Pemimpin PAS perlu hantar deligasi pujuk Hadi tidak pertahan jawatan

 Oleh: Jebon


Dua ucapan berbeza dalam minggu yang sama dikeluarkan oleh pemimpin PAS memungkin satu penyelesaian baharu akan tercapai dalam parti itu.


Pertama, ucapan Presiden Hadi Awang yang semakin keras dan memandang seolah-olah tiada keperluan untuk terus bersama Pakatan Rakyat. Hadi ‘menghalau’ sesiapa sahaja dalam PAS yang tidak sealiran dengan puaknya agar menjadi ahli parti lain.

“Inilah bahtera PAS. Kita dalam Pakatan Rakyat bukanlah dalam bahtera yang sama. PKR bahtera lain, DAP bahtera lain, kena faham. Jika ada yang merasakan bahtera ini bergerak perlahan, ada kekurangan, jangan bocor dan rosakkan bahtera ini. PasMa ibarat mereka yang menebuk kapal.

“Kalau rasa payah sangat pergilah ke bahtera lain yang kamu suka yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi. Pergilah ke kapal DAP, kapal PKR, kalau nak cepat lagi ke Putrajaya pergilah ke bahtera Umno,” kata Hadi.

Manakala satu lagi kenyataan dikeluarkan oleh Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyeru agar parti itu mengecilkan perbezaan pendapat dengan PR.

“PR perlu memandang ke hadapan dan melihat musibah besar yang sedang melanda negara dan keperluan rakyat ini memerlukan perubahan besar kepimpinan politik negara.

“Isu rasuah, hutang negara dan bebanan ekonomi rakyat,  isu keselamatan negara dan penyalahgunaan kuasa kepimpinan BN, semuanya memerlukan tindakan dan perhatian segera.

"Semua ini medan yang baik bagi membina persamaan antara parti komponen PR dan juga mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PR," tegas Tuan Ibrahim.

Sebelum ini, PAS terikat kepada aliran keras yang menyokong Hadi dan kepimpinan ulama Unity Government (UG). Kini beberapa pemimpin PAS dari kalangan ulama dilihat mula mempunyai pemikiran berbeza dan tidak menyetujui cara Hadi ‘menjauhkan diri’ dari PR.

Tuan Ibrahim berwibawa

Kenyataan Tuan Ibrahim lebih waras berbanding Hadi yang sebelum ini mengaitkan pilihan raya PBT dengan isu perkauman dan kemungkinan tercetusnya rusuhan 13 Mei sekiranya pilihan raya itu diwujudkan semula.

Presiden PAS hilang kredibiliti dan diragui tahap pemikirannya apabila menjungkir balik dasar parti itu lewat kontroversi hubungan kaum berkenaan. Hadi berkata, pilihan raya PBT akan menguntungkan Cina dan bandar-bandar besar akan ditadbir Cina sekiranya kehendak DAP itu direalisasikan.

Namun beliau terlupa sejak PRU 2008, PAS meletakkan seorang calon Melayu Dr Mariah Mahmud di parlimen Kota Raja, Selangor. Parlimen itu adalah kubu kuat MIC. PAS membuat kejutan meletak calon Melayu di kawasan majoriti India dan kemudian berbangga kerana pengundi India mengundi Melayu Islam.

Sejak 2008, Kota Raja dijaja oleh PAS sebagai pengakhiran politik perkauman tajaan Umno BN. Etnik India digambarkan tidak memilih bangsa mereka sendiri sebagai wakil kerana lebih yakin kepada politik Islam, kemampuan pemimpin Islam melakukan  kerja sebagai ahli parlimen dan sebagainya.

Hadi u turn

Tiba-tiba pada 2015, Hadi melakukan u-turn. Penyokong PAS dari kalangan India dan Cina terpinga-pinga. Bagi mereka tiada masalah untuk PAS bertanding kerusi Datuk Bandar dan meletakkan calon Melayu kerana politik baru sejak 2008 adalah politik nilai dan bukannya berasaskan kaum.

Lagi pun mengikut data rasmi bancian 2010, populasi Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah 45.9% melebihi populasi Cina 43.2%.

Daripada 3 dewan bandaraya, 9 majlis perbandaran dan 37 majlis daerah di Malaysia, hanya 6 yang mempunyai populasi Cina melebihi Melayu – Ipoh, Kuching Selatan, Johor Baru Tengah, Pulau Pinang, Sibu dan Subang Jaya.

Bermakna 88% daripada kawasan bandar mempunyai penduduk Melayu yang ramai, malah di kawasan bandar seperti Petaling Jaya, populasi Melayu adalah 46.2% dan melebihi kaum Cina 39.6%.

Malah di kawasan majoriti Cina pun, Cina dan India penyokong PR tidak punya masalah untuk melantik ketua pentadbir Melayu sekiranya terbukti lebih cekap menjalankan tugas berbanding calon daripada kaum mereka.

Bukankah sejak sekian lama pemimpin spiritual Nik Aziz mengajarkan Islam mementingkan kualiti dan bukan kuantiti? Islam pernah menaikkan bangsa Arab pada permulaan sejarah, namun apabila Arab lemah dan lalai maka bangsa Turki menguasai melalui tamadun Usmaniyah.

Dalam seminggu, Hadi hilang sokongan dalam kalangan pengundi Cina dan India. Dalam minggu yang sama juga ahli PAS melihat kemunculan bintang baharu dalam parti itu yang boleh digilap, iaitu Tuan Ibrahim yang lebih jujur dan waras pandangan politiknya.

Jangan pertahan jawatan


Secara jujur, ahli PAS mengharapkan Tuan  Guru Hadi tidak lagi mempertahankan jawatan dalam Muktamar pemilihan Jun depan. Bukan sahaja kerana faktor kesihatan yang memerlukan beliau banyak berehat tetapi juga oportunis-oportunis politik yang bergayut dan mempergunakan beliau tidak disukai oleh ahli PAS yang berakal waras.

Menurut sumber dalaman, Hadi sebenarnya berfikir untuk bersara. Namun puak UG dalam PAS mahukan beliau terus memegang kuasa agar agenda mereka menjarakkan PAS dari PR berjaya. Tidak mustahil kenyataan pilihan raya PBT bukan dikarang sendiri oleh Hadi tetapi melalui campur tangan pegawai-pegawai beliau yang pro UG.

Rakan-rakan lama Hadi juga terkejut apabila Hadi mengeluarkan kenyataan menghalau ahli PAS yang tidak sebulu dengan pendirian UG agar menyertai DAP, PKR dan Umno. Bagi mereka Hadi bukankah Hadi yang mereka kenal sejak lama dahulu. Hadi yang mereka kenal tidak pernah menyebut mengenai Umno atau menghalau rakan-rakan seperjuangan keluar parti.

Maka bagi mengelakkan kerosakan yang lebih parah, wajar pemimpin generasi baru PAS membentuk deligasi memujuk Hadi agar tidak lagi mempertahankan jawatan beliau. Hadi tidak boleh jadi kuda tunggangan puak UG. Dengan bersaranya Hadi maka oportunis Mustafa Ali juga boleh disingkir dari tampuk kuasa PAS.

Mustafa bukan sahaja gagal menjadi pendamai dalam PAS tetapi politik oportunis beliau menyebabkan PAS berpecah lebih teruk daripada sewajarnya.

Meremajakan parti

Sekiranya PAS melantik presiden baru maka parti itu akan dilihat mempunyai harapan baru. Sokongan akan diremajakan semula. Pasma akan kembali menjadi penyokong kuat presiden dan saf kepimpinan ulama.

Jika Umno yang hampir masuk kubur di bawah Mahathir boleh menang besar PRU 2004 sebaik sahaja cucu ulama Pulau Pinang, Pak Lah mengambil alih kepimpinan, apatah lagi PAS yang sedang meningkat naik namanya dalam kalangan generasi muda yang mengutamakan politik nilai.

Tuan Ibrahim adalah calon paling layak menggantikan Hadi. Dinamisme Tuan Ibrahim yang tidak anti PR pasti akan menjadikan PAS lebih berwibawa di mata masyarakat berbilang kaum.

PAS kini ditertawakan oleh Melayu Umno kerana akhirnya mengikut rentak perjuangan Umno mengutamakan raja, Ketuanan Melayu dan Islam sempit.

Penyokong atas pagar semakin keliru kerana PAS kembali ke zaman Asri Muda yang tidak toleran kepada modenisasi dan kelihatan menerima idea-idea perkauman Umno.

Hanya perubahan kepimpinan sahaja yang mampu menyelamatkan parti itu daripada kalah dalam PRU 14. PAS pernah menjadi parti kedai kopi dan sekolah pondok bertahun-tahun lamanya. Kemunculan politik baru bersama Anwar Ibrahim meletakkan parti itu memerintah di banyak kawasan dan dipercayai oleh bukan Islam.

PAS tidak boleh ego dan meletakkan kepentingan yang salah untuk kembali menjadi parti kedai kopi. Parti perlu ke hadapan. Sekiranya Hadi, Tantawi, Mustafa Ali, Nik Abduh, Zuhdi dan lain-lain mahu ke belakang maka mereka mesti ditinggalkan dan tidak boleh dijadikan beban.


No comments: