Majoriti Senyap sudah Bersuara, Mahu Najib Letak Jawatan




SHAH ALAM 11 JULAI : Di sebalik gesaaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya "majoriti senyap" yang menentang himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu bersuara di ruang siber, sebuah profil baru di Facebook yang menggunakan identiti "100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation" (100,000 rakyat tuntut Najib Tun Razak berundur) kian mendapat sambutan rakyat.

Hanya 48 jam selepas identiti itu diwujudkan, sudah 110,192 menyokongnya dengan menekan butang like (suka).

Malah jumlah itu sudah melepasi sasaran 100,000 yang ditetapkan sebelum ini.

Najib semalam berkata, ramai rakyat yang digelarkannya sebagai "majoriti senyap" itu mendiamkan diri dan hanya bertindak sebagai pemerhati.

Namun katanya, kini sudah tiba masanya bagi mereka berhenti dan menyuarakan pandangan masing-masing.

Laman itu dimulakan pada Sabtu, hari yang sama dengan perhimpunan Bersih 2.0, sebagai landasan untuk pengguna internet menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka kepada kerajaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat berhubung pencipta laman itu dipamerkan.

Penyokongnya yang rasa terkejut dengan sambutan luar biasa itu sekarang meletakkan sasaran baru untuk mencapai angka satu juta orang.

Laman itu juga memberi ilham dan merintis kepada beberapa laman lain yang menggunakan judul sama.

Ini bukan kali pertama tindakan politik menyebabkan kemarahan di alam maya, lapor Malaysiakini.

Tahun lalu pengumuman kerajaan untuk membina menara seratus tingkat juga meletus apabila mereka beranggapan tindakan itu bakal membazirkan wang rakyat.

Laman itu - "1M Malaysians Reject 100-storey Mega Tower" (1M rakyat Malaysia tolak menara seratus tingkat) - kini disukai 300,000 orang.

Sekarang Zaman Siber Tapi Najib Masih Guna Cara Lama Tipu Rakyat







SHAH ALAM 11 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih menggunakan cara lama hanya untuk mengaburi mata rakyat Malaysia yang tinggal di kampung- kampung tanpa menyedari beliau hakikatnya memalukan diri sendiri ke seantero dunia.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, meskipun mengetahui akan keganasan yang dilakukan polis pada perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur Sabtu lalu sehingga mengakibatkan kecederaan dan seorang meninggal dunia, namun masih berkeras menidakkan hal itu demi memastikan mereka yang tiada akses kepada media baru terus memihak kepada kerajaan.

Namun malang sekali, taktik Najib itu kata Khalid, tidak terpakai kepada masyarakat metropolitan yang jauh lebih ke depan sehingga menyebabkan reputasi Najib terus merudum.

"Dia ingat dia masih boleh gunakan taktik lama untuk menipu rakyat tapi rakyat sudah tahu. Hari ini berlaku, hari ini juga keluar berita di Youtube, Facebook, Malaysiakini, TV Selangor dan semua media alternatif apa sebenarnya yang berlaku .

"Dia tak sedar dia kini dalam penafian dan hidup dalam satu zaman yang sudah berlalu samalah dengan zaman BN, zaman media dikuasai,dimonopoli oleh kerajaan pun sudah berakhir. Sekarang ini dengan Twitter, Facebook, rakyat boleh dapat maklumat.Ini yang akan membuat kejatuhan mereka," kata Khalid kepada Tv Selangor.

Khalid antara puluhan yang turut mengalami kecederaan di kepala akibat tindakan ganas polis menembak gas pemedih mata secara semberono pada Sabtu lalu.

Dalam insiden yang berlaku di Stesen Sentral Kuala Lumpur, Ketua Pembangkang dan pengawal peribadi beliau turut dikejarkan ke hospital.

Manakala seorang ahli PAS disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hsopital Kuala Lumpur selepas pengsan di perkarangan KLCC akibat lari menyelamatkan diri dari serangan polis.

“Dia cukup tahu apa yang berlaku. Hakikatnya dia nak menafikan apa sebenarnya yang berlaku dan memberi gambaran kepada rakyat Malaysia yang tidak mendapat berita daripada sumber alternatif seolah-olah semua yang hendak dilakukan oleh Bersih gagal, nak dapatkan orang ramai pun tak ramai hanya 6 ribu orang... selepas itu polis layan dengan baik macam kenduri kahwin dan sebagainya. Ini semua boleh dikatakan sebagai penafian tapi hakikatnya semua orang tahu apa yang sebenarnya yang berlaku,"kata Khalid.

Tambah beliau, tindakan polis menyembur air kimia dan melepaskan ledakan gas pemedih mata secara membabi buta jelas membuktikan keganasan polis ketika menjalankan tugas.

“Keganasan itu memang berlaku kerana bila disembur dengan air kimia, ditembak dengan gas pemedih mata dan sebagainya itu semua adalah keganasan. Kalau dia tak percaya, waktu dia masuk ke pejabat, kita minta FRU sembur, nak tengok ganas tak ganasnya bila ditembak dengan gas dan sebagainya," selar Khalid kepada kenyataan sinis Najib yang memperlekehkan kecederaaan yang dialami termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas Khalid, penipuan yang dilakukan oleh Najib adalah kaedah lama Umno-Barisan Nasional bagi menutup kelemahan kerajaan dan cuba memikat hati rakyat yang kurang berpengetahuan, sedangkan bagi orang ramai yang terdedah dengan teknologi terkini, fakta itu hanya di hujung jari mereka.

Oleh itu, beliau menggesa kerajaan pusat supaya berani dan bersedia memberi peluang kepada pihak pembangkang mengadakan himpunan secara sah dan berpermit bagi mendengar suara rakyat.

“Saya sebenarnya mengharapkan bahawa kerajaan ini akan mempunyai keberanian untuk membenarkan sekali saja satu himpunan diadakan secara halal, berpermit anjuran pihak yang selain daripda kerajaan dan Barisan Nasional. Buat satu himpunan dan kita tengok bagaimana sokongan rakyat terhadap program-program yang bukan daripada Barisan Nasional,"katanya.

Skandal Scorpene : SUARAM, Peguam Anjur Makan Malam Dedah Misteri Komisyen Jutaan Ringgit

KUALA LUMPUR 11 JULAI : Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Peguam Perancis, William Bourdan yang mengendalikan kes skandal kapal selam Scorpene akan bersama-sama badan bukan kerajaan itu untuk menganjurkan siri kempen dan makan malam bermula 20 hingga 24 Julai depan.

Menurut Pengarah Eksekutif SUARAM, Cynthia Gabriel, program empat hari itu adalah lanjutan daripada usaha membongkar dan mendedahkan lebih terperinci kepada rakyat mengenai kes yang melibatkan pembayaran komisyen hampir RM500 juta kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai Perimekar Sdn Bhd.

"Ini penting kerana ia akan membongkarkan lebih banyak maklumat terbaru mengenai skandal ini berhubung status terkini siasatan kes ini di Perancis.

"Selain itu ianya juga akan mendedahkan individu-individu berprofil tinggi yang terlibat secara langsung dengan kes ini kepada rakyat,"kata beliau.

Cynthia berkata demikian dalam satu sidang media di Dewan Himpunan Cina Wilayah dan Selangor hari ini.

Terdahulu, dua komisyen didedahkan pihak berkuasa Perancis hasil dari serbuan yang dibuat ke atas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara ketiga termasuk Malaysia.

Sebelum ini, laman web Rue89 melaporkan, sebanyak 114 juta Euro yang menjadi komisyen dalam pembelian dua kapal selam Scorpene dibayar kerajaan Malaysia, bukannya Armaris, sebuah syarikat di Perancis.

Rue89 juga mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar kepada Perimekar RM493 juta, sebaliknya ia sebenarnya dibayar kerajaan Malaysia sendiri.

Justeru untuk menerangkan maklumat-maklumat itu dengan lebih terperinci, menurut Cynthia, kempen dan majlis makan malam di bandar-bandar utama itu amat penting.

Ia juga bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi membiayai perjalanan kes.


Berikut senarai lokasi kempen dan makan malam tersebut :-


1. OPS Scorpene's Dinner 21 Julai jam 8 malam - 11 malam
Sunshine Square, Bayan Lepas Pulau Pinang.

2. OPS Scorpene's Dinner 22 Julai jam 8 malam - 11 malam
Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya Selangor.

3. Forum dan Kutipan Dana 23 Julai jam 8 malam - Ipoh (lokasi masih belum diputuskan)


Menurut Cynthia, majlis makan malam dan forum penerangan oleh William Bourdon itu turut akan dihadiri oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu, Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar.

Turut hadir pada sidang media sama Sekteriat SUARAM, Fadiah Nadwa Fikri.

Fadiah yang juga seorang peguam berkata, program anjuran SUARAM itu sedikit sebanyak membantu untuk menampung dana dalam membiayai perjalanan kes.

"Dana yang terkumpul itu kami akan gunakan untuk membiayai kos guaman dan perjalanan kes, seperti sedia maklum kes seumpama ini memerlukan sebuah dana yang besar,"katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melawati laman sesawang SUARAM dan pembelian tiket untuk majlis makan malam di tempat yang dinyatakan boleh dibuat dalam bentuk tunai ataupun cek kepada suaram.

Sumbangan orang ramai juga boleh disalurkan ke akaun SUARA INISIATIF SDN BHD, A/C NO: 0300 0065 200, Hong Leong Bank.

Kenapa cubit kalau kita boleh tumbuk?


Zunar


Di Malaysia, akhbar, TV dan radio dikuasai oleh kerajaan melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Undang-undang ini mensyaratkan setiap pemilik media untuk memohon lesen pernerbitan setiap tahun. Pihak kerajaan berhak melulus atau menolak permohonan ini tanpa perlu memberi sebarang alasan.

Dan keputusan kerajaan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Ini menutup jalan kepada penyiaran sebarang bahan-bahan alternatif atau pandangan berbeza terhadap kerajaan, termasuk kartun editorial. Kartunis independen terpaksa bergantung kepada media alternatif seperti internet untuk terus berkarya.

Saya melukis untuk portal berita Malaysiakini dan juga untuk akhbar Harakah. Di samping itu saya juga menerbitkan buku. Setakat ini saya telah menerbitkan Cartoons on Tun, 1 Funny Malaysia, Cartoon-O-Phobia, Even My Pen Has a Stand, Gedung Kartun, Perak Darul Kartun and tiga volume Isu Dalam Kartun.

Matlamat saya ialah untuk menggunakan kartun sebagai senjata melawan korupsi dan salahguna kuasa oleh kerajaan Malaysia. Melalui kartun, saya mengenengahkan isu-isu yang tidak disiarkan oleh media arus perdana.

Ini termasuk rasuah oleh Perdana Menteri dan kabinetnya, isu Altantuya, konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, kekuasaan isteri Perdana Menteri, skandal Scorpene, pembaziran, antara lain.

Falsafah saya adalah jelas: Untuk sesuatu karya mendapat impak, kita mesti melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Cara saya ialah mengkritik mereka yang paling berkuasa dengan cara yang paling keras. Why pinch when you can punch! (Kenapa cubit kalau kita boleh tumbuk).

Sepanjang bekarya, saya sentiasa hadapi tekanan, gangguan dan ugutan dari kerajaan. Pejabat saya selalu diserbu. Kerajaan mengharamkan semua buku-buku saya. Kilang-kilang pencetak juga diserbu dan diberi amaran agar tidak mencetak buku-buku saya di masa akan datang.

Pekedai-pekedai di seluruh negara juga diugut agar tidak menjual buku-buku saya. September tahun lepas, sepuluh anggota polis menyerbu pejabat saya beberapa jam sebelum pelancaran buku terbaru saya, Cartoon-O-Phobia. Mereka turut merampas 66 buah buku tersebut juga sebuah sebuah lukisan kartun asli.

Saya ditangkap dan di bawa ke tujuh balai polis sebelum dilokap di bawah Akta Hasutan, yang membawa hukuman tiga tahun penjara jika didapati salah.

Saya diletakkan dalam lokap yang sama bersama dengan penjayah-penjenayah lain seperti perompak dan penagih dadah. Kerajaan mahu mereman saya lebih lama, tapi mahkamah membebaskan saya pada keesokan hari.

Period ini merupakan saat yang sukar bagi saya. Pengharaman buku mengakibatkan kerugian RM80,000 (lebih kurang USD35,000). Akta Hasutan masih lagi tergantung ibarat "pedang Damocles" di atas kepala saya.

Melukis kartun politik merupakan satu kesalahan jenayah di Malaysia. Melawan korupsi adalah kesalahan jenayah di Malaysia. Ini bertentangan sama sekali dengan prinsip Islam. Kata Saidina Ali: "Patriotisma paling tinggi ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim."

Sebagai kartunis editorial, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menentang ketidakadilan. Di Malaysia, dan juga di negara-negara dunia ketiga serta Timur Tengah, kartunis menghadapai cabaran lebih berat.

Kita mesti bersedia menghadapi sebagai risiko. Kita mesti terus bangun. Kita mesti terus melukis sehingga ke titisan dakwat terakhir. Jika kita berundur, bererti kita mengorbankan prinsip kita menentang kezaliman. Apabila melukis kartun merupakan kesalahan jenayah, petanda pengusa mula goyah.

Saya memfailkan saman terhadap kerajaan untuk mencabar pengharaman buku-buku saya. Untuk kes ini, hakim akan memberi keputusan pada 14 Julai depan.

Saya juga memfailkan satu lagi saman untuk mencabar kerajaan kerana menangkap saya secara tidak sah tahun lepas. Untuk kes ini, mahkamah belum lagi memberi keputusan.

Cabaran yang berat bukan sahaja di hadapi kartunis-kartunis di Asia dan Timur Tengah, tetapi juga dibahagian lain di dunia. Kartunis-kartunis Amerika memberitahu saya bahawa mereka menghadapi risiko kehilangan pekerjaan akibat ekonomi merudum dan kebangkitan internet. Saya bersimpati dengan mereka.

Saya rasa, sudah sampai masanya untuk kita, kartunis-kartunis di seluruh dunia bersatu, merapatkan hubungan dan mengadakan lebih banyak dialog supaya lebih memahami isu bersama.

Sekali lagi, terima kasih CRNI atas anugerah ini. Ia memberi kekuatan baru kepada saya, "seperti Popeye mendapat spinach."

Terima kasih.

*Ucapan Zunar ketika menerima anugerah "2011 Award in Editorial Cartooning" oleh Cartoonist Rights Network International (CRNI) St Petersburg, Florida, 7 Julai 2011

A Samad Said : PRU-13 Ada Sinar Harapan Baru

KUALA LUMPUR 11 JULAI : Di sebalik perkembangan sosiopolitik semasa, Datuk A. Samad Said yang dilihat sebagai “ikon baru” berkata, sudah tiba masa tampuk kepimpinan negara memperlihatkan perubahan dengan diterajui oleh kalangan rakyat dan pilihan raya umum ke-13 akan membawa sinar harapan.

“Sudah tiba waktunya, rakyat pula yang berada di tampuk kuasa,” kata beliau pada satu ceramah di Taman Melewar dekat sini malam tadi.

Kata Sasterawan Negara itu, “selagi (golongan) bangsawan yang berada di atas, sampai bila-bila saya rasa mereka tidak akan dapat merasakan apa yang dirasai oleh rakyat.”

Sehubungan itu, seniman berusia 76 tahun ini yang menjadi tumpuan ketika perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara baru-baru ini menambah, pilihan raya umum ke-13 pasti akan ada sinar harapan untuk melihat perubahan tersebut.

Samad juga berkata sepanjang lima dekad Malaysia hanya dipimpin oleh golongan bangsawan seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Hussein Onn dan Tun Abdul Razak Hussein — kesemuanya golongan yang mempunyai harta dan pangkat.

Malaysia kini dipimpin oleh perdana menteri yang keenam iaitu Datuk Seri Najib Razak, anak kepada Razak.

Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi masing-masing merupakan perdana menteri keempat dan kelima.

Dalam ceramahnya, Samad juga berkata, seorang sasterawan tidak perlu hanya menulis semata-mata tetapi mereka juga perlu bertindak, lapor portal The Malaysian Insider.

Oleh itu jelas beliau, sebagai seorang sasterawan, mereka tidak perlu takut dengan penulisan yang dihasilkan, yang mampu bertindak ke atas sesuatu isu.

“Seorang sasterawan, tugasnya ialah mencipta dan merakamkan apa yang berlaku dalam masyarakat. Itu yang saya lakukan lebih 50 tahun. Merakam sahaja. Saya tidak berapa suka untuk merakam sahaja apa yang berlaku. Saya cemburu dengan masyarakat yang boleh bertindak dalam sesuatu perkara,” katanya.

Justeru kata Samad, apabila beliau dijemput menyertai Himpunan Bersih 2.0 secara rasmi, beliau menulis puisi yang bertajuk “Unggun Bersih”.

Samad berkata beliau ada dua lagi karya yang dihasilkan berkaitan Himpunan Bersih 2.

Samad telah membacakan sebuah puisi “Unggun Bersih” pada majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 pada 19 Jun lalu di ibu negara, sekali gus membawa kepada tindakan pihak berkuasa menyoal siasat beliau atas dakwaan menghasut.

Di sebalik perhimpunan Bersih 2.0 kelmarin, Samad merupakan antara beberapa personaliti bersama 600 penyokong gabungan menuntut pembaharuan pilihan raya tiba di Stadium Merdeka di sebalik halangan dan sekatan ketat pihak polis.

Beliau menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 sebagai “satu kejayaan besar” kerana dapat menarik kehadiran begitu ramai, didakwa dalam lingkungan 50,000 orang.

Polis menganggap hanya 6,000 orang hadir kelmarin.

Takut Kebangkitan Rakyat, Najib Pusing Cerita.Anwar cabar Najib adakan pilihanraya














PETALING JAYA 10 JULAI : Setelah dunia semalam menyaksikan kebangkitan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat untuk menuntut sebuah pilihan raya yang adil, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebaliknya melemparkan tuduhan fitnah bahawa Ketua Pembangkang yang menjadi dalang supaya rakyat bersuara menuntut keadilan.

Malah terdesak untuk menutup tuntutan rakyat, Najib mendakwa ia adalah usaha terdesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menunaikan hasrat menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Najib yang juga Presiden Umno turut berkata, Anwar tergugat dengan sokongan rakyat yang semakin kuat terhadap kerajaan sehingga sanggup menganjurkan himpunan besar-besaran demi menjatuhkan imej negara di mata dunia.

Walau bagaimanapun hujah Najib itu mudah dipatahkan oleh Anwar yang ditemui media selepas menghadiri Dialog Ekonomi Profesional Muda di Hotel Crsytal Crown, di sini hari ini.

" Itu memang strategi Najib dan Rosmah, mereka tidak lihat pada isu pokok, yang mereka tahu mahu salahkan saya, dan saya adalah orang yang paling awal diserang dan sudah tentu saya orang yang paling awal yang terpaksa berundur, saya sebelum pukul 3 petang terpaksa dibawa ke hospital," jelas Anwar yang ditembak polis menggunakan gas pemedih mata ketika mahu memulakan perarakan di Stesen Sentral Kuala Lumpur.

Jelas Anwar, kenyataan Najib itu jelas satu reaksi terdesak oleh seorang pemimpin yang merasakan kedudukannya terancam oleh kebangkitan rakyat.

Paling penting, perhimpunan Bersih 2.0 sudah dijelaskan dari awal lagi dianjurkan oleh 62 badan bukan kerajaan dan Pakatan Rakyat hanya bertindak menyokong inisiatif Bersih.

Dalam insiden semalam, Anwar mengalami kecederaan di kepala dan lutut akibat tindakan anggota polis menembak gas pemedih mata tepat ke arah muka Ketua Pembangkang itu.

Tindakan pantas daripada pengawal peribadi Anwar, Fayad Al-Bakri bagaimanapun telah menyelamatkan Anwar daripada kecederaan lebih teruk.

Akibat melindungi Anwar, Fayad patah tulang pipi dan terpaksa menjalani pembedahan. Anwar turut dikejarkan ke Pusat Perubatan Pantai untuk rawatan lanjut.

Tidak cukup dengan cubaan mengaitkan Anwar sebagai dalang perhimpunan, media arus perdana termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar turut membohongi rakyat dengan fakta dan berita tidak telus demi kepentingan pemerintah.

"Penipuan angka peserta himpunan yang dilaporkan kononnya hanya 6,000 sahaja, ramai yang sudah tahu, dan pembohongan yang lain ialah laporan tidak ada yang tercedera, saya sendiri ditembak dari jarak dekat dan pengawal saya cuba bantu yang akhirnya mukanya pecah dan kini dia di hospital untuk jalani pembedahan besar esok,"kata Anwar.

Lebih malang dari itu, seorang daripada peserta himpunan Bersih 2.0 juga meninggal dunia ketika polis mengepung laluan perhimpunan berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar turut mencabar Najib membubarkan parlimen disebalik keangkuhan pemimpin kerajaan itu kononnya boleh menang mudah pada pilihan raya umum ke-13.

"Saya mencabar Najib untuk sama-sama bertanding dalam satu pilihanraya yang adil, dan Najib perlu pastikan ianya dijalankan dengan adil dan bersih, jangan menipu dalam pilihan raya,"tegas Anwar.

Najib hari ini selain meremehkan kuasa rakyat, dengan penuh keyakinan berkata pihaknya akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen sebaik sahaja parti pimpinannya sudah bersedia.

Ironinya, kenyataan Najib itu umpama membuka pekung di dada bahawa gagasan itu masih belum bersedia manakala Pakatan Rakyat pula sedari awal lagi bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

(function() { var d = document, w = window; w

Sudah boleh balik kampung dengan syarat 90 peratus vaksinasi dewasa

  Astro Awani September 22, 2021  KKM dan MKN hari ini membenarkan aktiviti rentas negeri dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi ...