PENGAMPUNAN UNTUK NAJIB HAMPIR MUSTAHIL – BEKAS PEGUAM NEGARA

 

Dalam bahagian keempat dan terakhir temu bual eksklusif bersama James Chai dan P Gunasegaram, bekas peguam negara Tommy Thomas, yang memulakan pertuduhan undang-undang terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan yang lain, membicarakan topik kompleks iaitu pengampunan.

Malaysiakini: Kita beralih kepada isu pengampunan secara sah. Apakah proses untuk pengampunan dalam kes Najib?

Tommy Thomas: Saya gembira anda bertanya. Terdapat begitu banyak maklumat yang salah.. Pertama, anda mesti ingat pengampunan di Malaysia dinyatakan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan adalah berbahaya untuk membandingkannya dengan negara lain, kerana ia adalah mekanisme Malaysia yang unik.

Terdapat Lembaga Pengampunan di semua negeri yang dipengerusikan oleh Raja-raja Melayui. Kita hanya perlu fokus kepada Wilayah Persekutuan kerana mahkamah yang berkaitan adalah Mahkamah Jalan Duta. Jadi Lembaga Pengampunan WP dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan menteri WP adalah ahlinya. Begitu juga AG dengan tiga atau empat anggota masyarakat sivil.

Jadi pada asasnya, setiap mereka yang telah dibicarakan di mahkamah KL berada di bawah Lembaga Pengampunan KL. Terdapat kira-kira 50,000 banduan di penjara kami – banduan yang disabitkan kesalahan. Kesemua 50,000 daripada mereka berhak memohon pengampunan, di bawah Perkara 42. Terdapat masalah praktikal: kerana jika 50,000 memohon, Lembaga Pengampunan akan runtuh, mereka tidak dapat menampung permohonan sebegitu banyak. Jadi, terdapat proses yang dibina dan diikuti selama beberapa dekad sejak Merdeka. Pada asasnya, anda perlu menjalani satu pertiga daripada hukuman penjara sebelum boleh memohon.

Malaysiakini: Seperti yang dikehendaki mengikut Perlembagaan?

Saya fikir ia lebih kepada konvensyen. Jika tidak, akan terdapat terlalu banyak permohonan. Ia hanya praktikal. Setiap banduan hendaklah dilayan sama rata. Lembaga Pengampunan WP bermesyuarat tiga atau empat kali setahun secara tradisinya. Setiap kali mereka bermesyuarat, mereka mempertimbangkan kira-kira 10 permohonan.

Jadi katakan pada setiap tahun, mereka mempunyai 50 permohonan oleh 50 banduan. Jadi masalah pertama ialah bagaimana anda menjadi salah seorang daripada 50 itu. Anda tidak boleh melompat giliran. Ada masa menunggu. Jadi Najib perlu menunggu giliran, jika tidak anda tidak adil kepada banduan lain, yang telah menunggu selama bertahun-tahun sebelum mengemukakan permohonan mereka.

Mari kita pertimbangkan seterusnya apa yang berlaku apabila Lembaga Pengampunan bermesyuarat. Keseluruhan idea pengampunan adalah bahawa banduan mesti menunjukkan bukti, oleh itu anda perlu menjalani hukuman penjara selama tiga atau empat tahun untuk menunjukkan bahawa anda telah berubah. Anda perlu membuka lembaran baru dan tidak akan terlibat lagi dengan jenayah. Bagaimana anda membuktikannya?

Semua banduan akan mengatakan bahawa mereka telah berubah. Kenyataan banduan tidak membawa makna kerana ia demi kepentingan diri sendiri. Jadi ia mesti disokong oleh pegawai parol, pegawai penjara, kakitangan hospital, dan pelbagai sumber bebas. Lebih banyak rujukan yang diperolehi, lebih baik kes anda. Semua rujukan mesti menunjukkan fakta bahawa anda telah berubah.

Kemudian kriteria ketiga ialah jika anda seorang banduan, dan memohon, anda tidak boleh mempunyai kes jenayah lain. Dalam kes Najib, dia mempunyai empat lagi kes yang belum selesai, dua daripadanya semakin hampir penghujungnya. Perbicaraan pinda laporan audit 1MDB hampir selesai. Dan kes pendakwaan Tanore kini pada separuh jalan. Dua lagi belum bermula (kes pengubahan wang haram SRC RM27 juta dan kes pecah amanah jenayah IPIC RM6.6 juta).

Dalam semua kes ini, pihak pendakwaan mempunyai kes yang sangat kuat. Saya jangkakan dia akan diminta untuk membela diri. Saya juga jangkakan Najib akan didapati bersalah. Jadi anda tidak boleh layan pengampunan untuk kesalahan nombor satu sedangkan anda mempunyai empat lagi kes yang belum selesai. Jadi tidak mungkin dari segi undang-undang untuk dia mengemukakan permohonannya sekarang. Cuma tidak boleh dari sisi undang-undang. Malah mengemukakan permohonan pada masa ini juga tidak layak.

Malaysiakini: Kemungkinan lain yang difikirkan Umno adalah mendapatkan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan. Secara amnya kemungkinan ini berjaya agak tipis. Namun kami tertanya-tanya tentang apa kemungkinan untuk ini?

Kerana muktamad dalam litigasi, rayuan mesti berakhir di mahkamah yang tertinggi. Di Malaysia, ia adalah Mahkamah Persekutuan. Rayuan tamat di situ. Begitu juga di Mahkamah Agung di England, Mahkamah Agung di India, dan sebagainya.

Sedikit perubahan berlaku kerana kes (pemimpin rampasan kuasa tentera Chile, Augusto Pinochet, 25 tahun lalu apabila Lord Hoffman, dituduh berat sebelah kerana isterinya adalah anggota Amnesty International. Jadi apa yang dikenali sebagai pengecualian Pinochet membenarkan mahkamah terakhir menyemak rayuan keputusan mahkamah itu sendiri. Begitulah ia bermula.

Dan kebanyakan mahkamah tertinggi mengikuti Pinochet, tetapi mereka mengekalkan ruang semakan yang sangat sempit. Ia mestilah atas alasan yang benar-benar luar biasa. Malaysia menerima pengecualian Pinochet kira-kira 15 tahun lalu. Jadi ramai peguam yang memohon, dan saya rasa jika terdapat 100 permohonan semakan di Malaysia dalam tempoh 15 tahun di bawah Peraturan 137, saya akan katakan 99 peratus daripada kes telah ditolak. Jadi ia benar-benar salah satu hak kertas yang lazimnya ditolak oleh mahkamah.

Saya sedang memikirkan tentang kebimbangan bahawa hakim kadangkala takut untuk membuat keputusan terhadap ahli politik berprofil tinggi, kerana mereka takut apa yang berlaku ke atas (bekas ketua hakim negara) Salleh Abas kena terhadap diri sendiri. Apabila sesuatu seperti sabitan SRC berlaku, pada pendapat anda, sejauh manakah ini akan menggalakkan hakim-hakim lain untuk melakukan perkara yang sama?

Saya rasa ada kesan psikologi – orang lupa elemen manusia di mahkamah di seluruh dunia. Jadi kesan psikologi keputusan Mahkamah Persekutuan adalah sangat besar dan ia meningkatkan keyakinan terhadap keadilan. Dan cara tenang dan teratur ketua hakim negara menangani apa yang saya panggil permohonan bodoh dan remeh (Najib) itu adalah kelas pertama. Dia tenang di bawah tekanan, tidak pernah marah, memberi pembelaan masa, dan membuat semua keputusan yang betul. Keputusan lima hakim adalah keputusan kolektif, ketua hakim adalah jurucakap.

Jadi Mahkamah Persekutuan bertindak dengan cemerlang, dan ia sepatutnya bertindak sebagai rangsangan psikologi yang hebat kepada semua hakim lain, kerana ini adalah lima hakim kanan kami. Jadi, jika anda seorang majistret atau hakim Mahkamah Tinggi, anda akan mendapat inspirasi, dan berkata “Oh, ketua badan kehakiman dan empat anggota kanan melakukan demikian, jadi saya juga boleh melakukannya.” Ia hebat dan memberi inspirasi.

Nampaknya, Najib menjejaskan peluangnya sendiri untuk pengampunan pada masa hadapan dengan kelakuannya. Halangan terbesarnya ialah dia mempunyai empat kes jenayah yang belum selesai.

Malaysiakini: Bolehkah Seri Paduka meneruskan pengampunannya tanpa (Lembaga Pengampunan)?…

Tidak, Baginda duduk di dalam Lembaga Pengampunan. Seri Paduka selalu mempengerusikannya. Prosedur tersebut dinyatakan secara terperinci dalam Perkara 42.

Malaysiakini: Saya tidak dapat mengelak daripada merasakan hujah pembelaan sepanjang tiga peringkat mahkamah tidak begitu kukuh. Bagaimanakah anda akan mempertikaikan kes itu jika anda adalah peguam bela dalam perbicaraan SRC?

Saya akan menasihati Najib untuk mengaku bersalah sahaja. Saya telah mengendalikan beberapa kes sivil dengan hujah yang lemah, dan kami memberitahu pelanggan, lihat kami tidak akan berjaya. Itulah satu perkara yang baik tentang undang-undang – ia boleh dijangkakan. Dalam banyak cara, undang-undang boleh dipercayai, pasti, dan undang-undang menggalakkan penyelesaian. Dan untuk mendapatkan sedikit gambaran tentang bagaimana kes itu akan berakhir, pergi berjumpa dengan peguam yang baik yang boleh “membaca” mahkamah dan peguam akan berkata, “Tolong jangan buang masa”. Itulah sebabnya di seluruh dunia tertuduh mengaku bersalah, atau pihak bertelagah bersetuju dengan penyelesaian.

Seperti kes (bekas jurubank Goldman Sachs) Tim Leissner. Tetapi Roger Ng (bekas rakan sekerja Goldman Leissner) menganggap dia sangat bijak, dan lihat apa yang berlaku kepadanya. Ramai orang mengaku bersalah kerana peguam penjenayah di negara tersebut memberitahu mereka, “Anda akan kalah”. Tetapi di Malaysia, ia tidak berlaku sama sekali atau tidak cukup kerap.

Mengenai (hujah) wang Arab, boleh saya katakan bahawa ia adalah sangat jelas kepada kami, dan kami membuktikannya, terutamanya untuk pengubahan wang haram, sumber dan destinasi wang itu. Sumber wang itu ialah SRC. Dari segi undang-undang, tidak kira di mana SRC mendapat wang itu, tetapi sudah tentu, SRC mendapat wang melalui pinjaman daripada KWAP [Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)], jadi KWAP membayar RM4 bilion ke dalam akaun SRC. SRC mempunyai dana, RM42 juta, melalui pembayaran yang dipalsukan dimasukkan ke dalam akaun Najib sebagai destinasi terakhir.

Tidak ada keraguan tentang itu. Sudah tentu. Kami terpaksa membuktikannya. Itu adalah elemen pertama (untuk membuktikan) dan kami memanggil saksi, disokong oleh dokumen. Aliran wang selesai. Tiga mahkamah berpuas hati.

Malaysiakini: Apakah bayangannya apabila Najib bersumpah di masjid bahawa RM42 juta itu adalah derma daripada kerabat diraja Arab, satu-satunya kesimpulan yang kita boleh buat ialah dia berbohong?

Tetapi itu tiada kaitan dengan SRC. Dalam erti kata lain, hujah peguam saya ialah, kami adalah pendakwa, ia telah pun dibuktikan melalui dokumen dan saksi bahawa RM42 juta itu datang daripada RM4 bilion (pinjaman KWAP), itu adalah wang SRC, kami boleh buktikannya, dan semua itu yang kita perlu tunjukkan dalam undang-undang.

Najib memberikan versinya dan kami memerikabalasnya selama dua minggu. Hakim berpuas hati bahawa kes kami telah ditubuhkan. Jadi apabila kes kami ditubuhkan, segala-galanya dalam pembelaan terungkai. Tidak kira apa cerita yang dia kemukakan; mahkamah menerima versi cerita kami sebagai kebenaran.

Malaysiakini: Jadi, dari sudut undang-undang, adakah itu sahaja yang anda perlu buktikan?

Ya, tetapi itu adalah ramuan pertama.

Perkara yang membimbangkan sekarang ialah anda mempunyai sekumpulan pemimpin tertinggi Umno dari presiden kepada timbalan presiden dan setiausaha agung dan beberapa daripada mereka di bawah, yang sebenarnya menggesa semua ahli Umno untuk memohon pengampun daripada Agong. Adakah terdapat cara yang mereka boleh menggunakan proses untuk memberikan pengampunan kepada Najib?

Jika anda berada dalam perniagaan menulis petisyen, maka ada juga mereka yang mahu dia kekal dalam penjara, mereka juga boleh menulis petisyen. Dan jika anda ingin mendapatkan pendapat umum, kenapa tidak buat referendum atau plebisit? Saya jangkakan bahawa jika ini dilakukan, daripada 30 juta orang, majoriti besar mahu dia menjalani hukuman penjara. Tetapi semua itu tidak relevan dengan pelaksanaan pengampunan dari sudut undang-undang, yang baru saya jelaskan.

Malaysiakini: Jadi anda mengatakan pengampunan hampir mustahil?

Ya, atas alasan undang-undang yang saya berikan, sekurang-kurangnya pada masa ini.

Malaysiakini: Sebarang kata-kata yang ingin anda tambah?

Saya rasa Malaysia patut berbangga dengan ini (sabitan SRC). Jika anda melihat sejarah abad ke-20 dan abad ke-21, dalam 120 tahun yang lalu, jika anda bertanya soalan “Berapa banyak negara mempunyai sistem di mana perdana menteri atau presiden yang kalah pada pilihan raya umum dan kemudiannya didakwa di mahkamah (bukan rampasan kuasa atau ditembak) mengemukakan pembelaannya dan kemudian merayu, dan akhirnya dia didapati bersalah dan mula menjalani hukumannya?”, Malaysia menyerlah dan kita harus berbangga dengannya.

Satu contoh ialah India, dengan Darurat Indira Gandhi. Apabila pakatan Janata menang pada 1976, semua orang menjangkakan (kerajaan baharu) akan mendakwa Indira kerana dia menyalahgunakan Darurat. Dia seorang diktator dan Janata berkuasa lebih lama daripada Pakatan Harapan. Mereka mentadbir selama tiga tahun. Peguam negara tidak mendakwanya, sebaliknya mereka mempunyai suruhanjaya yang tidak berkesan yang dipanggil Suruhanjaya Shah. Ia adalah satu pembaziran masa. Peluang hilang begitu sahaja. Dan India sentiasa menonjolkan dirinya sebagai mempunyai sistem politik yang matang.

Lihat Israel, ketika (Benjamin) Netanyahu menjadi perdana menteri. Mereka kata, dia perdana menteri, sangat sukar (untuk mendakwanya), malah Peguam Negaranya sendiri berkata dia harus didakwa. (Sekarang) dia bukan lagi perdana menteri, dan kes itu belum bermula. Israel juga menganggap dirinya lebih matang daripada kita.

Satu-satunya negara yang saya tahu ialah Korea Selatan. Tetapi Korea Selatan bukan negara yang mengamalkan undang-undang lazim. Perbezaannya terlalu besar. Korea Selatan melalui tempoh di mana hampir setiap presiden bersara didakwa. Kemudian mereka menyedari ia tidak baik untuk politik kerana tiada siapa yang mahu menjadi presiden. Saya percaya pendakwaan sedemikian telah dihentikan di Korea Selatan.

Dan akhirnya, (bekas presiden AS) Donald Trump!

Sehubungan itu, kita patut berbangga dengan fakta bahawa kita telah meletakkan Najib dalam penjara, dan negara kekal stabil, dia dipenjarakan dan matahari terus bersinar, dan rakyat terus dengan kehidupan seharian mereka. Negara ini begitu stabil walaupun ada yang membuat bising. Dan ini hebat. Rakyat Malaysia boleh berbangga.

Malaysiakini: Bolehkah semua ini berlaku sekiranya Pakatan Harapan tidak berkuasa?

Untuk kredit, pengundi Malaysia mengikuti skandal 1MDB pada 2016, 2017, dan 2018 sebelum PRU14. Mereka yakin dengan penjelasan ringkas Dr M (Mahathir Mohamad) tentang ‘pencuri, pencuri’. Dan 52 peratus pengundi mengundi PH, menyebabkan pertukaran kerajaan. Pengundi ini tahu sangat bahawa 1MDB adalah sebab utama. Tiada pengundi yang mengundi PH akan mengatakan mereka tidak tahu tentang 1MDB atau ‘Najib pencuri’. Jadi, pengundi mahukan ini.

Dr Mahathir jadi PM, dia lantik saya kemudian tinggalkan saya sendirian. Saya dakwa Najib. Saya dibenarkan untuk melantik peguam terkemuka di negara ini, bersama-sama dengan DPP (timbalan pendakwa raya) yang berpengalaman, dan mahkamah didapati memihak kepada kes yang lebih kuat. Anda juga mesti memuji pengganti saya (Idrus Harun) yang tidak mengganggu mana-mana perkara ini, atau memecat peguam yang kami lantik. Dia meneruskan proses itu, jadi anda mesti mengucapkan tahniah kepadanya. Dan anda mesti mengucapkan tahniah kepada dua perdana menteri (Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob) yang menjejaki Tun Mahathir semasa mereka meneruskan proses itu. Dan akhirnya, sembilan hakim itu.

Jadi, saya akan katakan ia adalah penumpuan banyak faktor dalam tempoh enam tahun yang lalu yang menghasilkan keadaan gembira hari ini. Semua orang patut berbangga. Pembuat bising dalam Umno adalah minoriti kecil sebenarnya.

Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/635050