Polis Selangor Tahan Tujuh Kakitangan Bersih, Rampas 540 kemeja-T

SHAH ALAM 29 JUN : Polis Selangor hari ini menahan tujuh kakitangan Sekretariat BERSIH 2.0 di Seksyen 4, Petaling Jaya setelah menyerbu pejabat itu untuk menekan penganjur membatalkan perhimpunan aman itu.

Mereka merampas 540 kemeja T dan risalah selain mengheret tujuh kakitangan sekretariat Bersih ke Balai Polis Shah Alam untuk di soal siasat di bawah Akta Polis dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bakri Zinin mengesahkan, tujuh kakitangan itu akan ditahan reman, tetapi enggan mengulas lanjut.
Wartawan dan jurugambar yang menunggu di luar pejabat Bersih juga terpaksa menyerahkan butir- butir peribadi mereka kepada anggota polis berkenaan.
Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah berkata pihaknya menerima pelbagai tekanan hebat daripada pihak berkuasa untuk membatalkan perhimpunan itu bagi menuntut pilihan raya adil dan bebas diadakan di negara ini.

Beliau berkata bahawa lima kereta tanpa logo polis yang bercermin gelap beserta dengan anggota polis berpakian preman melakukan serbuan itu.

Mereka tidak menunjukkan sebarang waran dan mengugut untuk memotong pintu masuk ke pejabat itu jika petugas tidak membukanya.

Mereka terus menyelongkar fail dan menggeledah pejabat itu.

Polis turut merampas 314 T-shirt warna kuning, 90 warna oren dan 136 warna kuning-putih (krim) serta risalah dan dokumen lain.

Selain itu, butiran Mykad kira-kira 20 wartawan dan jurugambar yang berkumpul di luar pejabat itu juga dicatatkan, Mereka juga terpaksa menyerahkan nombor telefon masing- masing.

Ketua Polis Selangor, Tun Hisan Tun Hamzah mendakwa polis melancarkan serbuan itu kerana mempercayai premis berkenaan digunakan untuk aktiviti yang menyalahi undang- undang.

Rampasan kemeja-T Bersih menunjukkan tindakan menyerbu pejabat itu adalah tepat, Tun Hisan dipetik sebagai berkata.

Hampir 100 orang telah ditahan kerana memakai kemeja T BERSIH dan mengedarkan risalah berhubung perhimpunan 9 Julai ini.

Penganjur Bersih kesal kerana tindakan provokasi baru Polis untuk menafikan hak rakyat berkumpul secara aman menuntut pilihanraya adil dan telus.

“Ini adalah hak asasi manusia, adalah hak kita untuk berhimpun secara aman dan kami telah berulang-kali tekankan bahawa ia adalah perhimpunan aman.Kita tidak akan timbulkan huru-hara seperti yang didakwa,” kata Maria.

Dalam serbuan tersebut, tujuh beg barang, lima kotak dan empat kain rentang dirampas.

Selangor Mula Agih Geran Tanah Untuk RM1,000

SHAH ALAM 29 JUN : Penduduk kampung Bukit Sungai Putih, Hulu Langat akan menjadi perintis kepada skim istimewa kerajaan negeri Selangor yang diumumkan bulan lalu.

Dibawah Skim Pemilikan Kediaman Persendirian, penduduk yang layak hanya perlu membayar premium tanah serendah RM1,000 sebelum diberikan hak milik tanah ke atas tanah yang diduduki mereka sejak sekian lama.

Geran hak milik itu akan diserahkan oleh Menteri Besar Selangor, 2 Julai ini.

"Di sana kita akan menyerahkan borang 5A yang mana memberitahu mereka boleh memiliki tanah-tanah tersebut dengan membayar premium dan premiun yang kita kenakan kali ini ialah satu dengan membayar RM1,000 atau menyerahkan kesemua premium seperti dulu.

Khalid mengumumkan demikian semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Pejebat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) petang tadi.

Beliau menambah, kerajaan negeri bersetuju untuk menetapkan bayaran premium serendah RM1,000 setelah mendapati kebanyakan rakyat dinegeri ini yang mempunyai tanah tidak berkemampuan untuk melunaskan cukai tanah, ekoran nilainya yang amat tinggi.

Menerusi skim istimewa itu, rakyat juga menikmati kemudahan untuk memanjangkan tempoh pajakan sehingga 99 tahun.

Menurut Khalid, skim istimewa itu adalah permulaan dalam usaha Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) agar rakyat Selangor berpeluang memiliki tanah sendiri atau meningkatkan semula tempoh pajakan mereka.

Skim ini turut boleh digunapakai untuk permohonan pemberimilikan baharu, pemberimilikan disebabkan tamat tempoh pajakan, lanjutan tempoh pajakan dan pemutihan langgar syarat kegunaan tanah.

Walaubagaimanapun, skim ini hanya ditawarkan kepada satu pegangan hak milik kediaman persendirian sahaja dan tidak boleh dipakai untuk tanah komersil.

Skim yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) itu, adalah hasil kajian bersama pejabat tanah dan galian, pejabat daerah dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, berkuatkuasa 1 Jun 2011 lalu.

Seri Perdana Zahirkan Pemborosan Kerajaan, Kata Anwar

KLANG 29 JUN : Perbelanjaan hampir RM50 juta untuk menyenggara kediaman Perdana Menteri Najib Razak dan timbalannya menunjukkan pemerintah "cakap tak serupa bikin".

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim kesal kerana Najib mencanang sifar kesederhanaan, namun menutup mata kepada pemborosan bagi kediamannya.
"Dalam keadaan ekonomi sekarang, ianya tidak menunjukkan contoh yang baik. Bicara tentang hidup sederhana, jangan membazir tapi kita lihat sahaja perbelanjaan mereka," kata Anwar.

Anwar mengulas pendedahan di Parlimen semalam mengenai kos menyelenggara kediaman Perdana Menteri yang mencecah RM49 juta antara tahun 2006 sehingga 2010.
Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dalam jawapan bertulisnya memberitahu, kerajaan membelanjakan hampir RM10 juta setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Nazri menjelaskan kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu adalah berjumlah RM32,972,115.55, kos baik pulih RM3,581,744.78, bil elektrik RM10,267,868.15 dan bil air RM1,967,386.55.
"Kos itu kita bantah tapi tentu media mereka tidak akan buat liputan. Ini menyebabkan rakyat kita tidak terdedah dengan maklumat. Tapi saya yakin (rakyat) akan tingkat kesedaran dan Bersih ini salah satu program utama jamin perlembagaan pilihan raya yang bebas dan adil," kata beliau.


Anwar sebelum itu dalam ucapan bertajuk 'Integriti Penjawat Awam' menyentuh laporan Integriti Kewangan Global (2000-2010) yang mencatatkan pengaliran keluar wang negara berjumlah RM808 bilion.
Jelas beliau, Najib sehingga ini gagal memberi jawapan bersabit pengaliran keluar dana itu, mengakibatkan rakyat dan kepimpinan negara membuat spekulasi tentang kebenarannya.
Anwar berkata sekiranya wang itu digunakan untuk tujuan pelaburan maka rakyat tidak akan membuat sebarang andaian negatif.

"Kita sudah bangkitkan di Parlimen, pembaziran besar ke luar negara. Tidak mengapa keluar untuk pelaburan dan sebagainya. Tapi bawa rombongan dan perbelanjaan terlalu besar padahal rakyat dalam keadaan tekanan hidup dan harga barang. Kemudian menjaga dua istana PM dan TPM dengan kos terlalu tinggi," tambah beliau lagi.

Bersih Usaha Terakhir Desak Pilihanraya Adil, Telus

KLANG, 29 Jun: Perhimpunan aman Bersih 2.0 adalah jalan terakhir untuk rakyat menuntut sebuah pilihanraya telus dan adil kerana setiap usaha pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan ke arah itu sebelum ini menemui jalan buntu, kata Anwar Ibrahim.

Provokasi polis dan bantahan Umno terhadap perhimpunan aman itu menunjukkan Perdana Menteri Najib Razak gagal mengamalkan kesederhanaan dan menghormati prinsip asas demokrasi, kata Ketua Pembangkang itu

"Sekarang ini isu yang pertama pilihan raya tidak bersih, kita tuntut yang bersih. Kedua perhimpunan aman. Jadi (Kerajaan) patut izinkan," kata Anwar.
Sebaliknya sejak awal minggu ini polis menahan orang awam yang memakai kemeja Bersih, di samping menyoal siasat penganjur Bersih dan pemimpin politk yang menyokongnya di bawah Akta Hasutan dan Akta Polis.
Tiga puluh ahli Parti Sosialis Malaysia ditahan reman sehingga 2 Julai di Pulau Pinang ketika mereka meraih sokongan rakyat untuk perhimpunan pada 9 JUlai itu.
Media arus perdana pula dikerah untuk memaparkan Bersih sebagai gerakan menghidupkan fahaman komunis atau dipergunakan oleh pembangkang bagi menggulingkan kerajaan.
Anwar berkata segala alasan polis dan media arus perdana itu adalah fitnah semata-mata dan menegaskan Bersih hanya menjurus sepenuhnya kepada aspek tuntutan rakyat mahukan sistempilihanraya yang pincang diperbaiki.

“Itu kepentingan keseluruhan (Bersih 2.0), untuk meluahkan dengan cara ini kerana semua jalan-jalan lain telah gagal. Kami telah menghantar memo, siri perbincangan, bantahan. Semuanya telah dibuat, penghujahan dengan fakta dan bukti,” kata Anwar selepas berucap pada Wacana Ekonomi di sini pagi tadi.

Justeru beliau menyelar tindakan menangkap aktivis-aktivis NGO termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Micheal Jayakumar dengan menganggap ianya sebagai usaha mencemari hasrat rakyat untuk berhumpun secara aman.

"Saya lihat ada kecenderungan untuk mencari alasan untuk buat penangkapan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan mendera orang seperti mana pemimpin-pemimpin PSM termasuk ahli parlimen Dr Jayakumar. Itu tidak adil," tambah Anwar lagi.

Spekear Jamin Siasat Polis, Ambil Keterangan Di Parlimen

KUALA LUMPUR 29 JUN : Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amir Mulia akan menyiasat dakwaan Ahli Parlimen Ipoh Barat mengenai Polis telah melanggar kemuliaan Parlimen dengan menyoal siasat beberapa Ahli Parlimen disana semalam.

Malah beliau mengakui betapa Polis langsung tidak meminta izin dewan dan hanya mengetahui hal ini menerusi media.

"Kami tidak menerima sebarang permintaan rasmi dari polis tapi saya faham daripada berita kedua- dua pihak sudah bersetuju dengannya.

"Saya akan panggil mereka yang berkenaan untuk jelaskan apa yang berlaku," kata beliau menjawab soalan Lim.

Semalam, Polis merakam kenyataan daripada Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali dan Ahli Parlimen Jerai Mohd Firdaus Jaafar di lobi parlimen berkaitan himpunan Bersih 9 Julai nanti.

Bagaimanapun menurut Lim, hal ini bertentangan dengan prinsip pemisahan kuasa negara demokrasi.

"Polis tidak boleh masuk ke kawasan Parlimen tanpa kebenaran Speaker. Polis hanya boleh memberi bantuan atas permintaan pegawai Parlimen, dan Speaker kata Lim.

Lim menyataan alasan persetujuan kedua belah pihak tidak boleh digunakan kerana tindakan polis itu jelas bertentangan dengan keistimewaan khas ahli dewan rakyat.

"Saya minta Jawatankuasa Khas Hak Asasi dan Kebebasan Parlimen patut melihat perkara ini dan mengadakan satu garis panduan yang sesuai," kata beliau.


Blogger 'Papa Gomo' Dicabar Dedah Klip Penuh - Johari Abdul (fill update)

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mencabar 'blogger' Papa Gomo supaya mendedahkan keseluruhan klip yang disiarkan dalam laman web www.papagomo.com petang semalam.

Cabaran ini dibuat beliau berikutan klip yang disiarkan terlalu pendek sedangkan beliau bersama trio 'Datuk T' adalah lebih daripada setengah jam.

"Saya mencabar Papa Gomo, kalau ada rakaman penuh tunjuk semua jangan setakat dua minit. Saya rasa lebih daripada setengah jam."

"Saya juga mahu cabar Papa Gomo untuk siarkan di mana Tan Sri Rahim tawarkan saya duit, Rahim tawarkan keselamatan dan wang kepada saya dan Rahim juga tawarkan untuk bawa saya berjumpa dengan PM. Tunjukkan, dia (Rahim) sebut dengan jelas."

Klip video berdurasi dua minit tersebut memaparkan trio 'Datuk T' bersama Datuk Johari Abdul menonton video seks yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Sri Anwar Ibrahim.

Johari juga menafikan bahawa beliau mengakui kepada trio 'Datuk T' bahawa pelaku dalam video klip terbabit adalah Anwar, meskipun beberapa kali didesak oleh Tan Sri Rahim Thambi Chik dengan bertanyakan beberapa soalan yang cuba memerangkap beliau.

Beliau juga menjelaskan ayat yang diulang beberapa kali dalam klip terbabit yang cuba menuduh beliau mempercayai bahawa pelaku terbabit adalah Anwar sedangkan apa yang dimaksudkan bukan seperti yang didakwa blogger Papa Gomo.

"Setengah jam saya jumpa mereka, hanya satu ayat saja yang mereka keluarkan, saya kata "its not about Anwar, its about scene" bukan Sin (dosa) tapi Scene. Terdapat dua perbezaan perkataan tersebut, sin membawa maksud dosa, scene tempat kejadian."

Johari mendesak blogger tersebut berlaku secara adil kepada wartawan dan rakyat dengan menyiarkan keseluruhan klip terbabit seperti mana klip video fitnah hitam putih yang disiarkan oleh www.papagomo.com beberapa bulan lalu.

Dalam sidang media yang sama, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis supaya menangkap blogger tersebut kerana dilihat bersengkongkol bersama trio 'Datuk T'.

"Kami tahu siapa itu papa gomo dan kita agak terkilan dan kita akan beritahu pihak berkuasa hari ini kalau dalam masa terdekat ini Papa Gomo masih tidak ditangkap saya anggap ini adalah konspirasi kerana saya dapat maklumat siapa papa gomo itu daripada orang UMNO."

Beliau juga melihat bahawa blogger Papa Gomo ini boleh didakwa di mahkamah atas tuduhan sama yang telah dijatuhkan terhadap trio 'Datuk T'

"Hari saya tengok papa gomo dan lebih, kalau Rahim Thambi Chik boleh didakwa atas tuduhan membantu, papa gomo juga boleh dikenakan tindakan yang sama kerana saya telah melihat Akta Suruhanjaya Komunikasi dalam menerbitkan dia juga termasuk dalam penerbitan semula yang melibatkan jenayah."

"Hari ni jika kita lihat dalam laman web tersebut, bukan hanya video mengenai Datuk Johari itu diletakkan, malah gambar lucah juga terdapat dalam laman itu."

Yusmadi juga sanggup memberikan kerjasama kepada SKMM dan pihak polis untuk memberitahu siapa orang UMNO yang telah memberikan maklumat mengenai Papa Gomo bagi membolehkan beliau ditaangkap dan disiasat pihak berkuasa.


PKR Jangka Polis Guna Akta Darurat

PETALING JAYA 29 JUN : PKR Selangor menjangka kerajaan menguatkuasakan undang- undang darurat bagi menghalang perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai.

Ketua penerangannya, Shuhaimi Shafiei berkata segala tindakan polis setakat ini menuju "ke arah itu."

"Darurat mungkin diisytiharkan, kita tidak tahu. Kita jangka mungkin sampai ke peringkat itu sebab pakai baju kuning pun tak boleh," katanya.

Beliau menegaskan PKR menyediakan pelan tindakan tersendiri bagi menghadapi tindakan sebegitu oleh kerajaan Umno-BN.
Suhaimi menegaskan lebih 70,000 penyokong parti itu dari Selangor akan turun padang menzahirkan sokongan untuk menuntut sistem pilihanraya Bersih.
Kumpulan penyokong berkenaan akan dibahagikan mengikut lima zon laluan bagi membolehkan mereka menggunakan perkhidmatan tren ke Kuala Lumpur.

Tambahnya, PKR Selangor juga menyediakan tempat tinggal untuk membolehkan penyokong berkenaan bermalam di Kuala Lumpur.

"Senarai tempat tinggal ini akan disiarkan di lamanweb PKR Selangor," katanya lagi.

Hentikan Kezaliman Terhadap Bersih, kata PKR

KLANG 29 JUN : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menuntut agar kerajaan menghentikan tekanan terhadap penganjur dan penyokong perhimpunan Bersih yang bakal berlangsung 9 Julai nanti.
Sejak minggu ini, polis menahan puluhan ahli parti pembangkang dan juga menyoal pemimpin mereka di bawah Akta Hasutan kerana menyokong Bersih.
Media arus perdana pula dikerah untuk memaparkan Bersih sebagai gerakan untuk menghidupkan komunisme dan diperalatkan oleh anasir-anasir asing.
Ketua Penerangan PKR, Dr. Muhammad Nur Manuty, Bersih hanya sebuah perhimpunan untuk menzahirkan keperluan diadakan pilihanraya yang adil dan telus,
"Anehnya, pilihanraya yang bersih akan menguntungkan kesemua pihak – pemerintah dan yang diperintah, mengapa pula UMNO terlalu takut dengan pilihanraya yang bersih?" katanya.

Beliau menegaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah berulang kali mengakui akan kelemahan dalam sistem pilihan raya di negara ini termasuk tidak berupaya memperbaikinya berasaskan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

"Lojiknya, selepas sekian lama mentadbir negara dan sistem pilihanraya pula memang dijalankan secara telus dan adil, BN dan UMNO seharusnya menerima pandangan dan suara rakyat ini secara jantan dan berjiwa besar," kata beliau.

Manuty menambah, seruan Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam baru-baru ini turut menyeru pihak berkuasa membenarkan program perhimpunan aman itu diteruskan seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan.

Beliau kemudian berpendapat, sekiranya kerajaan menilai tuntutan Bersih sambil menolak tepi perasaan paranoianya maka negara dapat mewujudkan sistem pemilihan lebih utuh, dipandang tinggi oleh rakyat dan dihormati masyarakat antarabangsa.

"Ini akan mewujudkan budaya masyarakat madani (civilized society) ke arah negara yang lebih maju, adil dan makmur.

Sehubungan dengan itu, PKR sekali lagi menyatakan pendirian untuk tidak berganjak menyalurkan sokongan kepada perhimpunan Bersih 2.0 bagi menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.