KUALA LUMPUR 23 JULAI : Ratusan rakyat, pemimpin Pakatan Rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengadakan perhimpunan aman dihadapan pintu masuk Bukit Aman petang SEMALAM bagi menghantar mesej jelas kepada polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menuntut pembebasan enam anggota PSM yang ditahan dibawah Ordinan Darurat(EO).

Mereka juga berkumpul untuk menyerahkan memorandum menuntut pembebasan mereka yang ditahan akhir bulan lalu apabila didakwa cuba menghidupkan semula fahaman komunis serta melancarkan 'perang terhadap Yang di-Pertuan Agong'.

Memorandum itu juga turut mendesak keenam-enam tahanan EO itu dibebas serta merta kerana didakwa menjadi mangsa untuk hentikan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Memorandum itu disampaikan kepada pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, DSP Lai Lee Ching untuk diserahkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Presidennya, Dr Nasir Hashim berkata, perhimpunan hari ini merupakan 'hari hitam' di mana ketidakadilan terus membelenggu rakyat Malaysia.

"Ini adalah pencabulan politik yang berlaku. Walau hari ini (himpunan) Bersih sudah habis, kami masih ditahan lagi. Ini ketidakadilan yang kita pertikaikan," kata beliau.

Pada 25 Jun lalu, 31 aktivis PSM ditahan di Pulau Pinang dan direman di bawah Seksyen 122 kerana melancarkan Perang terhadap Yang Di Pertuan Agong, tetapi ia digugurkan.

Namun pada 2 Julai lalu, keenam-enam mereka termasuk ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jeyakumar kemudian ditahan semula di bawah Ordinan Darurat atas dakwaan bahawa mereka menjadi ancaman kepada ketenteraman awam.

Pagi tadi, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan keputusan habeas corpus terhadap mereka kepada 9 Ogos lagi yang memaksudkan keenam mereka bakal meringkuk selama dua minggu lagi.

Mereka yang ditahan ialah Ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael D Jeyakumar dan lima lagi aktivis PSM iaitu M. Sukumaran, AP Letchumanan, Choo Chon Kai, M Sarasvathy dan R Sarat Babu.

Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Tian Chua yang ditemui berkata, perhimpunan seperti Bersih dan himpunan aman hari ini jelas menunjukkan bahawa rakyat sudah muak dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN).

"Himpunan ini beri amaran kepada Kerajaan kalau Undang-undang tidak relevan masih dipakai ia bermaksud pimpinan negara ini tidak lagi relevan.

"Rakyat akan jatuhkan hukuman pada pilihan raya akan datang. Anggota polis biasa jangan biar diri diperkudakan," tegas Tian.

Sementara itu Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, bantahan terhadap kesemua tahanan EO itu telah dipersetujui oleh seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

"Berapa tahun sudah kita Merdeka? Tapi ikut Polis dan Menteri (kata) kita masih dalam keadaan darurat. Adakah kita lihat darurat di Malaysia? Adakah kita lihat komunis di Malaysia?, " soal beliau disambut laungan "hidup rakyat" oleh hadirin.

Himpunan yang diketuai oleh S Arutchelvan, kompleks mahkamah ini bergema apabila mereka melaungkan "Bebas Tahanan" dan "Hidup Rakyat" beberapa kali.

Turut hadir adalah ahli parlimen Subang R. Sivarasa, ahli Parlimen Gopeng, Lee Boon Chye, ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefli Ahmad, ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, dan ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching.

PASTIKAN PILIHANRAYA BERSIH DAN ADIL:MAT SABU

EKU