'Bagi ruang kepada kerajaan cari jalan penyelesaian gaji penjawat awam'

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat

PUTRAJAYA: Warga perkhidmatan awam diminta bersabar bagi memberi ruang kepada kerajaan mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan yang menghimpit mereka terutama dalam hal membabitkan peningkatan kos sara hidup.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata banyak perkara mengenai perkhidmatan awam dan warganya dibincang melalui kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu, Datuk Dr Zulkapli Mohamed.Beliau berkata, Zulkapli turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneruskan perbincangan bersama CUEPACS mengenai isu gaji dan upah penjawat awam semasa, selain hal berkaitan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

"CUEPACS dimaklumkan Perdana Menteri sudah mempunyai perancangan dalam soal kadar gaji dan upah penjawat awam supaya mereka mempunyai pendapatan boleh guna yang selesa serta sentiasa komited melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

"CUEPACS menghargai keprihatinan Perdana Menteri berhubung isu kadar gaji dan upah penjawat awam yang menurut pandangan beliau tidak setara berbanding tugas serta komitmen diberikan.

"Sesungguhnya permintaan penjawat awam untuk kerajaan menilai semula kadar gaji dan upah ini sememangnya berasas berikutan kos sara hidup yang meningkat begitu drastik," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Adnan berkata, komitmen Perdana Menteri untuk melihat semula isu kadar gaji dan upah untuk perkhidmatan awam apabila kewangan negara bertambah baik kelak memberi harapan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam.

Beliau berkata, seperti biasa penjawat awam akan meneruskan sokongan terhadap kerajaan melalui komitmen kerja yang tinggi bagi menjayakan setiap aspirasi Malaysia MADANI supaya negara dapat mendepani cabaran yang mendatang demi kemakmuran rakyat.

Katanya, CUEPACS juga yakin dengan gandingan kepimpinan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Zulkapli sebagai KPPA dalam membawa suara serta aspirasi penjawat awam untuk perhatian dan tindakan kerajaan.

"Keterbukaan KSN dan KPPA mendengar pandangan CUEPACS mengenai permasalahan penjawat awam dalam setiap sesi libat urus amat dihargai.

"Kita berharap KSN dan KPPA terus berunding dengan kerajaan bagi mencari penyelesaian terbaik membantu menyelesaikan isu dan permasalahan penjawat awam terutama hal membabitkan peningkatan kos sara hidup serta kadar gaji yang setimpal," katanya.