BERIA-IA MAHU JATUHKAN KERAJAAN, ADAKAH HADI AWANG SEDANG CUBA MENONJOLKAN DIRINYA SEBAGAI CALON PM?

 

                  BAGI AKU ....TAK ADA KOT YANG YAKIN KECUALI WALAUN


Walaupun semua orang tahu penubuhan kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim sekarang adalah atas titah Yang Dipertuan Agong, namun Presiden Pas Hadi Awang tetap bernafsu besar mahu menumbangkannya.

Lebih daripada itu, ketika bertitah merasmikan pembukaan Sidang Parlimen baru-baru ini, Sultan Abdullah turut berharap kerajaan perpaduan ini tidak bertukar sebelum tamat tempoh khidmat baginda sebagai Yang Dipertuan Agong pada Januari tahun depan.

Malangnya, semua itu tidak mengurangkan keghairahan Hadi Awang untuk menjatuhkan kerajaan.

Kata beliau, Insha Allah (kejatuhan kerajaan) akan berlaku dalam masa terdekat ini.

Kenapa Hadi Awang tetap mahu menukar kerajaan?

Bukankah PN melalui Mahiaddin Md Yasin sendiri yang menolak untuk menyertai kerajaan perpaduan sebelum ini?

Kalau sudah menolak untuk bersama kerajaan perpaduan, mengapa hanya setelah tiga bulan kemudian sudah mahu menjatuhkannya pula?

Tidakkah dengan menolak menyertai kerajaan perpaduan, PN seharusnya boleh bersabar menunggu sehingga PRU16 pada tahun 2027 jika ingin menukar kerajaan yang ada sekarang?

Apakah Hadi Awang sebenarnya sudah tidak boleh bersabar untuk dirinya pula kali ini ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri?

Daripada sudut yang lain, keghairahan Hadi Awang mahu menukar kerajaan sehingga yakin Anwar akan ditumbangkan dalam waktu terdekat, ini adalah suatu penderhakaan kepada Yang Dipertuan Agong.

Jika kerajaan perpaduan itu sendiri dititahkan penubuhannya oleh baginda, kemudian perlantikan Anwar sebagai Perdana Menteri juga mendapat perkenan sebulat suara Raja-Raja Melayu, atas logik apa lagi ia mahu ditumbangkan?

Bukankah bertindak mahu menjatuhkannya itu suatu perbuatan derhaka yang nyata kepada Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu?

Inikah akhlak perjuangan yang digalakkan oleh Islam?

Yang buruk lagi, di ketika semua pihak sepatutnya berganding mahu memulihkan ekonomi negara dan bersama-sama berusaha menjaga kepentingan rakyat, Hadi tetap tiada perasaan malu mempamerkan nafsu besarnya ingin menumbangkan kerajaan.

Sepatutnya, dengan pengalaman Pas sendiri selama 31 bulan dalam kerajaan sebelum ini yang menunjukkan prestasi mereka amat buruk dan dipertikai ramai, bahkan Hadi Awang sendiri dikenali sebagai “duta makan gaji buta”, sekurang-kurangnya ada rasa mahu dalam dirinya untuk menunjukkan

keghairahan menukar kerajaan pada waktu sekarang ini.

Tambahan lagi, dengan kerajaan perpaduan ini terbentuk melalui sokongan majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Parlimen, diikuti tiada masalah yang timbul setakat ini, tidak ternampak alasan yang munasabah kedudukan Anwar sebegitu mudah mahu dijatuhkan.

Melainkan ia sekadar perang psikologi Hadi Awang semata-mata, selain untuk menonjol-nonjolkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri selepas ini, sesuai dengan partinya yang memiliki jumlah Ahli Parlimen terbesar dalam PN.

Cuma, tiada cermin besarkah di rumahnya untuk beliau sesekali mencermin dirinya sendiri? – ShahbudinHusin 02/03/2023.



No comments: