DARIPADA 222 AHLI PARLIMEN YANG ADA, JIKA 26 ORANG PUN TAK MAMPU BERADA DALAM DEWAN, BAIKLAH SEMUA LETAK JAWATAN DENGAN SEGERA!!!



Sejak dahulu lagi, kejadian tidak cukup korum ketika sidang Parlimen memang kerap berlaku dan ia bukanlah sesuatu yang asing.

Baik ketika era pemerintahan BN, mahupun setelah negara ditadbir oleh Pakatan Harapan sekarang, perkara itu nampaknya tetap berlaku.

Ini bermakna, soal tidak hadir atau ponteng Parlimen tidak ada kena mengena dengan parti mana yang memerintah, tetapi lebih kepada sikap dan rasa tanggungjawab Ahli Parlimen itu sendiri. 

Tidak kira ketika era BN atau pun PH, yang tidak hadir bukan saja Ahli Parlimen kerajaan, tetapi juga pembangkang.

Pelbagai peringatan, teguran dan kritikan selalu kita dengar setiap kali kejadian tidak cukup korum itu berlaku dan menjadi perbualan dalam masyarakat.

Malah, pelbagai cadangan, saranan dan syor juga akan kedengaran untuk membendung agar ia tidak berlaku lagi, antaranya  pemotongan elaun dan sebagainya.

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sendiri turut memberi peringatan kepada menteri, timbalan menteri dan Ahli-Ahli Parlimen mengenai perkara itu.

Tidak cukup dengan segala teguran, saranan dan syor, untuk mengelakkan kejadian tidak cukup korum itu daripada terus berlaku, mesyuarat kabinet menteri-menteri juga dialih daripada hari Rabu kepada Jumaat.

Tujuaannya ialah supaya mereka yang ada jawatan menteri tidak ada alasan untuk tidak hadir ke Parlimen.

Sebenarnya jika setiap Ahli Parlimen menganggap tugas hadir ke Parlimen itu sebagai sebahagian kerja mereka, tidak ada sebab mereka tidak hadir atau sesuka hati ponteng begitu saja.

Apabila Ahli Parlimen tidak hadir ke Parlimen, ia adalah sama seperti seseorang yang ponteng kerja atau tidak datang ke pejabat. 

Apakah hukumnya gaji dan pendapatan yang mereka terima?

Jika Ahli-Ahli Parlimen itu pernah marah kepada anak-anak mereka yang ponteng kerja atau ponteng sekolah misalnya, mengapa mereka sendiri melakukan tabiat buruk itu?

Menukar mesyuarat kabinet daripada hari Rabu kepada hari Jumaat semasa sidang Parlimen bagi memastikan kejadian tidak cukup korum tidak berlaku, bukanlah tindakan yang praktikal dan wajar untuk mengatasi masalah ponteng di kalangan Ahli-Ahli Parlimen.

Jumlah Ahli Parlimen adalah seramai 222 orang dan mereka yang dilantik sebagai menteri  tidak sampai pun 50 orang jumlahnya, sementara korum minima untuk membolehkan sidang Parlimen diadakan dan loceng tidak dibunyikan oleh Speaker hanyalah 26 orang saja.

Diulang sekali lagi - korum hanya 26 orang Ahli Parlimen sahaja!!

Jika pun ketika mesyuarat kabinet ada Ahli Parlimen yang berjawatan menteri tidak dapat hadir ke Parlimen, bermakna ada kira-kira 172 orang Ahli Parlimen lain yang tidak terikat dengan tugas rasmi kerajaan dan boleh hadir ke Parlimen seperti biasa.

Kalau dicampur dengan Ahli Parlimen yang menjadi timbalan menteri yang mungkin ada program kerajaan, mesyuarat dan sebagainya serta ditambah lagi dengan Ahli Parlimen tanpa jawatan dalam kerajaan dan pembangkang yang mungkin ada urusan di luar negara atau di kawasan masing-masing yang katalah jumlahnya  seramai 100 orang, bererti ada seramai 72 orang lagi lebihannya yang boleh kekal berada di Parlimen.

Apakah daripada jumlah itu, tidak boleh seramai 50 atau 40 orang Ahli Parlimen berada di Parlimen?

Lagi pula, sidang Parlimen bukan diadakan sepanjang tahun, sebaliknya hanya kira-kita empat sesi dalam setahun yang tempohnya hanya sebulan lebih sikit saja bagi setiap sesi.

Jika sekadar duduk di kerusi empuk Parlimen yang selesa dan berhawa dingin sambil dibayar lagi elaun kehadiran dan penginapan, berpakaian pula kot yang mahal, itu pun tidak boleh juga memenuhkan korum yang minimanya hanya 26 orang, memanglah Ahli Parlimen yang ada ini merupakan jenis manusia paling tak berguna dan tak bertanggungjawab sekali dalam masyarakat kita.

Oleh itu, jika ditukar mesyuarat kabinet kepada hari Jumaat sekali pun, tetapi Ahli-Ahli Parlimen yang ada kekal dengan sikap tiada rasa tanggungjawab, tidak ada perasaan malu dan memang jenis tak guna, masalah tidak cukup korum akan terus berlaku sampai bila-bila.

Apa yang penting setiap parti harus mewajibkan kepada Ahli Parlimen masing-masing untuk mesti hadir setiap kali sessi Parlimen diadakan serta jika boleh, mengambil bahagian dengan aktif, kecuali ada hal-hal kecemasan yang tidak boleh dielakkan  atau lebih baik letak jawatan saja daripada terus memalukan nama negara. (ShahbudinHusin 26/07/2018)
Anda mungkin juga meminati:

(function() { var d = document, w = window; w

RINGKASAN IMBUHAN YANG DITOLAK ANWAR