabitkan pelbagai kontraversi menimbulkan perdebatan hangat di parlimen apabila Lim mendakwa kapal selam tersebut tidak boleh menyelam sehingga membawa cabaran Zahid menjemput beliau menyelam bersama kapal tersebut ketika sidang Parlimen 17 Mac 2010 lalu.

Skandal pembelian dua Kapal selam jenis Scorpene yang kini di beri nama KD Tunku Abdl Rahman dan KD Tun Razak menimbulkan pelbagai skandal yang dikaitkan dengan pembunuhan warga Monggolia, Altantuya Shharibu dan rakan Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda.

Altantuya ditemui mati berkecai dipercayai diletupkan dengan peletup C4. Abdul Razak Baginda yang juga didakwa kekasih Altantuya, dibebaskan oleh mahkamah.

Pembelian Scorpene juga dikaitkan dengan syarikat Abdul Razak dengan memperoleh komisen RM534 juta.

Umno Sebenarnya Tak Percaya Kepada Prinsip 1Malaysia

SHAH ALAM 9 DIS : Perhimpunan Umno yang baru selesai minggu lepas adalah bukti jelas bahawa pemimpin parti itu sebenarnya tidak ikhlas dengan prinsip 1Malaysia yang diperjuangkan presidennya.

Malah, menurut Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor Khalid Samad, president Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak sendiri "cakap tak serupa bikin" apabila dia melaungkan dasar masyarakat majmuk tetapi dalam masa yang sama merasmikan majlis NGO pro-ketuanan Melayu.

Khalid berkata kesimpulan yang cuba disampaikan Umno adalah mereka satu-satunya parti yang memperjuangkan hak dan kedaulatan Melayu sedangkan transformasi yang dilaung-laungkan oleh Najib meliputi rakyat majmuk yang berbilang bangsa.

Dalam sidang media yang diadakan di sini pagi tadi, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, mendakwa selepas perhimpunan Umno Najib telah merasmikan perhimpunan agung Pekida, sebuah badan yang memperjuangkan semangat ke-Melayuan yang ekstrem.

Di dalam ucapannya di dalam perhimpunan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Najib dilihat sengaja membakar semangat nasionalisme Melayu, Khalid berkata.

"Umno tidak lagi boleh memimpin negara Malaysia kerana ia telah menjadi ultra-Malay. Pekida ini satu persatuan yang selama ini Umno sendiri pun tidak berani dekati secara rasmi kerana imejnya yang 'ultra right-wing'.

"Tetapi oleh kerana stance Najib sudah berubah kepada ultra-Malay, maka dia sanggup merasmikannya dan ucapannya mengapi-apikan semangat nasionalisme Melayu dengan bermacam-macam tuduhan yang tidak berasas."

Menurut Khalid, tindakan-tindakan seperti itu sama sekali tidak dapat diterima oleh golongan bangsa Melayu yang waras akalnya apatah lagi oleh yang bukan Melayu.

"Dengan tindakan sebegini, konsep transformasi sudah gagal begitu juga dengan konsep wasatiyah atau kesederhanaan sudah dipinggirkan mereka," ujar Khalid.

Sehubungan itu, beliau berkata corak dan budaya politik tanah air seharusnya berubah menjadi lebih adil, bersih dan bertujuan membela keseluruhan anggota masyarakat tanpa mengira kumpulan atau bangsa tertentu.

"Masalah politik negara adalah dominasi Umno yang mebolehkannya mendominasi parti lain, bangsa lain, mahupun bangsa Melayu itu sendiri sehingga akhirnya Melayu terpaksa redha dengan penyelewengan dan sebagainya," kata Khalid lagi.

Khalid turut menyifatkan sokongan Wanita Umno terhadap Ketua mereka, Datuk Seri Sharizat Jalil sebagai sesuatu yang menyedihkan kerana pemimpin yang korup terus diberi sokongan semata-semata kerana khuatir kononnya dominasi Melayu dalam politik hilang.

"Sedangkan penyelewengan ini bukan didedahkan oleh Pas atau PKR, sebaliknya disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara tentang RM250 juta duit rakyat yang disalahgunakan,"jelasnya lagi.


Dan tercabarnya kuasa politik Melayu…


Khalid Samad

Kebelakangan ini, gendang perang perkauman hangat dipalu tanpa henti oleh para pemimpin UMNO. Kedengaran di perhimpunan Agung UMNO dan juga Himpunan Perdana Pekida Malaysia, suara yang ingin "menggegarkan" bangsa Melayu dengan pelbagai amaran, kononnya masa depan kekuasaan politik Melayu sedang dicabar dan ingin dihapuskan. Gambaran yang segelap mungkin dilakarkan oleh para "pemimpin Melayu" ini dengan bertujuan menghasilkan persepsi bahawa sekiranya UMNO/BN dijatuhkan dan Pakatan Rakyat berkuasa; lebih-lebih lagi sekiranya di peringkat Pusat, maka alamatnya Melayu akan turut terpupus di bumi sendiri.

MELAYU ATAU UMNO YANG TERCABAR?

Pada hakikatnya, yang dicabar adalah kepimpinan UMNO dan juga BN, BUKAN kepimpinan Melayu! Kepimpinan UMNO dan BN dicabar atas sebab kedurjanaan, pengkhianatan dan tidak amanahnya mereka. Walaupun mereka telah diberi amanah untuk memimpin dan memerintah selama 54 tahun, apa yang telah dihasilkan adalah budaya kepimpinan rasuah, pengampuan dan kronisma. Pemimpin bergelumang dengan maksiat dan kekayaan sedangkan rakyat, terutamanya orang Melayu, hidup terhimpit di kota dan di desa.

Sekiranya seseorang membuat tinjauan pada hujung minggu lepas di persekitaran PWTC, maka dia akan melihat segala jenis kenderaan mewah yang terdapat di muka bumi diguna pakai oleh mereka yang mendakwa diri mereka sebagai "pejuang" Bangsa. Tersusun rapi barisan Vellfire, Hummer, Mercedes, BMW, Porsche Cayenne dan berbagai lagi kenderaan mewah milik para "pejuang" ini. Kemewahan ini diketengahkan sebagai bukti "pengorbanan" mereka dalam "perjuangan" yang begitu lama dan "sukar". Yang anehnya, si "pejuang" semakin mewah sambil yang kononnya diperjuangkan terus miskin dan semakin tertekan.

Sekiranya yang dimaksudkan dengan "politik Melayu" adalah politik rasuah, fitnah dan rasis yang bercanggah dengan ajaran dan nilai agama Islam, maka politik jenis itu sememangnya ingin kita tumpaskan. Akan tetapi, adakah politik Melayu bersifat begitu? Bagi UMNO, itulah politik Melayu yang mereka ingin orang Melayu pertahan dan banggakan. Sekiranya ada yang menentang politik yang sedemikian rupa, maka mereka ini dikatakan penentang "politik Melayu"! Pada hakikatnya ianya bukan politik Melayu tetapi sebaliknya politik UMNO!

Mereka yang mentakrifkan politik Melayu sebagai politik rasuah, fitnah dan rasis serta ingin terus mempertahankannya pada hakikatnya ingin membunuh masa depan politik Melayu. Lihat sahaja pada wanita UMNO yang mengerumun Shahrizat, menyatakan sokongan mereka terhadap dirinya walaupun beliau terbabit dengan skandal Feedlot Negara. Adakah kepimpinan Melayu sebegitu rupa yang ingin dipertahankan? Di mana maruah dan wawasan kepimpinan yang adil dan bertaqwa di sisi UMNO?

KUASA MUTLAK ADA PADA ORANG MELAYU?


Berkata pemimpin UMNO bahawa di dalam BN, UMNO berkuasa sepenuhnya. UMNO yang dominan dan boleh melakukan apa jua yang UMNO inginkan. Tiada yang boleh menghalang dan itulah bukti politik Melayu berkuasa! Sedangkan dalam PR, parti politik Melayu adalah minoriti dan tiada kuasa, terpaksa akur kepada kehendak DAP menurut mereka lagi.

Hakikatnya sebenarnya keadaan berkuasa secara dominan dan tanpa halangan adalah punca masalah politik Negara. Telah dikatakan berulang kali bahawa "power corrupts and absolute power corrupts absolutely" atau "kuasa merosakkan dan kuasa penuh tanpa batasan merosakkan secara menyeluruh tanpa batasan". Inilah sebabnya mengapa budaya rasuah, kronisme dan rasis dapat diamalkan oleh UMNO tanpa bantahan. Lihat sahaja pada skandal Feedlot. Tidakkah penyelewengan sebanyak RM250 juta itu berlaku tanpa apa-apa tindakan atau hukuman? Malahan ada juga yang berusaha keras mempertahankannya. Melalui pembelaan ini, mereka ingin merosakkan ummat dan bangsa.

Adakah kuasa mutlak diperlukan sekiranya apa yang ingin ditegakkan adalah benar dan adil? Biasanya, yang terpaksa bersandar kepada kekuasaan yang mutlak adalah pemimpin "dictator" dan mereka yang ingin melebar-luaskan kerosakan di atas muka bumi. Maka apabila mereka ingin melaksanakan kezaliman dan ianya dibantah, maka kuasa mutlak digunakan untuk mengalahkan golongan yang membantah.

Sebaliknya, apabila yang ingin ditegakkan adalah benar dan adil, maka sokongan rakan dan rakyat umum akan menentukan ianya terlaksana. Seperti pada zaman Rasulullah (SAW) di mana ummat Islam minoriti pada awalnya di Madinah, namun kepimpinan Baginda (SAW) telah diterima semua atas sebab keadilan Baginda.

ADAKAH KUASA POLITIK MELAYU AKAN HANCUR?

Maka ditanya pula, "adakah dengan hilangnya kuasa mutlak maka akan hilang juga kuasa politik Melayu?" Jawapannya "Tidak"! Yang akan hilang adalah hanya kemampuan melakukan rasuah dan kezaliman! Dan dengan itu akan dibebaskan politik Melayu dari budaya perosak yang telah diasaskan sekian lama oleh UMNO dan BN di kalangan bangsa Melayu. Akan subur seterusnya politik Melayu dengan budaya keislaman yang sebenar, bebas dari rasuah, penyelewengan, kronisma dan rasisme.

Pada hakikatnya dalam PR tiada pihak yang akan mempunyai kuasa mutlak dan oleh itu dasar semak dan timbang (check and balance) akan lebih bermakna. PAS tidak boleh melakukan sesuka hatinya. Begitu juga DAP dan begitulah juga PKR. Semua berkuasa dan apa sahaja yang ingin dilakukan mesti mendapat persetujuan dari semua pihak. Tidak perlu PAS akur pada kehendak DAP atau DAP kepada kehendak PAS. Apa yang diperlukan ialah menentukan sesuatu dasar yang benar dan adil yang akan dipersetujui bersama.

Maka sebagai contoh, sekiranya ada yang ingin mengurangkan jumlah penjawat awam, sepertimana yang didakwa Najib, ianya tidak mungkin dapat dilakukan tanpa sokongan ketiga-tiga parti. Dan sepertimana yang diulangi, PAS dan PKR tidak bersetuju dengan cadangan itu. Begitu juga dengan sebahagian pemimpin DAP.

Sebaliknya, apa yang ingin diusahakan adalah keberkesanan perkhidamatan awam dengan ditingkatkan mutu perkhidmatan. Bukti nyata ialah apa yang dilakukan di bawah kerajaan Negeri PR. Berapa ramaikah kakitangan kerajaan Negeri yang dibuang kalau ada? Jawapannya tidak walau seorang.

Jelas UMNO hanya ingin membohongi bangsa Melayu seperti biasa supaya UMNO kekal berkuasa.

PAS TUNDUK PADA DAP?

Dikatakan juga bahawa PAS terpaksa akur kepada kehendak DAP kerana kalau tidak orang bukan Islam tidak akan mengundi PAS di dalam Pilihan Raya. Maka mereka akan undi siapa? Kalau di Parlimen Shah Alam, sebagai contoh, calonnya dari PAS dan UMNO. Kalau mereka tidak undi PAS, adakah mereka akan undi UMNO? Atau mereka akan mengundi DAP yang tidak bertanding?

Kalau undi DAP maka dikira undi rosak dan sekiranya undi UMNO, maka lagi teruklah akibatnya. Selagi PAS berdiri atas prinsip keadilan Islam dan menghormati hak bukan Islam seperti yang dituntut oleh agama Islam itu sendiri, masyarakat bukan Islam akan terus mengundi PAS. Ini adalah kerana UMNO adalah jauh lagi teruk dan tidak dapat diselamatkan lagi. Dengan merosakkan Melayu, UMNO merosakkan Negara dan masyarakat bukan Islam memahami perkara ini.

Jelas bahawa sekali lagi UMNO ingin membohongi bangsa Melayu dan bukan Melayu.

KEDUDUKAN KUASA POLITIK MELAYU

Sekiranya PR memerintah di Pusat, kerusi perwakilan Melayu di Parlimen akan tetap seperti sekarang iaitu lebih ramai dari yang bukan Melayu, apabila dijumlahkan keseluruhannya iaitu pemerintah dan pembangkang. Oleh itu, tiada undang-undang atau dasar yang merugikan orang Melayu akan dapat diluluskan sekiranya ada yang berniat melakukannya sekalipun. Maka orang Melayu tidak perlu khuatir atau takut akan masa depan mereka.

Dengan itu mereka boleh turut sama dalam usaha membasmi negara dari budaya politik rasuah, kronisma dan rasis yang dijuarai UMNO dan BN. Ini akan membebaskan masyarakat Melayu dari penjajahan minda Melayu yang dilakukan UMNO selama ini sehingga Melayu terpaksa redha dengan rasuah dan penyelewengan "pemerintah Melayu" atas alasan "ingin menjaga kuasa politik Melayu". Dengan itu bangsa Melayu akan sebenarnya bebas.

Dan akan turut berkembang segar politik Melayu selepas itu setelah dibebaskan dari belenggu yang menghimpitnya selama ini; bebas untuk dicorakkan politik Melayu tanpa rasuah dan kronisma; bebas untuk menuju keredhaan illahi.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Surat terbuka kepada Melayu: Islam didahulukan, Melayu bersamanya

Surat terbuka kepada Melayu: Islam didahulukan, Melayu bersamanya

Abdul Hadi Awang

Islam didahulukan, Melayu bersamanya. Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan di atas aqidah kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. Inilah kecuaian UMNO sejak ditubuhkan sehingga kini.

Kecintaan kepada keluarga, kaum dan bangsa adalah fitrah yang digalakkan oleh Islam, tetapi menjadikannya aqidah perjuangan adalah satu kesesatan. Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan dengan keluarga dan kaumnya, tetapi dengan aqidah dan berpandukan Islam.

Rasulullah S.A.W. adalah ikutan yang dilantik oleh Allah, bukan dilantik melalui pilihanraya atau perhimpunan agung mana-mana parti. Apabila Rasulullah S.A.W. dilantik menjadi Rasul akhir zaman kepada seluruh alam, dipilih daripada kalangan bangsa arab qabilah Quraisy, paling jahil, miskin dan berada di tengah padang pasir paling gersang, tetapi menjadi paling sabar, berani dan paling lasak menghadapi cabaran kalau ditarbiyah. Bangsa Arab seluruhnya berpecah dan berperang sesama sendiri. Semenanjung Arab, tanah air mereka dijajah oleh kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Persoalannya apakah yang didahulukan oleh Rasulullah S.A.W? Sama ada memulakan perjuangan diatas semangat kebangsaan arab, satukan mereka terlebih dahulu di atas semangat kebangsaan itu, tegakkan perjuangan kemerdekaan menentang penjajah Parsi dan Rom, selepas itu Islam boleh tegak dengan sendiri bersamanya. Atau mulakan dengan Islam, perkasakan bangsa arab dengan Islam yang sempurna, aqidah, syariat dan akhlak?

Ucapan pertama disampaikan kepada penduduk Makkah dengan arahan wahyu daripada Allah ialah, firman Allah:

قُلْ يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لا إِلَهَ إِلا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الأمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ } <الأعراف: 158

158. Katakanlah: "Hai manusia Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah Dia, supaya kamu mendapat petunjuk."

Bukan dengan seruan hidup arab Islam selamat!, hanya bangsa arab yang boleh menegakkan Islam, macam slogan UMNO: "Hidup Melayu!".

Tegasnya bahawa Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan mengajak bangsa mengikut Islam, bagi memerdekakan diri daripada jahiliyah dalam diri sendiri terlebih dahulu dengan bangsanya mengikut Islam. Walaupun mendapat tentangan hebat daripada pemimpin kaum bangsa dan keluarganya sendiri, sehingga dihalau daripada tanah air tempat dilahirkannya (Makkah). Kemudian menggunakan kuasa pemerintahan Islam yang ditegakkan oleh kaumnya yang menerima Islam dengan beriman mengikutnya dengan sempurna dan mengumpul serta menyatukan mereka dengan Islam. Kemudian kembali semula ke Makkah untuk memerdekakannya daripada kuasa pemeritahan jahiliyah arab yang dipimpin oleh ayah mertuanya sendiri Abu Sufian bin Harb.

Allah mewafatkan Rasulullah S.A.W. setelah Ajaran Islam disempurnakan secara wahyu serta cara beramalnya dinyatakan oleh Sunnah Rasulullah S.A.W. dan setelah menyampaikan mesej Islam secara bersurat yang dihantar kepada negara dan bangsa yang bukan arab. Ada yang menerima Islam, ada yang tidak menerima tetapi berdamai dan ada yang mengambil sikap permusuhan.

Sebelum wafat Rasulullah S.A.W. Allah menegaskan kepadanya secara wahyu kepada bangsa arab yang menganut Islam supaya berpandukan Islam, di antaranya Allah memberi amaran :

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ (38 ) مخمد

38. Jika kamu berpaling (daripada menegakkan Islam) niscaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini. (Surah Muhammad)

Khalifah Abu Bakar mengambil alih memimpin negara menentang bangsa arab yang murtad (berpaling tadah menentang Islam). Penyelewengan berlaku dengan bantuan penjajah Parsi dan Rom. Setelah Khalifah Abu Bakar berjaya mengalahkan bangsa arab yang murtad maka dimulakan dakwah mengajak kaum lain kepada Islam tanpa paksaan.

Dua kuasa besar dunia menentang secara ketenteraan kerana menganggap bangsa arab yang menganut Islam itu masih lemah saperti sebelum Islam. Tiba-tiba dua kuasa besar dunia ikut tumbang kerana jahiliyyahnya, walau pun mereka maju daripada segi kebendaannya, tetapi dibejati kezaliman dan maksiat. Khalifah Umar R.A. yang berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia itu manyampaikan ucapannya ketika berada di Kota Suci Bait Al Maqdis:

(Kita adalah bangsa yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain daripada apa yang telah dikurnia Allah, nescaya kita akan ditimpa hukuman Allah menjadi bangsa yang hina).

Ketika bangsa arab yang menganut Islam masih berpegang dengan ajaran Islam, mereka terus memimpin negara yang paling besar dalam sejarah, bersama masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama. Mereka mengislamkn bangsa lain tanpa paksaan dan mengislam ilmu serta kebijaksanaan daripada berbagai bangsa, sehingga melahirkan tamadun Islam yang paling hebat dalam sejarah manusia.

Apabila bangsa Arab menjadi leka terhadap Islam, maka Allah menukarkan bangsa bukan arab yang menganut Islam dan berpadukan Islam serta menegakkannya. Bangsa lain mengambil alih pemerintahan telah melahirkan ilmuan Islam dan pemimpin negara. Manakala bangsa arab menjadi rakyat di bawah pemerintahan Islam, oleh para ulama dan pemimpin bukan berbangsa arab, saperti Kurdis, Turki, Bukhara dan lain-lain.

Bangsa Melayu di Asia Tenggara turut sama menjadi bangsa yang perkasa apabila mereka menganut Islam dan raja-rajanya memerintah dengan Islam. Bahasa Melayu berhuruf Al Quran bertamadun menjadi bahasa ilmu di rantau ini.

Kedatangan penjajah yang mampu menguasai dunia Islam, termasuk dunia Melayu di rantau ini apabila mereka lemah berpegang dengan ajaran Islam. Cahaya Islam yang sedikit tidak boleh dipadamkan masih bersuluh membangkitkan perjuangan menentang penjajah.

Walaupun penjajah asing sudah meninggalkan tanahair kita, tetapi kesan daripadanya masih wujud dengan tabal. Kita tidak dapat mengambalikan jati diri melainkan dengan kembali menjadikan Islam tertegak di hadapan kita yang menjadi panduan seluruh cara hidup beragama dan bermasyarakat. Ini seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dengan petunjuk Allah dan diperingatkan oleh Khalifah Umar bin Al Khattab R.A.

Mari kita menjadi bangsa yang insaf dengan muhasabah diri, bagaimana bangsa arab yang berjumlah ratusan juta, di tengah kekayaan hasil minyak yang tidak terkira, dipermainkan oleh kuasa barat yang pernah menjajah mereka. Mereka tidak mampu berdepan dengan segelintir bangsa yahudi zionis yang diletakkan oleh penjajah bagi menjaga kepentingannya di Asia barat. Ini kerana mereka berpaksikan kebangsaan arab dan meminggirkan Islam di belakang mereka. Satu agenda penjajahan pemikiran yang sengaja dirancang bergitu rupa.

Hari ini bangsa arab mula sedar dan bangkit bersama Islam dengan memulakan kemenangan Islam secara aman memalalui pilihanraya yang adil setelah ditekan oleh pemimipin bangsa sendiri secara kuku besi.

UMNO adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat dengan cara UMNO. Islam cara UMNO tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan. Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk.

Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah di tanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu yang lebih dahulu yang bercampur dengan kaum pribumi berada di tanahair ini. Penjajah membawa kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan penjajah barat. Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir di kawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula menjadi buruh di lombong-lombong dan sebahagiannya di bandar dan kaum India menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan diantara satu sama lain, untuk terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah selepas merdeka.

Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang dan saksama di antara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar. Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh di belakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara nyata di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai barat dan Malaysia Timur. Semua negeri-negeri ini pada awalnya dipimpin oleh UMNO yang bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam.

Malangnya UMNO menyalahkan pihak lain, khususnya PAS yang tidak bersama UMNO sejak menentang penjajah dan cara mencapai kemerdekaan dan mengurus negara. UMNO meletakkan Islam di samping atau di belakang tanpa kuasa secara warisan penjajah yang merancang untuk melemahkan umat Islam mengikut kajian para orentalis. Akhirnya orang Melayu bukan sahaja terus dalam keadaan lemah, tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi di bumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan bumiputera, bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesedaran berpolitik. Pemimpin yang tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit zalim dan fasad.

Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemunkaran dalam segala aspek saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan masyarakat.

Pemimpin utama UMNO sendiri sudah mengaku adanya penyakit yang kronik dalam diri parti UMNO. Politik rasuah (wang) membarah dalam diri sendiri dan menyebarkannya kepada orang Melayu untuk mendapat sokongan, mengampu dan menipu sesama sendiri. Maka orang Melayu dalam bahaya bersama UMNO.

Ketinggalan orang Melayu dalam politik Singapura di tahun lima puluhan dan enam puluhan adalah di bawah pimpinan UMNO. Tertinggalnya orang Melayu di Pulau Pinang adalah di bawah UMNO juga. UMNO menyelamatkan kedudukan dengan mengasak orang Melayu dengan kawasan pilihanraya campuran bagi memenangkan rakan kongsinya daripada kaum lain setelah parti itu kalah di kawasan mereka. Mereka menekan bangsa sendiri yang menegurnya dan tidak bersamanya, dengan menindas negeri Melayu yang tidak berpihak kepada UMNO. Tindakan menafikan hak royalti minyak terhadap Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu serta melambatkan bayaran perkapita. Begitu juga dengan Kedah. Ini adalah contoh nyata UMNO menindas negeri Melayu. UMNO juga mengapi-apikan semangat perkauman Melayu sehingga tegang hubungan dengan kaum lain, seterusnya orang Melayu dilekakan dengan wang, media yang menipu dan melalaikan mereka. Ketika bangsa lain berpolitik secara matang dengan kefahaman merancang masa depan yang jauh. Namun orang Melayu berpolitik diajar oleh UMNO untuk mencari peluang beberapa hari dimusim pilihanraya sehingga lupa menjadi mangsa setiap lima tahun sehingga lebih lima puluh tahun terus ketinggalan.

Ucapan berapi dalam perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini lebih banyak membedil diri sendiri, bukan sahaja ada yang menikam dari belakang bahkan ada yang berani menikam secara berhadapan. Walaupun pada zahirnya menyerang lawan dan kawan. Yang tidak faham bertepuk tangan syok sendiri sehingga membengkak tangan. Adapun yang faham pula berubah wajah kerana kebimbangan bahteranya menunggu karam ditebuk kelasi sendiri.

PAS berulangkali mengajak UMNO bermuzakarah secara ilmu Islam dan adabnya bagi selamatkan umat dan negara dengan Islam, bukan berbincang untuk bersama memikul biawak hidup yang diternak oleh UMNO. Mengajak kepada Islah sekadar kemampuan, kerana bukan cara menyelamatkan negara dengan mengapi-apikan semangat perkauman yang menegangkan hubungan di antara kaum dan agama. Caranya ialah dengan konsep adil untuk semua dan menjaga hak masing-masing secara adil, serta ruang demokrasi dengan batas-batas dan sempadannya yang sebenar secara ikhlas bukan secara menipu. PAS percaya Islam adalah hujah yang terkuat daripada Allah S.W.T kerana Islam adalah Rahmat Allah kepada seluruh alam.

Tulisan ini bukan menjaga tepi kain orang lain, tetapi hanya peringatan kepada mereka yang kainnya sudah parah terkoyak, sehingga menampakkan kecacatan yang memalukan.

*Tulisan ini dipetik dari blog Abdul Hadi Awang (gambar kiri) selaku Presiden PAS.

(function() { var d = document, w = window; w

Cuti 55 hari di NZ untuk ziarah anak dan isteri - Edmund Santhara

MUHD MUKHLIS MOHD SYARIF 3 hari lepas bising pasal timbalan menteri cuti 55 hari bekerja pergi jumpa anak dia di New Zealand. 55 hari berker...