Hari memperingati tahap kebebasan akhbar Malaysia yang merosot

3 Mei, iaitu hari esok, diraikan oleh hampir seluruh dunia setiap tahun, terutamanya komuniti wartawan dan pencinta kebebasan akhbar dan bersuara, kerana ia merupakan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.

Tapi di Malaysia, hari berkenaan seharusnya menjadi waktu semata-mata untuk memperingatkan diri kita bahawa tahap kebebasan akhbar di tanah air ini adalah memalu dan semakin mengaibkan. Tahun lepas Malaysia memperoleh tangga 141 seantero dunia, 10 takuk ke bawah dari tahun 2009.

Seolah-olah keaiban ini tidak mencukupi, Malaysia didapati berada di tingkat bawah daripada Singapura yang lazimnya dikaitkan dengan kebebasan akhbar yang tersekat.

Sesungguhnya, tahap kebebasan akhbar adalah penting kerana ia adalah salah satu petanda utama terhadap darjah demokrasi yang wujud dalam sesebuah negara yang menyifatkan dirinya demokratik.

Malaysia tidak ada sebab kukuh untuk merai dan merayakan hari tersebut lebih-lebih lagi pada masa-masa kebelakangan ini. Banyak benda yang berlaku yang sebenarnya mencabul kebebasan yang sepatutnya ada pada media, khususnya akhbar arus perdana. Malah ada benda yang berlaku dalam dunia persuratkhabaran Malaysia yang merendahkan martabat dan kredibiliti media arus perdana.

Satu contoh yang ketara dan terkini ialah isu yang berkaitan dengan skandal video seks yang kononnya melibatkan Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim. Akhbar arus perdana khususnya bukan sahaja melaporkan hal ini, malah "memperagakan" klip video lucah di dada akhbar tanpa segan silu walaupun menyedari bahawa pembacanya juga termasuk kanak-kanak atau makhluk yang berusia amat muda.

Ketibaan pemimpin luar negara, seperti Perdana Menteri China, di Malaysia nampaknya tidak berupaya "bersaing" dengan kisah video seks itu dari segi keutamaan politik dan "nilai berita".

"Kebebasan" menyiarkan foto dan berita begitu menonjol sekali dalam akhbar bukanlah menandakan satu pencapaian atau kemajuan dalam pemberitaan yang patut kita banggakan. Ini satu langkah ke belakang.

Kita mungkin boleh cuba "memaafkan" jika penonjolan kes video seks ini dilakukan oleh akhbar "panas" dan sensasi seperti News of the World di Britain. Tapi yang mengaibkan ialah ini melibatkan akhbar arus perdana Malaysia yang kononnya serius dalam usahanya untuk meluaskan pemikiran rakyat serta menggalakkan keintelektualan warga.

Akhbar yang leka dengan sensasi dan unsur fitnah sudah tentunya mencerminkan ketidaktanggungjawapannya di mata umum, selain daripada melanggar etika kewartawanan. Ini menjadi begitu ketara apabila pihak yang dicemarkan imej dan kedudukan sosialnya tidak diberi peluang untuk membela dirinya dalam akhbar berkenaan.

Kalaupun diberikan ruang, selalunya ruang ini amat sempit, ataupun pandangan pihak yang tercemar diperoleh melalui pihak ketiga, bukan secara langsung daripada individu yang tercemar itu.

Tindak-tanduk akhbar arus perdana yang tidak beretika menyerlah apabila negara mengalami pilihanraya (seperti di Sarawak baru-baru ini). Waktu inilah akhbar bersikap kurang adil dalam pemberitaannya dengan memberi layanan yang baik lagi lumayan kepada parti yang memerintah, iaitu Barisan Nasional; malah ada juga akhbar yang bersekongkol dengan pihak berkuasa dengan menjana bohongan dan herotan realiti.

Akhbar, seperti ramai sedia maklum, bukan hanya sekadar melaporkan tentang peristiwa yang berlaku atau isu yang timbul pada hari berkenaan, tetapi ia juga berperanan - pada tahap tertentu - menyogok agenda bagi masyarakat. Dengan kata lain, akhbar mempunyai peranan atau matlamat yang murni dalam mencari kebenaran dan keadilan bagi pihak ahli masyarakat; mendidik rakyat; menggalakkan perbincangan secara aman; dan juga menjana maklum balas umum terhadap dasar pemerintah.

Tetapi peranan murni ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin jika akhbar berkenaan berkelakuan tidak lebih daripada penerbitan gossip, mekanisme mencetus sentimen perkauman atau ekstremis, dan alat propaganda pihak yang berkuasa.

Dan akhbar akan masih mengalami kekurangan kudrat untuk memikul tanggungjawab murni ini selagi ada undang-undang yang mengekang pekerjaan wartawan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan, dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Wartawan tidak akan berupaya menjalankan kewartawanan penyiasatan selagi ada undang-undang di atas, khususnya PPPA dan OSA.

Dalam masyarakat yang pelbagai golongan etnik seperti Malaysia, akhbar mempunyai peranan yang penting dalam konteks luas di mana rakyat menginginkan keharmonian nasional dan etnik. Sesungguhnya, akhbar boleh memainkan peranan sebagai jambatan yang mengeratkan hubungan antara golongan etnik dalam masyarakat.

Salah satu langkah yang boleh dianggap sebagai satu kemajuan dalam kewartawanan ialah jika ada usaha akhbar vernakular, seperti Sin Chiew Daily dan Tamil Nesan, misalnya, meluaskan skop pemberitaan serta perspektif politiknya yang menjangkau kepentingan komuniti bahasa berkenaan.

Ini juga bermakna bahawa rakyat yang bukan berbahasa ibunda berkenaan mempunyai akses secara langsung atau tidak langsung kepada akhbar berkenaan.

Tanggungjawab akhbar berbahasa Melayu menjadi lebih berat dan mustahak lagi kerana ianya menggunakan bahasa Melayu yang juga bertaraf bahasa nasional.

Dalam kes Utusan Malaysia, misalnya, ia bukan saja harus melayani kehendak "komuniti Melayu" tetapi juga kepentingan "komuniti Malaysia" yang membabitkan pelbagai golongan etnik seperti Cina, India, Kadazandusun, Iban, dll. Melalui penggunaan bahasa Melayu dan juga ruang lingkup yang lebih luas ini, akhbar berkenaan boleh menjana perasaan "keahlian" (atau stakeholder) bagi setiap warga negara ini. Keperluan kepelbagaian ini sebenarnya telahpun dirasai sebelum "era 1Malaysia" lagi.

Dengan kata lain, akhbar berbahasa Melayu khususnya, perlu bersikap lebih terbuka dan sanggup melayani kepentingan dan keperluan pelbagai kelompok yang wujud dalam masyarakat kita. Dengan cara ini, bahasa Melayu benar-benar dirasai "kebangsaan"nya oleh pelbagai rakyat negara ini, dan lantas ianya menyuburkan lagi bahasa nasional ini.

Seperkara lagi, dakwaan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa Utusan Malaysia mencerminkan pandangan "komuniti Melayu" tidaklah tepat. Ini kerana tidak ada "satu pandangan" dari satu "komuniti Melayu". Apa yang wujud ialah pelbagai pandangan dari pelbagai kelompok, ideologi dan kelas sosial dalam masyarakat Melayu itu sendiri. Pemberitaan dan penulisan Utusan Malaysia harus mencerminkan kepelbagaian ini.

Seperti umum sedia maklum, akhbar online menjadi popular dalam kalangan rakyat Malaysia akibat daripada melesetnya kredibiliti akhbar arus perdana kerana, antara lain, kawalan pihak berkuasa. Keupayaan akhbar online untuk menjalankan tugasnya sebaik mungkin juga menjadi kayu ukur kepada darjah demokrasi negara ini.

Itulah sebabnya ancaman siber yang dihadapi oleh akhbar online, seperti yang berlaku pada Malaysiakini baru-baru ini, menjadi kebimbangan kepada wartawan dan juga pencinta kebebasan akhbar.

Melesetnya kedudukan kebebasan akhbar di negara ini juga mempunyai kaitan rapat dengan kuasa yang diberikan kepada pemerintah oleh undang-undang yang berkaitan dengan akhbar, seperti PPPA, OSA dsb. yang membolehkan kawalan ketat pemerintah terhadap media pada keseluruhannya.

Negara yang ingin mencapai cita-cita tinggi, iaitu taraf negara industri, maju dan saintifik, memerlukan pada keseluruhannya warga yang berhemah tinggi, waras, cerdek, berdaya saing tinggi, saintifik dan adil serta kritis.

Hanya akhbar dan media lain yang mempunyai daya intelek yang tinggi, fikiran terbuka, komitmen terhadap kebenaran dan keadilan, dan kredibiliti tinggi yang boleh melayani kehendak dan keperluan warga negara sedemikian rupa.

*Mustafa K Anuar ialah pembaca setia MerdekaReview, dan juga pemerhati media tanah air.

Video Lucah: PKR alu-alukan saman Hishamuddin

DUDUK DI KEMENTERIAN PELAJARAN SALAHKAN GURU, MASUK KDN NAK PEKENA ANWAR...PEMBAHRUAN...NOTHING!!!!!!!!!!!




SHAH ALAM 2 MEI : Parti Keadilan Rakyat mengalu- alukan hasrat Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein menyaman Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim atas mengaitkan Menteri Dalam Negeri itu kepada video seks 'Datuk T'.



Naib Presiden PKR, N. Surendren berkata langkah Hishamuddin itu hanya akan membuka pekung di dada mengenai konspirasi Umno-BN untuk mengaibkan Anwar dan memaksa beliau berundur dari politik.

"Kalau Hishammudin nak teruskan saman, itu terpulang pada dialah. Kita tahu bahawa pada 1998 UMNO BN buat konspirasi yang melibatkan badan kehakiman, melibatkan polis untuk mengaibkan dan memenjarakan dan memusnahkan kerjaya politik Anwar," kata Surendren.




Pertengahan Mac lalu, 'Datuk T' yang merangkumi bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari PERKASA, Shuib Lazim mengaku menayangkan video seks kepada sekumpulan wartawan terpilih di Hotel Carcosa Seri Negara.

Anwar berkata gandingan Datuk T tentunya tidak dapat menayangkan video lucah itu secara terbuka tanpa perlindungan polis dan restu daripada Umno.




Susulan itu, video berkenaan disebarkan menerusi Internet dan kini dikirimkan menerusi pos kepada pihak-pihak tertentu.

Selain daripada itu, pihak tertentu juga menayangkan video berkenaan di balai raya di seluruh negara dan kepada peserta Biro Tata Negara.

Risalah-risalah mengenai video itu juga diedarkan namun tidak mengundang sebarang tindakan daripada polis.

Seorang pegawai kanan polis juga dilaporkan telah memberi taklimat kepada guru-guru di Kelantan untuk menyakinkan sektor awam bahawa Anwar adalah pelaku video itu.

Pada masa sama, belum ada tindakan diambil terhadap Datuk T, sungguhpun Anwar membuat penafian beliau adalah orang dalam rakaman itu dan telah membuat laporan polis.



Sebaliknya Peguam Negara meminta polis untuk mengambil keterangan tambahan daripada Anwar yang tidak ada sangkut paut dengan laporan polis yang dibuat oleh Ketua Pembangkang itu.

Surendran menegaskan Hishammudin seharusnya menjawab mengapa wujud banyak konspirasi mahu menjatuhkan Anwar sejak beliau dipecat dari Umno dan kerajaan BN.




"Kenapa ada kospirasi sejak dari tahun 1998. Kenapa ada sodomi 1, sodomi 2, sekarang fitnah video seks. Adakah Hishammudin berani beri kenyataan bahawa pihak kerajaan dan polis tidak terlibat ?,"

Surendren menambah, dokongan luar biasa rakyat terhadap Anwar dan Pakatan Rakyat menggerunkan UMNO BN.

"Datuk Seri Anwar hendak membawa perubahan dan pembaharuan kepada negara dan menghapuskan rasuah dan kronisme."

Surendren juga menolak tuduhan rapuh Hishammudin bahawa Anwar bertindak mengaitkan dirinya dengan konspirasi video berikutan tidak mampu menjawab soalan wartawan berhubung isu itu.

"Beberapa sidang media telah diadakan. Penjelasan cukup penuh telah diberi mengenai video seks dan mengenai semua aspek. Semua sudah diterangkan. Berkali- kali kepada semua media," katanya lagi.


Video Lucah, Politik Kotor UMNO- Polis, Kata Uthayakumar


SHAH ALAM 2 MEI : Parti Hak Asasi Manusia Malaysia (HRP) menuduh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dan Polis Cawangan Khas sebagai dalang penyebaran rakaman video seks lucah untuk menfitnah dan mengaibkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung HRP, P.Utahyakumar berkata demikian selepas meneliti rakaman video 21 minit berkenaan menerusi pos dari Thailand pada 29 April lalu.

Pengasas pergerakan Hindraf itu bercadang menghantar salinan CD berkenaan kepada pejabat Perdana Menteri minggu hadapan bagi menuntut penjelasan.

Beliau berkata walaupun pihaknya dan Anwar berselisih pendapat mengenai beberapa isu mengenai kebajikan kaum India, beliau menolak fitnah yang cuba disusun terhadap Ketua Pembangkang itu.

"Mereka tahu bahawa kita ini memang mengkritik Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat. Jadi mungkin mereka ingin kami menurut serta bersama menganiya beliau,” kata beliau.

"Pada pendapat kita Anwar dianiaya. Kita telah lihat CD itu bersama 9 orang lain daripada Hindraf dan berpuas hati bahawa pelakon itu bukan beliau," tambah Utahyakumar.

Uthayakumar adalah individu kedua yang menerima salinan selepas Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam turut menerimanya minggu lalu.

Beliau seterusnya menjelaskan salinan rakaman video 22 minit itu diterima menerusi sebuah sampul surat beralamat negara Thailand.

Uthayakumar menyifatkan video itu sebagai senjata politik fitnah terbaru untuk membunuh karier Anwar yang dianggap mempunyai kuasa tarikan rakyat di negara ini.

Beliau berkata pihaknya sendiri menjadi mangsa kepada fitnah Umno yang memperalatkan media massa untuk menghalalkan penangkapanya dan empat pemimpin Hindraf pada tahun 2007.

"Melalui media elektronik dan cetak, Umno telah berjaya mempengaruhi masyarkat umum untuk menjustifikasikan penangkapan dan penahanan kami di bawah ISA pada 2007," jelas beliau.

Apabila ditanya sekiranya laporan polis akan dibuat oleh HRP, Uthayakumar menjelaskan beliau telah hilang kepercayaan kepada badan itu itu.

"Pihak polis cawangan khas sendiri bagi saya (melakukan) jenayah, jadi bagaimana (ia) mahu siasat jenayah sendiri," ujarnya lagi.

Uthayakumar menggesa kerajaan menghentikan politik lucah selain memohon maaf kepada individu- individu yang dianiayai di negara ini.

Rakaman video lucah yang didedahkan kepada wartawan terpilih oleh trio 'Datuk T' pada 21 Mac lalu mendakwa Anwar melakukan hubungan seks dengan wanita berbangsa Cina.

Anwar membuat laporan polis terhadap trio berkenaan untuk disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Namun sehingga hari ini Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chil, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Shuib Lazim tidak ditangkap.

Rakaman video itu pula disebarkan menerusi Internet selain dipertontonkan di tempat-tempat awam seperti balai raya dan kepada peserta kursus Biro Tata Negara.

Cilaka punya finance-WARTAMAYA

Cilaka punya finance




Gambar kat atas tu, kereta Merz model E class tahun 1996. Aku teringin nak beli. Mudah maintenance dan tidak mahal harganya. Nilai sekarang cuma sekitar RM60,000. Sama harganya dengan Perodua Alza.

Aku dah gi ke merata Finance...diorang kata aku tak boleh beli sebab Payslip aku tak cukup nak bayar bulanan.

Dengan hasil jual cendol pada hari Ahad dan Sabtu .. memang aku dah boleh bayar. Confident gila babi punya ... Aku try call finance sekali lagi. Last try ..

"Hello cik ... saya xxxxxxxxx, yang nak buat loan tu hari."
"Ye Encik .. saya ingat"
"Ni la .. saya rasa saya boleh bayar bulanan, Kalau Cik tak caya, minggu depan lepas sembahyang Jumaat, datang ke PJ, saya nak buat sumpah lakhnat. "
".....Toootttt .... toootttt....toootttt" ... Talipon di letakkan.

"Cetttt ... celaka punya finance !"

Osama Laden meninggal dunia

Kongsi 7
Musuh nombor satu Amerika Syarikat, Osama Laden meninggal dunia dan pengumuman rasmi berhubung perkara itu akan dibuat tidak berapa lama lagi oleh Presiden Barack Obama.

Wartawan Al Jazeera di Kabul berkata, pihak berkuasa Afghanistan mengesahkan kematian pemimpin Al Qaeda itu dan mayat Osama kini berada dalam tangan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, tidak dapat disahkan bahawa allahyarham dibunuh di Afghanistan atau Pakistan.

"HERO PORNO" Soi Lek Diingatkan Urus 'Nasib' MCA Dahulu





KUALA LUMPUR 2 MEI : Kepimpinan PAS pusat menggesa Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menguruskan parti komponen BN yang diketuainya itu dan bukannya mengheret parti Islam itu untuk terjebak dengan masalah yang dialami BN menjelang pilihan raya umum.

Anggota biro politik PAS, Khalid Samad dalam khidmat pesanan ringkasnya (SMS) kepada portal The Malaysian Insider turut melahirkan keraguannya sama ada Presiden MCA itu benar-benar faham apabila mengatakan MCA tidak akan menerima PAS menyertai BN selagi tidak menggugurkan dasar Islamnya.

“Saya ragu-ragu sama ada CSL (Chua Soi Lek) tahu apa yang beliau cakap,” katanya.

Semalam, Dr Chua berkata pihaknya akan menutup pintu menyertai BN kepada PAS kecuali ia sanggup menggugurkan prinsip-prinsip negara Islamnya terlebih dahulu.

Dr Chua berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedar bahawa partinya tidak akan menerima PAS menukar Malaysia menjadi sebuah negara Islam.

“Pendirian MCA adalah sangat jelas bahawa kami tidak akan menerima PAS dalam usaha mereka menjadikan negara ini negara Islam. Kami tidak akan menerima yang itu dan Perdana Menteri juga memang sedar akan pendirian MCA ini,” kata beliau.

“Mereka boleh menyertai BN jika mereka sanggup menggugurkan dasar menjadikan negara ini sebagai negara Islam,” kata Dr Chua mengulas pelawaan Najib kepada PAS kelmarin.

Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam dan Ahli Parlimen kawasan itu berkata, PAS tidak pernah membentangkan matlamatnya kepada Dr Chua yang hanya memperlihatkan sedikit minat ataupun sama sekali tidak untuk mengetahui soal itu.

“Apa yang beliau bayangkan sebagai matlamat politik PAS kemungkinan bukan apa yang ada pada PAS,” kata Khalid sambil menambah, sebelum meletakkan syarat untuk menerima PAS, Dr Chua wajar memastikan sama ada ia benar-benar berminat untuk diterima MCA dan beliau juga benar-benar tahu apa yang diperkatakannya.

Gua punya ini macam wooo ..

IHSAN WARTAMAYA



Justeru Khalid menambah, Dr Chua seharusnya memberi tumpuan ke atas kemerosotan populariti MCA di kalangan komuniti Cina berbanding keperluan PAS diterima oleh MCA.

Katanya, jika MCA sudah ditolak oleh komuniti Cina sendiri, maka soal suka atau tidak suka dan keutamaannya tidak menjadi keprihatinan mana-mana pihak kecuali parti itu sendiri.

Malah tegas Khalid, Umno selaku parti teras BN sendiri tidak lagi memberi tumpuan ke atas MCA.

Pemimpin-pemimpin kanan PAS termasuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri telah menolak bulat-bulat pelawaan Najib.

Putrajaya Kaji Sistem 1Sekolah Pupuk Perpaduan




KUALA LUMPUR 2 MEI : Putrajaya sedang mengkaji syor menyeragamkan sistem persekolahan, bakal dikenali “1Sekolah” — yang akan mencetuskan semula debat mengenai keperluan sekolah vernacular — sistem mirip Sekolah Wawasan diperkenalkan oleh pentadbiran Dr Mahathir untuk memupuk perpaduan.

The Malaysian Insider difahamkan Makmal Pembangunan Belia di Kementerian Belia dan Sukan telah mengesyorkan penubuhan sistem sekolah standard dipanggil sebagai “1Sekolah” untuk menggalakkan perpaduan dan kepelbagaian.

Makmal itu juga telah meminta Kementerian Pelajaran agar merangka pelan penyeragaman pendidikan yang akan dibahagikan kepada empat fasa berbanding sistem sekolan rendah kebangsaan semasa yang selari dengan sistem sekolah rendah Cina dan Tamil.

Sumbe-sumber berkata fasa pertama akan menyelaraskan pertukaran program antara sekolah-sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan manakala fasa ketiga pula melibatkan pengenalan bahasa ketiga di kedua-dua jenis sekolah.
Kata sumber itu, program itu akan dilaksanakan di beberapa sekolah terpilih dan kemudian dilaksanakan di kesemua peringkat sekolah.

Pilihan bahasa ketiga bagaimanapun bergantung pada aspek demografi sesebuah sekolah.

Fasa ketiga akan melibatkan penempatan semula sekolah manakala fasa terakhir pula ialah pelaksanaan sistem 1Sekolah.

Pentadbiran Dr Mahathir pernah mengesyorkan penubuhan Sekolah Wawasan yang meletakkan sekolah rendah kebangsaan, Cina dan Tamil di satu kawasan tetapi idea itu dibantah oleh golongan pendidik sekolah vernakular dan hanya beberapa sekolah didirikan kira-kira satu dekad lalu.

Anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir pernah melobi usaha penyatuan sistem pelajaran dan berkata, ia adalah idea yang disyorkan dalam Penyata Razak pada 1956.

Beliau merujuk kepada laporan yang disediakan oleh bekas perdana menteri Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ketika menjadi menteri pelajaran, yang bertujuan menyatupadukan pelajar pelbagai kaum di bawah satu sistem pendidikan meliputi semua kaum.

Mukhriz pernah mengesyorkan bahawa sistem dua aliran sekarang dimansuhkan dan digantikan dengan satu sistem yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantaran bagi semua subjek kecuali sains, matematik dan subjek bahasa yang lain.

Bagaimanapun syor itu berhadapan dengan kecaman dari kedua-dua parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) sehingga ada yang menyifatkannya sebagai hasutan dan laporan polis pernah dibuat.-TheMalaysianInsider