"Harakah dalam bahaya", Mustafa Ali harus berundur segera

 Oleh: Jebon

Wacana 'Harakah dalam bahaya, mendesak Mustafa Ali berundur' yang dianjur oleh NGO Seniman Paksi Rakyat dan PAS Kawasan Batu di Madrasah Tarbiyah Kampung Banda Dalam , Gombak, 28 Januari lalu agak  menarik dan mengupas secara lebih mendalam perancangan kumpulan Unity Government (UG) menjelang Muktamar pemilihan PAS, Jun depan.

Forum tersebut dihadiri oleh beberapa panel yang mengetahui selok-belok Harakah dan perancangan puak UG untuk menguasai lidah rasmi PAS itu bagi melancarklan agenda mereka menguasai pimpinan bawahan.

Kehadiran bekas Editor Berita Harakah, Datuk Tarmizi Mohd Jam menguatkan hujah tentang wujudnya perancangan puak UG menguasai akhbar parti. Puak UG sebelum ini didakwa menamatkan kontrak Tarmizi, Editor Rencana Roslan Hamid dan sedang berusaha untuk menamatkan jawatan Ketua Pengarang Ahmad Lutfi Othman.

Forum itu diberitahu, perancangan puak UG untuk menguasai Harakah, sama ada dilakukan secara bersama Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali atau pun dengan pengetahuan beliau. Oleh itu, ahli panel menuntut agar Mustafa Ali agar berundur dari kerusi Lembaga Pengarah Harakah secepat mungkin.

Mustafa - Umno

Mustafa merupakan satu-satunya ahli politik yang mempunyai sejarah panjang bersama lidah rasmi PAS itu. Beliau didakwa memonopoli Harakah sebagai lembaga pengarah selama 27 tahun. Ketika ini, beliau didakwa pula menggunakan medium tersebut untuk untuk merealisasikan hasrat puak UG menguasai PAS secara keseluruhan.

Mustafa menekan Lufti agar bersara awal, konon kerana kemerosotan jualan. Namun jumlah sebenar jualan Harakah tidak pernah didedahkan. Harakah juga tidak pernah diaudit oleh audit bebas yang berautoriti agar perjalanan kewangannya tidak disalah gunakan.  Hari ini, perjalanan kewangan Harakah, dilaporkan, amat meragukan.

Forum juga diberitahu mengenai kecuriaan sebahagian pemimpin PAS akan agenda sebenar Mustafa bersama Umno. Hal ini kerana, hanya Mustafa pemimpin yang masih tinggal dalam ranking kepimpinan PAS yang pernah duduk dalam Kerajaan Perpaduan PAS-Umno pada tahun 1971-1978. Beliau pernah menjawat jawatan Setia Usaha Parlimen dan Timbalan Menteri ketika kerajaan perpaduan itu berlangsung. Tak hairanlah sekali lagi Mustafa akan memainkan peranan sebagai "broker" UG bersama Umno.

Menurut sumber PAS, sebelum ini, tumpuan terarah kepada Majlis Syura Ulama yang dilihat cuba menerapkan agenda Umno ke dalam PAS, tetapi maklumat terbaharu yang diterima mendakwa Setiausaha Agung PAS juga terlibat.

Mustafa didakwa melakukan serangan ke atas DAP untuk menghidupkan isu Islam – Melayu dalam kalangan ulama PAS. Sidang media Mustafa mendapat tempat dalam berita TV3 dan juga muka depan Sinar Harian - akhbar yang pemiliknya adalah totok Umno.

Pilih kasih

Polemik pilihan raya PBT yang ditimbulkan antaranya oleh Mustafa memburukkan lagi imej PAS apabila isu rusuhan kaum 13 Mei dimainkan tidak kena pada tempatnya. Hujah Mustafa juga menyebabkan Naib Presiden PAS yang selalunya menyokong Hadi, mengeluarkan kenyataan menjengkelkan. Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru agar Pakatan Rakyat bersatu membela rakyat yang semakin ditindas BN dan bukannya bersengketa sesama sendiri.

Selain itu, ahli panel juga menyelar sikap Mustafa sebagai setiausaha agung yang tidak mewakili semua ahli dan pemimpin PAS dalam membincangkan masalah peringkat bawahan. Hanya masalah-masalah yang difikirkan sesuai dengan agenda tertentu sahaja diperbincangkan manakala isu-isu lain diketepikan begitu sahaja.

Di akhir forum, pengerusi mengumumkan jumlah pendengar yang mengikuti sesi "Harakah dalam bahaya" yang disiarkan oleh Radioa PedasFM  adalah seramai 755,000 orang.

Tuan Ibrahim tak mahu serang menyerang dalam PR

 Oleh: Jebon

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberi amaran kepada para pemimpin Pakatan Rakyat (PR), rakyat Malaysia sudah muak dengan pertembungan dan saling menyerang antara satu sama lain sebagaimana berlaku sekarang.

Ingatan ini diberikan beliau ketika PAS dan DAP terlibat dalam serang menyerang yang teruk termasuk presiden parti Islam itu sendiri yang menempelak DAP dalam isu kerajaan tempatan.

Tuan Ibrahim mengajak semua pihak mengenepikan perbezaan dan memberikan fokus kepada persamaan antara mereka.

"Bukankah PR pernah bersetuju yang persamaan antara tiga parti ini jauh melebihi perbezaan antara mereka?

"Mengapa harus terus bertelingkah atas perkara yang berbeza tapi mengetepikan perkara yang membawa kita bersama?" katanya yang jelas tidak senang dengan pertelingkahan verbal antara parti dalam PR yang berlaku sekarang.

Baru-baru ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerang DAP dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan, ekoran perdebatan terbuka di media antara Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke mengenai isu hudud.

Hadi mendakwa jika pilihan raya kerajaan tempatan diadakan, ia boleh membawa kepada tercetusnya semula peristiwa 13 Mei, menyebabkan pelbagai pihak menyerang beliau.

Bagi Tuan Ibrahim, setiap parti mempunyai dasar dan agenda masing-masing.

Prinsip perjuangan polisi dan dasar itulah yang menjadi nadi untuk setiap parti terus berjalan dan terus maju.

"Apabila wujudnya gabungan politik antara parti, maka harus wujudlah pula sikap tolak ansur dan hormat-menghormati antara setiap parti," katanya.

Bagi beliau, apabila jurang perbezaan yang diperbesarkan, maka ruang persamaan akan mengecil. Jika ini berterusan, muafakat itu akan pasti hancur.

"Sebaliknya, apabila kita membesarkan ruang persamaan, maka akan kecillah jurang perbezaan. Dengan itu, muafakat itu akan kekal dan subur.

"Sikap inilah yang sepatutnya dikekalkan seandainya PR ingin terus kekal," katanya.

Sekiranya ketiga-tiga parti berasa jurang perbezaan terlalu besar dan tidak mungkin lagi adanya muafakat serta sikap saling menghormati, barangkali sudah sampai masanya memikirkan semula segalanya kerana setiap parti sedar tiada parti yang boleh berjaya jika ia bersendirian, katanya.

Namun hakikatnya, kata Tuan Ibrahim,m semua pihak sayangkan gabungan PR, dan rakyat pernah menaruh harapan besar terhadap gabungan politik ini.

Oleh itu, katanya PR perlu memandang ke hadapan dan melihat musibah besar yang sedang melanda negara dan keperluan rakyat ini memerlukan perubahan besar kepimpinan politik negara.

Isu rasuah, hutang negara dan bebanan ekonomi rakyat,  isu keselamatan negara dan penyalahgunaan kuasa kepimpinan BN, semuanya memerlukan tindakan dan perhatian segera dan khusus, katanya.

"Semua ini medan yang baik bagi membina persamaan antara parti komponen PR dan juga mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PR," tegasnya

Mustafa Ali tak akui peranan Anwar bawa perubahan politik

 Oleh: Jebon

Pemimpin PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail membidas kenyataan Datuk Mustafa Ali hari ini yang mengatakan hubungan dalam Pakatan Rakyat (PR) kukuh sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Bekas setiausaha agung PKR itu mengingatkan PAS tidak harus berada dalam sindrom penafian kerana enggan mengakui peranan ketua umum PKR itu.

"Isu Anwar bebas atau tidak tetap akan beri impak kepada Pakatan dan rakyat keseluruhannya, impak itu tetap relevan," kata bekas ahli Parlimen Machang itu kepada The Malaysian Insider.

"Pada 2004, kita sudah lihat bagaimana hubungan antara parti dengan parti tidak memadai dan buktinya Barisan Alternatif (BA) tidak mampu diselamatkan dan isu negara Islam akhirnya menyebabkan perpecahan," kata Saifuddin yang juga pengarah pilihan raya PKR.

Saifuddin juga membangkitkan prestasi parti pembangkang ketika itu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya menang besar di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Saifuddin berkata, PAS tidak harus menafikan perkara tersebut dan membuat perbandingan dengan keputusan diperoleh PR pada 2008 dan 2013 selepas Anwar dibebaskan.

"Kita tidak perlu dalam sindrom penafian, kita harus jujur.

"Semasa pilihan raya 2008 dan 2013, pilihan raya ketika itu berlangsung ketika Anwar yang bebas dan hasilnya Pakatan berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN. Malah menang undi popular.”

Saifuddin berkata, keputusan mahkamah pada Februari depan penting kepada masa depan PR dan juga harapan rakyat yang mahu melihat sistem 2 parti berjaya.

"Anwar adalah simbol perjuangan reformasi dan harapan untuk alternatif rakyat, maka keputusan mahkamah nanti tetap sangat penting.

"Anwar adalah seorang personaliti yang kuat, beliau (Mustafa) tidak boleh keluarkan kenyataan simplistik sedemikian," katanya.

Selaku pemimpin kanan, Saifuddin juga membidas Mustafa yang dilihat mengeluarkan kenyataan yang tidak bijaksana.

"Sebagai pemimpin senior, beliau (Mustafa) perlu keluar kenyataan yang lebih bijaksana," katanya.

Jika PAS enggan mengiktiraf peranan ketua umum PKR itu, Saifuddin berkata, biarlah rakyat sendiri yang menilai dan mengiktiraf signifikan Anwar dalam arena politik negara.

"Kalau benar PAS tidak iktiraf atau mengakui signifikan Anwar dalam politik dan negara, biarlah rakyat terbanyak dan pendokong reformasi di Malaysia terus berdoa demi pembebasan Anwar.”

Mustafa hari ini pada satu sidang media berkata hubungan PR akan tetap menjadi lebih kukuh walaupun tanpa Anwar jika dihukum penjara.

10 Februari depan ialah keputusan rayuan terakhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Pemimpin PAS perlu hantar deligasi pujuk Hadi tidak pertahan jawatan

 Oleh: Jebon


Dua ucapan berbeza dalam minggu yang sama dikeluarkan oleh pemimpin PAS memungkin satu penyelesaian baharu akan tercapai dalam parti itu.


Pertama, ucapan Presiden Hadi Awang yang semakin keras dan memandang seolah-olah tiada keperluan untuk terus bersama Pakatan Rakyat. Hadi ‘menghalau’ sesiapa sahaja dalam PAS yang tidak sealiran dengan puaknya agar menjadi ahli parti lain.

“Inilah bahtera PAS. Kita dalam Pakatan Rakyat bukanlah dalam bahtera yang sama. PKR bahtera lain, DAP bahtera lain, kena faham. Jika ada yang merasakan bahtera ini bergerak perlahan, ada kekurangan, jangan bocor dan rosakkan bahtera ini. PasMa ibarat mereka yang menebuk kapal.

“Kalau rasa payah sangat pergilah ke bahtera lain yang kamu suka yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi. Pergilah ke kapal DAP, kapal PKR, kalau nak cepat lagi ke Putrajaya pergilah ke bahtera Umno,” kata Hadi.

Manakala satu lagi kenyataan dikeluarkan oleh Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyeru agar parti itu mengecilkan perbezaan pendapat dengan PR.

“PR perlu memandang ke hadapan dan melihat musibah besar yang sedang melanda negara dan keperluan rakyat ini memerlukan perubahan besar kepimpinan politik negara.

“Isu rasuah, hutang negara dan bebanan ekonomi rakyat,  isu keselamatan negara dan penyalahgunaan kuasa kepimpinan BN, semuanya memerlukan tindakan dan perhatian segera.

"Semua ini medan yang baik bagi membina persamaan antara parti komponen PR dan juga mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PR," tegas Tuan Ibrahim.

Sebelum ini, PAS terikat kepada aliran keras yang menyokong Hadi dan kepimpinan ulama Unity Government (UG). Kini beberapa pemimpin PAS dari kalangan ulama dilihat mula mempunyai pemikiran berbeza dan tidak menyetujui cara Hadi ‘menjauhkan diri’ dari PR.

Tuan Ibrahim berwibawa

Kenyataan Tuan Ibrahim lebih waras berbanding Hadi yang sebelum ini mengaitkan pilihan raya PBT dengan isu perkauman dan kemungkinan tercetusnya rusuhan 13 Mei sekiranya pilihan raya itu diwujudkan semula.

Presiden PAS hilang kredibiliti dan diragui tahap pemikirannya apabila menjungkir balik dasar parti itu lewat kontroversi hubungan kaum berkenaan. Hadi berkata, pilihan raya PBT akan menguntungkan Cina dan bandar-bandar besar akan ditadbir Cina sekiranya kehendak DAP itu direalisasikan.

Namun beliau terlupa sejak PRU 2008, PAS meletakkan seorang calon Melayu Dr Mariah Mahmud di parlimen Kota Raja, Selangor. Parlimen itu adalah kubu kuat MIC. PAS membuat kejutan meletak calon Melayu di kawasan majoriti India dan kemudian berbangga kerana pengundi India mengundi Melayu Islam.

Sejak 2008, Kota Raja dijaja oleh PAS sebagai pengakhiran politik perkauman tajaan Umno BN. Etnik India digambarkan tidak memilih bangsa mereka sendiri sebagai wakil kerana lebih yakin kepada politik Islam, kemampuan pemimpin Islam melakukan  kerja sebagai ahli parlimen dan sebagainya.

Hadi u turn

Tiba-tiba pada 2015, Hadi melakukan u-turn. Penyokong PAS dari kalangan India dan Cina terpinga-pinga. Bagi mereka tiada masalah untuk PAS bertanding kerusi Datuk Bandar dan meletakkan calon Melayu kerana politik baru sejak 2008 adalah politik nilai dan bukannya berasaskan kaum.

Lagi pun mengikut data rasmi bancian 2010, populasi Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah 45.9% melebihi populasi Cina 43.2%.

Daripada 3 dewan bandaraya, 9 majlis perbandaran dan 37 majlis daerah di Malaysia, hanya 6 yang mempunyai populasi Cina melebihi Melayu – Ipoh, Kuching Selatan, Johor Baru Tengah, Pulau Pinang, Sibu dan Subang Jaya.

Bermakna 88% daripada kawasan bandar mempunyai penduduk Melayu yang ramai, malah di kawasan bandar seperti Petaling Jaya, populasi Melayu adalah 46.2% dan melebihi kaum Cina 39.6%.

Malah di kawasan majoriti Cina pun, Cina dan India penyokong PR tidak punya masalah untuk melantik ketua pentadbir Melayu sekiranya terbukti lebih cekap menjalankan tugas berbanding calon daripada kaum mereka.

Bukankah sejak sekian lama pemimpin spiritual Nik Aziz mengajarkan Islam mementingkan kualiti dan bukan kuantiti? Islam pernah menaikkan bangsa Arab pada permulaan sejarah, namun apabila Arab lemah dan lalai maka bangsa Turki menguasai melalui tamadun Usmaniyah.

Dalam seminggu, Hadi hilang sokongan dalam kalangan pengundi Cina dan India. Dalam minggu yang sama juga ahli PAS melihat kemunculan bintang baharu dalam parti itu yang boleh digilap, iaitu Tuan Ibrahim yang lebih jujur dan waras pandangan politiknya.

Jangan pertahan jawatan


Secara jujur, ahli PAS mengharapkan Tuan  Guru Hadi tidak lagi mempertahankan jawatan dalam Muktamar pemilihan Jun depan. Bukan sahaja kerana faktor kesihatan yang memerlukan beliau banyak berehat tetapi juga oportunis-oportunis politik yang bergayut dan mempergunakan beliau tidak disukai oleh ahli PAS yang berakal waras.

Menurut sumber dalaman, Hadi sebenarnya berfikir untuk bersara. Namun puak UG dalam PAS mahukan beliau terus memegang kuasa agar agenda mereka menjarakkan PAS dari PR berjaya. Tidak mustahil kenyataan pilihan raya PBT bukan dikarang sendiri oleh Hadi tetapi melalui campur tangan pegawai-pegawai beliau yang pro UG.

Rakan-rakan lama Hadi juga terkejut apabila Hadi mengeluarkan kenyataan menghalau ahli PAS yang tidak sebulu dengan pendirian UG agar menyertai DAP, PKR dan Umno. Bagi mereka Hadi bukankah Hadi yang mereka kenal sejak lama dahulu. Hadi yang mereka kenal tidak pernah menyebut mengenai Umno atau menghalau rakan-rakan seperjuangan keluar parti.

Maka bagi mengelakkan kerosakan yang lebih parah, wajar pemimpin generasi baru PAS membentuk deligasi memujuk Hadi agar tidak lagi mempertahankan jawatan beliau. Hadi tidak boleh jadi kuda tunggangan puak UG. Dengan bersaranya Hadi maka oportunis Mustafa Ali juga boleh disingkir dari tampuk kuasa PAS.

Mustafa bukan sahaja gagal menjadi pendamai dalam PAS tetapi politik oportunis beliau menyebabkan PAS berpecah lebih teruk daripada sewajarnya.

Meremajakan parti

Sekiranya PAS melantik presiden baru maka parti itu akan dilihat mempunyai harapan baru. Sokongan akan diremajakan semula. Pasma akan kembali menjadi penyokong kuat presiden dan saf kepimpinan ulama.

Jika Umno yang hampir masuk kubur di bawah Mahathir boleh menang besar PRU 2004 sebaik sahaja cucu ulama Pulau Pinang, Pak Lah mengambil alih kepimpinan, apatah lagi PAS yang sedang meningkat naik namanya dalam kalangan generasi muda yang mengutamakan politik nilai.

Tuan Ibrahim adalah calon paling layak menggantikan Hadi. Dinamisme Tuan Ibrahim yang tidak anti PR pasti akan menjadikan PAS lebih berwibawa di mata masyarakat berbilang kaum.

PAS kini ditertawakan oleh Melayu Umno kerana akhirnya mengikut rentak perjuangan Umno mengutamakan raja, Ketuanan Melayu dan Islam sempit.

Penyokong atas pagar semakin keliru kerana PAS kembali ke zaman Asri Muda yang tidak toleran kepada modenisasi dan kelihatan menerima idea-idea perkauman Umno.

Hanya perubahan kepimpinan sahaja yang mampu menyelamatkan parti itu daripada kalah dalam PRU 14. PAS pernah menjadi parti kedai kopi dan sekolah pondok bertahun-tahun lamanya. Kemunculan politik baru bersama Anwar Ibrahim meletakkan parti itu memerintah di banyak kawasan dan dipercayai oleh bukan Islam.

PAS tidak boleh ego dan meletakkan kepentingan yang salah untuk kembali menjadi parti kedai kopi. Parti perlu ke hadapan. Sekiranya Hadi, Tantawi, Mustafa Ali, Nik Abduh, Zuhdi dan lain-lain mahu ke belakang maka mereka mesti ditinggalkan dan tidak boleh dijadikan beban.