SHAH ALAM 29 JUN : Polis Selangor hari ini menahan tujuh kakitangan Sekretariat BERSIH 2.0 di Seksyen 4, Petaling Jaya setelah menyerbu pejabat itu untuk menekan penganjur membatalkan perhimpunan aman itu.
Mereka merampas 540 kemeja T dan risalah selain mengheret tujuh kakitangan sekretariat Bersih ke Balai Polis Shah Alam untuk di soal siasat di bawah Akta Polis dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bakri Zinin mengesahkan, tujuh kakitangan itu akan ditahan reman, tetapi enggan mengulas lanjut.
Wartawan dan jurugambar yang menunggu di luar pejabat Bersih juga terpaksa menyerahkan butir- butir peribadi mereka kepada anggota polis berkenaan.
Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah berkata pihaknya menerima pelbagai tekanan hebat daripada pihak berkuasa untuk membatalkan perhimpunan itu bagi menuntut pilihan raya adil dan bebas diadakan di negara ini.
Beliau berkata bahawa lima kereta tanpa logo polis yang bercermin gelap beserta dengan anggota polis berpakian preman melakukan serbuan itu.
Mereka tidak menunjukkan sebarang waran dan mengugut untuk memotong pintu masuk ke pejabat itu jika petugas tidak membukanya.
Mereka terus menyelongkar fail dan menggeledah pejabat itu.
Polis turut merampas 314 T-shirt warna kuning, 90 warna oren dan 136 warna kuning-putih (krim) serta risalah dan dokumen lain.
Selain itu, butiran Mykad kira-kira 20 wartawan dan jurugambar yang berkumpul di luar pejabat itu juga dicatatkan, Mereka juga terpaksa menyerahkan nombor telefon masing- masing.
Ketua Polis Selangor, Tun Hisan Tun Hamzah mendakwa polis melancarkan serbuan itu kerana mempercayai premis berkenaan digunakan untuk aktiviti yang menyalahi undang- undang.
Rampasan kemeja-T Bersih menunjukkan tindakan menyerbu pejabat itu adalah tepat, Tun Hisan dipetik sebagai berkata.
Hampir 100 orang telah ditahan kerana memakai kemeja T BERSIH dan mengedarkan risalah berhubung perhimpunan 9 Julai ini.
Penganjur Bersih kesal kerana tindakan provokasi baru Polis untuk menafikan hak rakyat berkumpul secara aman menuntut pilihanraya adil dan telus.
“Ini adalah hak asasi manusia, adalah hak kita untuk berhimpun secara aman dan kami telah berulang-kali tekankan bahawa ia adalah perhimpunan aman.Kita tidak akan timbulkan huru-hara seperti yang didakwa,” kata Maria.
Dalam serbuan tersebut, tujuh beg barang, lima kotak dan empat kain rentang dirampas.