Umno Sebenarnya Tak Percaya Kepada Prinsip 1Malaysia

SHAH ALAM 9 DIS : Perhimpunan Umno yang baru selesai minggu lepas adalah bukti jelas bahawa pemimpin parti itu sebenarnya tidak ikhlas dengan prinsip 1Malaysia yang diperjuangkan presidennya.

Malah, menurut Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor Khalid Samad, president Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak sendiri "cakap tak serupa bikin" apabila dia melaungkan dasar masyarakat majmuk tetapi dalam masa yang sama merasmikan majlis NGO pro-ketuanan Melayu.

Khalid berkata kesimpulan yang cuba disampaikan Umno adalah mereka satu-satunya parti yang memperjuangkan hak dan kedaulatan Melayu sedangkan transformasi yang dilaung-laungkan oleh Najib meliputi rakyat majmuk yang berbilang bangsa.

Dalam sidang media yang diadakan di sini pagi tadi, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, mendakwa selepas perhimpunan Umno Najib telah merasmikan perhimpunan agung Pekida, sebuah badan yang memperjuangkan semangat ke-Melayuan yang ekstrem.

Di dalam ucapannya di dalam perhimpunan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Najib dilihat sengaja membakar semangat nasionalisme Melayu, Khalid berkata.

"Umno tidak lagi boleh memimpin negara Malaysia kerana ia telah menjadi ultra-Malay. Pekida ini satu persatuan yang selama ini Umno sendiri pun tidak berani dekati secara rasmi kerana imejnya yang 'ultra right-wing'.

"Tetapi oleh kerana stance Najib sudah berubah kepada ultra-Malay, maka dia sanggup merasmikannya dan ucapannya mengapi-apikan semangat nasionalisme Melayu dengan bermacam-macam tuduhan yang tidak berasas."

Menurut Khalid, tindakan-tindakan seperti itu sama sekali tidak dapat diterima oleh golongan bangsa Melayu yang waras akalnya apatah lagi oleh yang bukan Melayu.

"Dengan tindakan sebegini, konsep transformasi sudah gagal begitu juga dengan konsep wasatiyah atau kesederhanaan sudah dipinggirkan mereka," ujar Khalid.

Sehubungan itu, beliau berkata corak dan budaya politik tanah air seharusnya berubah menjadi lebih adil, bersih dan bertujuan membela keseluruhan anggota masyarakat tanpa mengira kumpulan atau bangsa tertentu.

"Masalah politik negara adalah dominasi Umno yang mebolehkannya mendominasi parti lain, bangsa lain, mahupun bangsa Melayu itu sendiri sehingga akhirnya Melayu terpaksa redha dengan penyelewengan dan sebagainya," kata Khalid lagi.

Khalid turut menyifatkan sokongan Wanita Umno terhadap Ketua mereka, Datuk Seri Sharizat Jalil sebagai sesuatu yang menyedihkan kerana pemimpin yang korup terus diberi sokongan semata-semata kerana khuatir kononnya dominasi Melayu dalam politik hilang.

"Sedangkan penyelewengan ini bukan didedahkan oleh Pas atau PKR, sebaliknya disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara tentang RM250 juta duit rakyat yang disalahgunakan,"jelasnya lagi.