Semakan Kehakiman Cabar Pengharaman Kartun Zunar Ditangguh 11 Mei




KUALA LUMPUR 27 APRIL : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 11 Mei ini sebagai tarikh baru untuk mendengar semakan kehakiman yang difailkan Malaysiakini.com dan penerbit buku, Sepakat Efektif.

Ia berikutan tindakan yang diambil dua pihak terbabit bagi mencabar pengharaman yang dikenakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap dua buku kartunis Zunar iaitu ‘ komik 1Funny Malaysia’ dan ‘Perak Darul Kartun’.

Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan MKINI Dotcom, syarikat yang menguruskan portal berita Malaysiakini dan penerbit Sepakat Efektif, yang mewakili kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque untuk mencabar pengharamanbagi kedua-dua komik itu oleh KDN.

’1Funnya Malaysia’ diterbitkan pada November 2009 dan ia merupakan rampaian kartun satira pentadbiran dan politik Malaysia oleh Zunar yang diterbitkan Malaysiakini sejak Oktober 2006 sehingga November 2009.

Sementara, ‘Perak Darul Kartun’ yang dikeluarkan Sepakat Efektif pula diterbitkan pada November 2009 dan ia mengandungi rampaian kartun beberapa kartunis yang diketuai Zunar.

KDN mengharamkan pencetakan, penghasilan, jualan, pengedaran, atau pemilikan kedua-dua buku itu atas alasan kononnya ia mengganggu ketenteraman awam.

MKINI dalam permohonan mereka berkata kartun di dalam buku ’1Funny Malaysia’ sudah diterbitkan di portal berita Malaysiakini selama lebih dua tahun malahan ia sudah diedarkan selama lebih tiga bulan sebelum diharamkan.

Sepakat Efektif pula berkata ‘Perak Darul Kartun’ sudah diedarkan selama lebih enam bulan sejak November 2009 dan syarikat itu tidak pernah menerima sebarang laporan ia mengganggu ketenteraman awam.

Mereka memohon agar pengharaman ke atas buku itu diisytihar tidak sah kerana ia bercanggah dengan Seksyen 7 Akta Penerbitan dan Percetakan 1984, dan melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

No comments: