Jumlah had kredit RM3 juta yang diberikan AmBank kepada bekas perdana menteri Najib Razak adalah antara yang tertinggi diberikan kepada pelanggannya, kata Yeoh Eng Leong.
Bekas naib presiden AmBank itu juga memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Najib tidak pernah mengadu berkaitan transaksi bank.
Ini, katanya, termasuk caj RM98,000 untuk penginapan di sebuah hotel di Rom pada 2011.
Saksi pendakwaan ke-35 itu memberikan keterangan lisan hari ini dalam kes rasuah RM2.28 billion melibatkan dana 1MDB terhadap Najib yang juga bekas menteri kewangan.