AG: Kenyataan Raja Petra wajib

April 27, 2011
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail
PUTRAJAYA, 27 April — Kenyataan Raja Petra Kamarudin perlu dimasukkan dalam kertas siasatan polis terhadap penulis blog itu, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau berkata berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siasatan terhadap Raja Petra, yang juga dikenali sebagai RPK, yang didakwa memberi maklumat palsu mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

“Saya belum tahu lagi siasatan itu sebenarnya mengenai apa. Saya hanya boleh komen selepas polis menyerahkan kertas siasatan,” katanya kepada pemberita.

Kenyataan Raja Petra mesti dimasukkan dalam kertas siasatan memandangkan dia adalah subjek siasatan itu, kata beliau dipetik Bernama Online.

Satu lagi laporan semalam memetik Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya belum mengambil keterangan Raja Petra walaupun telah bertemu dengan editor portal Malaysia Today itu di Bangkok, Thailand.

Khalid menjelaskan pertemuan polis dan Raja Petra itu hanya “perjumpaan biasa” kerana ia berlangsung di sebuah hotel tempat beliau menginap.

Beliau berkata, kuasa Polis Diraja Malaysia terhad apabila berada di luar negara kerana keterangan hanya boleh diambil di pejabat Kedutaan Malaysia di negara terbabit.

“Ia hanya perjumpaan biasa dan pada masa itu RPK bersetuju untuk hadir ke pejabat kedutaan itu untuk memberi keterangan pada hari lain,” katanya.

Laporan Bernama kelmarin menyebut Raja Petra kini disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu berhubung akuan bersumpahnya mengaitkan Perdana Menteri dan isterinya dengan kes Altantuya.

Dalam temu bualnya dengan TV3, Raja Petra mendedahkan bahawa akuan bersumpah beliau pada 2008 yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan itu adalah berdasarkan maklumat dan desakan beberapa individu bertujuan menyekat Najib, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, daripada menjadi Perdana Menteri.

Raja Petra turut mendedahkan beberapa nama yang didakwanya memberi maklumat berkenaan kepada beliau.

Ahad lepas, Raja Petra dalam satu dialog dengan Pergerakan Bebas Sivil Malaysia (MCLM) berkata PDRM pada mulanya mahu menemu bual beliau di Kedutaan Malaysia di Bangkok, namun atas nasihat para peguamnya, beliau telah mengubah tempat ke ‘kawasan neutral’ iaitu hotel tempat beliau menginap.

Semasa perjumpaan itu, Raja Petra mengulangi pendiriannya bahawa beliau dituduh secara salah memandangkan beliau tidak membuat dakwaan terhadap Rosmah dan dua yang lain tetapi terhadap sumbernya, seorang anggota tentera berpangkat kolonel yang memberinya maklumat.

Ahad lalu, Raja Petra menulis bahawa pihak polis mahu mengambil kenyataan daripadanya berkaitan laporan Utusan Malaysia susulan temu bual siaran TV3 dua minggu lalu.

Malah kata beliau “drama Bangkok” juga menunjukkan nasib yang menimpa dirinya berulang dikenakan tuduhan fitnah jenayah selepas ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Sehubungan itu, katanya polis mendampingi beliau di ibu negara Thailand Sabtu lalu untuk mendapatkan kenyataan beliau bukan berkaitan temu bual TV3 ataupun akuan bersumpah (SD) yang dibuatnya tiga tahun lalu.

“Nampaknya Utusan Malaysia membawa satu laporan berita mengenai temu bual dengan TV3 dan satu laporan polis yang dibuat oleh pihak tertentu berkaitan dengan laporan Utusan Malaysia.

“Jadi, ia bukannya mengenai SD saya buat pada Jun 2008. Ia mengenai temu bual saya dengan TV3. Ia mengenai laporan berita Utusan Malaysia,” kata Raja Petra.

No comments: