KLANG, 29 Jun: Perhimpunan aman Bersih 2.0 adalah jalan terakhir untuk rakyat menuntut sebuah pilihanraya telus dan adil kerana setiap usaha pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan ke arah itu sebelum ini menemui jalan buntu, kata Anwar Ibrahim.
Provokasi polis dan bantahan Umno terhadap perhimpunan aman itu menunjukkan Perdana Menteri Najib Razak gagal mengamalkan kesederhanaan dan menghormati prinsip asas demokrasi, kata Ketua Pembangkang itu
"Sekarang ini isu yang pertama pilihan raya tidak bersih, kita tuntut yang bersih. Kedua perhimpunan aman. Jadi (Kerajaan) patut izinkan," kata Anwar.
Sebaliknya sejak awal minggu ini polis menahan orang awam yang memakai kemeja Bersih, di samping menyoal siasat penganjur Bersih dan pemimpin politk yang menyokongnya di bawah Akta Hasutan dan Akta Polis.
Tiga puluh ahli Parti Sosialis Malaysia ditahan reman sehingga 2 Julai di Pulau Pinang ketika mereka meraih sokongan rakyat untuk perhimpunan pada 9 JUlai itu.
Media arus perdana pula dikerah untuk memaparkan Bersih sebagai gerakan menghidupkan fahaman komunis atau dipergunakan oleh pembangkang bagi menggulingkan kerajaan.
Anwar berkata segala alasan polis dan media arus perdana itu adalah fitnah semata-mata dan menegaskan Bersih hanya menjurus sepenuhnya kepada aspek tuntutan rakyat mahukan sistempilihanraya yang pincang diperbaiki.
“Itu kepentingan keseluruhan (Bersih 2.0), untuk meluahkan dengan cara ini kerana semua jalan-jalan lain telah gagal. Kami telah menghantar memo, siri perbincangan, bantahan. Semuanya telah dibuat, penghujahan dengan fakta dan bukti,” kata Anwar selepas berucap pada Wacana Ekonomi di sini pagi tadi.
Justeru beliau menyelar tindakan menangkap aktivis-aktivis NGO termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Micheal Jayakumar dengan menganggap ianya sebagai usaha mencemari hasrat rakyat untuk berhumpun secara aman.
"Saya lihat ada kecenderungan untuk mencari alasan untuk buat penangkapan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan mendera orang seperti mana pemimpin-pemimpin PSM termasuk ahli parlimen Dr Jayakumar. Itu tidak adil," tambah Anwar lagi.