Anwar Beri Kenyataan Tambahan Kepada Polis



PETALING JAYA 27 APRIL : Pasukan penyiasat Polis Bukit Aman akan mengambil kenyataan tambahan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim esok berhubung fitnah video lucah.

Ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat mengesahkan polis memohon untuk mengambil kenyataan itu esok jam 2.30 petang.

Kenyataan tambahan itu adalah berkaitan laporan polis Anwar pada 22 Mac 2011 di IPD Dang Wangi ke atas individu-individu yang bertanggungjawab menayangkan rakaman video lucah di Carcosa Seri Negara sehari sebelum itu.

Individu-individu ini juga mengedarkan kenyataan bertulis kepada para wartawan dengan fitnah bahawa Datuk' Seri Anwar merupakan individu di dalam video lucah tersebut serta mengugut beliau supaya bersara dari politik.

Kenyataan akan dirakamkan oleh DSP Shanmugamoorthy di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, Petaling Jaya.

Tiga individu berkenaan adalah bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Eskay Shazyl dan bekas bendahari Perkasa Shuib Lazim.

Video Lucah Bhg Dua - Polis, Datuk T Bersekongkol, Kata Saifuddin




SHAH ALAM 27 APRIL : Satu lagi klip video lucah Datuk T disebarkan di Internet menerusi Youtube, menguatkan hujah bahawa kempen untuk menfitnahkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diperhebatkan.

Video 1 minit 46 saat itu yang berjudul 'Papa Nurul Izzah Part II' dimuat naik di Youtube sejak jam 1.30 tengahari tadi dan telah pun dimuatkan di pelbagai blog pro-Umno dengan komen-komen menjijikan blogger berkenaan.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat Saifuddin Nasution percaya polis dan gandingan Datuk T bersekonggol memuatkan video itu di Internet.

" Penyebaran bahagian kedua atau ketiga sekali pun bukan merupakan satu perkara baru dan tidak memeranjatkan kerana perkara tersebut dilakukan oleh pihak polis sekali dengan bantuan Datuk T,” kata Saifuddin kepada TVSelangor.

" Datuk T sendiri mengakui video asal ada pada tangan mereka dan telah diserahkan kepada polis.Apabila video itu tersebar kepada awam, jelas sekali ia adalah perbuatan pihak polis sendiri dengan kerjasama Datuk T," tambah beliau.

Saifuddin kesal diatas cubaan bertalu-talu untuk mengaibkan Anwar menerusi fitnah.

" Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana pihak polis masih belum lagi menyelesaikan siasatan mereka,” kata beliau.

Klip bahagian dua didedahkan pada hari sama ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay menyerahkan DNAnya untuk “memperketatkan” fakta kes.

Bahagian pertama video lucah itu dimuat-naik pada 4 April lalu menunjukkan babak awal sebelum perlakuan seks dimulakan.

Bahagian kedua video ini pula menunjukkan bahagian akhir.

Gandingan 'Datuk T” iaitu Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Datuk Shuib Lazim mendakwa mereka mendedahkan pelaku dalam video itu sebagai Anwar kononnya kerana “mahu menyelamatkan negara” .

Seorang bekas pengawal Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob mendedahkan Eskay mengugut untuk “membinasakan” Anwar kerana enggan membantunya berhubung sebuah kes saman.

Rahim pula didedahkan sebagai menyimpan dendam terhadap Anwar kerana terpaksa meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994 bersabit dakwaan merogol seorang pelajar berusia 15 tahun.

Saifuddin berkata persepsi umum bahawa video itu adalah fitnah Umno semata-mata diperkuatkan dengan tiadanya tindakan ke atas gandingan Datuk T sungguhpun terbukti mereka melakukan jenayah mengedar bahan lucah dan mengugut Ketua Pembangkang.

" Akibat dari pihak polis tidak mengambil tindakan ke atas Datuk T, maka ini mengukuhkan lagi tanggapan awam bahawa video itu bermotif politik yang membabitkan pemimpin Barisan Nasional dengan kerjasama pihak polis sendiri,” kata Saifuddin.

Ditanya mengenai tindakan polis mengambil DNA Eskay, Saifuddin memnyifatkannya sebagai helah semata-mata untuk mengaburi agenda sebenar Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

" Siasatan itu kononnya DNA diambil dan sebagainya hanyalah satu lakonan semata-mata… seolah-olah pihak polis sedang bertindak ke atas salah seorang Datuk T iaitu Datuk Eskay. Walaupun kesalahan mereka (Datuk T) sangat jelas di bawah Seksyen 292 tetapi siasatan polis kelihatannya tidak menjurus ke arah itu, “ kata Saifuddin.

Walaupun polis selesai menjalankan siasatan, Pejabat Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak berpuas hati dan dua kali mengarahkan siasatan lanjut dijalankan, sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai motif Gani.

Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shaharin yang menyaksikan video penuh 21 minit itu menolak bahawa pelaku itu Anwar berasaskan susuk tubuh dan bahasa tubuh pelaku.

Bahagian Kedua Video Fitnah Anwar Muncul

are |



SHAH ALAM 27 APRIL : Satu lagi klip video lucah Datuk T disebarkan di Internet menerusi Youtube, menguatkan hujah bahawa kempen untuk menfitnahkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diperhebatkan.

Video 1 minit 46 saat itu yang berjudul 'Papa Nurul Izzah Part II' dimuat naik di Youtube sejak jam 1.30 tengahari tadi dan telah pun dimuatkan di pelbagai blog pro-Umno dengan komen-komen menjijikan blogger berkenaan.

Klip bahagian dua ini di dedahkan pada hari sama ahli perniagaan Datuk Eskay Shazryl menyerahkan DNAnya untuk “memperketatkan” fakta kes.

Bahagian pertama video lucah itu dimuat-naik pada 4 April lalu menunjukkan babak awal sebelum perlakuan seks dimulakan.

Bahagian kedua video ini pula menunjukkan bahagian akhir.

Gadingan 'Datuk T” iaitu Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Datuk Shuib Lazim mendakwa mereka mendedahkan pelaku dalam video itu sebagai Anwar kononnya kerana “mahu menyelamatkan negara” .

Seorang bekas pengawal Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob mendedahkan Eskay mengugut untuk “membinasakan” kerana enggan membantunya berhubung sebuah kes saman.

Rahim pula didedahkan sebagai menyimpan dendam terhadap Anwar kerana terpaksa meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994 bersabit dakwaan merogol seorang pelajar berusia 15 tahun.

Sejurus selepas video tu didedahkan oleh gadingan Datuk T, Anwar menafikan beliau pelaku dan memberikan bukti-bukti termasuk catatan Twitter untuk mensabitkan beliau dirumah dan bersama ahli keluarga serta kakitangannya pada 21 Febuari lalu – malam rakaman itu dikatakan dibuat.

Ketua Pembankang itu juga membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan,

Walaupun polis selesai menjalankan siasatan, Pejabat Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak berpuas hati dan dua kali mengarahkan siasatan lanjut dijalankan, sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai motif Gani.

Ahli Parlimen Sungei Petani Johari Abdul dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia Badrulhisham Shahrin yang menyaksikan video penuh 21 minit itu menolak bahawa pelaku itu Anwar berasaskan susuk tubuh dan bahasa tubuh pelaku.

DPPP Saran MCA, Gerakan Keluar BN


KUALA LUMPUR 27 APRIL : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menggesa MCA dan Gerakan supaya berani bertindak untuk keluar dari kompenan Barisan Nasional(BN) segera memandangkan parti itu tidak lagi menjadi aset kepada parti itu sejak akhir-akhir ini.

Pengarah Pilihan raya DPPP, Mohd Firdaus Jaafar dalam kenyataan medianya berkata, Umno hanya menganggap Gerakan, MCA dan SUPP sebagai liabiliti kepada BN dengan siri-siri kekalahan parti itu pada pilihanraya yang diadakan sejak tahun 2008 dan terkini di Sarawak.

“DPPP berpandangan bahawa Umno yang menerajui BN menjadi punca rakyat menjauhkan diri daripada BN,” katanya.

Mohd Firdaus berkata, dengan menanamkan semangat perkauman yang sempit jelas menampakkan Umno sememangnya suka agar rakyat saling curiga-mencurigai antara satu sama lain lebih-lebih lagi yang melibatkan bangsa dan kaum yang lain.

Katanya lagi, tindakan Perkasa yang berdemonstrasi di hadapan Pejabat MCA Isnin lalu diadakan semata-mata untuk menyokong ‘lidah rasmi’ Umno iaitu Utusan Malaysia sekali gus mengesahkan Umno sememangnya parti perkauman yang semakin melampau dan slogan ‘1 Malaysia’ jelas hanya retorik.

Mohd Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, dengan keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, ditambah dengan keputusan dalam Pilihanraya Umum ke 12 tahun 2008 ia jelas menunjukkan bahawa sokongan pengundi Cina kepada MCA dan Gerakan semakin merosot.

Malah katanya, MCA dan Gerakan kini bukan lagi tempat bergantung kaum Cina, sebaliknya pengundi kaum itu hari ini lebih selesa untuk bersama dan menyokong parti DAP.

Jelasnya, MCA dan Gerakan sekarang boleh diumpamakan seperti ‘rumah kosong’.

Ujarnya lagi, dengan pengakuan Ketua Biro Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia Gerakan Pulau Pinang, Baljit Singh bahawa masyarakat Cina tidak akan kembali kepangkuan BN hanya kerana kerajaan membekalkan mereka dengan 'kemudahan kelas pertama'.

Baljit berkata, ini adalah kerana rakyat sudah jelak melihat tingkah laku pemimpin BN yang sombong, angkuh, zalim serta hidup dalam kemewahan atas penindasan berpanjangan kompenan itu terhadap rakyat hari ini.

Malah katanya, ia menjadi bertambah buruk dengan adanya kes-kes rasuah, penyalahgunaan kuasa, amalan kronisme BN sejak sekian lama menyemarakkan lagi kebencian rakyat terhadap parti itu.

“Apa yang rakyat perlukan sekarang adalah pemimpin yang rendah diri dan bukannya pemimpin bongkak,” ujarnya.

Ujar Mohd Firdaus lagi, parti yang berasaskan perkauman seperti yang diamalkan BN hari ini sudah tidak lagi relevan.

Beliau menambah, rakyat mahu melihat parti dan pemimpin yang memperjuangkan keadilan sejagat tanpa mengira warna kulit, bangsa dan keturunan.

Menurutnya lagi, perjuangan berasaskan perkauman sudah lama ditinggalkan kerana rakyat kini lebih mengutamakan semangat perpaduan antara kaum.

Mohd Firdaus berkata, melalui gagasan Pakatan Rakyat (PR) masyarakat hari ini bersikap lebih terbuka untuk menerima politik era baru berteraskan ketuanan rakyat tanpa mengira mana-mana bangsa dan PAS sendiri telah melebarkan ‘uslub’ dakwah kepada yang bukan Islam tanpa mengadaikan mana-mana prinsip yang dipegangnya selama ini, sekali gus membolehkan pelbagai bangsa berada dalam parti Islam itu.

“Situasi ini menyebabkan Umno BN merasa panik lalu cuba menjuarai isu-isu remeh yang melibatkan bangsa Melayu tanpa mempedulikan perasaan parti komponen yang lain di dalam BN,” ujarnya.

Mohd Firdaus menambah, rakyat di mana-mana belahan dunia kini hanya akan melaungkan slogan yang mahukan perubahan.

Katanya, di negara-negara Asia Tengah perubahan sedang berlaku malah ia sedang merebak ke Malaysia dan sebagai permulaannya adalah di negeri Sarawak, dimana rakyatnya menzahirkan sentimen kebencian terhadap Tan Sri Abdul Taib Mahmud sehingga menyebabkan penduduk bandar khususnya berbangsa Cina menolak terus BN.

“Di Semenanjung hari ini, rakyat khususnya di kawasan bandar sudah membuka mata melihat keabsahan pemerintahan BN yang memiskinkan dan menekan rakyat. Perubahan itu mesti berlaku dan sedang berlaku,” katanya.

Katanya lagi, semakin lama BN memerintah semakin jelas menampakkan ketempangan yang berlaku di negara ini sekali gus menyifatkan BN sebagai sebuah kapal yang sedang menanti untuk karam.

“Dalam keadaan demikian, apakah perlu lagi MCA dan Gerakan berpaut kepada BN?” soalnya

Justeru itu, DPPP menyeru MCA dan Gerakan segera mengambil langkah keluar dari BN dan menyertai PR.

“Rakyat kini sudah menganggap PR adalah parti masa depan mereka. Hanya dengan cara inilah MCA dan Gerakan mampu kembali ke persada politik negara dan memenangi jiwa rakyat,” katanya.

AMK Gesa Tindakan Tegas Ke Atas Blogger Tayang Video Seks



SHAH ALAM 27 APRIL : Angkatan Muda Keadilan Malaysia menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM),Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan menteri berkaitan segara bertindak ke atas blogger yang menayangkan video seks dan mendakwa pelakunya Datuk Seri Anwar Ibrahim dikenakan tindakan tegas.

Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip berkata, walaupun laporan kepada SKMM telah dibuat pada 5 April lalu, namun sehingga ke hari ini masih terdapat blog-blog yang menayangkan video berkenaan.

" Terang-terang dalam komen mereka telah dilabel dengan pelbagai tuduhan yang mengaibkan imej Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rozan hari ini dipanggil semula ke Pejabat SKMM Cyberjaya bagi mewakili AMK untuk memberi keterangan lanjut berhubung aduan yang difailkan sebelum ini.

AMK sebelum ini menamakan dua blog mesra BN, www.papagomo.com and www.pisau.net dan pengguna YouTube thepowercam dalam laporannya.

Sehingga pagi tadi, kedua-dua blog yang dinamakan masih menayangkan video berkenaan.

" Daripada aduan kami buat sehingga lah pagi tadi, pihak SKMM telah maklumkan bahawa semasa mereka melakukan siasatan didapati di blog-blog tertentu yang telah saya failkan aduan telah ditutup.

" Walau bagaimanapun, terbaru blog pisau.net telah ada semula ketika kali terkahir mereka melakukan siasatan. Saya juga telah menambah beberapa keterangan berdasarkan apa yang kami lihat dalam blog papagomo. Sehingga pagi blog-blog tersebut masih menyiarkan video yang tidak diketahui dari mana mereka peroleh,"tambah beliau.

Menurut Rozan, SKMM sudah pun membuka kertas siasatan dan mana-mana blogger yang didapati bersalah akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998, jika sabit kesalahan, blogger terbabit boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, selain dikenakan denda tambahan RM1,000 setiap hari dalam tempoh kesalahan.

" Kita juga menggesa pihak-pihak tertentu seperti PDRM kalau boleh siasat, menahan blogger-blogger ini dari mana mereka mendapat sampel video ini kerana aduan kami juga mewakili masyarakat pengguna alam maya.

SKMM mengambil masa kira-kira sejam untuk merakamkan keterangan Rozan.

AMK dalam aduannya sebelum ini mempersoalkan bagaimana video berkenaan yang sepatutnya hanya dimiliki oleh trio "Datuk T" dan PDRM lepas ke tangan blogger-blogger yang kemudiannya menayangkan video berkenaan di blog mereka.

Video hitam putih kurang dua minit itu dikatakan bocor pada 4 April lalu dan dikeluarkan daripada YouTube tidak lama selepas itu.

'1 Melayu, 1 Bumi' - Zahid Sanggah Najib


KUALA LUMPUR 27 APRIL : Naib Presiden Umno Datuk Zahid Hamidi meminggirkan Perdana Menteri Najib Tun Razak apabila menyifatkan gerakan 1Melayu 1Bumi yang dicanang oleh Utusan Malaysia sebagai cetusan akar umbi Melayu dan bukan pendapat peribadi pengarang.

“Walaupun Perdana Menteri mengatakan bahawa beberapa isu yang dibangkitkan Utusan adalah pandangan pengarang dan bukannya pendirian kerajaan, tetapi suara Utusan adalah suara kita, suara orang Melayu keseluruhannya, suara denyut nadi dan pemikiran orang Melayu,” kata Zahid yang juga Menteri Pertahanan.

Najib sebelum ini menegaskan gerakan 1Melayu 1Bumi yang dicadangkan oleh Utusan adalah pendapat peribadi pengarangnya dan tidak harus dikaitkan dengan kerajaan pimpinan Umno yang mendokong konsep 1Malaysia.

Timbalannya Muhyiddin Yassin pula berkata Utusan mempunyai hak sepenuhnya membuat cadangan itu dan menolak kritikan parti-parti komponen BN, khususnya MCA yang menyifatkan cadangan itu berbaur perkauman dan membelakangkan dasar-dasar Najib.

Ketika merasmikan mesyuarat agung Kelab Veteran Utusan Melayu di Kuala Lumpur, Zahid, secara beralas, turut memberi sokongan kepada cadangan gerakan 1Melayu 1Bumi yang akan dilancarkan oleh Perkasa di Alor Star Sabtu ini.

Walaupun tidak merujuk kepada cadangan itu secara langsung, Zahid menegaskan Utusan harus berani mengutarakan permasalahan orang Melayu serta penyelesaiannya.

“Salahkah Utusan yang menjadi darah daging orang Melayu menyuarakan rasa sebenar orang Melayu tanpa disaluti rasa dendam terhadap kaum lain, tanpa mengenepikan teras negara kita sebagai sebuah negara majmuk,” kata Zahid.

“Kemajmukkan ini diterima oleh semua tetapi soalnya sekarang adalah usaha pihak tertentu untuk melakukan peminggiran secara sistematik terhadap Utusan yang menjadi suara orang Melayu,” tambah beliau.

Presiden MCA Datuk Chua Soi Lek sebelum ini menegaskan Utusan tidak boleh mendakwa dirinya sebagai suara orang Melayu kerana hanya mempunyai pengedaran kira-kira 200,000 naskah sehari.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Hatta Wahari pula menegaskan akhbar kawalan Umno itu lebih merupakan suara pemimpin Umno dan bukannya mewakili masyarakat Melayu, seperti satu waktu dahulu.

Dalam ucapannya Zahid mahu Utusan meneruskan agendanya kerana mendakwa orang Melayu telah diabaikan oleh sebuah parti politik. Zahid tidak menamakan parti itu tetapi dipercayai beliau merujuk kepada PAS.

“ Mereka yang dulunya cukup lantang kini sudah bertukar menjadi liberal. Jadi, untuk mengharapkan mereka terus bersuara bagi mempertahankan kepentingan orang Melayu, saya tidak fikir mereka akan berani lagi bertindak demikian,” kata beliau.

Zahid bagaimanapun tidak mengulas soal Umno ditolak oleh pengundi kaum Melayu pada pilihanraya umum lalu, Mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad menyifatkan parti itu tidak lagi mampu mendokong perjuangan orang Melayu, justeru percambahan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan memperjuangkan agenda kaum itu.

Zahid mempertahankan Perkasa dan Presidennya Datuk Ibrahim Ali, bekas pemimpin Umno yang bertanding atas tiket PAS untuk memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas namun kini menjadi wakil bebas yang kembali menyokong Umno.

“Ada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dianggap sebagai terlalu perkauman dan ada pihak tertentu memberi cadangan serta pandangan kepada kerajaan supaya meminggirkan ahli politik yang menerajui NGO tersebut, sedangkan dia bersuara atas platformnya sebagai ahli politik bebas dan sebagai peneraju kepada sebuah NGO demi kepentingan orang Melayu,’ kata Zahid.

Dengan kekangan-kekangan begitu, menurut Zahid, amat penting untuk Utusan meneruskan agendanya.

“Namun pihak yang tidak senang dengan Utusan seolah-olah menganggap isu-isu mengenai agenda Melayu tidak lagi relevan, seolah-olah isu Melayu ini adalah isu yang cauvinis bagi golongan bukan Melayu,” kata beliau.

“Ada media, ada akhbar yang memaparkan isu kaum tertentu tetapi mengapa mereka tidak pula dianggap sebagai cauvinis,” kata Zahid.

Antara rungutan utama pelbagai pihak terhadap Utusan ialah laporan-laporan mengenai pembangkang, khususnya Anwar Ibrahim sering diputar belitkan demi mempengaruhi pengundi Melayu.

Isu-isu di kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat diperbesarkan manakala kepincangan kerajaan negeri pimpinan BN termasuk Sarawak di bawah Abdul Taib Mahmud ditutup daripada tatapan umum.

Rekod Umno-BN menangani soal kemiskinan negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak serta kos sara hidup yang melambung yang semakin menghimpit penduduk tidak mendapat perhatian Utusan.

Perpaduan Pakatan Rakyat Gagal Ditandingi BN





SHAH ALAM 27 APRIL: Di sebalik desas-desus pilihan raya umum ke-13 akan datang Umno-Barisan Nasional (BN) dilihat semakin rancak dalam merancang agendanya untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat(PR) sekali gus merampas kembali negeri-negeri yang diperintah pakatan pembangkang adalah amat mustahil, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, ini kerana kekuatan PR dari aspek perpaduan tidak akan mampu ditandingi oleh mana-mana parti termasuk perikatan Barisan Nasional(BN).

"Apabila sokongan rakyat semakin sukar diperolehi Umno-BN akan cuba merencana pelbagai taktik kotor untuk menghancurkan perpaduan dalam PR iaitu antara PAS dan PKR khususnya.

"Jadi saya lihat politik Umno terlalu lemah kerana tidak mampu meyakinkan rakyat terhadap isu berkaitan Datuk Seri Anwar," katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Mahfuz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin-pemimpin Umno-BN yang dilihat bertindak memanipulasikan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali baru-baru ini berhubung pendiriannya terhadap kes fitnah video seks yang dikaitkan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media kawalan Umno-BN, Utusan Malaysia minggu ini dilapor memaparkan kenyataan-kenyataan jahat apabila cuba untuk melaga-lagakan Mustafa Ali dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berhubung pendirian Pas untuk terus kekal bersama Pakatan Rakyat.

Tegas Mahfuz, beliau turut menolak sebarang dakwaan songsang berhubung perselisihan pendapat antara Pas dan PKR sehingga mencetuskan salah faham antara pemimpin tertinggi gagasan itu.

"Saya yakin bahawa apa yang dilihat oleh rakyat adalah kesetiaan Pas bersama PR," kata beliau.

Mahfuz menambah, beliau yakin rakyat sentiasa berfikiran positif berhubung pendirian dan sokongan tidak berbelah-bagi parti itu terhadap gagasan Pakatan Rakyat.

Justeru katanya, peranan media alternatif amat diperlukan bagi melaporkan maklumat yang telus agar tidak dimanipulasikan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut berhubung siasatan polis terhadap penayangan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, Mahfuz berkata Pas tidak pernah mengiktiraf mana-mana hasil siasatan polis seperti yang diumumkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar baru-baru ini.

Jelasnya, ini kerana polis terlebih dahulu menunjukkan sikap pendakwaan terpilih terhadap Anwar.

"Pas tidak percaya apa jua bentuk keputusan yang dibuat polis terhadap hasil siasatan video seks ini kerana pihak berkuasa itu sedari awal telah memperlihatkan sikap memihak (Umno-BN).

"Ini sekali gus menunjukkan bahawa polis sendiri terlibat dalam konspirasi video fitnah itu semata-mata untuk memburukkan nama baik Anwar serta mencalarkan hubungan dalaman PR," katanya.

Kes Sarbani : AG Arah Polis Soal Siasat Seorang Lagi Saksi 27/04/2011




KUALA LUMPUR 27 APRIL : Pejabat Peguam Negara telah memulangkan kertas siasatan kes kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia Ahmad Sarbaini Mohamed dan mahu polis menemu bual seorang lagi saksi sebelum menentukan tindakan susulan.

Laporan media menyebut, kertas siasatan itu dipulangkan kepada Polis Diraja Malaysia semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata pihaknya telah diminta mendapatkan keterangan daripada seorang lagi saksi sebelum Peguam Negara boleh menentukan tindakan selanjutnya.- The Malaysian Insider

Semakan Kehakiman Cabar Pengharaman Kartun Zunar Ditangguh 11 Mei




KUALA LUMPUR 27 APRIL : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 11 Mei ini sebagai tarikh baru untuk mendengar semakan kehakiman yang difailkan Malaysiakini.com dan penerbit buku, Sepakat Efektif.

Ia berikutan tindakan yang diambil dua pihak terbabit bagi mencabar pengharaman yang dikenakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap dua buku kartunis Zunar iaitu ‘ komik 1Funny Malaysia’ dan ‘Perak Darul Kartun’.

Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan MKINI Dotcom, syarikat yang menguruskan portal berita Malaysiakini dan penerbit Sepakat Efektif, yang mewakili kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque untuk mencabar pengharamanbagi kedua-dua komik itu oleh KDN.

’1Funnya Malaysia’ diterbitkan pada November 2009 dan ia merupakan rampaian kartun satira pentadbiran dan politik Malaysia oleh Zunar yang diterbitkan Malaysiakini sejak Oktober 2006 sehingga November 2009.

Sementara, ‘Perak Darul Kartun’ yang dikeluarkan Sepakat Efektif pula diterbitkan pada November 2009 dan ia mengandungi rampaian kartun beberapa kartunis yang diketuai Zunar.

KDN mengharamkan pencetakan, penghasilan, jualan, pengedaran, atau pemilikan kedua-dua buku itu atas alasan kononnya ia mengganggu ketenteraman awam.

MKINI dalam permohonan mereka berkata kartun di dalam buku ’1Funny Malaysia’ sudah diterbitkan di portal berita Malaysiakini selama lebih dua tahun malahan ia sudah diedarkan selama lebih tiga bulan sebelum diharamkan.

Sepakat Efektif pula berkata ‘Perak Darul Kartun’ sudah diedarkan selama lebih enam bulan sejak November 2009 dan syarikat itu tidak pernah menerima sebarang laporan ia mengganggu ketenteraman awam.

Mereka memohon agar pengharaman ke atas buku itu diisytihar tidak sah kerana ia bercanggah dengan Seksyen 7 Akta Penerbitan dan Percetakan 1984, dan melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Tv3 Potong Wawancara Dengan Saya : RPK



BANGKOK 27 APRIL : Penulis blog, Raja Petra Kamarudin (RPK) menyangkal laporan TV3 bahawa beliau 'tidak percaya lagi' dakwaan bahawa Datin Seri Rosmah Mansor berada di tempat kejadian semasa pembunuhan ngeri Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Selepas dua siri wawancara dengan Raja Petra disiarkan dalam buletin utama di stesen swasta tersebut, beberapa pihak terus melabel penulis blog itu telah mengubah pendiriannya dengan 'menarik balik' dakwaan tertentu dalam akuan bersumpah (SD) yang telah difailkannya.

RPK mengaku beliau berkata "Saya rasa mustahil kot" dalam wawancara dengan pengarang kumpulan TV3, Datuk Ashraf Abdullah di Australia, tetapi mendakwa ayat pertengahannya telah dipotong dalam segmen yang disiarkan pada 13 April.

"Ia adalah wawancara (selama 90 minit), sedikit sebanyak daripadanya mengenai SD saya. Bolehkah anda tidak ambil (siarkan) satu ayat sahaja tetapi ambil (siarkan) keseluruhan perenggan?” soalnya dalam temuramah video Skype dengan Malaysiakini dari Bangkok Ahad lepas.

Raja Petra berada di Bangkok untuk menghadiri forum anjuran Gerakan Masyarakat Sivil Malaysia (MCLM). Beliau adalah pengerusi MCLM dan gerakan itu mendakwa laporan itu telah diputarbelit.

Beliau berkata, kenyataannya telah disalah lapor kerana wawancaranya telah disunting oleh penyiar, menyebabkan maksud sebenarnya telah berubah.

“Mungkin TV3 patut diminta menyiarkan keseluruhan perenggan,” katanya sambil menambah tanggungjawab itu terletak di bahu penyiar berkenaan untuk menjelaskan perkara tersebut.

Raja Petra mendakwa apa yang dikatakannya dalam perenggan tersebut ialah: Apabila saya diberitahu saya tak percaya lagi, saya rasa mustahil kot, Rosmah masuk hutan panjat bukit tengah malam, jadi saya tak percaya lagi, sehingga saya mendapat pengesahan.-Malaysiakini

Tian : Memang Lumrah Kerajaan Bantu Syarikat Kroni




SHAH ALAM 27 APRIL : Tindakan kerajaan "membantu" meneruskan hayat Tricubes Berhad adalah fenomena biasa di antara syarikat-syarikat kroni dan Umno-Barisan Nasional, kata naib presiden PKR, Tian chua.

Oleh yang demikian, adalah tidak mustahil katanya, kerajaan dilihat mempamerkan kesediaan dalam pemberian kontrak kepada syarikat yang hampir terkeluar dari senarai Bursa Malaysia itu.

" Memang ini satu syarikat yang bermasalah dan ia tidak mungkin mampu memberikan perkhidmatan seperti yang dijangkakan, tetapi apa yang dibimbangkan ialah kerajaan akan tetap bagi kontrak kepada mereka, dan kita tunggulah ia akan manjadi satu lagi malapetaka kepada rakyat yang sering berlaku kepada semua projek kerajaan," katanya kepada Tv Selangor.

" Kerajaaan telah mengambil risiko besar kerana memberi kontrak kepada syarikat yang sangat bermasalah dan matlamat ini gagal memberi jaminan kepada rakyat bahawa ia adalah bertujuan memberi perkhidmatan kepada rakyat, sebaliknya jelas pada pemerhatian kita ianya bertujuan membantu kroni,"tambahnya lagi.

Semalam Tricubes Berhad mengakui khidmat e-mel 1 Malaysia yang bakal disediakannya adalah hayat kewangan bagi syarikat itu, yang sebelum ini berhadapan dengan risiko dibatalkan penyenaraiannya dari Bursa Malaysia.

Mengulas perkara ini, Tian yang juga ahli parlimen Batu berkata senario seperti ini lazim berlaku kepada syarikat kroni kerajaan yang kurang daya tahan dalam persaingan bebas dan hanya bergantung harap kepada kerajaan untuk mendapatkan kontrak.

"Itu sudah menjadi satu ketagihan kepada kontraktor-kontraktor Umno kerana mereka sering menghadapi masalah dalam perniagaan mereka," katanya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Tricubes, Khairun Zainal Mokhtar, juga berkata, syarikat itu akan mengumpulkan dana tambahan menerusi terbitan isu baru bagi projek RM50 juta yang dianugerahkan kerajaan 4 April lalu.

Beliau juga mengesahkan setiap penghantaran e-mel akan menelan kos tidak lebih 50 sen.

Tricubes sebelum ini berkata, ia akan membelanjakan RM5.3 juta terlebih dahulu dalam membangunkan projek e-mel 1 Malaysia tetapi akan menerokai inisiatif pemakluman skim pencen can cukai untuk terus menjaga pulangan operasi.

AG: Kenyataan Raja Petra wajib

April 27, 2011
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail
PUTRAJAYA, 27 April — Kenyataan Raja Petra Kamarudin perlu dimasukkan dalam kertas siasatan polis terhadap penulis blog itu, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau berkata berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siasatan terhadap Raja Petra, yang juga dikenali sebagai RPK, yang didakwa memberi maklumat palsu mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

“Saya belum tahu lagi siasatan itu sebenarnya mengenai apa. Saya hanya boleh komen selepas polis menyerahkan kertas siasatan,” katanya kepada pemberita.

Kenyataan Raja Petra mesti dimasukkan dalam kertas siasatan memandangkan dia adalah subjek siasatan itu, kata beliau dipetik Bernama Online.

Satu lagi laporan semalam memetik Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya belum mengambil keterangan Raja Petra walaupun telah bertemu dengan editor portal Malaysia Today itu di Bangkok, Thailand.

Khalid menjelaskan pertemuan polis dan Raja Petra itu hanya “perjumpaan biasa” kerana ia berlangsung di sebuah hotel tempat beliau menginap.

Beliau berkata, kuasa Polis Diraja Malaysia terhad apabila berada di luar negara kerana keterangan hanya boleh diambil di pejabat Kedutaan Malaysia di negara terbabit.

“Ia hanya perjumpaan biasa dan pada masa itu RPK bersetuju untuk hadir ke pejabat kedutaan itu untuk memberi keterangan pada hari lain,” katanya.

Laporan Bernama kelmarin menyebut Raja Petra kini disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu berhubung akuan bersumpahnya mengaitkan Perdana Menteri dan isterinya dengan kes Altantuya.

Dalam temu bualnya dengan TV3, Raja Petra mendedahkan bahawa akuan bersumpah beliau pada 2008 yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan itu adalah berdasarkan maklumat dan desakan beberapa individu bertujuan menyekat Najib, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, daripada menjadi Perdana Menteri.

Raja Petra turut mendedahkan beberapa nama yang didakwanya memberi maklumat berkenaan kepada beliau.

Ahad lepas, Raja Petra dalam satu dialog dengan Pergerakan Bebas Sivil Malaysia (MCLM) berkata PDRM pada mulanya mahu menemu bual beliau di Kedutaan Malaysia di Bangkok, namun atas nasihat para peguamnya, beliau telah mengubah tempat ke ‘kawasan neutral’ iaitu hotel tempat beliau menginap.

Semasa perjumpaan itu, Raja Petra mengulangi pendiriannya bahawa beliau dituduh secara salah memandangkan beliau tidak membuat dakwaan terhadap Rosmah dan dua yang lain tetapi terhadap sumbernya, seorang anggota tentera berpangkat kolonel yang memberinya maklumat.

Ahad lalu, Raja Petra menulis bahawa pihak polis mahu mengambil kenyataan daripadanya berkaitan laporan Utusan Malaysia susulan temu bual siaran TV3 dua minggu lalu.

Malah kata beliau “drama Bangkok” juga menunjukkan nasib yang menimpa dirinya berulang dikenakan tuduhan fitnah jenayah selepas ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Sehubungan itu, katanya polis mendampingi beliau di ibu negara Thailand Sabtu lalu untuk mendapatkan kenyataan beliau bukan berkaitan temu bual TV3 ataupun akuan bersumpah (SD) yang dibuatnya tiga tahun lalu.

“Nampaknya Utusan Malaysia membawa satu laporan berita mengenai temu bual dengan TV3 dan satu laporan polis yang dibuat oleh pihak tertentu berkaitan dengan laporan Utusan Malaysia.

“Jadi, ia bukannya mengenai SD saya buat pada Jun 2008. Ia mengenai temu bual saya dengan TV3. Ia mengenai laporan berita Utusan Malaysia,” kata Raja Petra.

Satu lagi kilang perlombongan emas menggunakan cyanide

Belumpun pertikaian kilangan perlombongan emas menggunakan cyanide di Raub dan loji pemprosesan rare earth di Gebeng melabuh tirai, rakyat Pahang di Kuala Lipis kini pula menyambut kemunculan sebuah kilang perlombongan yang boleh menghasilkan sisa toksik. Kajian Penilaian Awal Kesan Alam Sekitar (EIA, Environmental Impact Assessment) terhadap kilang perlombongan emas Selinsing telah diluluskan pada tahun 2008, malah kilang itu telah mula menggunakan cyanide dalam proses perlombongan emas sejak Februari 2010.

Wartawan MerdekaReview menemui laporan EIA ini secara kebetulan ketika cuba memuat turun laporan EIA loji pemprosesan rare earth di Gebeng, dari laman Jabatan Alam Sekitar. Projek perlombongan emas ini sama dengan kilang perlombongan emas Raub-Australia Gold Mine di Bukit Koman, menggunakan cara yang kontroversial bernama "carbon in leach" dalam proses perlombongannya - iaitu memproses semula bijih yang telah dilombong dengan cara tradisional sebelum itu dengan sejenis bahan toksik bernama cyanide.

Cyanide mempunyai fungsi untuk menambah hasil perlombongan emas. Sejak tahun 1960-an, pelombong emas telah menggunakan cyanide untuk memproses bijih terpakai yang masih mempunyai kandungan emas yang tinggi. Namun demikian, cyanide adalah bahan toksik yang mengancam alam sekitar dan kesihatan manusia. Sekurang-kurangnya sembilan tragedi pembocoran cyanide pernah berlaku di dunia sehingga hari ini. Justeru itu, cara "carbon in leach" ini dikritik hebat oleh pencinta alam.

Penduduk Bukit Koman bangkit menentang apabila mengetahui bahawa Raub-Australia Gold Mine yang dimiliki Peninsular Gold Limited mendapat kelulusan untuk melombong secara carbon in leach pada Ogos 2006.

Menurut EIA Selinsing Gold Mine, pemaju projek perlombongan emas ini adalah Selinsing Gold Mine Manager Sdn Bhd, dimiliki Monument Mining Bhd yang mana syarikat induknya berada di British Columbia.

Projek ini bertapak di mukim Ulu Jelai, berada di luar 35km, barat laut dari Kuala Lipis; 55km dari pusat bandar Raub. Tanah ini masih tanah pertanian untuk penanaman kelapa sawit dan getah, hutan sekunder dan kawasan hutan simpan Hulu Jelai. Kawasan perumahan yang terdekat adalah Kampung Perpindahan Banjir Kuala Medang, 1,200 meter dari tapak projek.

Selain itu, jalan utama ke kawasan perlombongan adalah Raub - Cheroh - Kuala Medang.

Wujudkan peluang pekerjaan

Menurut EIA yang disediakan syarikat perunding, SBA Consultants, projek ini bertapak di tanah yang keluasannya 898 hektar (2,200 ekar), dan fasa pembangunan pertamanya melibatkan keluasan 28.3 hektar (70 ekar). Menurut laporan, tujuan projek ini adalah untuk menerokai kawasan perlombongan itu sepenuhnya menggunakan teknologi moden. Ini kerana bijih yang dilombong dengan cara tradisional masih mengandungi emas. Dengan teknologi ini, Pahang akan menemui emas yang lebih banyak pada masa depan, seterusnya mewujudkan lebih peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar pekan tersebut.

Menurut laporan tersebut, projek ini sejajar dengan Industrial Master Plan negara kita, kerana bakal merangsang pembangunan ekonomi kawasan tersebut. EIA di negara kita biasanya dikemukakan oleh syarikat penasihat yang dilantik pemaju, dan bukannya dijalankan oleh pegawai dari Jabatan Alam Sekitar. Keadaan ini selalu mencungkil keraguan bahawa laporan tersebut memihak kepada pemaju.

Dalam EIA yang hanya mempunyai 12 muka surat ini, istilah "carbon in leach" dan "cyanide" hanya muncul sekali. "Cyanide" hanya diselit dalam bahagian pemprosesan, iaitu cyanide detoxification. Laporan tidak mengulas secara terperinci bahayanya bahan toksik ini, malah tidak mengulas secara terperinci proses "carbon in leach" dan pengendalian sisa bijih dan air.

Ketulan emas pertama

Laporan menganggarkan, "It is anticipated that the rate of mining achievable by the proposed mining scheme is about 35,000 tonne per month. Therefore, the operational life of the mine total throughput of 1,805,922 tonne can be estimated as 5 years inclusive of inclement weather, amendment in mining scheme etc."

Menurut pengenalan laman Monument, syarikatnya mengumumkan projek perlombongan emas ini pada Oktober 2008, dan mula melabur untuk pembinaan kilang di kawasan itu. Anggaran kos projek ini adalah USD 14juta. Pada Julai 2009, syarikatnya mula melombong, dan menghasilkan ketulan emas pertamanya dengan gravity circuit pada Oktober 2009. Kemudiannya, kemudahan untuk cara "carbon in leach" mula beroperasi pada Februari 2010.

Menurut EIA, projek tersebut bertapak di kawasan air Jelai, mempunyai tiga sungai, termasuk Sungai Kermoi, Sungai Merbau dan Sungai Selinsing. Kini, sungai tersebut tergolong sebagai kelas kedua dan ketiga, menurut Interim National Water Quality Standards dari Jabatan Alam Sekitar, iaitu sederhana dari paras pencemarannya.

Laporan ini tidak menyentuh bagaimana cyanide dan bahan kimia lain membawa kesan terhadap alam sekitar, sebaliknya membangkitkan masalah tanah runtuh, mendakan sungai, debu dan pencemaran udara; juga cadangan untuk mengurangkan pencemaran sedemikian.

Dalam kesimpulannya, syarikat penasihat SBA menganggap projek ini boleh dijalankan dari segi ekonomi dan persekitaran alam, berikutan hasil perlombongan yang lumayan, pasaran yang sedia ada dan perancangan yang sesuai dengan kawasan sekitarnya. Untuk ini, syarikat tersebut mencadangkan agar Jabatan Alam Sekitar meluluskan permohonan ini. Menurut maklumat dari laman Jabatan Alam Sekitar, EIA ini telah diluluskan pada tahun 2008.

Sumber gambar: http://www.monumentmining.com/main/?en&SelinsingGoldMineProject

*Chan Wei See ialah pemangku Ketua Pengarang MerdekaReview. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal.

Lynas : Suara Rakyat Perlu Dalam Panel Bebas

KUALA LUMPUR 27 APRIL : Kumpulan yang dinamakan “Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas” bagi membantah pembinaan loji pemprosesan nadir bumi menegaskan suara penduduk Kuantan diperlukan sebagai wakil mereka dalam panel bebas yang dibentuk kerajaan untuk mengkaji projek kontroversial bernilai RM700 juta itu.

Minggu lalu, Putrajaya mengumumkan satu panel bebas akan ditubuhkan bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu ekoran kebimbangan ia akan mencetuskan ancaman radioaktif.

Bagaimanapun kumpulan tersebut memaklumkan bahawa orang ramai tidak yakin dengan apa yang bakal dibincangkan panel itu kerana ia dibuat melalui perbincangan tertutup tanpa membabitkan suara penduduk.

Pengerusinya Vincent Jiam juga menggesa Lynas Corporation agar menghentikan kerja-kerja di loji tersebut memandangkan operasinya tetap akan diteruskan kerana apa yang hendak dilakukan oleh kerajaan tidak lebih daripada kerja perhubungan awam.

“Mereka seolah-olah sudah tahu keputusannya. Apa yang masyarakat katakan selama ini tidak diambil kira dan akhirnya masih berpegang kepada keputusan yang sama.

“Umum hanya akan mempercayai proses kajian ini sekiranya mereka menjadi sebahagian daripada panel,” katanya.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh juga berkata beliau telah meminta agar diadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai pembenukan panel bebas itu.

“Saya telah hantar surat kepada menteri pada hari Isnin (kelmarin). Saya masih menunggu pengesahan lantikan dan saya bersedia bila-bila masa minggu ini,” kata Naib Presiden PKR itu.

Minggu lalu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, panel itu akan dilantik “dalam beberapa hari” untuk mengkaji loji pemprosesan nadir bumi yang dilakukan oleh syarikat Australia itu di Gebeng dekat Kuantan.

Beliau menegaskan tiada lesen praoperasi akan dikeluarkan kepada Lynas dan tiada bahan mentah akan diimport ke Malaysia dari Australia sehingga Putrajaya dan kerajaan negeri Pahang memutuskan hasil kajian itu.

Bagaimanapun Lynas, memutuskan untuk meneruskan pembinaan loji pemprosesan itu sambil menyambut baik penubuhan panel bebas itu.

Lynas menjangkakan akan menerima lesen praoperasi daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) September ini, yang mana ia akan diperbaharui dalam tempoh tiga tahun.

“Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas” juga mahu wakil mereka dilantik dalam panel bebas itu sebagai pemerhati kajian tersebut.

“Kami mahu pakar kami bagi memastikan keseluruhan kajian itu dilakukan dengan telus,” kata Jiam.

AELB berkata panel itu terdiri daripada lima hingga tujuh orang pakar.

“Mereka diiktiraf Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),” kata Ketua Pengarah Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan, merujuk badan antarabangsa itu dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam hal-hal radioaktif.

Pencinta alam sekitar dan penduduk Kuantan mempersoalkan kesan sisa radioaktif yang dihasilkan dan pembinaan loji itu, bimbang akan mengulangi kejadian sama di Bukit Merah, Ipoh yang telah mencatatkan lapan kes leukaemia dengan tujuh kematian.

Selepas mendapat tentangan yang hebat ekoran kadar radiasi pada 1992, loji pemprosesan dibersihkan dengan kos melebihi RM300 juta.

Tekanan itu juga menyebabkan pemimpin MCA Pahang mahu satu kajian dilakukan sebelum loji itu mula beroperasi pada September.

Lynas menjangkakan ia akan mendapat keuntungan sehingga RM8 bilion bermula 2013 dari hasli nadir bumi yang boleh digunakan untuk mengeluarkan produk berteknologi tinggi seperti telefon pintar, kereta hibrid dan bahan letupan.

Pendakwa, peguam negara jadi alat politik Umno- Anwar

KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa Jabatan Peguam Negara dan pendakwaraya dalam kes Fitnah II, merelakan diri mereka menjadi alat politik dan diperhambakan Umno.

Beliau antara lain mempersoalkan kaedah ujian ke atas sampel DNA yang meragukan apabila saksi pendakwa ke-25, DSP Jude Pereira menyimpan sampel itu selama 96 jam sebelum menyerahkannya ke Jabatan Kimia.

“Pendakwa jadi alat politik Umno, mainkan isu sperma atau air mani, walaupun dalam keterangan mahkamah, 96 jam tidak ada (disimpan) dalam freezer, namun ia dipadamkan supaya jadi isu politik murahan,” tegas Anwar.

Fakta itu, kata Anwar dinafikan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dengan restu Peguam Negara Datuk Gani Patail.

“Datuk Yusof sama sekali tak sentuh hal itu samada sah mani itu walaupun dijelaskan rentetan peristiwa dari apa yang dikatakan kejadian, (sampel) disimpan dalam bilik Jude, tidak dalam freezer, dua hari berikutnya barulah diberikan kepada Jabatan Kimia.

“Jadi Peguam Negara hanya menjalankan kerja mereka untuk memuaskan hati tuan politik mereka,” kata Anwar sewaktu bercakap kepada wartawan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Menurut Anwar, Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan terus menjadikan kes fitnah II itu sebagai senjata memburukkan nama baik beliau, meskipun hakikatnya kes itu sepatutnya telah digugurkan.

“Semua tahu kes ini tidak ada asas, tapi seperti kita tahu Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan terus mencela kita seolah-olah mereka ini orang-orang yang baik moral mereka.

“Jadi itu sahaja kekuatan mereka, kalau tunjuk moral Anwar ini kurang baik mereka akan menang,” kata Anwar.

Kes perbicaraan Fitnah II ditangguhkan hari ini selepas kedua-dua peguam bela dan pendakwa raya selesai membentangkan hujah penggulungan mereka.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 16 Mei depan sebagai tarikh untuk beliau mengumumkan samada Anwar akan dipanggil membela diri atau membuang kes berkenaan.