KJ BAKAL PM MASA DEPAN, BELIAU MESTI KEKAL DI REMBAU, TOK MAT YANG PATUT CARI KAWASAN LAIN


 Sejak Khairy Jamaluddin mendedahkan tentang beliau telah diminta menyerahkan kerusi Parlimen Rembau yang dipegangnya sejak tiga penggal lalu kepada Mohamad Hasan, seluruh kecenderungan nampaknya bersetuju dengan keperluannya berpindah ke kawasan lain.

Sehubungan itu, antara kawasan yang disebut-sebut sesuai untuk Khairy atau KJ berpindah ialah Tampin, Kuala Pilah, Port Dickson, Seremban serta Putrajaya.

Apakah kecenderungan sedemikian kerana Tok Mat merupakan Timbalan Presiden UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Rembau, manakala KJ hanya merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian serta tiada apa2 jawatan di peringkat UMNO pusat?

Tetapi, lupakah kita bahawa KJ adalah seorang menteri kabinet yang berbakat dan berpotensi berbanding Tok Mat yang tiada apa-apa kedudukan dalam kerajaan?

Dengan itu, berbanding “merampas” kawasan yang sedia dimiliki oleh KJ yang mana tidak mustahil tiada kawasan baru sedia menerimanya dan akhirnya memutuskan tidak bertanding sama sekali dan kita kehilangan seorang menteri yang berbakat besar, bukankah lebih baik Tok Mat saja yang perlu mencari kawasan lain?

Walaupun merupakan Ketua UMNO Bahagian Rembau, namun Tok Mat juga adalah Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihanraya BN Pusat.

Bersama kedudukan itu, Tok Mat sebenarnya lebih mudah mencari kawasan lain atau meletakkan dirinya untuk bertanding di mana-mana kawasan yang dikehendakinya.

Waima, di kawasan Pekan yang kosong berikutan Najib Razak sudah dipenjarakan dan di Bagan Datuk di mana Presiden UMNO, Zahid Hamidi mungkin terhalang tidak lama lagi daripada bertanding, Tok Mat juga sepatutnya tiada masalah untuk bertanding di kedua-dua kawasan tersebut.

Takkan Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihanraya BN boleh disanggah keinginannya?

Malulah jika Tok Mat sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihanraya BN kalau tidak boleh menyebabkan dirinya diterima oleh UMNO bahagian yang lain sebagai calon.

Pengundi Pekan atau Bagan Datuk pun tentunya terubat gembira kerana calon pengganti Ahli Parlimen ialah pemimpin yang berjawatan besar dalam UMNO.

Berbeza dengan KJ, berikutan tiada apa-apa kedudukan dalam UMNO Pusat, beliau pasti lebih sukar diterima oleh UMNO bahagian yang lain sebagai calon.

Jadinya, lebih munasabah beliau dikekalkan bertanding di Rembau berbanding memindahkannya.

Tambahan lagi, dari segi potensi pula, KJ jauh lebih berpotensi berbanding Tok Mat.

Selepas Ismail Sabri Yaakob, sesuai dengan usianya yang lebih muda daripada Perdana Menteri, KJ adalah calon Perdana Menteri masa depan untuk negara ini jika UMNO tidak kalah pada PRU15 akan datang.

Sebagai bakal Perdana Menteri, beliau mesti ada kerusi yang selesa dan selamat buatnya.

Tapi Tok Mat, selepas PRU15 dan PRU-PRU seterusnya, apa potensi yang ada padanya? – ShahbudinHusin 07/09/2022.



No comments: